Musaddad dan Sulaiman bin Daud Al-`Ataki meriwayatkan kepada kami, mereka berdua berkata: Hammad bin Zaid meriwayatkan kepada kami daripada Ghailan bin Jarir daripada Abi Burdah daripada ayahnya (Abu Musa Al-Asy`ari) bahawa Musaddad berkata: Abu Musa berkata: “Kami datang kepada Rasulallah s.a.w. untuk meminta kenderaan daripada baginda, saya melihat baginda sedang memberus lidahnya.
Abu Daud berkata: Sulaiman berkata: Beliau (Abu Musa al-Asy`ari) berkata: “Saya masuk menemui Nabi s.a.w. ketika baginda s.a.w. sedang memberus gigi. Ketika itu baginda sedang meletakkan berus gigi itu di hujung lidahnya sambil baginda berkata: “ih! ih!” maksudnya semacam baginda akan muntah.” Abu Daud berkata: Musaddad berkata: Itu adalah hadits yang panjang tetapi saya ringkaskannya .
بَاب فِي الرَّجُلِ يَسْتَاكُ بِسِوَاكِ غَيْرِه
Bab Berkenaan Seseorang Memberus Gigi Menggunakan Berus Gigi Orang Lain
Muhammad bin `Isa meriwayatkan kepada kami, katanya: `Anbasah bin `Abd Al-Wahid meriwayatkan kepada kami daripada Hisyam bin `Urwah daripada ayahnya daripada `A’isyah, katanya: “Rasulullah s.a.w. memberus gigi dan pada ketika itu ada dua orang lelaki berada dekat baginda. Salah seorang daripadanya lebih tua daripada yang seorang lagi maka diberikan wahyu kepada Nabi s.a.w. tentang kelebihan memberus gigi supaya memberikan berus gigi itu kepada yang lebih tua. Ahmad iaitu Ibn Hazam berkata: Abu Sa`id iaitu Ibn Al-A`rabi berkata kepada kami: Hadits ini adalah di antara hadits yang mana hanya Ahli Madinah sahaja yang mengemukakannya.
Ibrahim bin Musa Ar-Razi meriwayatkan kepada kami, katanya: `Isa bin Yunus telah menceritakan kepada kami daripada Mis`ar daripada Al-Miqdam bin Syuraih daripada ayahnya katanya saya telah bertanya `A’isyah: “Apakah perkara pertama yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. apabila baginda memasuki rumahnya?” `A’isyah menjawab: “Memberus gigi.”
Muhammad bin Basysyar telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Muhammad bin `Abdillah Al-Anshari telah meriwayatkan kepada kami, katanya: `Anbasah bin Sa`id Al-Kufi Al-Hasib telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Katsir telah meriwayatkan kepada saya daripada `A’isyah, katanya: “Nabi s.a.w. selalu memberus gigi lalu baginda memberikan kepadaku berus itu untuk aku membasuhnya maka aku memulakannya dengan memberus gigi kemudian aku membasuhnya dan memberikan semula kepadanya.