Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 4 – Usul Ketiga: Hadits-Hadits Atau Riwayat-Riwayat Yang Tidak Sesuai Dan Tidak Layak Dengan Kedudukan Nabi-Nabi Dan Mengaibkan Mereka

 

Contoh pertama;

Kisah Nabi Ayyub a.s. mengalami penyakit kulit luar biasa selama lebih sepuluh tahun, menyebabkan semua anak buah dan pengikut beliau menjauhkan diri dari beliau adalah sebuah kisah yang masyhur dan tersebar dengan meluas dalam masyarakat Islam di seluruh dunia. Nabi Ayyub a.s. kerana penyakitnya itu dipandang begitu hina oleh masyarakatnya sehingga beliau dianggap tidak layak lagi berada dalam perkumpulan orang ramai. Beliau a.s. sebaliknya telah dibuang di tempat pembuangan sampah dan kotoran. Selain isteri dan dua orang kerabat beliau, tiada siapa pun yang menjenguk dan menghiraukan beliau yang sedang menderita itu. Kisah penderitaan Ayyub begitu popular kerana ia dikatakan berpunca daripada beberapa hadits Rasulullah s.a.w. dan atsar para sahabat baginda yang dikemukakan oleh sekian ramai ahli tafsir terkenal seperti at-Thabari, Ibnu Abu Hatim, al-Baghawi dan lain-lain. Mereka pula mengemukakannya sebagai tafsiran kepada dua rangkaian firman Allah di dalam al-Quran, satunya di dalam Surah Shaad (Ayat 41-44) dan satu lagi di dalam Surah al-Anbiyaa’ (Ayat 83-84). Jika diteliti kedua-dua kelompok ayat di atas, ia secara ringkas mengisahkan peristiwa getir yang dialami Nabi Ayyub dan kurniaan Allah kepada beliau setelah beliau berjaya menghadapinya dengan penuh kesabaran. Ia secara umum dan secara kasar memaparkan kisah penderitaan dan kesengsaraan yang pernah dialami Nabi Ayyub dalam satu fasa kehidupannya.
Tidak tersebut satu pun perkataan di dalam kedua-dua kelompok ayat tadi yang dengan jelas menunjukkan Nabi Ayyub telah mengalami penyakit kulit yang teruk sehingga beliau ditinggalkan oleh semua orang kecuali isteri dan dua orang kerabat terdekatnya. Kerana penyakit kulitnyalah beliau telah dibuang oleh masyarakat di tempat pembuangan sampah dan kotoran. Beliau pula terpaksa sentiasa bergelumang dalam abu untuk meringankan penyakit kulit yang dideritainya!.

Cerita tentang Nabi Ayyub pernah mengalami penyakit kulit yang kronik itu kalau pun ada, ia hanya berpunca daripada riwayat-riwayat Israiliyyat yang disebarkan oleh golongan Ahli Kitab yang memeluk agama Islam di zaman Tabi’in, seperti Ka’ab al-Ahbaar, Wahab bin Munabbih dan lain-lain. Ia sebenarnya sama sekali tidak berasas dan tidak datang daripada Rasulullah s.a.w. menerusi saluran-saluran riwayat yang boleh dipertanggungjawabkan.

Mari kita lihat pula apa yang dikatakan sebagai hadits-hadits Rasulullah s.a.w. dan atsar-atsar para sahabat yang dijadikan sebagai pentafsir kepada firman Allah tadi. Penulis akan mengemukakan tiga sahaja daripadanya sebagai contoh.
(1) Ibnu Abi Haatim dan lain-lain …. daripada Anas bin Malik bahawa Nabi s.a.w. pernah bercerita:

Bermaksud: Sesungguhnya Nabi Ayyub a.s. diuji Allah selama lapan belas tahun. Akibatnya beliau tidak dihiraukan oleh keluarga dan masyarakat kecuali kecuali dua orang keluarga terdekatnya. Mereka berdua datang menjenguk pada waktu pagi dan petang. …… Bila petang, mereka berdua pergi menjenguk Ayyub. Yang kedua tidak dapat mengawal perasaannya, lalu ia menceritakan kepada Ayyub apa yang dikatakan oleh kawannya. Kata Ayyub: “Tak tahulah aku apa yang kamu katakan itu! Cuma Allah tentu tahu bahawa aku sering kali lalu di hadapan dua orang lelaki yang selalu bertengkar. Semasa bertengkar mereka menyebut nama Allah. Aku pula setelah sampai ke rumah, membayar kaffarah bagi pihak mereka berdua kerana tidak senang hati dengan perbuatan mereka menyebut nama Allah (bersumpah atas nama Allah) dalam keadaan tidak benar (baik) seperti itu, Kata perawi, Ayyub ketika pergi qadha’ hajat dan apabila selesai daripadanya akan dipegang (dipapah kerana terlalu lemah) oleh isterinya untuk sampai ke tempat duduknya. Pada suatu hari Ayyub lambat datang kepada isterinya. Beliau mendapat wahyu berupada firman Allah: Bermaksud: “Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu: Inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum”, Si isteri yang berasa Ayyub lambat datang pergi untuk melihat. Ketika itu Ayyub telah pun datang kepadanya dalam keadaan Allah telah menghilangkan daripadanya segala penderitaan yang dialaminya. Ayyub pada ketika itu berada dalam keadaannya yang terbaik: Bila isteri Ayyub melihatnya, teruslah dia berkata: “Wahai! Semoga Allah memberkatimu. Adakah engkau nampak Nabiyyallah yang menderita sakit itu? Demi Allah! Tidak pernah ku lihat sesiapa pun yang lebih menyerupainya daripadamu ketika ia sihat dahulu.” Kata Ayyub: “Akulah Ayyub!” ………….”
Hadits ini dihukum sahih oleh Ibnu Hibban, Haakim, ad-Dhiayaa’ al-Maqdisi dan beberapa orang tokoh hadits yang lain. Hafiz Ibnu Hajar bahkan berkata, hadits ini adalah yang paling sahih behubung dengan kisah penderitaan Ayyub.

Check Also

Sesi 23 – Usul no 7 – Hadis Yang Menyebutkan Secara Terperinci Kelebihan Setiap Surah Di Dalam Al-Quran

USUL DIRAYAT HADIS – Sesi 23 – Ulangan Usul no 7 – 5 Mac-17  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *