Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 11 – Sahih Li Ghayrih, Al-Hasan Li Ghayrih, Khabar Ahad Makbul Yang Mempunyai Sokongan, PERBAHASAN KEDUA: Klasifiaksi Khabar Maqbul Kepada Yang Diamalkan Dan Tidak Boleh Diamalkan, Al-Muhkam Wa Al Mukhtalif Al-Hadith


Notice: Undefined index: tie_hide_meta in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

Notice: Trying to access array offset on value of type null in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3
Ust Mohd Hanief Awang Yahaya, 14-Jun-15

 

 

AL-SAHIH LI GHAYRIH الصحيح لغيره


Definisi
Iaitu hadis hasan li dhatihi apabila diriwayatkan melalui jalan yang lain sepertinya atau lebih kuat darinya. Dinamakan sahih lighairih kerana kesahihan tidak datang dari sanad itu sendiri, tetapi hanya sahih apabila digabungkan dengan sanad lain dan ini boleh digambarkan dengan formula berikut:

hasan li dhatihi + hasan li dhatihi = sahih li ghayrihi

Martabatnya
Lebih tinggi martabatnya dari hasan li dhatihi dan lebih rendah daripada sahih li dhatihi.

Contohnya

حَدَّثَنَا أَبُو كُرَيبٍ، حَدَّثَنَا عَبْدَةُ بنُ سُلَيمانَ، عن مُحَمَّدِ بنِ عَمْروٍ، عن أَبي سَلَمَةَ، عن أَبي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلاَةٍ”.

Hadis Muhammad bin ‘Amr daripada Abi Salamah daripada Abi Hurayrah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kalaulah tidak kerana memberatkan ummatku pasti aku akan menyuruh mereka menggosok gigi setiap kali sembahyang.”

Ibn al-Salah berkata: “Muhammad bin ‘Amr bin ‘Alqamah adalah dari kalangan yang masyhur dengan benar dan menjaga diri cumanya beliau bukan dari ahli itqan sehingga sebahagian mereka menda’ifkannya kerana ingatannya buruk dan sebahagain mereka pula menthiqahkannya kerana benarnya dan kedudukannya. Dengan itu, dari sudut ini, hadis ini hasan. Apabila digabungkan dengan keadaannya diriwayatkan melalui tariq yang lain, kebimbangan kita tentang buruk hafalannya tidak ada lagi dan kekurangan yang sedikit itu tertampung dengan sebab tariq tersebut. Dengan sebab itu, sanad ini menjadi sahih dan tergolong di dalam martabat sahih.”

AL-HASAN LI GHAYRIH حسن لغيره

Iaitu hadis da’if apabila mempunyai banyak tariq dan sebab keda’ifannya bukan kefasiqan dan pendustaan perawi.

Difahami daripada definisi ini, hadis da’if boleh meningkat ke tahap hasan li ghayrih dengan dua perkara:

  1. Diriwayatkan daripada satu tariq lain atau lebih dengan syarat tariq tersebut sepertinya atau lebih kuat daripadanya.
  2. Sebab keda’ifan hadis itu sama ada buruk hafalan, terputus pada sanad atau tidak diketahui tentang perawi-perawinya.

Sebab Dinamakan Dengan Hasan Li Ghayrih

Sebab dinamakan dengan hasan kerana sifat hasan itu bukan datang melalui sanad itu sendiri tetapi kerana digabungkan dengan yang lain. Hadis da’if yang meningkat kepada hasan ligahrihi dapat digambarkan dengan formula berikut:

Da’if + da’if = hasan li ghayrih

Martabatnya

Hasan li ghayrih lebih rendah kedudukannya daripada hasan li dhatih. Berdasarkan kepada kenyataan ini, sekiranya hadis hasan li dhatihi bercanggah dengan hasan li ghayrih, maka hasan li dhatih didahulukan.

Hukumnya

Ia termasuk dalam hadis maqbul yang boleh berhujah dengannya.

Contohnya

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan beliau mengatakannya hasan melalui tariq Shu’bah:

عَنْ عَاصِمِ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ قَال سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَامِرِ بْنِ رَبِيعَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ امْرَأَةً مِنْ بَنِي فَزَارَةَ تَزَوَّجَتْ عَلَى نَعْلَيْنِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرَضِيتِ مِنْ نَفْسِكِ وَمَالِكِ بِنَعْلَيْنِ قَالَتْ نَعَمْ قَالَ فَأَجَازَهُ

قَالَ وَفِي الْبَاب عَنْ عُمَرَ وَأَبِي هُرَيْرَةَ وَسَهْلِ بْنِ سَعْدٍ وَأَبِي سَعِيدٍ وَأَنَسٍ وَعَائِشَةَ وَجَابِرٍ وَأَبِي حَدْرَدٍ الْأَسْلَمِيِّ

Daripada ‘Asim bin ‘Ubaydillah bin ‘Abdullah bin ‘Amir bin Rabi’ah daripada bapanya bahawa ada seorang wanita daripada Bani Fazarah berkahwin dengan mahar sepasang kasut. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah anda setuju untuk dirimu dan harta dengan sepasang kasut? Wanita itu menjawab: Ya. Lalu Rasulullah s.a.w. membenarkan.

 

Al-Tirmidhi berkata: “Di dalam bab ini ada diriwayatkan juga daripada ‘Umar, Abu Hurayrah, ‘A`ishah dan Abi Hadrad al-Aslami.”

 ‘Asim adalah seorang da’if kerana hafalannya buruk, sedangkan al-Tirmidhi menghukumkan hadis ini hasan kerana ia mempunyai lebih daripada satu jalan.

 

KHABAR AHAD MAQBUL YANG MEMPUNYAI SOKONGAN

Pendahuluan

Di akhir perbahasan bahagian hadis maqbul, penulis akan menyentuh hadis maqbul yang mempunyai sokongan. Maksudnya ialah hadis yang mempunyai perkara-perkara tambahan selain daripada syarat-syarat yang diperlukan pada hadis maqbul.

Perkara-perkara tambahan yang ada pada sesuatu hadis maqbul akan menambahkan kekuatannya dan menjadikannya lebih istimewa daripada hadis-hadis maqbul yang lain yang tidak ada perkara-perkara tersebut disamping ia lebih diutamakan daripada yang lain.

Bahagian-bahagiannya

Hadis yang mempunyai sokongan ada beberapa bahagian, yang paling masyhur ialah:

Hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim di dalam kitab sahih mereka yang tidak mencapai tahap mutawatir. Ianya disokong dengan:

  1. Kedudukan mereka yang tinggi di dalam bidang ini.
  2. Kedua-dua kitab ini terkehadapan dalam membezakan hadis sahih berbanding dengan yang lain.
  3. Para ulama menerima baik kitab-kitab mereka. Penerimaan ini sahaja cukup kuat dalam menghasilkan ilmu daripada semata-mata banyak tariq yang tidak mencapai tahap mutawatir.
  4. Hadis masyhur yang mempunyai tariq yang berbeza semuanya tidak ada keda’ifan perawi dan ‘illah.
  5. Hadis musalsal dengan para imam hafiz dan mempunyai sifat itqan (ketekunan dan ketelitian) yang tidak menjadi gharib. Seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Imam al-Shafi’i daripada Imam Malik. Selain daripada Imam Ahmad, ramai lagi meriwayat daripada Imam al-Shafi’i, begitu juga selain dari Imam al-Shafi’i, ramai perawi lain yang meriwayatkan daripada Imam Malik.

Hukumnya

Ia lebih kuat daripada mana-mana hadis ahad maqbul. Sekiranya hadis ahad yang memiliki sokongan, bercanggah dengan hadis-hadis maqbul lain, maka didahulukan hadis yang mempunyai sokongan itu.

PERBAHASAN KEDUA: KLASIFIKASI KHABAR MAQBUL KEPADA YANG YANG DIAMALKAN DAN TIDAK BOLEH DIAMALKAN

Khabar maqbul terbahagi kepada dua: yang boleh diamalkan dan tidak boleh diamalkan. Terbit daripada pembahagian ini dua ilmu hadis iaitu al-Muhkam wa Mukhtalif al-hadih dan al-nasikh wa al-Mansukh.

AL-MUHKKAM WA MUKHTALIF AL-HADITH

Definisi al-Muhkam

Dari segi bahasa ia adalah isim maf’ul daripada perkataan ahkama yang bererti atqana iaitu mengemaskan; mengukuhkan.

Dari segi istilah pula ia adalah hadis maqbul yang selamat daripada percanggahan dengan hadis sepertinya.

Kebanyakan hadis adalah hadis muhkam. Bagi nisbah kepada keseluruhan hadis, sedikit sahaja hadis yang saling bercanggah dan berbeza (al-ahdadithal-muta’ aridah wa al-mukhtalifah)

 Definisi Mukhtalif al-Hadith

Dari segi bahasa ia adalah isim fa’il daripada perkataan al-ikhtilaf lawan kepada perkataan al-ikhtifa’. Maksud mukhtalif al-hadith ialah hadis-hadis yang sampai kepada kita dalam keadaan saling bercanggah dan bertentangan antara satu sama lain dari segi makna.

Menurut istilah pula ia adalah hadis maqbul yang bercanggah dengan hadis sepertinya dan boleh dihimpunkan (jama’ wa tawfiq) antara keduanya.

Iaitu hadis sahih atau hasan yang didatangi oleh hadis lain sepertinya dari segi martabat dan kekuatan, dan secara zahir menyanggahinya pada ma’na serta dapat dihimpunkan dan diselaraskan pengertian kedua-duanya oleh ahli ilmu dan ulama yang berfikiran tajam dalam bentuk yang boleh diterima.

 

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *