Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Ramai Remaja Puja Syaitan

Oleh: Nurul Adlina Kamarudin

KAJIAN akademik yang dilakukan sekumpulan pensyarah Universiti Malaya (UM) yang mendapati ramai belia Melayu Islam di negara ini memuja syaitan melalui muzik, filem dan bahan bacaan wajar diberi perhatian serius pihak berwajib dan ibu bapa. Pendedahan berkenaan turut membuktikan masyarakat Melayu gagal mengatasi kemelut budaya asing sehingga menjadi anutan segelintir remaja boleh menyimpangkan mereka daripada ajaran Islam. Sebenarnya isu pemujaan syaitan terutama melalui muzik dikesan merebak di kalangan remaja sejak sekian lama, serentak dengan kemunculan muzik rock yang bertukar ke aliran Metal sehingga berlarutan ke Black Metal yang dikaitkan dengan pemujaan syaitan.

Selama ini, media hanya menyiarkan laporan mengenai gelagat remaja terbabit, termasuk usaha pihak berkuasa mengekang pengaruh berkenaan. Contohnya, pada 2006, pihak berkuasa merampas cakera padat Black Metal bertajuk Abnegation, Unsolemn, Metal Fury, Black Hole, Band serta Everscatedd di Pejabat Pos Alor Setar yang diharamkan diedarkan ke negara ini. Akhbar juga pernah menyiarkan laporan mengenai kumpulan Black Metal yang mewajibkan pengikutnya meninggalkan Rukun Islam dan menganggap menyembah Allah itu adalah karut marut. Namun, selepas beberapa pendedahan membabitkan kumpulan Black Metal, akhirnya satu kajian terperinci selama hampir setahun di Lembah Klang, berakhir tahun lalu diusahakan sekumpulan pensyarah Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya yang merangkumi hasil kajian dan saranan kepada pihak berwajib untuk tindakan susulan.

Menurut kajian, selain pengaruh Black Metal, golongan berkenaan turut dipengaruhi cerita seram, komik animasi, permainan video, malah buku Church Of Satan, yang membawa kepada pendewaan syaitan. Kita dapati kajian membabitkan hampir 700 responden belia berumur 13 sehingga 30 tahun itu, memperlihatkan masalah sosial yang dihadapi belia Melayu Islam semakin serius. Mereka menganggap konsep pemujaan syaitan melalui muzik, majalah dan filem sekadar suka-suka, selain menyifatkan syaitan sebagai wira, amat kuat dan harus digeruni yang tanpa menyedari ia boleh menyesatkan dan syirik kepada Islam. Belia dan remaja Melayu Islam kini berdepan dengan pelbagai masalah daripada penyalahgunaan dadah sehinggalah pemujaan syaitan, sesuatu yang perlu diberi perhatian segera oleh semua pihak. Kita tidak mahu hasil kajian ini seperti kajian lain hanya memenuhi perpustakaan universiti atau bilik pensyarah. Pihak berkuasa terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Negeri perlu segera mencari mekanisme baru bagi menangani isu ini supaya tidak berpanjangan.

Rata-rata penggemar aliran songsang ini adalah mereka yang terbiar baik dari segi didikan agama atau perhatian ibu bapa yang sibuk dengan kehidupan sendiri.

Akhirnya mereka memberontak kepada sistem yang ada dan bertindak mengikut selera kehidupan sendiri melalui pengaruh keseronokan budaya barat. Sudah sampai masanya kita menjadikan kajian ini sebagai titik tolak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah yang boleh memberi kesan besar kepada Islam pada masa depan sekiranya kita terus tidak mempedulikannya.

Sumber: Berita Minggu 18-January-2009

 

http://www.umlib.um.edu.my/newscut_details.asp?cutid=119#sthash.EyNNI9zo.dpbs

Check Also

Zikir Black Metal

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Amir Abd Hamid KUALA LUMPUR: Setiap malam Jumaat, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *