Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Prinsip Kebersihan Dalam Hadis-Hadis


Notice: Undefined index: tie_hide_meta in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

Notice: Trying to access array offset on value of type null in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

 

Mohd Nazri bin Hasan

 

Prinsip kebersihan ini menunjukkan kepentingan kebersihan dalam Islam sebagai satu aspek yang mesti dijaga sama ada untuk beribadat atau selainnya. Sebagai umat yang bertamadun dan mempunyai etikanya yang tersendiri maka Allah telah mewajibkan kebersihan kepada manusia yang ingin mendekatkan diri kepada-Nya. Seorang muslim haruslah berada dalam keadaan yang paling baik dan bersih untuk beribadat kepada Tuhannya.

Sebenarnya ia tidak terhad kepada beberapa hadis yang disenaraikan di bawah bahkan terdapat beratus-ratus hadis yang boleh dimasukkan di bawah prinsip ini sama ada secara terang atau dengan isyarat.

Prinsip ini juga kita boleh fahami dari al-Quran yang mana sebagai asal dalam prinsip ini. Di antara dalil al-Quran yang jelas tentang prinsip kebersihan adalah firman Allah s.a.w :-

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

“Dan pakaianmu, bersihkanlah” (Al-Muddatstsir : 4)

Dan firman-Nya lagi :-

وَأَنْزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً طَهُورًا

“Dan kami turunkan dari langit air yang suci (lagi menyucikan)” (al-Furqan: 48)

Air yang bersih bukan sahaja untuk membersihkan badan dan pakaian bahkan juga untuk menyucikan seseorang daripada hadas. Pakaian dan tubuh yang bersih dari hadas sama ada kecil atau besar adalah di antara syarat utama sama ada sesuatu ibadat itu diterima atau ditolak. Kebersihan yang diutamakan secara umumnya terbahagi kepada dua iaitu kebersihan zahir dan kebersihan batin. Firman Allah s.w.t:-

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

“Sesesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri” (Al-Baqarah : 222)

Dalil ini juga menunjukkan kaitan di antara kebersihan zahir dan batin. Seorang muslim yang menyucikan dirinya daripada hadas tidak kira sama ada hadas kecil atau besar, pada zahirnya adalah bersih tubuh badannya dari kotoran. Seorang yang bertaubat pula adalah untuk menyucikan dirinya dari dosa-dosa. Manakala perbuatan bersuci itu juga membersihkan diri dari dosa-dosa kecil seperti yang digambarkan dalam hadis yang akan dikemukakan nanti. Oleh itu dengan akal yang sihat, seseorang dapat menilai dan melihat kebersihan sebagai aspek yang penting dan perlu dalam kehidupan. Malah agama-agama lain turut menganggapnya sebagai suatu nilai yang harus dipelihara.

Sabda Rasululullah s.a.w :-

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لا تُقْبَلُ صَلاةٌ بِغَيْرِ طُهُورٍ وَلا صَدَقَةٌ مِنْ غُلُولٍٍ

Daripada Ibnu Umar bahawa Nabi s.a.w bersabda: ” Tidak diterima mana-mana solat tanpa wuduk dan tidak diterima mana-mana sedekah daripada harta yang haram.” (Riwayat al-Tirmizi)

عَنْ عَلِيٍّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مِفْتَاحُ الصَّلَاةِ الطُّهُورُ وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ

Daripada Ali bin Abi Talib daripada Nabi s.a.w : ” Kunci solat ialah bersuci, tahrimnya ialah takbiratulihram dan tahlilnya ialah memberi salam” (Riwayat al-Tirmizi)

Dua hadis ini menunjukkan bahawa Islam sangat menitikberatkan kebersihan sebagai salah satu syarat diterima solat selain meletakkannya sebagai suatu nilai yang tinggi dalam Islam. Sebagaimana pentingnya harta yang halal dalam Islam maka begitulah juga pentingnya kebersihan dalam ibadat.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا تَوَضَّأَ الْعَبْدُ الْمُسْلِمُ أَوْ الْمُؤْمِنُ فَغَسَلَ وَجْهَهُ خَرَجَتْ مِنْ وَجْهِهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ نَظَرَ إِلَيْهَا بِعَيْنَيْهِ مَعَ الْمَاءِ أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ أَوْ نَحْوَ هَذَا وَإِذَا غَسَلَ يَدَيْهِ خَرَجَتْ مِنْ يَدَيْهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ بَطَشَتْهَا يَدَاهُ مَعَ الْمَاءِ أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ حَتَّى يَخْرُجَ نَقِيًّا مِنْ الذُّنُوبِ

Daripada Abu Hurairah katanya, Nabi s.a.w bersabda : ” Apabila seseorang muslim (katanya: atau mukmin) itu mengambil wudhuk, lalu dia membasuh mukanya, keluarlah dari mukanya setiap dosa yang dia pandang dengan dua matanya bersama-sama air atau bersama-sama titisan akhir air ataupun sebagainya. Dan apabila seseorang itu membasuh dua tangannya, keluarlah daripada dua tangannya setiap dosa yang dilakukan oleh dua tangannya bersama-sama air atau bersama-sama titisan akhir air, sehinggalah dia keluar dalam keadaan bersih daripada dosa.” (Riwayat al-Tirmizi)

Qadhi `Iyadh  berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan ‘keluar dosa’ adalah majaz dan isti’ arah bagi keampunan kerana ia bukanlah jisim. Ibnu al-‘Arabi pula dalam ‘Aridah al-Ahwazi menyatakan yang dimaksudkan dengan ‘keluar dosa’ itu adalah diampunkan dosanya kerana dosa adalah sifat dan perbuatan yang tidak kekal (di tubuh). Selepas menaqalkan pendapat Ibnu al-‘Arabi, al-Suyuti menyatakan bahawa dosa menyebabkan hitam pada zahir dan batin dan suci itulah yang menghilangkannya berdalilkan hadis ini:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِي قَلْبِهِ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فَإِذَا هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ سُقِلَ قَلْبُهُ وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ

Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi s.a.w, dia bersabda : “Sesungguhnya seseorang hamba itu bila melakukan satu dosa, dititik pada hatinya satu titik hitam. Jika dia bertaubat, berhenti dan meminta ampun, dihilangkan (titik hitam) dari hatinya. Dan jika dia kembali (melakukannya) bertambahlah (titik hitam) hingga mengalahkan hatinya. (Tuhfah al – Ahwazi ,jilid 1 m/s 32)

Dan firman Allah s.w.t :

 كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

“Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka. “ (al-Mutaffifin:14)

Syah Waliyullah pula mentafsirkannya dengan mengatakan dosa betul-betul keluar tetapi disandarkannya kepada alam misal. Umumnya kita boleh katakan bahawa apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w bukan setakat kebersihan zahir tetapi juga kebersihan batin yang mana tidak kurang pentingnya sebagai mukmin yang sejati.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ مَنْ حَدَّثَكُمْ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَبُولُ قَائِمًا فَلا تُصَدِّقُوهُ مَا كَانَ يَبُولُ إِلا قَاعِدًا

Daripada Aisyah r.a. katanya : ” Sesiapa yang menceritakan kepada kamu bahawa Nabi s.a.w kencing sambil berdiri, janganlah kamu membenarkannya. Nabi s.a.w tidak kencing melainkan dalam keadaan duduk.” (Riwayat al- al-Tirmizi)

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ عُمَرَ قَالَ رَآنِي النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أَبُولُ قَائِمًا فَقَالَ يَا عُمَرُ لا تَبُلْ قَائِمًا فَمَا بُلْتُ قَائِمًا بَعْدُ

Daripada ‘Umar katanya : ” Nabi s.a.w melihat aku kencing sambil berdiri, lalu baginda bersabda : Wahai Umar ! Janganlah kamu kencing sambil berdiri. Maka selepas itu aku tidak lagi kencing sambil berdiri.”  (Riwayat al-Tirmizi)

عَنْ حُذَيْفَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَى سُبَاطَةَ قَوْمٍ فَبَالَ عَلَيْهَا قَائِمًا فَأَتَيْتُهُ بِوَضُوءٍ فَذَهَبْتُ لِأَتَأَخَّرَ عَنْهُ فَدَعَانِي حَتَّى كُنْتُ عِنْدَ عَقِبَيْهِ فَتَوَضَّأَ وَمَسَحَ عَلَى خُفَّيْهِ

Daripada Huzaifah (katanya) : “Sesungguhnya Nabi s.a.w pergi ke tempat pembuangan sampah bagi satu kaum, lalu baginda kencing di tempat itu dalam keadaan berdiri. Maka aku membawa kepadanya air dan aku pergi supaya jauh daripadanya. Baginda lalu memanggil aku hingga aku berada hampir dengan dua tumitnya lalu baginda berwuduk dan menyapu ke atas dua khufnya.”   (Riwayat al-Tirmizi)

عَنْ أَنَسٍ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ الْحَاجَةَ لَمْ يَرْفَعْ ثَوْبَهُ حَتَّى يَدْنُوَ مِنْ الْأَرْضِ

Daripada Anas katanya : “Adalah Nabi s.a.w apabila hendak membuang air, baginda tidak akan mengangkat pakaiannya sehinggalah dia hampir dengan tempat membuang air.”  (Riwayat al-Tirmizi)

Hadis-hadis  ini adalah di antara puluhan hadis-hadis yang menunjukkan larangan dan keharusan membuang air kecil sambil berdiri. Pada zahirnya ia nampak bercanggah, tetapi sebenarnya larangan ini sebenarnya bertujuan mengelakkan seseorang itu dari tercemar dengan air kencingnya yang mungkin akan terpercik dari tanah, manakala kedudukan yang lebih rendah akan mengurangkan kemungkinan air kencing seseorang itu memercik kuat.

Hadis ini juga adalah sebahagian dari adab dalam Islam yang menjaga kesopanan dan kesusilaan yang juga kita fahami sebagai roh Islam kerana berdiri itu mendedahkan seseorang kepada penglihatan orang ramai dan itu adalah suatu yang kurang sopan di mata masyarakat. Jadi hadis ini boleh juga kita masukkan ke dalam ‘Prinsip adab’.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي قَتَادَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يَمَسَّ الرَّجُلُ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ

Daripada Abdullah bin Abi Qatadah daripada ayahnya katanya : ” Sesungguhnya Nabi s.a.w melarang seseorang itu daripada menyentuh kemaluannya dengan tangan kanan.” (Riwayat al-Tirmizi)

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ يَزِيدَ قَالَ قِيلَ لِسَلْمَانَ قَدْ عَلَّمَكُمْ نَبِيُّكُمْ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلَّ شَيْءٍ حَتَّى الْخِرَاءَةَ فَقَالَ سَلْمَانُ أَجَلْ نَهَانَا أَنْ نَسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةَ بِغَائِطٍ أَوْ بَوْلٍ وَأَنْ نَسْتَنْجِيَ بِالْيَمِينِ أَوْ أَنْ يَسْتَنْجِيَ أَحَدُنَا بِأَقَلَّ مِنْ ثَلَاثَةِ أَحْجَارٍ أَوْ أَنْ نَسْتَنْجِيَ بِرَجِيعٍ أَوْ بِعَظْمٍ

Daripada Abd al-Rahman bin Yazid katanya : ” Dikatakan kepada Salman : Sesungguhnya Nabi kamu telah mengajar kamu setiap perkara termasuk membuang air?  Lalu Salman berkata : Ya. Beliau melarang kami daripada menghadap kiblat semasa membuang air besar atau kecil, atau beristinjak dengan  tangan kanan, atau salah seorang daripada kami beristinjak dengan kurang daripada tiga batu, atau beristinjak dengan tahi binatang atau tulang.” (Riwayat al-Tirmizi)

عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِحَاجَتِهِ فَقَالَ الْتَمِسْ لِي ثَلَاثَةَ أَحْجَارٍ قَالَ فَأَتَيْتُهُ بِحَجَرَيْنِ وَرَوْثَةٍ فَأَخَذَ الْحَجَرَيْنِ وَأَلْقَى الرَّوْثَةَ وَقَالَ إِنَّهَا رِكْسٌ

Daripada Abdullah Ibnu Masud katanya : “Nabi s.a.w telah keluar untuk menunaikan hajatnya lalu baginda berkata : Carilah untuk aku tiga biji batu. Abdullah Ibnu Masud berkata : Akhirnya aku membawa kepada baginda dua biji batu dan seketul najis binatang yang kering. Lalu Nabi s.a.w mengambil dua batu dan membuang najis tersebut dan berkata : Sesungguhnya ia najis.” (Riwayat al-Tirmizi)

عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا تَسْتَنْجُوا بِالرَّوْثِ وَلَا بِالْعِظَامِ فَإِنَّهُ زَادُ إِخْوَانِكُمْ مِنْ الْجِنِّ

Daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud katanya : Rasulullah s.a.w telah bersabda : “Janganlah kamu beristinjak dengan najis binatang dan juga tulang. Sesungguhnya ia merupakan bekalan makanan saudara seagama kamu dari kalangan jin.” (Riwayat al-Tirmizi)

قَالَ الشَّعْبِيُّ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَسْتَنْجُوا بِالرَّوْثِ وَلَا بِالْعِظَامِ فَإِنَّهُ زَادُ إِخْوَانِكُمْ مِنْ الْجِنِّ

Al-Sya‘bi berkata : Sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda : “Janganlah kamu beristinjak dengan najis binatang dan juga tulang. Sesungguhnya ia merupakan bekalan makanan saudara seagama kamu dari kalangan jin.” (Riwayat al-Tirmizi)

Daripada hadis-hadis tadi dapat kita simpulkan bahawa Nabi melarang dari beberapa perkara berikut:-

  1. Menyentuh kemaluannya dengan tangan kanan.
  2. Beristinja’ dengan tangan kanan.
  3. Menghadap kiblat ketika membuang air kecil atau besar.
  4. Beristinja’ dengan kurang dari tiga biji batu.
  5.  Beristinja dengan tulang atau najis binatang

Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, larangan beristinja’ dengan menyentuh kemaluan dengan  tangan kanan juga sebenarnya  bertujuan menjamin kebersihan tangan. Setelah kebersihan terjamin maka seorang muslim tidak perlu lagi khuatir atau musykil dengan kebersihan tangannya andainya dia tidak membasuh tangan sebelum makan.

Selain itu “larangan menyentuh dan beristinja’ dengan tangan kanan” juga bermaksud sebagai syiar permusuhan kita dengan syaitan yang suka menggunakan tangan kiri, syaitan juga suka akan kekotoran, jadi mengkhususkan tangan kiri sahaja untuk beristinja’ adalah di antara langkah mencegah kekotoran dan menjamin kebersihan.

Beristinja’ dengan kurang dari tiga batu pula bukanlah termasuk larangan yang tegas dan tetap bahkan penulis berpendapat bahawa harus menggunakan sebiji batu asalkan ia membersihkan sepertimana pendapat  Imam Abu Hanifah. (Tuhfah al-Ahwazi jilid 1 m/s 86)

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ مُرْنَ أَزْوَاجَكُنَّ أَنْ يَسْتَطِيبُوا بِالْمَاءِ فَإِنِّي أَسْتَحْيِيهِمْ فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَفْعَلُهُ

Daripada ‘Aisyah katanya : Suruhlah suami-suami kamu supaya beristinjak dengan menggunakan air, kerana aku malu untuk memberitahunya kepada mereka. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w selalu melakukannya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini adalah di antara hadis yang boleh dimasukkan di bawah “prinsip kebersihan” jika dilihat kepada maksud dan tujuannya. Penggunaan air adalah lebih praktikal jika dibandingkan dengan penggunaan batu sahaja kerana ia bukan setakat menyucikan tetapi menghilangkan bau yang tidak menyenangkan.

Selain itu beristinja’ dengan air adalah lebih menyucikan, kerana Rasulullah s.a.w sendiri memilihnya sebagai cara beristinjak. Sesetengah ulama berpendapat cara yang terbaik adalah dengan menggunakan kedua-duanya iaitu menggunakan batu dan air ; batu adalah sebagai pengesat sisa-sisa najis manakala air digunakan untuk kebersihan yang lebih meyakinkan dengan itu penggunaan air selepasnya tidaklah terlalu banyak.

Ia juga mengelakkan kita dari rasa terlalu jijik kerana sisa-sisa najis telah dikesat. Dan cara ini lebih menjimatkan air dan menepati roh Islam yang melarang pembaziran. Tetapi  ini bergantung pada tempat-tempat yang sesuai digunakan batu, kerana mungkin akan menyebabkan tersumbat jika diamalkan di tandas.

عَنْ سَلَمَةَ بْنِ قَيْسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا تَوَضَّأْتَ فَانْتَثِرْ وَإِذَا اسْتَجْمَرْتَ فَأَوْتِرْ

Daripada Salamah bin Qais katanya : Rasulullah s.a.w bersabda ; “Apabila engkau berwuduk maka hisaplah air ke hidung dan apabila engkau hendak beristijmar (beristinja’ menggunakan batu) maka ganjilkan (bilangan batu). (Riwayat al-Tirmizi)

Sebagaimana hadis yang sebelum ini, hadis ini masih lagi berkisar tentang cara-cara beristinja’ menggunakan batu dan air. Hadis ini menunjukkan :-

Batu dan air adalah alat utama sebagai pembersih. Pada zaman Rasulullah s.a.w. penggunaan batu adalah lebih meluas kerana bekalan air pada masa itu adalah sedikit dan air biasanya digunakan untuk beristinja’ oleh kaum perempuan, seperti mana hadis ‘Aisyah r.a. sebelum ini. Begitu juga dengan kencing duduk yang dianggap perbuatan khusus bagi kaum hawa pada masa itu.

Isyarat supaya mengganjilkan batu adalah isyarat kepada tauhid, walaupun dalam menggunakan batu sebagai alat istinja’, Rasulullah s.a.w masih mementingkan ganjil sebagai unsur tauhid. Ganjil adalah isyarat kepada Allah Yang Maha Esa yang tiada genapnya iaitu pasangannya maupun lawannya.

عَنْ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ قَالَ كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ فَأَتَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَاجَتَهُ فَأَبْعَدَ فِي الْمَذْهَبِ

Daripada al-Mughirah bin Syu‘bah katanya : ” Pernah aku bersama-sama Nabi s.a.w dalam satu permusafiran. Tiba-tiba Nabi s.a.w hendak menunaikan hajatnya, lalu baginda mencari tempat yang jauh.” (Riwayat al-Tirmizi)

Oleh kerana tidak ada penggunaan tandas lagi pada masa ini maka Nabi s.a.w pergi lebih jauh untuk membuang hadas, ini juga bertujuan menjaga kebersihan dan memelihara adab kesopanan. Jadi hadis ini juga sesuai dimasukkan di bawah ‘Prinsip Adab’.

عَنْ مَيْمُونَة قَالَتْ كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ مِنْ الْجَنَابَةِ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ وَهُوَ قَوْلُ عَامَّةِ الْفُقَهَاءِ أَنْ لا بَأْسَ أَنْ يَغْتَسِلَ الرَّجُلُ وَالْمَرْأَةُ مِنْ إِنَاءٍ

Daripada Maimunah katanya : “Aku pernah mandi bersama dengan Rasulullah s.a.w daripada bekas yang sama kerana janabah.” (Riwayat al-Tirmizi)

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ اغْتَسَلَ بَعْضُ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي جَفْنَةٍ فَأَرَادَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَتَوَضَّأَ مِنْهُ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي كُنْتُ جُنُبًا فَقَالَ إِنَّ الْمَاءَ لا يُجْنِبُ

Daripada Ibn ‘Abbas katanya: “Sebahagian daripada isteri-isteri Nabi s.a.w mandi daripada satu bekas air. Lalu Nabi s.a.w mahu berwuduk daripadanya. Maka isterinya berkata : Wahai Rasulullah ! Sesungguhnya aku dalam keadaan berjunub. Nabi s.a.w menjawab : Sesungguhnya air itu tidak berjunub.” (Riwayat al-Tirmizi)

Dua hadis ini dengan jelas menunjukkan ‘Prinsip Kebersihan’ sebagai salah satu prinsip yang terdapat dalam al-hadis. Mandi  adalah suatu yang wajib kerana janabah (setubuh dengan isteri) maka dengan itu ia dinamakan dengan mandi junub. Mandi junub juga sebenarnya adalah adat bagi haiwan ciptaan Tuhan membersihkan dan menyegarkan kembali badan misalnya ayam yang berkubang dalam debu selepas mengawan cuma caranya sahaja yang tidak sama tetapi mempunyai makna atau tujuan yang sama. Selain itu ada beberapa perkara yang boleh kita fahami dari dua hadis ini :-

  1. Harus mandi junub bersama isteri bahkan itulah yang digalakkan kerana ia juga  dilakukan   oleh Rasulullah s.a.w sendiri bersama isteri-isterinya yang lain juga.
  2. Harus mandi dari bekas yang sama.
  3. Air tidak terjejas kesuciannya apabila digunakan untuk mandi  junub.

Hadis ini juga sebenarnya boleh kita masukkan di bawah ‘Prinsip Kemesraan Antara Suami Dan Isteri’ kerana maksud mandi bersama dan tidak mengasingkan penggunaan air adalah supaya terpupuk nilai-nilai kemesraan antara suami dan isteri.

 

 

 

Check Also

Usul Daripada Hadis Larangan Berbisik Di Hadapan Seseorang

Muhammad Hanief Awang Yahaya   وَعَنْ اِبْنِ مَسْعُودٍ  رضي الله عنه  قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *