Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Jenis-Jenis Kitab Hadis


Notice: Undefined index: tie_hide_meta in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

Notice: Trying to access array offset on value of type null in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

 


 

Berikut adalah 29 jenis kitab hadis:

1. Jami’/ jawami’

2. Sunan/ ahkam

3. Mathani/ musnad

4. Ma’ajim/ mu’jam

5. Masyikhat

6. Ajza’/ rasail

7. Arbainat

8. Afrad dan Gharaaib

9. Mustadrak

10. Mustakhraj

11. ’Ilal

12. Atraf

13. Tarajim

14. Ta’aliq

15. Taghrib wa tarhib

16. Mursalsalat

17. Tsulasiyyat

18. Al-amali

19. Zawaid

20. Al-Mukhtasarat

21. Takharij

22. Syarhul atsar

23. Asbab nuzul hadis

24. At-tartib

25. At-Ta’liq

26. Al-Mawdhu`at

27. Al-ma’thurat

28. An-Nasikh wal Mansukh

29. Mutasyabih/ Musykil hadis

 

1) Jami’ Atau Jawami’

Untuk dipanggil sesebuah kitab hadis sebagai Jami’ sebuah kitab hendaklah mengandungi sekurang-kurangnya lapan bidang iaitu aqidah, ahkam, riqaq, adab, tafsir, tarikh dan sirah, fitan dan manaqib.

Antara kitab-kitab hadis yang termasuk dalam kategori ini ialah Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Jami’ al-Tirmizi, Misykat al-Masabih, Jami` Suyfan al-Thauri, Jami` Abdul Razzaq bin Hammam al-San`ani, Jami’ al-Darimi, dan lain-lain.

Tentang kitab Sahih Muslim terdapat pertikaian di mana jumhur ulama mengatakan ianya termasuk kitab Jami’ namun sebahagian yang lain menyatakan tidak kerana hadis-hadis tafsir di dalam kitabnya terlalu sedikit.

Nota: Di kalangan ulama ada yang menyusun hadis-hadis dalam bidang-bidang ini secara berasingan.

Antaranya ialah:

a. Aqaid (akidah): Contohnya: Kitab al-Tauhid karangan Abu Bakar Ibn Abi Khuzaimah, Kitab al-Asma wa al-Sifat oleh al-Baihaqi

b. Ahkam: Kitab hadis hukum yang disusun seperti dalam kitab-kitab fiqh seperti Bulugh maram dan Umdatul ahkam.

c. Riqaq (raqaaiq): dinamakan juga sebagai Ilmu al-Suluk wa al-Zuhd iaitu menyebut tentang peringatan di hari akhirat dan azab kubur yang akan melembutkan hati sesiapa yang mendengarnya dan menjadikannya seorang yang zuhud. Contohnya: Kitab Zuhud oleh Abdullah Ibn Mubarak, Imam Ahmad

d. Adab: Adab sopan, adab tidur, adab solat, adab makan dan sebagainya. Contohnya kitab al-Adab al-Mufrad oleh al-Bukhari dan Kitab Syamail oleh Tirmizi

e. Tafsir: Hadis-hadis yang mentafsirkan al-Quran.

Contohnya kitab Tafsir ibn Mardawaih, ibn Jarir at-Tabari, Tafsir al-Dailami dan Tafsir Jalalain

f. Tarikh (Sejarah) iannya terbahagi kepada dua jenis:

i- Sejarah tentang kejadian alam (bada’ al-khalq) seperti kejadian langit dan bumi,syurga,neraka,jin,syaitan, malaikat dan sebagainya

ii- Sejarah tentang kehidupan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat seperti Sirah Ibn Hisyam, Sirah Mulla Umar dan sebagainya.

g. Fitan iaitu fitnah-fitnah yang muncul di akhir zaman bermula selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Contohnya, kitab Muin bin Hammad (guru al-Bukhari) tentang Dajjal, turunnya nabi Isa a.s., kemunculan Imam Mahdi, dan sebagainya. Beliau telah mencampuradukkan antara yang sahih dan tidak sahih.

h. Manaqib (tentang kelebihan seseorang seperti Abu Bakar, Umar, Uthman,dan Ali, tabi’in, ahlul bait, isteri-isteri Rasulullah s.a.w., Nawasib dan sebagainya) contohnya, al-Riyadh al-Nadhirah Fi Manaqib al-`Asyarah oleh Muhib al-Tabari, Zakhair al-`Uqba Fi Manaqib Zawi al-Qurba dan lain-lain. (i)

2) Al-Sunan Dan Al-Ahkam

Ianya disusun mengikut tertib fiqh yang bermula dengan bab thaharah, sembahyang dan seterusnya. Walaubagaimanapun di dalam sunan sendiri ianya tidak hanya memuatkan tentang hukum-hakam tetapi ada juga perkara-perkara lain yang dibincangkan.

Contoh kitab-kitab yang termasuk dalam kategori ini ialah: Sunan al-Nasai’e, Jami` al-Tarmizi, Sunan Ibn Majah, Sunan Abi Dawud, Sunan al-Daruqutni, Sunan Abi Ali bin al-Sakan dan lain-lain.

3) Masanid Dan Musnad

Penulisan Musnad bermaksud menyusun hadis-hadis mengikut nama-nama sahabat.

Antara cara penyusunan musnad:

a. memuatkan hadis-hadis tentang 10 orang sahabat yang dijamin masuk syurga, atau tentang khalifah yang empat.

b. mengikut siapa yang lebih dahulu yang memeluk Islam.

c. dengan melihat siapakah ahli Badar / Hudaibiah dahulu.

d. dengan melihat siapakah yang memeluk Islam terlebih dahulu ketika Pembukaan Mekah.

e. dengan melihat lelaki dahulu perlu diutamakan. Tetapi dari kalangan wanita pula isteri-isteri nabi diutamakan terlebih dahulu.

f. atau dengan melihat jenis qabilah (qabilah bani Hasyim didahulukan).

Contohnya, Imam Ahmad yang menulis musnad telah mendahulukan hadis-hadis Abu Bakar daripada hadis-hadis sahabat yang lain.

Di dalam musnad biasanya taraf hadis tidak diambil kira. Ia cuma mengumpulkan sebanyak mungkin hadis-hadis yang menerangkan tentang sesuatu perkara. Namun begitu musnad yang paling sahih adalah Musnad Ahmad kerana beliau telah menyaring hadis-hadisnya. Kebanyakan ulama salaf menulis hadis-hadis dalam bentuk musnad (ii).

4- Ma’ajim Dan Mu’jam

Mu’jam pula disusun mengikut tertib huruf ejaan, atau mengikut susunan nama guru-guru mereka. Nama guru-guru mereka pula disusun samada mengikut ejaan nama atau kelebihan mereka.

Mu’jam juga hanya mengumpulkan hadis-hadis nabi s.a.w. tanpa melihat taraf hadis-hadisnya.

Contoh kitab-kitab mu’jam ialah Mu’jam Tabrani, Mu’jam kabir, Mu’jam as-Sayuti, dan Mu’jam as-Saghrir, Mu’jam Abi Bakr, ibn Mubarak, dan sebagainya.

Kitab rijal yang mengumpulkan orang-orang yang tersebut dalam meriwayatkan hadis-hadis nabi s.a.w. mengikut ejaan bersama dengan kuniyyahnya. Ini semua adalah untuk memastikan kesahihan sesebuah hadis. Golongan. (iii)

5- Masyikhat

Di dalam penulisan masyikhat, hadis-hadis dikumpul dari seorang syeikh sama ada dia mengumpulkan sendiri hadis tersebut atau orang lain yang mengumpulkannya. Contohnya, Masyikhat Ibn al-Bukhari, yang dibuat tambahan oleh Hafiz al-Mizzi, Masyikhah Ibn Syadam al-Kubra dan al-Sughra, dan dibuat tambahan oleh al-`Iraqi.

Ali bin Anjab al-Baghdadi mempunyai 20 jilid kitab masyikhat.

Antara kitab Masyikhat yang disebutkan juga ma’ajim seperti Mu’jam al-Sayuti, Abu Bakar Ibn Mubarak. Kitab yang ada sanad pula seperti Musnad al-Firdaus oleh al-Dailami.

Istilah lain bagi mu’jam dengan makna kamus dan bukannya bermaksud penulisan hadis. Ada juga yang menyebut mu’jam itu sebagai kamus geografi yang menyebut tentang geografi sesuatu tempat seperti Mu`jam al-Buldan oleh Yaqut al-Hamawi. Ada juga yang mengumpulkan tentang biografi seseorang tokoh di dalam kitab mu’jamnya seperti al-Mu`jam fi Athar Muluk al-`Ajam.

6- Ajza’/ Rasail

Hadis-hadis yang dikumpulkan berhubung dengan sesuatu perkara atau tajuk contohnya Raf` al-Yadaian oleh al-Bukhari. Dalam kitab ini beliau mengemukakan hadis-hadis tentang mengangkat tangan tanpa membahaskan kedudukan hadis-hadis tersebut samada mansukh, syaz atau mujmal dan sebagainya.

Contoh-contoh lain seperti Juz al-Niyyah oleh Ibn Abi al-Dunya, Juz al-Qira’ah Khalf al-Imam oleh al-Baihaqi (iv) Juz Fadhail Ahl al-Bait oleh Abu al-Husin al-Bazzar, Juz al-Munziri Fi Man Ghufira Lah Ma Taqaddama Min Zanbih, Juz Asma al-Mudallisin (v) dan Juz `Amal al-Yaum wa al-Lail.

Tujuan kitab Rasail ini ditulis adalah:

a. Untuk membuktikan sesuatu perkara itu sabit daripada Rasulullah s.a.w dengan mengumpulkan pelbagai riwayat tanpa mengira kedudukan hadis-hadis tersebut.

b. Supaya lebih mudah untuk membuat kajian terhadap sesuatu perkara.

7- Arbainat

Kitab-kitab hadis yang mengumpulkan hadis sebanyak 40 buah hadis. Usaha ini dilakukan berpandukan hadis riwayat dari Abu al-Darda’ yang disebut oleh al-Baihaqi: “Sesiapa yang hafal untuk ummatku 40 hadis berhubung urusan agamanya, Allah akan bangkitkannya nanti sebagai seorang faqih dan aku (Muhammad) pada hari kiamat nanti akan menjadi syafaat kepadanya”. Imam Ahmad berkata, hadis ini masyhur tetapi tidak sabit.

Hadis-hadis dikumpul dalam bentuk ini juga disebabkan ianya termasuk dalam bab fadhail seperti pendapat al-Nawawi.

Abdullah bin Mubarak adalah orang pertama yang menulis kitab arbainat ini.

Ibn Hajar pula telah menulis dua kitab Arbain. Kitab Arba`inat yang paling mashyur ialah karangan al-Nawawi. Antara syarahnya pula ialah Syarah Ibn Rajab, Syarah Mulla Ali al-Qari dan lain-lain.

Ada juga ulama’ yang mengumpul Hadis 40 berkenaan tauhid, mensabitkan sifat-sifat Allah, hadis hukum, hadis-hadis yang sanadnya semua sahih, mengumpulkan hadis-hadis yang mempunya lafaz panjang, mengumpul hadis-hadis yang mengambil hadis-hadis tersebut dari 40 tokoh ulama’ atau 40 orang sahabat. Ada juga hadis-hadis dikumpulkan mengikut keturunan yang sama, dan ada juga yang mengumpul hadis yang sanadnya hanya ‘daripada Malik daripada Nafi` daripada Ibn Umar’ sahaja.

Selain itu ada hadis-hadis dikumpul tentang jihad dan hadis-hadis yang mengatakan ketika berdoa tangannya diangkat. Ibn Hajar pula mengumpulkan hadis-hadis yang diambil dari Sahih Muslim yang mana hadis-hadisnya lebih tinggi sanadnya dari Bukhari.

8- Afrad Dan Gharaaib

Penulisan tentang hadis-hadis yang hanya terdapat pada seorang syaikh tetapi tidak ada pada syaikh yang lain. Tegasnya hadis-hadis yang mempunyai seorang perawi sahaja pada setiap generasi sama ada fard nisbi atau fard mutlak (seorang sahaja yang meriwayatkannya dari sahabat).

9- Mustadrak

Iaitu kitab hadis yang mengumpulkan hadis-hadis yang tidak disebutkan oleh seseorang pengarang sebelumnya secara sengaja atau tidak. Contohnya kitab Mustadarak al-Hakim di mana hadis-hadis tersebut dikumpul menepati syarat-syarat yang digunakan oleh Bukhari dan Muslim.

Kitab ini tidak boleh dibaca berasingan tetapi mesti bersama dengan takhrijnya oleh al-Zahabi.

Antara contoh kitab-kitab mustadrak yang lain adalah seperti Mustadrak Hafiz Ahmad al-Maliki.

Kitab Mustadrak boleh dikatakan juga sebagai kitab Masyikhat kerana kitab Mustadrak adalah salah satu dari tiga juzuk kitab Masyikhat.

Tujuan penyusunan kitab Mustadarak ialah supaya kita tidak menganggap hadis sahih hanyalah apa yang terkandung di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim sahaja.

10- Mustakhraj

Mengumpulkan hadis-hadis yang sama dalam satu kitab tetapi sanadnya berlainan di mana sanadnya bertemu dengan syeikh kitab asalnya (gurunya) seperti hadis tentang niat.

Contoh kitab Mustakhraj ialah Mustakhraj Abu ‘Awanah `Ala Sahih Muslim.

Ada juga yang hanya membawa hadis-hadis tersebut tetapi tidak membawa sanadnya. Beliau cuma menyebut kitab-kitab yang menyebut tentang perawinya.

Tujuannya adalah supaya hadis-hadis tersebut akan lebih meyakinkan bila terdapat hadis yang lafaznya hampir sama antara satu sama lain.

Contoh lain ialah Mustakhraj ala Sahihain:

a) Mustakhraj atas kitab Sahih Muslim oleh Abu Ja`far bin Hamdan, Abu Bakar al-Jauzaqi, Abi Imran Musa bin Abbas, Abi Said bin Utsman dan sebagainya.

b) Mustakhraj ke atas Sahih Bukhari sahaja seperti karangan al-Ismaili, Abu Abdillah dan lain-lain.

c) Mustakhraj ke atas Sahih Bukhari dan Sahih Muslim pula seperti Mustakhraj oleh Abi Abdillah, Abi Muhammad al-Khallan, Abi Bakar al-Siraji, dan sebagainya.

Ada juga Mustakhraj atas Sunan al-Tirmizi oleh Abi Ali al-Tusi, Mustakhraj atas Abu Daud, Kitab al-Tauhid karangan Ibn Khuzaimah. Bagaimanapun mereka tidak beriltizam tentang kesahihannya.

Nota: Ada juga ulama’ yang mentakrifkan Mustakhraj yang mana sanadnya bertemu dengan tabi`in tetapi ada iktilaf mengenainya.

Faedah penyusunan kitab Mustakhraj:

a. Ketinggian sanad – ia ditulis untuk menunjukkan sanadnya lebih tinggi dari kitab asal seperti Muslim. Contoh Abu `Awanah dalam kitabnya Mustakhraj Abu ‘Awanah yang mengambil sanad hadis tersebut di peringkat di atas lagi daripada guru Muslim.

b. Menunjukkan kekuatan hadis itu. Contohnya jika hadis itu hanya disebutkan di dalam Sunan Abu Daud sahaja, tetapi tidak diriwayatkan oleh orang lain. Sekiranya hadis tersebut terdapat dalam Sunan Abu Daud itu pula bertentangan dengan hadis yang lain, maka ia perlukan penguat. Dengan adanya kitab Mustakhraj, kita dapat mencari penguat-penguatnya yang lain supaya proses pentarjihan dapat dilakukan dengan baik. Oleh itu, kitab Mustakhraj penting sebagai penguat apabila riwayatnya bertentangan dengan riwayat yang lebih kuat.

c. Menerangkan sanad yang tidak jelas. Contohnya pada peringkat permulaan seseorang perawi itu masih kuat ingatannya tetapi semasa menghampiri akhir hayatnya dia menjadi seorang yang mukhtalit (nyanyuk). Dengan itu dapat dipastikan bilakah sesebuah hadis itu diambil samada ketika ingatannya masih kuat atau selepas menjadi nyanyuk. Contohnya perawi Bukhari dan Muslim, Hisyam bin Urwah bin Zubair yang nyanyuk selepas berhijrah ke Iraq.

d. Kitab asal riwayat dari mudallis yang dikira dhaif sekiranya menggunakan lafaz ‘an. tetapi dengan adanya Mustakhraj, adanya sanad lain yang mengunakan lafaz yang menunjukkan dengan jelas yang dia mendengar hadis.

e. Riwayat secara mubham- iaitu perawi yang tidak dijelaskan namanya seperti ‘haddatsana rajulun min ahli bait’. Tidak diketahui siapa ‘rajulun’ itu? Nama perawi mubham akan diketahui apabila memeriksa kitab Mustakhraj.

f. Mengetahui siapakah orang yang disebut namanya secara muhmal tanpa kuniahnya-contohnya apabila disebut Muhammad; Muhammad yang mana?

g. Isnad asal ada `illah yang sukar untuk diselesaikan tanpa berpandukan kepada riwayat yang bebas `illah. Contohnya perawi tersebut dituduh sebagai Syiah, Irja’ (vi) dan sebagainya.

11-`Ilal

Sesebuah kitab yang menyebut tentang “penyakit” pada sesuatu riwayat samada pada matannya atau sanadnya. Contohnya kitab al`Ilal karangan Ibn al-Jawzi dan Muhammad Abu Hatim al-Razi yang mengikut susunan bab-bab fiqh.

12-Atraf

Kitab yang mana menyebut sebahagian dari hadis sama ada menyebut permulaannya sahaja, di tengah-tengahnya, atau diakhir sahaja. Hal ini banyak dilakukan terutama oleh Bukhari untuk mengeluarkan sesuatu hukum dari sesebuah hadis.

Ada juga Atraf Sunan Abi Daud, Jami’ al-Tirmizi dan Sunan al-Nasa’i dan sebagainya.

Ibn Hajar al-Asqalani pula ada mengarang kitab yang berjudul Ithaf al-Mahara Bi Atraf al-`Asyarah yang mengumpulkan 10 buah kitab hadis di dalamnya beserta sanadnya iaitu al-Muwatto’, Musnad Ahmad, Musnad As-Syafie’, Sahih Ibn Khuzaimah, Mustadrak al-Hakim, Sunan al-Daruqutni, Jami’ al-Darimi, Muntaqa Ibn al-Jarud, Sahih Ibn Hibban dan Mustakhraj Abi Awanah.

13 – Tarajim

Penulisan yang mengumpulkan hadis-hadis dari sanad-sanad yang tertentu seperti “Malik daripada Nafi` daripada Ibn Umar.”

14- Ta’aliq

Penulisan yang mengumpulkan hadis-hadis dari sesebuah kitab tanpa menyebutkan sanad seperti yang disebut oleh Bukhari secara ta’liq. (v)

15- Taghrib Wa Tarhib

Hadis-hadis tentang galakan dan ancaman terhadap sesuatu perkara. Contohnya, Targhib al-Solat karangan al-Baihaqi, al-Targhib wa al-Rahib oleh Ibn al-Munzir. Termasuk dalam kategori ini ialah kelebihan amalan khusus seperti Fadhail al-Jihad Ibn Syaddad al-Musuli dan Fadhail al-A`mal oleh Ibn Zanjuwaih

16-Musalsalat

Hadis yang mengumpulkan isnad yang disebut secara berturut-turut seperti semuanya dengan lafaz sami’tu, sami’tu hinggalah akhir sanad. Ada juga riwayat yang mana perawi meriwayatkan hadis-hadis dengan memegang janggut kerana semasa Nabi s.a.w. meriwayatkannya, baginda memegang janggutnya.

Musalsalat ini termasuk dari sudut Qauli (ucapan) atau Fi’li (perbuatan) Nabi s.a.w.

Contohnya seseorang perawi itu akan memberi buah tamar dahulu kepada seseorang itu sebelum dia meriwayatkannya kepada orang tersebut sepertimana Nabi s.a.w. meriwayatkan hadis tersebut pada asalnya.

17-Thulathiyyat

Hadis yang mempunyai jumlah perawinya hanya tiga orang sahaja antaranya dan Nabi s.a.w. (sanadnya pendek). Contohnya seperti thulathiyyat Bukhari, Muslim, dan sebagainya. Ada juga hadis berbentuk ruba’iyat (empat orang perawi) dan thunaiiyat (dua orang perawi)

18-Al-Amali

Kitab yang ditulis oleh seseorang anak murid daripada syaikh yang mendiktekkan hadis. Contohnya dia mengatakan kitab ini adalah yang dibaca oleh syaikh dan dicatat oleh muridnya. Imlak ini berdasarkan kepada tulisan, kitab atau ingatan.

19-Zawaid

Hadis yang dikumpul sebagai tambahan dari kitab asal tetapi syarat-syarat pengumpulannya sama dengan kitab asal. Contohnya kitab Zawa’id Ibn Hibban Ala al-Sahihain oleh Ibn al-Mughalta’i, Zawa’id Sunan al-Baihaqi al-Kubra, Zawa’id Imam Ahmad dan Zawa’id Abi Ya`la. Walaubagaimanapun, kitab Zawaid tidak setaraf dengan kitab asalnya.

20-Al-Mukhtasarat

Penulisan yang berbentuk saringan dan ringkasan kepada sesebuah kitab.

21-Takhrij

Kitab yang membahaskan hadis-hadis yang hanya disebutkan dalam sesebuah kitab di mana hadis-hadis tersebut tidak dihukum oleh pengarang asalnya seperti yang dibuat oleh al-`Iraqi terhadap kitab Ihya al-Ghazzali. Begitu juga dengan takhrij terhadap kitab Tafsir Kasyaf. Contoh lain ialah takhrij hadis Tirmizi.

Salah satu keistimewaan Jami` al-Tirmizi ialah apabila Imam al-Tirmizi selesai mengemukakan sesebuah hadis seperti hadis daripada Abu Hurairah, di akhirnya beliau akan mengatakan seperti “dalam bab ini, ia juga diriwayatkan oleh Ali, Ibn Abbas, Ibn Mas`ud, al-Zubair dan lain-lain tanpa mengemukakan sanadnya secara lengkap. Oleh itu ulama’ mengarang kitab-kitab lain secara khusus untuk menyebutkan kembali sanad yang tidak disebutkan oleh Imam al-Tirmizi.

22-Syarh Al-Atsar

Kitab-kitab yang mengumpulkan atsar-atsar sahabat. Di dalam bab hukum-hakam pula kitab yang masyhur ialah Syarhu Ma’ani Athar oleh Imam al-Thahawi. Kitab ini telah disyarah oleh Amir Jamaah Tabligh, Maulana Muhammad Yusuf yang mengarang kitab Hayat al-Sahabat. Bagaimanapun, kitab syarah tersebut tidak dapat disiapkan kerana ajal lebih dahulu menjemputnya. Di antara kitab-kitab yang lebih lama pula ialah Musannaf Ibn Abi Syaibah yang mengandungi banyak atsar-atsar sahabat.

Faedah penyusunan kitab syarah atsar ialah memudahkan proses pentarjihan hadis. Contohnya tentang hadis jilatan anjing. Ada yang berpendapat wajib membasuh sebanyak tujuh kali, salah satu dengan tanah. Ada yang mengatakan tiga kali dan ada yang berpendapat sekali basuh sahaja.

Bagaimana mentarjihkan jika terdapat begitu banyak pandapat?

Antara caranya ialah dengan melihat pada atsar sahabat iaitu bagaimana kebanyakan sahabat mengamalkannya.

23- Asbab Wurud Al-Hadith

Penulisan kitab hadis tentang sebab-sebab hadis disabdakan. Antara ulama’ yang menulis kitab seperti ini ialah Taqiyudiin Ibn Daqiq al-‘Iid, Abi Ya`ala, Ibn Hamzah al-Husaini, dan sebagainya. Amatlah penting bagi kita untuk mengetahui latar belakang kenapa sesebuah hadis itu muncul supaya tidak berlaku salah faham dan tafsiran.

Contohnya:

1- Tentang hadis Nabi s.a.w. melarang makan di atas meja. Sekiranya kita tidak mengetahui sebab-sebabnya, pastinya kita juga di zaman sekarang ini tidak akan makan di atas meja. Tetapi baginda melarangnya pada masa itu ialah untuk menghapuskan budaya orang-orang bangsawan yang sombong kerana mereka menganggap meletak dan makan makanan di atas lantai itu adalah taraf orang miskin dan tidak layak bagi mereka.

2- Nabi s.a.w. mengatakan bahawa sesiapa yang melabuhkan kain melebihi buku lali akan masuk neraka atau Allah s.w.t. tidak memandang kepada mereka di akhirat nanti. Maksud sebenarnya ialah di zaman baginda s.a.w., melabuhkan kain adalah menunjukkan kemegahan dan menzahirkan sikap sombong. Oleh kerana di zaman sekarang, melabuhkan kain tidak lagi dikaitkan dengan kemegahan dan sifat sombong, maka pemakaian sedemikian tidak lagi dilarang.

3- Sesiapa yang berbekam maka batal puasanya. Bagi Imam Ahmad, beliau hanya berpegang dengan zahir hadis tersebut sahaja iaitu memang batal puasanya, tetapi Imam al-Syafi`e mengatakan tidak kerana hadis tersebut ada latar belakangnya. Sebenarnya terbatalnya puasa tersebut merujuk kepada terhapusnya atau batalnya pahala orang yang berbekam tersebut kerana pada masa itu mereka yang membekam dan dibekam itu sedang mengumpat.

24- Al-Tartib

Oleh kerana ada sesetengah kitab hadis yang ditulis tidak mengikut susunan atau bab yang tertentu, maka ada ulama lain yang menyusun kembali hadis-hadis tersebut mengikut bab-bab yang tertentu.

Tujuannya ialah supaya senang untuk membuat rujukan serta mencari hadis yang terdapat di dalamnya. Contohnya, seperti Musnad Imam Ahmad yang tidak tersusun mengikut bab-bab tertentu. Ini kerana kaedah penyusunan musnad adalah dibuat mengikut susunan nama sahabat yang meriwayatkan sesebuah hadis. Antara ulama yang menyusun kitab tartib ialah bapa kepada Hasan al-Banna, Abdul Rahman al-Banna yang menyusun Tartib Musnad Imam Ahmad mengikut tartib fiqh. Nama kitab tersebut ialah al-Fath al-Rabbani Fi Tartib Musnad Ahmad al-Syaibani. Tetapi kitab tersebut juga tidak sempat disiapkan kerana beliau meninggal dunia terlebih dahulu.

Contoh-contoh lainya seperti Tartib kitab al-Umm, Tartib Musnad Ahmad oleh Ibn Kathir dan lain-lain.

25- At-Ta’lif `Ala Huruf Fil Mu’jam

Penulisan hadis berdasarkan kepada huruf yang pertama iaitu bermula dengan huruf alif, ba’ dan seterusnya. Contohnya, al-Jami` al-Saghir karangan al-Suyuti, al-Maqasid al-Hasanah oleh al-Sakhawi, al-Maudhu`at al-Kubra dan al-Maudhu`at al-Sughra oleh Mulla Ali al-Qari.

26- Al-Maudhu’at

Kumpulan hadis-hadis maudu’ iaitu menghimpunkan hadis-hadis palsu. Antara ulama yang menyusun hadis-hadis palsu dan mendedahkan kedudukannya termasuklah Ibn al-Jauzi, al-Suyuti, al-Syaukani, Muhammad bin Tahir al-Fattani dan lain-lain. Sementara kitab yang menyebutkan perawi-perawi yang melakukan pendustaan dan perawi yang dhaif ialah al-Kamil oleh Ibn Adi, al-Dhu`afa wa al-Matrukin, Mizan al-I`tidal oleh al-Zahabi, Lisan al-Mizan oleh Ibn Hajar dan lain-lain lagi.

27- Al-Ma’thurat

Kitab tentang doa-doa yang mathur iaitu doa yang terdapat di dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w. seperti al-Azkar karangan Imam al-Nawawi, Amal al-Yaum wa al-Lailah oleh al-Munziri dan sebagainya.

28- Al-Nasikh Wa Al-Mansukh

Mengumpulkan hadis yang nasikh dan mansukh. Contoh tentang solat dengan memakai selipar yang sudah mansukh, Rasulullah s.a.w. sembahyang lepas asar dan subuh (mansukh), mut’ah (mansukh), angkat tangan lepas bangun dari sujud yang pertama (sudah mansukh) tetapi tetap dilakukan oleh Syi`ah. Antara ulama yang menulis tentangnya seperti Qasim bin Asbagh, al-Nuhhas, Abu `Ubaid, Ibn al-Anbari, al-Hazimi, Ibn al-Jauzi dan Ibn Shahin. Orang pertama yang menulis kitab tentang hadis-hadis mansukh ialah Muhammad bin Syihab al-Zuhri.

29- Mutasyabih/ Musykil Hadis

Penulisan ini mengumpulkan hadis-hadis yang sukar untuk difahami sebagaimana terdapat di dalam al-Quran beberapa ayat yang samar-samar. Contohnya, hadis neraka tidak akan penuh selagi Allah tidak letakkan tapak kaki-Nya sehinggalah neraka berkata, cukuplah, cukuplah. Antara kitab yang baik iaitu Musykil al-Hadith wa Bayanuhu hadis karangan Ibn Furak dan Takwil Muktalif al-Hadith karangan Ibn Qutaibah.

Jawapan bagi kemusykilan di atas ialah perkataan “qadam” dalam hadis tersebut adalah mutasyabih. “Qadam” itu tak semestinya bermakna tapak kaki akan tetapi ia bermakna keputusan atau taqdir Allah s.w.t. kepada hamba-hamba-Nya.

(Saringan dan adaptasi dari “Muqaddimah Lami` al-Darari Ala Jami` al-Bukhari” karangan Maulana Muhammad Zakaria al-Kandahlawi oleh Ust Muhammad Hanief Awang Yahya dan Hakim-eze)

(a) Nawasib atau nasibi (golongan Syiah memanggil Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan nama nasibi di dalam kitab-kitab muktabar mereka). Nasibi sebenarnya golongan-golongan yang berlebih-lebihan terhadap Muawiyah. Imam al-Nasai’e dibunuh kerana menulis kitab berkenaan manaqib ahlul bait kerana pada masa tersebut terlalu kuat pengaruh Nawasib.

(b) Kata Imam Ahmad “al-hadisu daif aqwal min ra’yu” Maksudnya hadis dhaif itu lebih baik dari pendapat akal. Kenapa hadis itu dhaif lebih baik dari ra’yu?

Jawab: Ini kerana, hadis dhaif itu walaupun ianya dhaif tetapi ianya adalah kata-kata yang berkemungkinan datangnya dari nabi s.a.w. yang ma’sum. Sebenarnya hadis itu dhaif disebabkan kecacatan pada sanadnya atau perawinya. Akan tetapi ra’yu pula berada dalam keterbukaan yang luas untuk berlakunya kesalahan, kerana akal manusia itu amatlah terbatas.

(c) Ingatlah Imam al-Bukhari sendiri kencing berdarah dalam mengkaji hadis . Imam Muslim pula meninggal dunia disebabkan tidak cukup makan, mati dalam lautan ilmu.

(d) Di dalam masalah bacaan makmun di belakang imam, Abu Hanifah dan pengikut-pengikutnya berpendapat bacaan imam itu sudah menjadi bacaan mereka.

(e) Perawi-perawi yang melakukan Tadlis iaitu mereka yang menyembunyi nama-nama guru mereka di dalam periwayatan hadis.

(f) Irja’, fahaman yang mengatakan keimanan tidak akan terjejas kerana maksiat dilakukan.

(g) Membuang sanad daripada matan dengan mengekalkan perawi teratas atau tidak.

Check Also

Fiqh Imam Bukhari

  [pdfviewer width=”700px” height=”849px” beta=”true/false”]http://www.darulkautsar.net/wp-content/uploads/2016/12/fiqh-imam-bukhari.pdf[/pdfviewer]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *