Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-377 : MEMBUAT SABUN DENGAN SUSU IBU


Notice: Undefined index: tie_hide_meta in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

IF 377 sabun

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ingin bertanya, saya mempunyai susu badan yang berlebihan. Dan susu badan tidak dapat disimpan dalam tempoh yang lama. Jadi, saya bercadang hendak menjadikannya sebagai sabun. Soalannya, apakah hukum membuat sabun dengan menggunakan susu badan tetapi untuk kegunaan diri sendiri sahaja? Mohon penjelasan Dato’ Mufti.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Maksudnya : “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”

(Surah al-Baqarah : 233)

Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa hukum-hukum ini telah ditetapkan oleh syarak bertujuan menjaga dan melindungi anak-anak supaya dapat terus hidup serta menjamin masa depannya. Sesiapa yang berpaling daripada hukum ini, maka dia telah berdosa dan mendapat hukumannya di hari akhirat kerana agama Islam itu adalah rahmat bagi seluruh alam, tidak kira yang masih kecil atau dewasa. (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 1/130)

Susu ibu adalah suci

Mengenai kesucian susu ibu, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa :

لَبَنُ الْآدَمِيِّ وَهُوَ طَاهِرٌ عَلَى الْمَذْهَبِ … وَبِهِ قَطَعَ الْأَصْحَابُ إلَّا صَاحِبَ الْحَاوِي فَإِنَّهُ حَكَى عَنْ الْأَنْمَاطِيِّ مِنْ أَصْحَابِنَا أَنَّهُ نَجِسٌ وَإِنَّمَا يَحِلُّ شُرْبُهُ لِلطِّفْلِ لِلضَّرُورَةِ … وَهَذَا ليس بشئ بَلْ هُوَ خَطَأٌ ظَاهِرٌ وَإِنَّمَا حَكَى مِثْلَهُ لِلتَّحْذِيرِ مِنْ الِاغْتِرَارِ بِهِ وَقَدْ نَقَلَ الشَّيْخُ أَبُو حَامِدٍ إجْمَاعَ الْمُسْلِمِينَ عَلَى طَهَارَتِهِ قَالَ الرُّويَانِيُّ … إذَا قُلْنَا بِالْمَذْهَبِ إنَّ الْآدَمِيَّةَ لَا تَنْجُسُ بِالْمَوْتِ فَمَاتَتْ وَفِي ثَدْيِهَا لَبَنٌ فَهُوَ طَاهِرٌ يَجُوزُ شُرْبُهُ وَبَيْعُهُ

Maksudnya : “Susu badan adalah suci menurut mazhab Syafie… dan ianya adalah pendapat yang diputuskan oleh para ashab (ulama Syafi’iyyah) kecuali penulis kitab al-Hawi. Beliau telah menukilkan satu pendapat daripada al-Anmathi yang merupakan salah seorang daripada ulama Syafi’iyyah bahawa susu badan adalah najis. Dan ia halal diminum oleh kanak-kanak kerana dharurat… Dan pendapat ini tiada apa-apa (nilai) bahkan telah jelas kesilapannya. Akan tetapi beliau telah menukilkan pendapat seperti ini bertujuan supaya berhati-hati daripada ditipu dengannya (pendapat tersebut). Sesungguhnya Syeikh Abu Hamid telah menukilkan bahawa kaum muslimin telah ijma’ akan kesuciannya. Al-Ruyani telah berkata… sekiranya kita mengatakan, mengikut pendapat mazhab (syafie) bahawa manusia itu tidak menjadi najis disebabkan oleh kematiannya. Maka, apabila seorang wanita itu mati dan di dalam buah dadanya ada susu. Susu tersebut adalah suci serta harus (hukumnya) untuk diminum dan dijual.”

(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/569)

Selain itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada mengatakan bahawa :

أَمَّا لَبَنُ مَا يُؤْكَلُ لَحْمُهُ كَلَبَنِ الْفَرَسِ وَإِنْ وَلَدَتْ بَغْلًا فَطَاهِرٌ. قَالَ تَعَالَى : {لَبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِلشَّارِبِينَ} [النحل : 66] وَكَذَا لَبَنُ الْآدَمِيِّ، إذْ لَا يَلِيقُ بِكَرَامَتِهِ أَنْ يَكُونَ مَنْشَؤُهُ نَجِسًا.

Maksudnya : “Adapun susu haiwan yang dimakan dagingnya seperti susu kuda, sekalipun ia telah melahirkan baghal adalah suci. Firman Allah SWT : {(iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.}[Surah al-Nahl : 66] Dan demikianlah juga susu manusia kerana tidak sesuai dengan kemuliaannya untuk (dikatakan) ia berasal (sumber) daripada najis.”

(Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/234)

Begitu juga al-Mardawi juga ada menyatakan bahawa susu manusia dan susu haiwan yang dimakan adalah suci secara sepakat para ulama (tanpa perselisihan). (Lihat al-Insof fi Ma’rifah al-Rajih min al-Khilaf, 1/343)

Maka, kita ketahui bahawa susu manusia adalah suci dan bukannya najis. Perkara ini kami telah jelaskan di dalam artikel kami al-Kafi li al-Fatawi (1542) : Adakah Susu Ibu Suci serta Sah Solat Dengannya?

Membuat sabun dengan susu manusia

Perbincangan dan perbahasan mengenai susu ibu atau susu badan banyak berkisar mengenai hukum penyusuan iaitu apabila ia diminum ataupun sekiranya ia dijual beli.

Hukum asal menggunakan susu (yang suci) sebagai salah satu bahan dalam sabun adalah harus seperti susu kambing atau lembu. Perkara ini adalah bertepatan dengan kaedah :

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya : Asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil yang menunjukkan pengharamannya”

Akan tetapi menjadikan susu badan sebagai salah satu bahan di dalam pembuatan sabun, kami cenderung untuk mengatakan bahawa perkara tersebut adalah dilarang dan tidak dibenarkan.

Hal ini kerana kedudukan manusia itu tinggi di sisi Allah SWT berbanding makhluk yang lain, jadi semua anggota atau apa sahaja yang berasal daripada tubuh manusia perlu dihormati dan dimuliakan, serta tidak boleh dimanfaatkan sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi jika ia digunakan sebagai bahan mencuci (sabun). Perkara ini bertepatan dengan kaedah Sadd al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada penyalahgunaan bahan yang berasal daripada manusia seperti susu ibu serta merendah-rendahkan kemuliaan seorang manusia.

Lebih-lebih lagi, sabun adalah termasuk dalam perkara tahsiniyyat (menambah baik) dan bukannya hajiyat (keperluan) atau darurat (keperluan mendesak). Sudah memadai apa yang telah Allah SWT sediakan (tundukkan) buat manusia mengambil manfaat daripadanya seperti haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.

Perkara ini adalah sebagaimana firman Allah SWT :

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ ﴿١٣﴾

Maksudnya : “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”

(Surah al-Jathiyah : 13)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmatNya dan juga kurniaanNya. Maka hendaklah kepadaNya sahaja kamu menyembah (beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagiNya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaanNya, bagi mereka yang merenung (berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaanNya) serta hujah-hujah dan dalil-dalilNya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499)

Begitu juga, larangan ini adalah selaras dengan peraturan ditetapkan di dalam Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia yang menyatakan bahawa semua bahan-bahan yang tersenarai di dalam Annex II tidak boleh digunakan bagi menghasilkan produk kosmetik. (Lihat Guidelines for Control of Cosmetic Product in Malaysia, Bhg. Cosmetic Ingredients, hlm. 10) Antara bahan-bahan terlarang yang telah disenaraikan di dalam Jadual Annexe II Part I ialah sel, tisu atau sebarang bahan yang berasal daripada manusia. Oleh itu, susu ibu adalah termasuk di dalam larangan tersebut dan sabun adalah merupakan salah satu daripada produk kosmetik.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami simpulkan kepada beberapa perkara :

  • Kami cenderung kepada pendapat yang melarang susu badan atau susu ibu dijadikan sebagai sabun. Hal ini kerana kedudukan manusia itu sendiri yang mulia dan tinggi di sisi Allah SWT. Justeru, semua anggota atau apa sahaja yang berasal daripada tubuh manusia perlu dihormati dan dimuliakan, serta tidak boleh dimanfaatkan sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi jika ia digunakan sebagai bahan mencuci (sabun).

Kemuliaan seorang manusia adalah berdasarkan firman Allah SWT :

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِىٓ ءَادَمَ

Maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam..”

(Surah Al-Isra’ : 70)

  • Larangan ini juga adalah selaras sebagaimana keputusan mesyuarat panel pakar syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke-86 yang tidak membenarkan penggunaan susu ibu sebagai bahan kosmetik termasuk dalam penyediaan sabun.
  • Ini juga adalah sebagai langkah Sadd al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada merendah-rendahkan kedudukan manusia itu sendiri serta penyalahgunaan bahan yang berasal daripada manusia seperti susu ibu sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia.
  • Lebih-lebih lagi, sabun adalah termasuk dalam perkara tahsiniyyat (menambah baik) dan bukannya hajiyat (keperluan) atau darurat (keperluan mendesak). Sudah memadai apa yang telah Allah SWT sediakan (tundukkan) buat manusia mengambil manfaat daripadanya seperti haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.
  • Kami juga ingin menasihati semua wanita yang mempunyai lebihan susu yang selamat daripada penyakit berjangkit atau kesan ubat-ubatan yang diambil sebelum susu diperah, adalah lebih baik sekiranya dia boleh mencari anak susuan yang benar-benar memerlukan susu ibu untuk diberikan. Moga-moga ia boleh menjadi salah satu amal kebaikkan yang diterima oleh Allah SWT di hari akhirat kelak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Source: IRSYAD FATWA

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *