Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

HADIS MUTAWATIR MENYAPU KHUF

Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya


Khuf merupakan sejenis stokin yang diperbuat dari kulit yang menutupi sehingga atas buku lali. Menyapu khuf bermaksud melalukan tangan yang basah di atas khuf sebagai ganti kepada membasuh kaki semasa berwudu`. Sabitnya hukum menyapu khuf berdasarkan kepada hadis yang mencapai ke tahap mutawatir dan para ulama telah ijma’ akan keharusannya melainkan golongan Syiah yang menafikannya dengan sekeras-kerasnya.

Sahabat-sahabat yang meriwayatkan hadis menyapu khuf ialah al-Mughirah bin Shu’bah, ‘Umar bin al-Khattab, ‘Ali bin Abi Talib, Sa’d bin Abi Waqqas, Bilal, Buraidah, Jarir al-Bajali, Huzaifah, ‘Amr bin ‘Umayyah al-Damri, Abay bin ‘Umarah, Aus bin Abi Aus al-Thaqafi, Khuzaimah bin Thabit, Safwan bin ‘Assal, Jabir bin Abdullah, Abu Bakrah, Anas bin Malik, Sahl bin Sa’d al-Sa’idi, ‘Auf bin Malik al-Ashja’i, ‘A`ishah, Maimunah, Thauban, Abu Ayyub al-Ansari, Abu Hurairah, Usamah bin Zaid, Usamah bin Sharik, Jabir bin Samurah, Rabi’ah bin Ka’b al-Aslami, Sharid, ‘Ubadah bin al-Samit, ‘Abdullah bin Rawahah, Ibn ‘Abbas, Ibn Mas’ud, ‘Abdul Rahman bin Hasanah, ‘Ismah, ‘Amr bin Hazm, Muslim, Ma’qil bin Yasar, Ya’la bin Murrah, Abu Umamah al-Bahili, Ibn Barazah al-Aslami, Abu Sa’id al-Khudri, Abu Talhah, Shabib bin Ghalib, Zaid bin Kuraim dan ramai lagi sahabat yang meriwayatkannya.

Oleh kerana hukum yang sabit berdasarkan hadis mutawatir dan hukumnya qat’i maka ulama menyebutkan juga masalah menyapu khuf dalam kitab-kitab ‘aqidah. Sebagaimana dalam kitab al-Fiqh al-Akhbar, Imam Abu Hanifah menyatakan: “Dan menyapukan khuf itu adalah Sunnah”. Ketika mensyarahkan ungkapan ini, Mulla ‘Ali al-Qari berkata: Menyapukan khuf itu ya’ni sehari semalam untuk orang yang bermukim dan tiga hari tiga malam untuk orang musafir adalah sunnah ya’ni sabit berdasarkan al-sunnah yang hampir mutawatir dan tidak jauh untuk dikatakan ia diambilkan dari ayat al-Qur`an juga kerana firman Allah s.w.t وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ dibacakan dengan menasabkan (baris atas pada huruf lam) mengikut qiraat tujuh yang lebih zahir menunjukkan membasuh kaki. Manakala dibaca dengan menjarrkan (baris bawah pada huruf lam) lebih zahir menunjukkan menyapu kaki dan kedua-dua ini saling bercanggah dan mengikut hukumnya ia adalah mubham (tidak jelas). Lalu ia diterangkan oleh perlakuan Rasulullah s.a.w sendiri di mana baginda s.a.w menyapu kaki ketika memakai khuf dan membasuhnya ketika tidak memakai khuf .[1]

Dalam al-‘Aqidah al-Tahawiyyah, Imam al-Tahawi menyatakan, kami mengatakan adanya menyapu di atas khuf semasa musafir dan di permukiman seperti yang terdapat dalam riwayat-riwayat hadis. [2]

‏عَنْ اَلْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ رضي الله عنه قَالَ: كُنْتُ مَعَ اَلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَتَوَضَّأَ, فَأَهْوَيْتُ لِأَنْزِعَ خُفَّيْهِ, فَقَالَ: “دَعْهُمَا, فَإِنِّي أَدْخَلْتُهُمَا طَاهِرَتَيْنِ” فَمَسَحَ عَلَيْهِمَا – مُتَّفَقٌ عَلَيْه ِ.

Daripada al-Mughirah bin Shu’bah r.a. katanya, saya bersama dengan Rasulullah s.a.w lalu baginda berwudu` lantas saya menghulurkan tangan untuk menanggalkan khufnya lalu baginda bersabda: “Biarkannya kerana sesungguhnya saya memakainya dalam keadaan suci.” (Muttafaq ‘Alaih).

وَلِلْأَرْبَعَةِ عَنْهُ إِلَّا النَّسَائِيَّ: أَنَّ اَلنَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم مَسَحَ أَعْلَى اَلْخُفِّ وَأَسْفَلَهُ – وَفِي إِسْنَادِهِ ضَعْف ٌ.

Dalam riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah, bahawa Rasulullah s.a.w menyapu bahagian atas dan bawah khuf. (Dalam sanadnya ada kelemahan).

وَعَنْ عَلِيٍّ – رضي الله عنه – قَالَ: – لَوْ كَانَ اَلدِّينُ بِالرَّأْيِ لَكَانَ أَسْفَلُ اَلْخُفِّ أَوْلَى بِالْمَسْحِ مِنْ أَعْلَاهُ, وَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اَللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – يَمْسَحُ عَلَى ظَاهِرِ خُفَّيْهِ – أَخْرَجَهُ أَبُو دَاوُدَ بِإِسْنَادٍ حَسَن.

Daripada ‘Ali r.a katanya, sekiranya agama itu dengan fikiran maka tentu bahagian bawah khuf lebih utama disapu dari bahagian atas. Sesungguhnya saya melihat Rasulullah s.a.w. menyapu khuf di bahagian atasnya. (Abu Dawud dengan sanad yang hasan)

وَعَنْ صَفْوَانَ بْنِ عَسَّالٍ – رضي الله عنه – قَالَ: – كَانَ رَسُولُ اَللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – يَأْمُرُنَا إِذَا كُنَّا سَفْرًا أَنْ لَا نَنْزِعَ خِفَافَنَا ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيَهُنَّ, إِلَّا مِنْ جَنَابَةٍ وَلَكِنْ مِنْ غَائِطٍ, وَبَوْلٍ, وَنَوْمٍ – أَخْرَجَهُ النَّسَائِيُّ, وَاَلتِّرْمِذِيُّ وَاللَّفْظُ لَهُ, وَابْنُ خُزَيْمَةَ وَصَحَّحَاه ُ (3) .

Daripada Safwan bin ‘Assal katanya, Rasulullah s.a.w menyuruh kami apabila bermusafir supaya tidak menanggalkan khuf selama tiga hari dan tiga malam kecuali kerana berjunub. Tetapi tidak perlu ditanggalkan kerana buang air besar, kencing dan tidur. (al-Nasa`I, al-Tirmizi, Ibn Khuzaimah)

وَعَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ – رضي الله عنه – قَالَ: – جَعَلَ اَلنَّبِيُّ – صلى الله عليه وسلم – ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ وَلَيَالِيَهُنَّ لِلْمُسَافِرِ, وَيَوْمًا وَلَيْلَةً لِلْمُقِيمِ. يَعْنِي: فِي اَلْمَسْحِ عَلَى اَلْخُفَّيْنِ – أَخْرَجَهُ مُسْلِم ٌ (1) .

Daripada ‘Ali r.a katanya, Rasulullah s.a.w telah menentukan selama tiga hari dan tiga malam untuk orang bermusafir, dan sehari semalam untuk orang yang berada di tempat sendiri, ya’ni berhubung dengan menyapu khuf ketika berwudu`. (Muslim)

وَعَنْ ثَوْبَانَ رضي الله عنه قَالَ: بَعَثَ رَسُولُ اَللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – سَرِيَّةً, فَأَمَرَهُمْ أَنْ يَمْسَحُوا عَلَى اَلْعَصَائِبِ يَعْنِي: اَلْعَمَائِمَ -وَالتَّسَاخِينِ- يَعْنِي: اَلْخِفَافَ – رَوَاهُ أَحْمَدُ, وَأَبُو دَاوُدَ, وَصَحَّحَهُ اَلْحَاكِم ُ .

Daripada Thawban r.a. katanya Rasulullah s.a.w telah mengutuskan satu pasukan dan baginda memerintahkan mereka supaya menyapu di atas ‘asa`ib ya’ni serban, dan khuf. (Ahmad, Abu Dawud, dan ditashih oleh al-Hakim)

وَعَنْ عُمَرَ -مَوْقُوفًا- و]عَنْ] أَنَسٍ -مَرْفُوعًا-: – إِذَا تَوَضَّأَ أَحَدُكُمْ وَلَبِسَ خُفَّيْهِ فَلْيَمْسَحْ عَلَيْهِمَا, وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا, وَلَا يَخْلَعْهُمَا إِنْ شَاءَ إِلَّا مِنْ جَنَابَةٍ” – أَخْرَجَهُ اَلدَّارَقُطْنِيُّ, وَالْحَاكِمُ وَصَحَّحَه ُ .

Diriwayatkan daripada ‘Umar secara mauquf dan daripada Anas secara marfu’: “Apabila seseorang dari kamu mengambil wudu’ dan memakai khuf maka hendaklah dia menyapunya, bersembahyang dengan memakainya dan janganlah dia menanggalkannya walaupun dia mahu kecuali kerana berjunub. (al-Daruqutni dan al-Hakim mentashihnya).

 

 

Rujukan:
[1] Mulla ‘Ali al-Qari, Minah al-Rawd al-Azhar Fi Sharh al-Fiqh al-Akbar, hal. 226
[2] Lihat Ibn Abi al-‘Izz, Sharh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah, jil. 1, hal. 551. Lihat juga al-Taftazani, Sharh al-‘Aqa`id al-Nasafiyyah, hal. 104.

Check Also

Mutawatir Dan Jenis-Jenisnya

Jenis-jenis Mutawatir 1. Tawatur Isnad – Diriwayatkan melalui banyak jalur sanad dan mungkin mereka berpakat …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *