Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Hadis Muktalif Lama Masa Rasulullah S.A.W. Berada Di Makkah Dan Baginda Mengqasarkan Sembahyang


Notice: Undefined index: tie_hide_meta in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

Notice: Trying to access array offset on value of type null in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

 

Hadis Pertama

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُ قَالَ خَرَجْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْمَدِينَةِ إِلَى مَكَّةَ فَكَانَ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ رَكْعَتَيْنِ حَتَّى رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ قُلْتُ أَقَمْتُمْ بِمَكَّةَ شَيْئًا قَالَ أَقَمْنَا بِهَا عَشْرًا

Daripada Anas katanya, kami keluar bersama dengan Rasulullah s.a.w. dari Madinah ke Makkah. Baginda sembahyang dua dua rakaat (secara qasar) sehinggalah kami kembali ke Madinah. Saya bertanya (Yahya bin Abi Ishaq): “Berapa harikah anda berada di Makkah?”  Beliau menjawab: “Kami berada di sana selama sepuluh hari.” (al-Bukhari)[1]

Hadis Kedua

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تِسْعَةَ عَشَرَ يَقْصُرُ فَنَحْنُ إِذَا سَافَرْنَا تِسْعَةَ عَشَرَ قَصَرْنَا وَإِنْ زِدْنَا أَتْمَمْنَا

Daripada Ibn ‘Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. berada selama 19, baginda mengqasarkan sembahyang. (Ibn ‘Abbas berkata) Maka kami jika bermusafir 19 hari kami mengqasarkan sembahyang dan jika lebih kami bermusafir lebih dari itu maka kami sembahyang dengan sempurna rakaat (tanpa qasar).[2] (al-Bukhari)

Hadis Ketiga

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَكَّةَ تِسْعَةَ عَشَرَ يَوْمًا يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ

Daripada Ibn ‘Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. berada selama 19 hari di Makkah, baginda sembahyang dua raka’at (mengqasarkan sembahyang). (al-Bukhari)[3]

Hadis Keempat

عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ قَالَ غَزَوْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَشَهِدْتُ مَعَهُ الْفَتْحَ فَأَقَامَ بِمَكَّةَ ثَمَانِي عَشْرَةَ لَيْلَةً لَا يُصَلِّي إِلَّا رَكْعَتَيْنِ وَيَقُولُ يَا أَهْلَ الْبَلَدِ صَلُّوا أَرْبَعًا فَإِنَّا قَوْمٌ سَفْرٌ

Daripada ‘Imran bin Husayn katanya, saya menyertai peperangan bersama Rasulullah s.a.w. dan turut sama dengan baginda ketika Pembukaan Makkah. Baginda berada di Makkah selama 18 malam tidak bersembahyang melainkan dengan dua rakaat dan bersabda: “Wahai penduduk negeri ini sembahyang lah empat rakaat(secara tamam) kerana kami adalah kumpulan musafir. (Abu Dawud)[4]

Hadis Kelima

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقَامَ سَبْعَ عَشْرَةَ بِمَكَّةَ يَقْصُرُ الصَّلَاةَ قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ وَمَنْ أَقَامَ سَبْعَ عَشْرَةَ قَصَرَ وَمَنْ أَقَامَ أَكْثَرَ أَتَمَّ

Daripada Ibn ‘Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. berada di Makkah selama 17 hari, baginda mengqasarkan sembahyang. Ibn ‘Abbas berkata: “Sesiapa yang bermukim selama 17 hari maka dia boleh mengqasarkan sembahyang dan sesiapa yang bermukim lebih dari itu maka hendaklah dia sembahyang dengan sempurna rakaat. (Abu Dawud)[5]

Hadis Keenam

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ أَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَكَّةَ عَامَ الْفَتْحِ خَمْسَ عَشْرَةَ يَقْصُرُ الصَّلَاةَ

Daripada Ibn ‘Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. berada di Makkah pada masa Pembukaan Makkah selama 15 hari, baginda mengqasarkan sembahyang. (Abu Dawud)[6]

Hadis Ketujuh

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقَامَ بِمَكَّةَ سَبْعَ عَشْرَةَ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ

Daripada Ibn ‘Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. berada selama 17 hari di Makkah, baginda sembahyang dua raka’at (mengqasarkan sembahyang). (Abu Dawud)[7]

Penyelesaian

Kaedah Jama’ Dan Tarjih

Perbezaan riwayat berhubung dengan tempoh masa sembahyang qasar ialah pada masa pembukaan Makkah. Riwayat yang menyatakan Rasulullah s.a.w. mengqasarkan sembahayang semasa berada di Makkah dalam tempoh 10 hari ialah berkenaan Hajjutul Wida’.

Riwayat yang mu’tamad peristiwa Pembukaan Makkah ialah riwayat yang menyebutkan 19 hari. Ini merupakan riwayat Imam al-Bukhari. Rasulullah s.a.w. memasuki Makkah pada hari Selasa pagi 17 Ramadan dan keluar menuju Hunayn pada Sabtu 6 Shawwal.

Riwayat 18 malam adalah da’if tidak dapat menandingi riwayat 19 hari yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Sebab kepada keda’ifan ialah dalam sanadnya terdapat ‘Ali bin Zayd bin Jud’an. Ahmad al-‘Ijli mengatakan beliau berfahaman tashayyu’ dan tidak kuat. Al-Bukhari dan Abu Hatim mengatakan, tidak boleh berhujah dengannya. Al-Fasawi mengatakan, beliau mengalami kecelaruan pada ketika tua. Ibn Khuzaymah mengatakan, saya tidak berhujah dengannya kerana hafalannya yang buruk.[8]

Walau bagaimanapun, yang dimaksudkan dengan 18 ialah 18 malam bukan 18 hari berdasarkan kepada lafaz laylah (malam). Ini kerana baginda memasuki Makkah pada siang dan keluar juga pada waktu siang. Apabila genap 19 hari bermakna genap bilangan malam selama 18 malam. Dari segi makna hadis ini tidak bercanggah dengan hadis 19 hari. Cuma sanadnya tidak kuat.

Adapun riwayat 17 hari, perawi tidak mengira hari masuk dan hari keluar.

Sementara riwayat 15 hari pula adalah hadis shaz di mana perawinya itu bercanggah dengan perawi lain yang lebih thiqah. Keda‘ifan ini kerana terdapat Ibn Ishaq dalam sanadnya. Abu Daud berkata: Dia seorang Qadari dan Muktazili. Sulaiman al-Taimi berkata: Dia seorang pendusta besar. Wuhaib berkata: Saya mendengar Hisham bin ‘Urwah berkata: Dia seorang pendusta besar. Wuhayb juga berkata: Saya bertanya Malik tentang Ibn Ishaq, beliau menganggapnya sebagai seorang yang tidak bagus.[9]

Al-Khatib al-Baghdadi: Bukan seorang dua ulama tidak mahu berhujah dengan riwayat Ibn Ishaq kerana beberapa sebab. Dia berfahaman Syiah, Qadariyah dan melakukan tadlis dalam meriwayatkan hadith-hadithnya.[10] Ibn Hajar menulis di dalam Taqrib al-Tahzib: Dia seorang yang benar, selalu melakukan tadlis dan dituduh berfahaman Syiah dan Qadariah selain dari seorang yang lemah.[11]

Berkemungkinan berlaku waham kepada perawi, iaitu beliau menganggap riwayat yang menyatakan 17 hari sebagai riwayat asal kemudian menggugurkan dua hari masuk dan keluar menjadikan 15 hari sahaja. Ini yang dikatakan berlaku tasarruf perawi apabila beliau meriwayatkan secara ma’na tidak dengan lafaz asal.

Kefahaman Hadis

Keadaan orang yang bermusafir yang singgah di sesebuah tempat yang dia berurusan itu ada dua, sama ada dia akan menunggu sehingga hajat keperluannya selesai atau dia mengetahui bahawa dia mesti niat bermukim selama beberapa hari.

Ini bermakna sekiranya seseorang itu tidak mengetahui bilakah pekerjaannya itu akan selesai maka harus kepadanya untuk mengqasarkan sembahyang walaupun tempoh itu lama. Ini berdasarkan kepada hadis:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَقَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَكَّةَ تِسْعَةَ عَشَرَ يَوْمًا يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ

Daripada Ibn ‘Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. berada di Makkah selama 19 hari, baginda bersembahyang dua rakaat. (ya’ni secara qasar). (al-Bukhari: 4298)

Peristiwa ini merujuk kepada pembukaan Kota Makkah. Baginda mengqasarkan sembahyang dalam tempoh ini mengikut keadaan dan selesainya urusan baginda.  Orang musafir boleh qasar dan jama’ selagi urusan yang menjadi sebab kepada safarnya belum selesai. Iaitu selagi dia tidak berniat untuk iqamah atau bermukim di sesuatu tempat.

Bagaimanapun, beristidlal dengan riwayat ini bahawa ada penetapan tempoh bagi jama’ dan qasar adalah tidak tepat. Ini kerana riwayat ini tidak menunjukkan sekiranya Rasulullah s.a.w. berada di Makkah lebih lama dari tempoh ini maka baginda tidak akan mengqasarkan sembahyang dan akan mengerjakan sembahyang tamam. Bahkan sabit bahawa baginda berada di Tabuk selama 20 hari dan baginda tidak meninggalkan sembahyang qasar.[12]

Adapun bagi seseorang yang berniat bermukim maka mengikut Malik, Shafi’i dan Ahmad, sesiapa yang niat bermukim selama tiga hari tidak termasuk hari memasuki dan keluar dari tempat safarnya maka hendaklah dia meninggalkan sembahyang qasar jama’ dan dia mesti sembahyang dengan sempurna rakaat. Ini kerana, semasa Haji Wida’, baginda berada di Makkah selama 10 hari dan baginda mengqasarkan sembahyang.

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُ قَالَ خَرَجْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْمَدِينَةِ إِلَى مَكَّةَ فَكَانَ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ رَكْعَتَيْنِ حَتَّى رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ قُلْتُ أَقَمْتُمْ بِمَكَّةَ شَيْئًا قَالَ أَقَمْنَا بِهَا عَشْرًا

Daripada Anas katanya, kami keluar bersama dengan Rasulullah s.a.w. dari Madinah ke Makkah. Baginda sembahyang dua dua rakaat (secara qasar) sehinggalah kami kembali ke Madinah. Saya bertanya (Yahya bin Abi Ishaq): “Berapa harikah anda berada di Makkah?”  Beliau menjawab: “Kami berada di sana selama sepuluh hari.” (al-Bukhari, no: 1081)

Hari yang baginda masuk ke Makkah ialah subuh 4 Zulhijjah dan keluar pada awal siang 8 Zulhijjah dan baginda terus bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain sehingga selesai ibadat haji. Tempoh bermukim baginda hanyalah tiga hari sahaja tidak termasuk hari masuk dan hari keluar dan tidak sabit baginda bermukim dan qasar sembahyang pada safar/perjalanan aman lebih daripada tempoh ini. Maka hendaklah beramal setakat apa yang sahih yang diriwayatkan daripada baginda dengan tidak menambah lebih daripada itu.

Ini bererti, jika tempoh masa yang tugas tersebut tidak diketahui bilakah akan selesai maka bolehlah sembahyang jama’ qasar sehingga selesai urusan. Tetapi sekiranya memang diketahui urusan itu selesai diselenggarakan dalam tempoh yang melebihi 21 waktu sembahyang maka hendaklah dia sembahyang secara sempurna bukan qasar.

 

Disediakan oleh Muhammad Hanief bin Awang Yahaya untuk www.darulkautsar.net

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

[1] Al-Bukhari, no: 1081.

 

 

[2] al-Bukhari,  no: 1080

 

 

[3] al-Bukhari, no: 4298

 

 

[4] Abu Dawud, no: 1229.

 

 

[5] Abu Dawud, no: 1230.

 

 

[6] Abu Dawud, no: 1231.

 

 

[7] Abu Dawud, no: 1232.

 

 

[8] Al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, jil. 5, hal. 156.

 

 

[9] Mizan al-I`tidal, jil. 6, hal. 56.

 

 

[10] al-Mizzi, Tahzib al-Kamal, jil. 6, hal. 224.

 

 

[11] Hal. 422.

 

 

[12] Hadis riwayat Abu Dawud, no: 1235

 

 

 

 

 

Check Also

HADIS MUKHTALIF TENTANG KAYFIYYAT TAYAMMUM

  Hadis pertama: وَعَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ بَعَثَنِي اَلنَّبِيُّ صلى الله …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *