Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

FANATIK DAN TAKSUB KEPADA GURU

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohamad Kamil Hj. Abd. Majid

 

Pendahuluan

Banyak pihak melihat antara punca kemunduran umat Islam ialah kerana salah faham umat Islam terhadap akidah mereka. Bukan akidah itu yang salah, tetapi cara memahami akidah itu yang salah. Antara fenomena yang dapat dilihat ialah tidak ada lagi kesederhanaan (al-tawassut) sehingga mereka terdedah kepada ifrat atau tafrit, ghuluw atau tasahul. Ini semua jelas melalui cara mereka berfikir dan bertindak.

Al-Wasat atau al-I’tidal adalah satu paksi yang telah membawa kecemerlangan kepada umat Islam dahulu. Apabila hilang ciri al-wasat itu, maka umat Islam terdedah kepada penambahan dan tokok tambah atau sebaliknya pengurangan. Penambahan atau pengurangan ini adalah menjadi salah satu punca perpecahan umat Islam. Soalnya bagaimana satu umat itu boleh maju ke hadapan apalagi boleh memimpin umat Islam jika mereka sendiri berpecah belah. Mereka bermusuhan dalam perkara titik bengik sesama sendiri dan hilang kesederhanaan kerana rasa fanatik dan taksub kepada pegangan dan ajaran masing-masing.

Keadaan menjadi bertambah rumit apabila ada orang yang mengambil kesempatan dari kejahilan orang ramai, dengan membawa ajaran sesat dan salah dan mempamerkan diri mereka sebagai ketua kepada sesuatu ajaran atas nama tarekat atau sebagainya.

Pengertian

Fanatik bermaksud; sikap yang keterlaluan dan melampau dalam sesuatu pegangan atau pendirian yang biasanya berkaitan dengan keagamaan. la disamaertikan dengan taksub. Lawan bagi fanatik dan taksub ialah tasamuh dan toleransi; yang bermaksud lapang dada, luas fikiran dan sabar.

Melampau-lampau diistilahkan dengan al-ghuluww, al-tanattu’ dan al-tashdid. Sikap melampau bertentangan dengan sikap adil dan sederhana. Maksud firman Allah:

Maksud: “Dan demikianlah (sebagaimana kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus). Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah), dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu”.

(Surah al-Baqarah 143)

Sikap taksub dan fanatik kepada pendapat sendiri, mahu pun guru atau kumpulan adalah salah satu dari gejala melampau. la memberi gambaran kebekuan fahaman seseorang yang tidak mahu melihat maslahah ummah dan tidak mampu untuk berbincang bagi membandingkan pendapat sendiri dengan pendapat orang lain, bagi mengambil pendapat yang lebih kuat dalil dan alasannya.

Taksub dan fanatik adalah sikap menutup pintu bagi pandangan lain yang berbeza dan berusaha untuk menidakkannya. Sikap ini adalah pembawaan yang memandang bahawa hanya diri sendiri atau kumpulannya sahaja yang betul. Malah secara berani menuduh orang yang berlainan pendapat darinya sebagai jahil, bodoh, fasiq dan derhaka. Seolah-olah menjadikan diri sendiri sebagai nabi yang maksum dan perkataannya sebagai firman yang diturunkan. Ijmak semua ulama salaf dan khalaf, semua orang boleh diambil dan ditinggalkan pendapatnya melainkan Nabi s.a.w.

Sikap taksub dan fanatik ini dikutuk kerana ia mengikat orang lain dengannya dan menafikan peranan orang lain. Justeru itu, mana-mana orang atau kumpulan yang taksub dan fanatik tidak mungkin bertemu dengan pihak lain. Keadaan akan menjadi lebih gawat, apabila ia mahu mewajibkan pandangannya ke atas orang lain dengan kekerasan seperti mengutuk dan menuduh orang lain melakukan bid’ah, kufur dan keluar dari agama. Dalam tindakan secara kekerasan, fanatik dan taksub ini menjadi lebih bahaya, seperti mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah s.w.t, mewajibkan meninggalkan yang makruh seperti meninggalkan yang haram.

Fenomena ketaksuban juga boleh berlaku apabila ada golongan yang mengkafirkan masyarakat secara menyeluruh, kecuali mereka yang berpegang kepada prinsip mereka atau menganggotai jemaah mereka sahaja. Ketaksuban ini boleh membawa kepada menghalalkan darah dan harta orang yang di luar jamaah, kerana telah dianggap murtad dan kufur.

Golongan melampau juga akan memperlihatkan sikap prasangka buruk kepada pihak lain. Lebih banyak menuduh dan menghukum dari memberi nasihat dan pengajaran. Kekerasan bersenjata mungkin digunakan terhadap perkara yang mereka anggap batil. Selalunya ia ditujukan kepada pemerintah yang tidak melaksanakan hukum seperti yang diperintahkan oleh Allah s.w.t atau menangguhkan pelaksanaan syariat dan menggantikannya dengan hukuman ciptaan manusia. Golongan ini akan melancarkan jihad terhadap sesiapa yang enggan menunaikan hukum Islam.

Golongan di atas sebenarnya keliru dan tidak boleh membezakan antara tugas pemerintah dengan tugas individu. Saidina Abu Bakar r.a. memerangi orang yang tidak membayar zakat dan murtad adalah sebagai menjalankan tugas sebagai pemerintah. Pada peringkat individu mereka hanya perlu melakukan amr bil maaruf wa nahyu anil munkar. Mencegah kemungkaran dengan menggunakan kekuasaan tidak semestinya atas semua orang, tetapi bagi yang ada kuasa terhadap orang bawahannya. Bapa terhadap anak, majikan ke atas pekerjanya atau pemerintah terhadap rakyatnya.

Larangan

Beberapa maksud hadis cukup menjelaskan bahawa Islam tidak suka apa juga perkara yang melampau-lampau. Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnadnya dan al-Hakim pada Mustadraknya dari Ibn Abbas r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

‘Jauhilah melampau dalam agama. Sesungguhnya rosaknya orang-orang sebelum kamu kerana melampau dalam agama’.

Abu Hurairah pula meriwayatkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

‘Sesungguhnya agama ini mudah. Tiada seseorang yang mempersulitkannya melainkan dikalahkannya, maka laksanakanlah dengan benar …’.

(Riwayat Bukhari dan Nasaai)

Sikap fanatik dan taksub adalah dilarang oleh Allah s.w.t terhadap umat yang dahulu khasnya Ahli Kitab. Firman Allah:

Maksud: “Katakanlah, “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan yang telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul”.

(Surah al-Ma’idah:77 )

Antara perkara diingkari ialah bersikap keras bukan pada tempat dan masanya. Sikap melampau diistilahkan dengan al-ghuluww, al-tanattu’ dan al-tashdid. Sikap ini adalah bertentangan dengan sikap adil dan sederhana seperti yang dituntut oleh Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 143 bermaksud:

Maksud: “Dan demikianlah (sebagaimana kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu”.

(Surah al-Baqarah 143)

Sikap tasamuh dan berlapang dada hendaklah diutamakan terutamanya apabila berhadapan dengan mereka yang baru memeluk Islam atau berada di negara bukan Islam. Sifat kulli (menyeluruh) hendaklah diutamakan dari yang bersifat juz’i (ranting). Begitu juga perkara pokok adalah diutamakan sebelum furu’. Allah memerintahkan hambaNya berdakwah secara bijaksana dan pengajaran yang baik seperti maksud Firman Allah s.w.t:

Maksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk”.

(Surah an-Nahl 125)

Bersikap kasar dalam pergaulan dan kesat kata-kata adalah sangat dilarang. Perkataan yang kesat dan sikap yang keras hanyalah digunakan dalam medan perang ketika menghadapi musuh. Ini dijelaskan melalui Firman Allah s.w.t:

Maksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu, dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada kamu, dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa (dengan memberikan pertolongan)”.

(Surah al-Taubah 123)

Punca sikap taksub

Sikap taksub ini kadangkala berlaku sebagai reaksi kepada masyarakat Islam yang membenarkan kemungkaran berleluasa. Dalam erti kata lain, Islam yang ada telah bercampur dengan kesyirikan akidah, bid’ah dalam ibadah. Kejumudan fikiran, mendatar dalam fahaman, mencari yang payah dalam fatwa dan keras dalam pergaulan, juga boleh menyuburkan sikap fanatik. Fenomena ini boleh menyebabkan ternafinya pembaharuan dan ijtihad dalam hukum.

Contoh-Contoh Dalam Masyarakat

Kes Pertama:

Tarekat Naqsyabandiyah AI-Khalidiyyah di Malaysia. Menurut satu kajian yang dilakukan oleh seorang calon Doktor Falsafah di Universiti Sains Malaysia, pada 2002; sebelas perkara yang menjadi asas tarekat tersebut: Antara yang penting dalam konteks ini ialah:

i. Husy dar dam; bermaksud akal dalam nafas atau diertikan dengan sedar sewaktu bernafas. Konsepnya ialah latihan penumpuan konsentrasi sufi yang berkaitan usaha menghadirkan hati berserta Allah. Ia dipercayai memberi suatu kekuatan rohaniah dan membawa seorang pengamal tarekat itu hampir kepada Allah, la juga bermaksud memelihara nafas dari sebarang kelalaian ketika nafas masuk dan keluar. Amalan ini bertujuan memelihara hati supaya tidak lalai dari mengingati Allah serta sentiasa menghadirkan diri berserta Allah pada setiap kali nafas masuk dan keluar. Bagi orang tasawuf mereka menganggap perkara sebegini bukanlah sukar bagi mereka yang sudah ditarbiah oleh guru mursyid.

ii. Nazar bar Qadam: lab ermaksud menjaga langkah. Sewaktu berjalan, murid hendaklah menjaga langkahnya, demikian juga sewaktu duduk dengan memandang lurus ke hadapan kerana pemandangan di sekeliling itu adalah mengganggu tumpuan atau konsenterasi seseorang dari amalan kerohanian.

iii. Safar dar Watan: Salah satu tafsirannya ialah perjalanan fizikal melintasi suatu negeri untuk mencari mursyid sejati bagi memimpin diri murid ke jalan sejahtera, malah sebagai perantaraan hubungannya dengan Allah. Konsep ini amat penting kerana murid ingin mencari seorang mursyid yang dapat membimbing dirinya ke jalan kebenaran Ilahi. Guru mursyid dianggap memiliki kesempurnaan ilmu dan amal di dalam membimbing murid mencapai malakah al-hudur yakni sentiasa mengingati Allah.

Konsep lain ialah Khalwat dan Anjuman, iaitu menyepi diri dari tengah khalayak, sama ada dengan beruzlah atau beriktikaf. Konsep Yad Kard iaitu zikir berulang-ulang sama ada menyebut Allah, Allah… atau nafi-ithbat iaitu La ilaha illa-Allah.

Kenyataan di atas menunjukkan bahawa dalam ajaran tarekat, banyak perkara tambahan yang mereka dakwakan sebagai ajaran Nabi, tetapi adakah dakwaan mereka benar? Anggota tarekat Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah percaya ajaran yang mereka amalkan bersumberkan ajaran Rasulullah s.a.w sewaktu baginda bertahannuth di gua Hira’. Khalifah Lebai Ishak bin ‘Arif dari Negeri Pahang yang menjadi khalifah (mursyid) di Raub berkata: “Tidak syak lagi bahawa ajaran dan amalan Tarekat Naqsyabandiyyahal-Khalidiyyah adalah berpunca dari amalan Nabi Muhammad s.a.w yang telah menerima wahyu pertama dari Allah s.w.t iaitu firman Allah dalam surah al-‘Alaq dari ayat 1 hingga ayat 5”.

Kelima-lima ayat itu dianggap dasar atau dalil menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w sendiri menerima wahyu tersebut sebagai tanda amalan dengan ism dzat yakni Allah, Allah… diterima dari Jibril dan Jibril menerima dari Allah s.w.t. Justeru itu bagi mereka, tarekat mereka pada asalnya bernama Tarekat Muhammadiyah. Sesudah diajar dan djijazahkan oleh nabi kepada Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq maka dinamakan pula Tarekat al-Siddiqiyyah. Demikian seterusnya sampai nama itu berakhir kepada Baha’uddin al-Naqsyabandi. Ahli tarekat ini beranggapan bahawa nama al-Naqsybandiyyah bukanlah sengaja diletakkan untuk mencari kehormatan di dunia, tetapi sebagai menghormati usaha yang dilakukan oleh mujaddid Baha’uddinal-Naqsyabandi yang memperkenalkan tiga perinsip utama dalam zikir tarekat iaitu wuquf qalbi, wuquf ‘Adadi dan wuquf Zamani.

Ajaran tarekat ini juga mensyaratkan, jika anggotanya ingin mencapai suatu peningkatan dalam memelihara zikir, maka hendaklah memasuki suluk. Tanpa bersuluk, pelajar hanya sekadar boleh berzikir pada tahap asas iaitu Allah, Allah … sebanyak 5,000 kali. Apabila bersuluk serta memahami peraturan dan syarat dan mengamalkannya seperti tidak boleh makan daging selama tempoh menjalani suluk 10 hari minimum atau 20 hari, 30 hari dan 40 hari maksimum.

Sewaktu bersuluk, murid diminta melepaskan semua ingatan kepada perkara keduniaan dengan memberi perhatian kepada zikir semata-mata. Malahan makanan mereka yang bersuluk, disediakan oleh pihak lain. Dua persoalan di sini iaitu larangan makan daging dan tidak perlu menghadiri sembahyang Jumaat.

Isu yang berkaitan langsung dengan taksub kepada guru ialah adanya rabitah iaitu murid menambatkan hatinya dengan syeikh yang Kamil (sempurna). Syeikh yang roh dan hatinya mencapai maqam musyahadah dan tahqiq dalam hatinya, berbagai sifat zat yang dinisbahkan kepada zat Allah tanpa kaif dan tanpa kaifiat. Abdul Ghani al-Nabulsi berkata rabitah ialah rasa kasih sayang yang amat mendalam dari murid kepada syeikhnya sehingga hatinya sentiasa berhubungan dengan syeikhnya dalam apa juga keadaannya.

Kesimpulan dari konsep rabitah ini dapat dirumuskan empat perkara:

i. Kasih sayang murid amat mendalam terhadap syeikh

ii. Ikatan ini menjadikan murid sentiasa ingatkan syeikhnya

iii. Kasih sayang dan ingatan menghasilkan bayangan syeikh dalam khayalannya

iv. Seorang syeikh sudah sampai maqam musyahadah dan bersifat karamah.

Kes Kedua:

“Ajaran Aurad Ismailiah yang diajar oleh Mahmud bin Abd. Rahman, didapati menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar. Oleh yang demikian, umat Islam dilarang mengamalkan ajaran itu. Orang-orang Islam yang telah mengambil ijazah dan mengamalkan Aurad Ismailiah yang diajar oleh Mahmud bin Abd. Rahman di mana jua berada, hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada ALLAH subhanahu wata’ala”. Demikian Warta Kerajaan Negeri Selangor yang dibuat pada 25 Oktober 1995 memfatwakan ajaran tersebut.

Ajaran Tarekat yang dipimpin oleh Syeikh Mahmud al-Kedahi ini, seperti kebanyakan ajaran tarekat yang lain, mengandungi unsur taksub. Tarekat yang ditubuhkan pada awalnya di Batu 5, Sik, Kedah, telah berkembang ke Kg. Hangus, Kupang dan Kg. Kijang, Baling. Pada 25 April 1979, ajaran ini diharamkan di Negeri Kedah.

la berpindah pula ke Selangor iaitu di Surau Nurul Iman, Batu 12 3/4, Jalan Sungai Long , Hulu Langat. Tarekat ini juga dikenali dengan TarekatA hmadiah Qadiriah.

Menurut Bahagian Penyelidikandan Pembangunan Jabatan Agama Islam Selangor (2000), ciri-ciri kesalahan ajaran ini antaranya; pengikut dikehendaki membayangkan wajah guru ketika berzikir dan bersuluk. Semasa berpuasa dan bersuluk, pengikut tidak dibenarkan makan makanan yang berdarah, hanya minum seteguk air sahaja apabila dahaga. Semasa upacara berzikir, suara diangkat dan diselang-selikan dengan pukulan rotan untuk menyamakan rentak irama ratib. Kemuncak ratib ialah pengikut akan melompat tidak sedarkan diri. Beberapa perlakuan aneh berlaku. Ada yang menari, ada yang tertonggeng, terselak kain dan ada yang menangis. Mengikut Mahmud, itu menunjukkan pengikutnya banyak dosa. Para pengikut pula menyatakan, ketika itu mereka sampai ke kemuncak kelazatan.

Gurunya mendakwa menerima wahyu dari langit. Pengikut pula menganggap gurunya adalah imam Mahdi al-Muntazar. Oleh itu, para pengikut menganggap diri dan amalan mereka lebih suci dan tinggi martabatnya dari orang lain yang tidak mengikut ajaran tersebut.

Selanjutnya guru membuat dakwaan yang aneh-aneh seperti dia tidak siuman semasa hendak menerima ajaran ketika bertapa di gua Bukit Enggang dan beribadat di gua yang digali. Dianugerahkan Allah kepadanya kekuasaan untuk mengetahui yang mana hak dan yang mana batil tanpa belajar, serta Allah memperlihatkan kepadanya dunia yang penuh dosa.

Mohd Fakhruddeen Che Omar (2001), calon Sarjana Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, sempat mengadakan temubual dengan empat orang pengikut tarekat tersebut termasuk isteri keempat kepada wali mursyid Syeikh Mahmud yang dipanggil dengan gelaran ‘Umi’. Beliau salah seorang guru di Sekolah Menengah Madrasah Nurul Iman, Sungai Long, Hulu Langat, Selangor. Menurut Umi, mursyid adalah mujaddid umat yang tidak ada apa-apa kepentingan diri dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Tanggungjawab murid adalah patuh dan taat kepada guru.

Umi sebagai isteri dan sekaligus murid Haji Mahmud, mengutamakan kedudukan adab sebagai murid. Rasa hormat yang tinggi dan mendalam kepada suami, menjadikannya lebih berwaspada agar tidak melanggar adab. Harapannya, dapat mengecapi nikmat dan keistimewaan sebenar dalam dunia kesufian yang dilalui oleh suaminya yang tercinta. Matlamatnya untuk menghabiskan beberapa banyak selawat dalam satu hari dan sanggup mengqada’nya jika tidak sempat habis pada hari yang sama. Katanya, “Bila ada istiqamah barulah dapat memperolehi hikmah”.

Menurut seorang lagi pengikut yang menetap di perkampungan tarekat itu; … “seorang mursyid adalah merupakan pembimbing manusia berlandaskan al-Qur’an dan al-Sunnah yang menjadi contoh dan ikutan ramai”. Katanya; “setiap mereka yang ingin mencari kemuliaan diri, adalah memerlukan seorang guru mursyid sebagai pembimbing. Mereka perlu memperbanyakkan selawat iaitu kira-kira 3000 selawat sehari”.

Seorang guru di Madrasah Nurul Iman mengatakan; “… liku hidup yang mencabar ini perlu ditempuhi dengan keberkatan seorang guru yang mempunyai matahati… Murid pula perlu patuh terhadap sesuatu yang diarahkan oleh guru dalam bentuk memberi khidmat”.

Sementara itu seorang lagi pengikut yang merupakan tukang masak di perkampungan tarekat itu, sentiasa berusaha mendisiplin diri, tidak melakukan perkara yang sia-sia. Sebagai muridy ang taat, dia akan sentiasa melakukan apa sahaja yang disarankan oleh guru mursyid mengikut kemampuan yang ada. Antara yang disarankan kepada beliau ialah membaca ayat kursi tujuh kali pada setiap pagi dan petang. Berselawat pada tiap waktu sembahyang 40 saat, setiap hari 40 minit dan sebulan 40 jam. Beliau pernah bersuluk selama tiga hari tiga malam di mana para salik tidak tidur, tidak makan dan tidak minum. Bahkan duduk tekun beribadat, berselawat, berzikir mengikut syarat dan tertib tertentu. Beliau selanjutnya menceritakan pernah berpuasa selama 4 bulan sepuluh hari dengan berpantang tidak makan binatang atau makanan yang berdarah dan berminyak.

Kes Ketiga:

Ajaran Taborani di Kampung Pandan Satu, Kuantan, Pahang, mula dikenali pada tahun 1976. Ajaran ini dipelopori oleh Taborani bin Abdul Rani, yang berasal dari Slim River, Perak dan lahir dalam tahun 1947. Dia dikatakan mahir dalam perubatan tradisional, dan dihormati oleh mereka yang datang berubat dengannya. Dia juga merupakan seorang guru silat.

Guru silat dan pengamal perubatan ini pernah belajar di masjid dan surau. Dia pernah menjadi bilal masjid. Kemudian berpindah ke Kampung Awah, Temerloh dan bekerja sebagai ketua di sebuah kilang papan di Seberang Temerloh. Beliau juga berniaga dan bertukang. Guru silat kepada Taborani ialah Azid bin Mat Akil.

Dalam persilatan, Tabaroni mengajarkan ilmu batin dengan mengamalkan ayat-ayat al-Qur’an tertentu. Dia banyak mendapat ilmu melalui mimpi ketika tidur. Oleh itu banyak berlaku perkara ganjil dalam hidupnya. Antaranya, beliau pemah melompat sampai ke bumbung gelanggang silat ketika beliau beratib atau berzikir. Sebilah keris yang tidak tahu mana arah datangnya jatuh ke ribanya.

Pengajaran silat beliau dijalankan selepas Isya’ sehingga 12.00 malam. Bermula dengan berjamaah Isya’, selepas itu pelajar dikehendaki berkumpul di gelanggang untuk melakukan ratib selama hampir setengah jam. Amalan ratib adalah secara bersendirian, kemudiannya Taborani akan mengajar rentak silat. Sebelum ratib atau berzikir, Taborani akan memberi ayat-ayat tertentu yang perlu diingati oleh setiap pelajarnya. Pelajar akan mengamalkanya bersama amalan zikir dan doa. la dilakukan selama 40 hari. Hanya amalan zikir dan doa yang diajar pada peringkat pertama dan rentak silat belum diajarkan lagi.

Peringkat kedua bermula selepas amalan zikir 40 hari. Pelajar akan diminta beramal selama 40 hari lagi. Keadaan luar biasa akan terjadi kepada murid sehingga tidak sedarkan diri. Apabila tidak sedar diri, Taborani akan mengajarkan rentak silat. Anehnya, pelajar boleh mengikut segala rentak yang diajar. Selepas itu mereka akan berehat.

Pada tahap ketiga selepas amalan zikir dan seni silat diajar, Taborani akan menyampaikan ajaran agama. Setelah selesai 40 hari pengajaran akan berakhir dengan penamatan setelah lebih 120 hari melalui tiga peringkat. Setiap pelajar dikehendaki mempunyai sebilah pedang, duit sebanyak RM7.25 dan sehelai selendang merah untuk upacara penamatan. Pedang dibacakan doa oleh Taborani dan dikembalikan semula kepada muridnya.

Ajaran Taborani mendakwa, wahyu masih lagi diturunkan khasnya selepas zikir. Taborani pernah tidak mengajar silat kerana pada malam itu dikatakan wahyu tidak diturunkan kepadanya. Dalam keadaan tidak sedarkan diri, Taborani boleh mengajar rentak silat. Beliau pernah sewaktu tidak sedarkan diri seperti dirasuk dan menyebut nama Syeikh Suhaimi beberapa kali. Apabila sedar, beliau menanyakan muridnya kenapa tidak meminta sesuatu daripada Syeikh Suhaimi?

Beliau menolak empat mazhab yang ada. Katanya; “kita tidak mahu berpegang dengan empat mazhab, tetapi berpegang kepada satu mazhab iaitu ajaran Taborani. Orang Islam apabila meninggal dunia tidak wajib dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan. Mayat hanya dianggap bangkai. Jika dibimbangi berbau busuk, ditimbuskan sahaja.S ementara itu salawat ke atas nabi sebagai bid’ah belaka dan dusta.

Beliau memfatwakan tidak haram minum arak jika tidak mabuk, kerana arak adalah diperbuat dari anggur yang halal. Arak dianggap sebagai pembina tenaga, solat tidak ada, samaada bersendirian atau berjamaah, malah tidak ada solat Jumaat. Puasa tidak wajib di bulan Ramadhan. Kalau berpuasa lapar sahaja. Al-Quran tidak betul kerana tulisan manusia. Tidak perlu disambut hari-hari kebesaran Islam. Anjing tidak haram, kerana ia tidak makan bangkai sebaliknya kucing haram kerana ia makan bangkai.

Beberapa sindiran menghina Islam peah disebut seperti: azan seperti menyalak bukit. Kalau saya ada duit (kaya), saya akan keluar dari Islam. Ajaran ini telah didakwa salah dan sesat oleh Mahkamah Kadi Besar Pahang dan dibicarakan pada 16 Januari dan 20Januari1991.

Kes Keempat

Tarekat Zikrullah Hasan Anak Rimau atau Tok Ayah Hasan atau Pak The Hasan. Mengikut kenyataan dari Hasan pada 24 Januari 1985 beliau mempercayai:

i. Kita ada tujuh alam: Alam Malakut, Alam Jabarut, Alam Arwah, Alam Ghaib, Alam Jirim, Alam Zulumat dan Alam Lahut.

ii. Awal agama ialah mengenal Tuhan. Awal pun Dia, akhir pun Dia. Zahir pun Dia, Batin pun Dia. Kita manusia ini sebesar zarrah pun tak ada. Hampirnya kita dengan Tuhan seperti hampirnya kita dengan batang halqum, sama hampirnya mata hitam dengan mata putih bahkan lebih hampir lagi. Sesiapa yang kenal dirinya maka akan kenal Tuhannya. Cara hendak mengenal Tuhan ialah seseorang itu hendaklah mati sebelum matinya barulah dapat merasai mati tak mati. Hilangkan diri dan timbulkan diri maka itulah Dia (Tuhan). Jin dan manusia dijadikan tidak untuk lain melainkan keranaTuhan.

iii. Jalan mengenal Tuhan menurut kaedah ini berlainan dengan jalan biasa. Menurut jalan biasa ialah mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa dan zakat dan itu jalan fardu ‘Ain. Ada pun jalan satu lagi ialah jalan fardu kifayah.

iv. Pergi ke Mekah sunat sahaja. Orang berharta sekalipun tidak mengapa jika tidak ke Mekah tetapi jika dia mahu pergi dapat pahala.

v. Cahaya Hasan Anak Rimau mengatasi cahaya yang ada, menyebabkan dia tidak nampak Kaabah di hadapannya semasa di Mekah suatu ketika dahulu. Ini kerana cahaya tersebut tenggelam dalam cahayanya.

vi. Semasa mikraj ke langit Nabi Muhammad bukan berjumpa dengan Tuhan tetapi berjumpa dengan Jibril. Jibril itulah Tuhan. Manakala dakwaan Muhammad pergi berjumpa Tuhan adalah politiks ahaja pada hal beliau duduk di rumah sahaja.

vii. Tuhan sebenarnya tidak ada. Diri kitalah Tuhan. Apabila kita mengenali diri kita, maka kenallah kita dengan Tuhan terus menerus.

viii. Mati tidak ada, cuma umpama membuka jalan sahaja. Demikian juga kiamat sebenarnya tidak ada.

ix. Hasan mendakwa sudah tidak tidur selama 36 tahun kerana beribadat dan sanggup berdebat dengan Nabi Muhammad sekiranya beliau ada untuk menguji siapakah yang lebih.

Setelah Hasan mati ajarannya dibawa oleh Ayah Pin, yang mempunyai empat orang isteri dan 21 orang anak. Dua orang lagi penyambung ajaran ini Mohammad bin Ya dan isterinya, Kamariah binti Ali. Keduanya berkelulusan Al-Azhar.

Dari empat kes contoh, dapat dibuat satu rumusan umum bahawa taksub dan fanatik akan berlaku apabila satu-satu tarekat atau didakwa sebagai tarekat, dipimpin oleh mereka yang berusaha mencari sesuatu kelebihan. Mereka bukanlah orang yang pandai, tetapi mempunyai sedikit sebanyak ilmu yang membolehkannya mengabui mata orang awam. Dengan ilmu yang sedikit tetapi pandai memberi pengajaran, mereka mengeksploitasi orang awam yang jahil dengan ilmu agama.

Kes pertama; ajaran ini agak rapat kaitannya dengan Naqsyabandiah di Indonesia. Sementara kes kedua, guru yang digelarkan dengan nama Syeikh Mahmud menamakan tarekatnya dengan Tarekat Ahmadiah Qadiriah. Tarekat ini menumpukan kepada ibadat berbentuk zikir, selawat dan istighfar khusus. la berpegang kepada Aurad Ismailiah.

Syeikh Mahmud mendakwa mula mengamalkan kehidupan kesufian sejak berumur enam tahun lagi iaitu mengikut amalan yang dipegang oleh datuknya. Datuk beliau mengamalkan Tarekat Ahmadiah yang didakwanya diambil dari Tok Syafie di Mekah selama tiga tahun. Beliau mula mendekati wali-wali dan syeikh-syeikh terkenal kerana di rumah datuknya itu menjadi tempat berkumpulnya wali dan syeikh itu, termasuk dakwaannya Syeikh Abdul Qadir al-Mandili.

Ketika berusia tujuh tahun lagi, beliau ditalkinkan zikir oleh Rijal al-Ghaib. Setelah ditalkinkan, beliau mendakwa mampu membezakan orang yang ikhlas dan jujur atau tidak, semata-mata dengan melihat wajah seseorang itu. Ketika usianya sembilan tahun, melalui suara tertentu beliau mengenali orang-orang soleh serta wali Allah. Justeru meminati bidang kesufian, selepas tamat sekolah Melayu, beliau pindah ke sekolah pondok. Beliau menolak tawaran menjadi guru pelatih atas nasihat datuknya yang inginkan beliau menjadi orang yang kuat beragama.

Mula mengamalkan selawat Syeikh Abdul Qadir Jilani, selawat Ahmad Baidhawi dan selawat Tajalli. Selawat Tajalli di ambilnya semasa melawat ke rumah Tok Wali di Bukit Panau, Kelantan. Pada ketika itu tidak ramai yang mengamalkan selawat Tajalli termasuk di kalangan pelajar pondok sendiri. Mereka yang mengamalkannya dianggap mempunyai martabat yang tinggi di bidang kesufian.

Check Also

Ajaran Batiniyyah: Pengaruhnya Di Alam Melayu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *