Home / darulkautsar.net / Pemurnian Aqidah / Tasawwuf & Batiniyyah / Wali Qutb, Abdal, Awtad, Nujaba’, Rijal al-Ghaib Dan Rijal Allah
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Wali Qutb, Abdal, Awtad, Nujaba’, Rijal al-Ghaib Dan Rijal Allah

Oleh: Prof. Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim

 

Pendahuluan

Kajian Tasawuf dianggap tidak lengkap tanpa menyentuh fikrah Wali Qutb, Abdal, Awtad, Nujaba’, Rijal al-Ghaib dan Rijal Allah dan seumpamanya. Pengkaji terdahulu seperti Ibn Taimiyyah dan Ibn Khaldun serta pengkaji terkini seperti Abu al-‘Ila ‘Afifi, Ahmad Amin dan Abu al-Wafa al-Taftazani adalah antara mereka yang menyentuh persoalan ini. Pendapat mereka akan digunakan dalam mengulas isu Wali Qutb, Abdal, Awtad, Nujaba’, Rijal al-Ghaib dan Rijal Allah.

Berikut adalah pandangan tentang Wali Qutb, Abdal, Awtad, Nujaba’, Rijal al-Ghaib dan Rijal Allah oleh tokoh-tokoh tersebut:-

1. Pendapat Ibn Taimiyyah

Dalam kitabnya Fatawa, Ibn Taimiyyah telah menjelaskan pendapatnya iaitu: Manakala banyak nama yang disebut oleh ahli ibadat dan orang awam seperti Ghawth di Makkah, Awtad ada empat, Qutb ada tujuh, Abdal ada 40, Nujaba’ ada 300, semuanya tiada dalam al-Qur’an. Tidak ada ma’thurah daripada Nabi s.a.w. sama ada sanad sahih atau da’if muhtamal kecuali lafaz Abdal. Menurut riwayat hadith Syami munqati’ al-isnad daripada Ali k.a.w., marfu’ kepada Nabi s.a.w. bermaksud:

“Di kalangan orang Syam (Syria) ada Abdal 40 orang lelaki. Apabila mati seorang, Allah gantikan tempatnya dengan lelaki lain.”

Orang Salaf tidak menyebut apa-apa (tentang Wali Qutb, Abdal, Awtad dan Nujaba’).

2. Pendapat Ibn Khaldun

i) Dalam Muqaddimah Ibn Khaldun, beliau menyatakan: Orang tasawuf kebelakangan ini bercakap tentang kasyaf dan tentang apa yang ada di sebalik alam inderawi. Mereka menyatakan perkara yang samar-samar. Ramai di kalangan mereka sampai kepada doktrin hulul dan wahdat (Allah meresap dalam alam atau diri dan “jadi satu”). Golongan mereka yang terdahulu bergaul dengan Syi’ah Isma’iliyyah pelampau yang kebelakangan juga menganut fahaman hulul dan mempercayai bahawa imam-imam Syi’ah itu Allah (Allah hulul dalam diri imam-imam itu). Fahaman ini tidak ada sebelum ini. Kata-kata antara dua belah pihak ini bercampur aduk dan akidah mereka juga serupa-menyerupai. Lahirlah di kalangan orang bertasawuf doktrin Qutb ertinya ketua bagi semua arifin. Mereka menganggap makam Qutb tentang makrifat amatlah tinggi, tidak boleh ditandingi sehingga mati, lalu tempatnya itu diisi oleh seorang arif yang lain.

ii) Ibn Sina juga memperkatakan perkara ini iaitu: Al-Haq yang maha agung adalah terlalu tinggi tiada tercapai dengan sama rata oleh semua mereka yang menuntutinya atau dapat melihatnya kecuali seorang sahaja dalam satu majlis bergilir-gilir. Teori Qutb (ada satu lepas satu) ini tidak boleh diterima akal dan tidak ada dalil syarak. Tetapi semata-mata satu percakapan yang berbentuk retorik. Inilah yang diperkatakan oleh Syi’ah Rafidhah.

Kesimpulannya:

i) Teori wali Qutb, Abdal, Awtad, Nujaba’… tidak ada dalil syarak kecuali Abdal dan bercanggah dengan akal yang waras. Tidak timbul di kalangan al-Salaf al-Salih.

ii) Hadis Abdal ini jika sahih sekalipun, tidak boleh meliputi kesemua Wali Qutb, Awtad, Nujaba’.

iii) Munculnya teori Wali Qutb, Abdal, Awtad Nujaba’ ini adalah pengaruh daripada Syi’ah Isma’iliyah Rafidhah (yang juga dikenali kemudiannya dengan nama Batiniyah).

3. Pendapat Ahmad Amin

i) Ahmad Amin dalam kitabnya Dhuha al-Islam telah menyatakan pendapatnya: Ekoran daripada Imam Mahdi al-Muntazar, orang tasawuf berhubung rapat dengan Syi’ah. Mereka mengambil doktrin Imam Mahdi dari Syi’ah tetapi dibalut dengan Qutb. Dari sini maka tertegaklah kerajaan khayalan dan bayangan. Maharaja kerajaan ini ialah Qutb yang tepat maksudnya dengan doktrin Imam Mahdi dalam Syi’ah. Qutb inilah yang mentadbir segala urusan makhluk dalam setiap zaman. la juga tiang langit. Tanpa tiang, langit akan runtuh.

ii) Selepas Qutb ialah Nujaba’ yang merupakan 12 buruj di langit. Ahmad Amin memetik daripada kitab al-Futuhaat al-Makkiyyah yang menyatakan bahawa Nujaba’ itu ada 12 Naqib dalam setiap zaman. Setiap Naqib alim dengan khasiat setiap buruj yang Allah letakkan padanya berbagai-bagai rahsia dan memberi kesan di tangan Nuqaba’ ini terletaknya segala ilmu syariat yang diturunkan oleh Allah. Mereka juga tahu segala yang terpendam di hati dan jiwa manusia, tahu apa ada pada iblis sedangkan iblis sendiri tidak tahu. Apabila seseorang itu melangkah di bumi ini, Nuqaba’ tahu sama ada langkah itu baik atau sial.

iii) Ahmad Amin berpendapat: Kaum Sufi membangunkan kerajaan batin di sebalik kerajaan zahir ini. Mereka mengambil fikrah Mahdiyah (Imam Mahdi) lalu diubah lafaznya (kepada Qutb, Nujaba’) serta mengemaskan susunannya. Semuanya mengawan di alam khayalan dan berlari mengejar bayangan. Semuanya adalah madah syair, tetapi bukan yang indah selesa tetapi merosakkan akidah dan amalan manusia. Jauh menyeleweng daripada akal fikiran yang waras dalam menjalankan pencarian hidup seharian. Mereka tidak lagi melancarkan reformasi masyarakat dan menegakkan keadilan. Mereka merayau di perlembahan khayal. Pemerintah juga merayau dalam perlembahan korup. Seolah-olah mereka senang dengan keadaan begitu. Pemerintah jadi rosak, rakyat hidup dalam impian dan bangsa menjadi porak-peranda.

Kesimpulannya:

i) Golongan tasawuf bercampur dengan Syi’ah Isma’iliyyah lalu mengambil doktrin Ketuhanan Imam atau Mahdiyah mereka dengan mengubah lafaznya sahaja daripada Imam Mahdi kepada Qutb.

ii) Tegaklah kerajaan khayalan yang bercanggah dengan alam kenyataan. Maharaja atau presiden kerajaan ini bergelar Qutb. Allah hulul dalam Qutb ini, maksum, tahu segala perkara ghaib, tidak bersalah atau terlupa sama seperti doktrin Imam atau Imam Mahdi al-Muntazar dalam akidah Syi’ah.

Ringkasnya idea Qutb dengan Imam atau Imam Mahdi adalah sama.

iii) Ada 12 Naqib menepati dengan 12 buruj. Setiap Naqib itu tahu segala-galanya. Jelaslah di sini bahawa Ibn ‘Arabi percayakan ilmu astrologi.

iv) Dalam kitab Zahar al-Islam, Ahmad Amin menjelaskan: Kita patut ingat, antara ajaran tasawuf yang paling pokok yang mempengaruhi umat Islam ialah mengenai doktrin Qutb. Kata mereka: Qutb adalah insan tunggal yang menjadi tempat Allah menilik kepadanya dalam setiap zaman. Segala ehwal makhluk berputar padanya. Qutb meresap ke dalam seluruh batin alam semesta sebagaimana roh meresap ke dalam jasad. Dia meniupkan roh hayat ke seluruh alam semesta atasan dan bawahan. Peranannya ialah menjaga dan memelihara alam maya ini. Begitulah tugas Qutb sehingga dia mati lalu tempatnya diisi oleh salah seorang daripada tiga orang wali berpangkat Awtad yang sebelum itu berpangkat Abdal seramai 40 orang.

v) Qutb ini juga digelar Ghawth kerana dia adalah tempat orang yang bernasib malang datang mengadu. Qutb ini juga dinamakan Qutb al-Aqtab kerana adanya dahulu bersama dengan ada Qutb-qutb lain di alam nyata dan alam ghaib. Ini bererti Qutb itu tidak mengambil pangkat ini daripada Qutb terdahulu dan tidak mempusakai kepada Qutb terkemudian. Ini bererti Qutb itu adalah satu iaitu Haqiqah Muhammadiyyah.

Kesimpulannya:

a) Allah menilik hal ehwal alam ini pada seorang insan bergelar Qutb.

b) Semua hal ehwal makhluk berputar di sekitar Qutb.

c) Qutb menyerap ke dalam alam semesta seperti roh dalam jasad.

d) Qutb ialah Haqiqah Muhammadiyyah (yang digelar juga Nur Muhammad) . Daripadanyalah terjadi seluruh alam semesta ini atau Insan Kamil. Semuanya ini lahir dari Martabat Wahdah atau Ta’yyun Awal dalam perbilangan Wahdat-al-Wujud Martabat Tujuh.

4. Pendapat Abu al-Wafa al-Taftazani

Pendapat beliau tentang perkara ini dalam kitabnya Madkhal Ha al-Tasawuf al-Islami boleh disimpulkan seperti berikut;

i) Ekoran daripada al-Hallaj mengatakan, Allah hulul, (menempat) dalam dirinya, maka Nur Muhammad pun ikut sama dikatakan qadim. Inilah punca yang mendorong kaum sufi kebelakangan yang berfalsafah menimbulkan teori Qutb atau Insan Kamil atau Haqiqah Muhammadiyyah.

ii) Falsafah tasawuf ini menjadi sasaran kritik fuqaha’ kerana mereka menegakkan doktrin wahdat al-wujud, teori Qutb, kesatuan semua agama yang semuanya ini bercanggah dengan Akidah Islamiah.

iii) Antara penganut wahdat al-wujud ialah pengikut Ibn ‘Arabi, al-Jili. Dialah yang memperkenalkan teori Insan Kamil atau kalimah Ilahiyah. Doktrin ini adalah sama maksudnya dengan teori al-Hallaj yang mengatakan Nur Muhammad itu qadim dan teori Qutb Ibn ‘Arabi.

iv) Ibn al-Farid juga mengatakan bahawa Qutb itu tidak lain daripada roh Muhammadi, atau Haqiqah Muhammadiyyah yang menjadi sumber segala ilmu dan makrifat bagi para nabi dan Qutb-qutb.

v) Kemungkinan besar bahawa punca Roh Muhammadi atau Qutb ini datang daripada akidah bangsa Iran purba yang dikenali dalam Islam dengan nama Majusi atau Zaradistiyah.

5. Pendapat Abu al-‘Ila ‘Afifi

i) Haqiqah Muhammadiyyah ialah tidak lain daripada Qutb namanya bagi orang tasawuf dan imam maksum nama-nya bagi Syi’ah Isma’iliyyah dan Qaramitah. Khatam al-auliya’ seorang sahaja yang menjadi pewaris ilmu batin yang dia terima secara langsung dan Roh Muhammadi yang biasanya digelar Qutb oleh orang sufi. la bukan Nabi Muhammad yang lahir di Makkah dan wafat di Madinah, tetapi Satu Hakikat Yang Qadim yang menepati teori al-‘Aql al-Awal bagi Plato dan al-Kalimah bagi orang Kristian.

ii) Orang tasawuf membangunkan sebuah kerajaan di alam khayalan dan di alam awangan dan impian kosong semata-mata. Tidak berjejak di alam nyata dan menyalahi al-Qur’an dan Sunnah serta akal yang waras. Maharaja kerajaan khayalan ini bergelar Qutb. Di bawah Maharaja Qutb ini bergelar Awtad ada empat, Abdal ada 40, Nujaba’ ada 300. Penyeru atau mereka yang bertawassul dengan Qutb ini biasanya terdiri daripada orang sufi. Ada menyerunya dengan bermacam-macam nama dan bunyi seperti;

a) Maksud fikrah Qutb tidak lain tidak bukan daripada Akidah Imamah atau Imam Mahdi al-Muntazar yang merupakan hululiyah Allah (Allah ada dalam dirinya) sebab itulah dia maksum.

b) Nama lain bagi Qutb atau nama-nama yang sama maksudnya dengan Qutb ialah seperti Haqiqah Muhammadiyyah, Nur Muhammad, Insan Kamil, al-‘Aql al-Awal dan al-Kalimah. Kesemuanya tidak lain dari fikrah wah-dat al-wujud.

Contoh Amalan

Menyeru dan memohon pertolongan daripada Qutb dan yang berpangkat bawahan daripadanya. Antara lain berlagu nasyid seperti ini:

http://www.faziliaton.com/iqra’/buku6/gambar/01_41.gif

Nasyid ini dikatakan dikarang oleh Ali Zainal Abidin ibn al-Husain bin Ali bin Abu Talib. Nama-nama ini jelas menunjukkan mereka bergelar Imam di kalangan Syi’ah. Di sini dapat difahami ianya berasal daripada Syi’ah.

Cara memberi salam kepada Qutb al-Aqtab yang berbunyi:

http://www.faziliaton.com/iqra’/buku6/gambar/02_41.gif

Cara memberi salam kepada Rijal al-Ghaib;

http://www.faziliaton.com/iqra’/buku6/gambar/03_41.gif

Maksud petikan ini antara lain:

– Menyeru Qutb al-Aqtab kerana dialah pemerintah zaman dan imam tempatan, penegak perintah Tuhan, Pewaris kitab, Pengganti Rasulullah, kesemua yang ada dalam masanya adalah keluarganya. Dialah juga penurun hujan dengan doanya.

– Memberi salam kepada Rijal al-Ghaib (lelaki yang tidak boleh dilihat), juga dia bergelar Arwah al-Muqaddasah, hai Nuquba’, hai Nujaba’, hai Ruqaba’, hai Budala’, hai Awtad al-Ardhi al-Arba’ah (pasak bumi yang empat), hai dua imam, hai Fard, hai Umana’, tolongilah aku dengan pertolongan, lihatlah akan daku dengan penuh kasihan. Sampaikanlah hajatku dan tujuanku.

– Ucap selawat kepada Khidir.

Kesimpulan

Konsep Wali Qutb, Abdal, Awtad, Nujaba’, Rijal al-Ghaib dan Rijal Allah adalah bersumberkan fikrah Wahdat al-Wujud. Konsep berkenaan tidak terdapat dalam al-Qur’an dan Sunnah. Tidak pernah timbul di kalangan al-Salaf al-Salih kecuali Abdal. Walau bagaimanapun Abdal sahaja tidak dapat menolong menegakkan kebenaran akidah hirarki wali-wali dalam kepercayaan tasawuf ini.

Fikrah Qutb adalah pengaruh daripada fikrah Imamah Syi’ah. Dalam diri imam Syi’ah hulul Allah, dengan Haqiqah Muhammadiyyah, Nur Muhammad, Insan Kamil, al-‘Aql al-Awal bagi Plato dan al-Kalimah bagi Kristian. Semuanya adalah perkara yang sama kerana semuanya itu terbit daripada zat Allah.

Fikrah Wahdat al-Wujud ini bercanggah dengan Ithnaniyah al-Wujud pegangan Ahli Sunnah. Doktrin Wali Qutb, Abdal, Awtad, Nujaba’, Rijal al-Ghaib dan Rijal Allah ini adalah merosakkan akidah.

Menyeru, memohon pertolongan, minta sampaikan hajat bertawassul dan memberi salam kepada Wali Qutb, Abdal, Awtad, Nujaba’, Rijal al-Ghaib dan Rijal Allah, adalah menyeru kepada hakikat yang tidak nyata malah hanya kosong dan dalam khayalan. la hanya merupakan Imam menurut fahaman Syiah atau Imam Mahdi.

Penutup

Hakikat Wali Qutb, Abdal, Awtad, Nujaba’, Rijal al-Ghaib dan Rijal Allah sebenarnya tidak wujud dalam Islam yang berdasarkan al-Qur’an, al-Sunnah dan al-Salaf al-Salih, tetapi berasal daripada fahaman Syiah. Pengertian Qutb juga sama dengan Haqiqah Muhammadiyyah, Nur Muhammad, Insan Kamil dan Roh Muhammadi. la juga bersamaan dengan al-‘Aql al-Awal bagi Plato dan al-Kalimah dalam Kristian.

* Sanad kepada AH ini mencerminkan ada hubungan antara tasawuf dengan Syi’ah (tasyayyu’) – Penulis.

Check Also

Ajaran Batiniyyah: Pengaruhnya Di Alam Melayu

Share...TwitterPrintPinterestLinkedinFacebookDigg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *