Home / darulkautsar.net / Pemurnian Aqidah / ISU SEMASA & AMALAN MASYARAKAT / HAKIKAT PERBOMOHAN: SYAITAN DALAM TUBUH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

HAKIKAT PERBOMOHAN: SYAITAN DALAM TUBUH

SOALAN:

Di blok rumah pangsa tempat saya tinggal ada seorang perempuan berumur lebih kurang 45 tahun mengaku berdampingan dengan wali Allah. Wali ini banyak, di antaranya ialah Khatib, Khaidir dan Abdal.

Ia juga didampingi oleh malaikat, termasuk malaikat maut di mana ia boleh berinteraksi dengannya.

Ramai orang datang menemuinya pada waktu malam. Ia dikatakan boleh menilik benda-benda hilang, menilik punca penyakit kerana sihir, gangguan dan sebagainya.

Ketika mengubat dampingannya akan dipanggil, suaranya ada kalanya seperti suara perempuan dan ada ketikanya menjadi garau dan garang. Saya dapati, apa yang dia kata banyak yang betul. Dia banyak memberi bantuan kepada orang yang menemuinya. Adakah manusia boleh berinteraksi dengan wali atau malaikat? Perempuan ini tidak tahu mengaji Quran.

– Abang Jak, KK.

Jawapan:

Tidak terdapat dari mana-mana sumber membuktikan adanya malaikat yang ditugaskan oleh Allah untuk masuk dalam tubuh manusia, biar untuk apa tujuan sekalipun, seperti mengubati, ketika manusia dalam kesusahan atau sebagainya.

Pada hakikatnya konsep pemahaman tentang “wali Allah” seperti yang saudara jelaskan adalah begitu kabur, tidak mudah difahami oleh orang ramai.

Kepercayaan tentang adanya wali Allah selalunya dirujuk kepada manusia biasa yang selalunya terdiri daripada orang alim yang telah meninggal dunia, mayatnya hilang dan menjelma menjadi wali Allah untuk menolong manusia yang dalam kesusahan.

Kepercayaan ataupun konsep tentang wali Allah seperti yang dijelaskan merupakan salah satu pengaruh animisme yang wujud dalam pemikiran Melayu tradisional. Sesetengah orang mempercayai bahawa orang yang telah mati tadi mayatnya ghaib begitu sahaja, lalu menjadi keramat yang akhirnya menjadi tempat pemujaan, tempat membayar nazar bagi tujuan tertentu.

Selain daripada itu, tidak terdapat bukti daripada mana-mana sumber yang boleh dijadikan pegangan bahawa malaikat ataupun wali Allah itu boleh masuk dalam badan manusia, lalu menggunakan lidah manusia, mengeluarkan suara seperti suara individu yang terlibat ataupun menggunakan dialek atau bahasa lain.

Satu perkara lain yang menjadi tanda tanya ialah bagaimanakah orang yang jarang melakukan sembahyang dan tidak tahu mengaji al-Quran dengan betul itu boleh berzikir atau berwirid apabila makhluk yang dipanggil sama ada ia didakwa sebagai malaikat maut ataupun wali Allah itu masuk meresap dalam tubuh manusia.

Nama yang diberi kepada malaikat yang meresap dalam tubuh ialah “malaikat maut”. Macam mana malaikat maut boleh masuk dalam tubuh manusia lalu berwirid atau berzikir?

Kejadian-kejadian seumpama inilah yang mengelirukan masyarakat Melayu, di mana penggunaan zikir, wirid, sebutan nama-nama Allah dan sebagainya itu dijadikan alat untuk memperlihatkan seolah-olah perbuatan tersebut tidak bertentangan dengan ajaran Islam, malah ia boleh dianggap sebagai salah satu daripada ajaran Islam.

Rasulullah s.a.w. ada menjelaskan bahawa sesungguhnya syaitan itu berupaya berjalan dalam tubuh anak Adam melalui pembuluh darah.

Berdasarkan kepada hadis ini kita dapat memahami bahawa syaitan itu boleh meresap dalam tubuh manusia, individu berkenaan ketika itu akan dikuasai oleh makhluk yang meresap tadi, menyebabkan pergerakan yang dilakukan, termasuk tutur kata yang dikeluarkan itu bukan atas kehendak ataupun ikhtiar manusia berkenaan. Keadaan seperti inilah dikenali sebagai “menurun.”

Walaupun keterangan tadi lebih banyak memperlihatkan bahawa yang meresap masuk dalam tubuh adalah terdiri daripada jin-jin atau sebutan jin-jin itu diubah, iaitu ditukarkan menjadi “wali Allah”, “Rajabul ghaib”, “syeikh-syeikh” dan sebagainya.

Manusia biasanya takut apabila disebut “malaikat maut”, tetapi dalam kes yang saudara tanyakan ini, perempuan yang dimaksudkan boleh panggil “malaikat maut” masuk ke dalam tubuhnya, sesuatu yang baru, tetapi tidak memelikkan.

Tukang tilik

Orang yang datang menemui tukang tilik, yang diistilahkan sebagai “arraf” atau “munajjim”, Termasuk dalam kategori orang yang dinamakan “arraf” atau “munajjim” ialah orang yang diresapi oleh jin-jin, yang dianggap sebagai malaikat ataupun wali yang melakukan ramalan.

Hakikatnya, orang yang bertanya tadi bukan bertanya kepada wanita tua berumur lebih kurang 45 tahun itu, kerana ia ketika itu berada dalam keadaan menurun dan tidak sedarkan diri atau separuh sedar. Yang ditanya ialah jin yang meresap dalam tubuhnya, yang ketika itu menguasai diri perempuan berkenaan.

Sekiranya jin yang meresap itu jantan, maka suara yang keluar melalui lidah perempuan berkenaan ialah suara jantan, garau dan kasar, begitulah sebaliknya kalau makhluk yang meresap menguasai diri itu terdiri daripada jin betina.

Dengan bantuan makhluk yang meresap dalam tubuh, perempuan berkenaan boleh menyatakan sesuatu di luar keupayaan manusia, memberitahu hal-hal yang berkaitan dengan kehilangan barang, penyakit yang sedang dideritai oleh pesakit dan sebagainya. Biarpun kata-katanya atau ramalannya itu ada kalanya benar, tetapi pembohongannya adalah lebih banyak.

Manusia yang berada dalam keadaan menurun, lalu melakukan rawatan penyakit, tilikan barang yang hilang dan sebagainya selalunya tidak sedar apa yang sedang berlaku pada dirinya ketika proses menurun berlaku.

Selepas rawatan dilakukan, orang yang berkenaan sering bertanya apa kehendak wali ataupun malaikat yang meresap dalam tubuhnya. Jelasnya orang yang terlibat dengan kegiatan seperti ini, dia sendiri pun tidak tahu apa yang berlaku ke atas dirinya.

 

Sumber: Mingguan Malaysia (5 Okt 2006)-Disaring oleh www.darukautsar.net Beberapa pindaan pada tajuk dan sebahagian kandungan

Check Also

AL-KAFI #648: PERAWAT "MENURUN" DALAM RAWATAN

Soalan: Apakah hukum berubat dengan seseorang dengan kaedah “menurun”? Jawapan: Menurun adalah satu keadaan di …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *