Home / darulkautsar.net / Pemurnian Aqidah / ISU SEMASA & AMALAN MASYARAKAT / BENARKAH DUKUN MENGETAHUI PERKARA GHAIB?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

BENARKAH DUKUN MENGETAHUI PERKARA GHAIB?

(Saringan oleh www.darulkautsar.net dari tulisan Sheikh Muhammad Abdurrahman Al Khumayyis)

Biarpun dunia telah memasuki zaman millennium, zaman serba canggih dengan segala teknologinya, ternyata ramai yang terjebak dan mempercayai tipuan ‘dukun’. Ada yang menyebutnya sebagai ‘tok bomoh’, paranormal ataupun tukang tenung nasib. Kononnya, mereka dapat mengetahui nasib seseorang atau hal-hal ghaib. Mereka sebenarnya adalah penipu yang berbohong kepada pesakit atau mereka yang mengadu hal untuk mendapatkan penyelesaian. Bagaimanakah sebenarnya sang dukun mengetahui hal yang ghaib? Apakah hal-hal ghaib dapat dipelajari?

Insya Allah tulisan berikut, dapat menjadi pedoman kepada kita untuk meluruskan aqidah. Kami nukilkan dari majalah Al Ashalah Edisi Dzulhijjah 1416 H, artikel yang berjudul ‘Ilmul Ghaib Wa Ahwal Kuhanah Wal ‘Arafin, yang diitulis oleh Muhammad Abdurrahman Al Khumayyis. Juga kami sertakan ulasan singkat Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin, yang dinukil dari Majmu’ Fatawa, Jilid 1 hal. 67. Semoga bermafaat. (Penterjemah).

BENARKAH DUKUN MENGETAHUI PERKARA GHAIB?

Alhamdulillah, ash shalatu wassalamu ‘ala Rasulillah wa ba’du;

Sesungguhnya pengetahuan terhadap perkara ghaib termasuk hal yang menjadi rahsia Allah s.w.t. Sifat ini termasuk di antara sifat Allah yang paling khusus, yang tidak ada seorang makhluk pun dapat menyamaiNya. Sebagaimana firmanNya,

وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لاَيَعْلَمُهَآ إِلاَّ هُوَ وَيَعْلَمُ مَافِي الْبَرِّوَالْبَحْرِ وَمَا تَسْقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلاَّ يَعْلَمُهَا وَلاَحَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ اْلأَرْضِ وَلاَرَطْبٍ وَلاَيَابِسٍ إِلاَّ فِي كِتَابٍ مًّبِينٍ

Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata. (QS Al An’am: 59).

Dan firmanNya,

عَالِمَ الْغَيْبِ فَلاَ يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا . إِلاَّمَنِ ارْتَضَى مِن رَّسُولٍ فَإِنَّهُ يَسْلُكُ مِن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ رَصَدًا

Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun. Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redhaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan (QS Al Jin : 26,27).

Barangsiapa berkeyakinan, bahawa dirinya atau orang lain boleh menguasai perkara ghaib, bermakna ia telah kafir, kerana perkara ini adalah termasuk di antara perkara yang tidak pernah diberitahu kepada sesiapapun oleh Allah; tidak kepada para malaikat yang dekat dan tidak juga kepada para rasul yang diutus.

Namun amat mendukacitakan, ramai orang awam di negara-negara Islam yang masih percaya kepada cerita-cerita khurafat dan cerita-cerita syirik orang-orang jahiliyah ini. Misalnya percaya bahawa ada orang tertentu yang dapat mengetahui perkara ghaib, contohnya, dukun, tukang tenung atau yang seumpamanya. Fenomena ini dapat dilihat banyak terjadi di negara-negara Islam. Ini adalah kesalahan yang sangat bahaya kepada aqidah, kerana ianya merupakan perbuatan menyekutukan Allah dalam hal yang menjadi kekhususan Allah, iaitu mengetahui perkara ghaib.

Dalam sebuah hadits,

مَنْ أَتَى كَاهِنًا أَوْ عَرَّافًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Barangsiapa yang mendatangi tukang tenung atau dukun, lalu ia percaya dengan apa yang dikatakan dukun atau tukang tenung itu, bermakna dia telah kafir dengan apa yang telah diturunkan kepada Muhammad. (HR. Imam Ahmad)

Dukun-dukun itu telah banyak merosakkan sendi-sendi kehidupan masyarakat. Masyarakat telah membelanjakan banyak harta demi untuk mendapatkan maklumat dari ilmu ghaib ini (menurut sangkaan mereka) dan sang dukun memberitahu mereka beberapa perkara, sebahagiannya (kebetulan-pent) benar dan sebahagiannya lagi bohong. Bahkan sebahagian besarnya adalah bohong. Sehingga terbaliklah neraca kehidupannya, iaitu ramai orang yang mengatur hidup mereka berdasarkan cadangan-cadangan yang disarankan oleh sang pendusta yang mengaku mengetahui perkara ghaib.

Allah berfirman kepada NabiNya,

قُل لآَّأَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلاَ ضَرًّا إِلاَّ مَاشَآءَ اللهُ وَلَوْ كُنتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَامَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلاَّ نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Katakanlah: “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”.(QS Al A’raf : 188).

Jika Nabi pun tidak mengetahui perkara ghaib, bahkan dengan terang Baginda menafikan mengetahui perkara ghaib, maka orang lain tentunya lebih tidak tahu, kerana Baginda lebih layak untuk mengetahui perkara ghaib berbanding orang lain. Beliau adalah anak Adam yang paling utama. Ketika ada nash yang menyatakan bahawa Baginda tidak mengetahui hal-hal ghaib sudah tentu orang lain lebih tidak tahu lagi.

Ramai orang yang tergelincir ke dalam kesalahan yang berbahaya ini adalah disebabkan mereka mendapati beberapa perkara yang diberitahu oleh pendusta ini (dukun) kelihatan ‘benar’. Sehingga akhirnya mereka percaya kepada cerita-cerita seterusnya dari dukun tersebut.

Begitulah pintu kedustaan dan dajjal menjadi semakin terbuka. Para pendusta inipun menjelma menjadi wali-wali Allah (menurut dugaan mereka). Orang-orang awam itu melupakan banyak hal. Diantaranya :

– Bahawa pengetahuan tentang perkara ghaib hanya diketahui oleh Allah. Bahkan sebahagian perkara ghaib yang disampaikan oleh para nabi hanya berdasarkan apa yang Allah beritahu kepada mereka dan bukan kerana usaha mereka sendiri. Sebagaimana firman Allah,

عَالِمَ الْغَيْبِ فَلاَ يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا . إِلاَّمَنِ ارْتَضَى مِن رَّسُولٍ فَإِنَّهُ يَسْلُكُ مِن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ رَصَدًا

Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun. Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redhaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaa (QS Al Jin : 26,27).

– Bahawa kebanyakan orang yang mengaku mengetahui perkara ghaib bukanlah dari kalangan orang yang baik-baik dan bertaqwa. Bahkan ada diantara mereka yang fajir (jahat) lagi zindiq. Mereka bergelumang dalam perbuatan yang diharamkan seperti berkhalwat (berdua-duaan) dengan wanita yang halal nikah, memakan makanan haram dan lain-lain. Kenyataan ini menunjukkan bahawa berita-berita tentang perkara ghaib kadang-kadang bersumber dari orang yang tidak shalih, malah mungkin mereka yang bukan Islam. Mungkinkah mereka ini menjadi wali-wali Allah?

– Seandainya mengetahui hal yang ghaib itu merupakan hasil dari keimanan yang benar, tentulah orang yang paling berhak ialah Rasulullah s.a.w . Tetapi Baginda sendiri tidak mengetahui perkara ghaib.

– Seandainya orang-orang ini benar-benar mengetahui perkara ghaib, tentu mereka akan menghindarkan diri dari bencana-bencana atau kejahatan yang akan menimpa mereka.

Adapun jalan yang ditempuh oleh para pendusta ini, sehingga dapat memberitahu perkara ghaib, adalah sebagaimana berikut :

– Sekelompok dari mereka mempunyai hubungan dengan jin. Jin-jin ini menyampaikan kepada si dukun sebahagian berita benar yang dicuri. Kemudian dukun ini mencipta seratus lagi kedustaan. Sebagaimana diceritakan dalam sebuah hadits,

قَالَتْ عَائِشَةُ زَوْجُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَأَلَ أُنَاسٌ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْكُهَّانِ فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسُوا بِشَيْءٍ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُمْ يُحَدِّثُونَ أَحْيَانًا بِالشَّيْءِ يَكُونُ حَقًّا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تِلْكَ الْكَلِمَةُ مِنَ الْحَقِّ يَخْطَفُهَا الْجِنِّيُّ فَيُقِرُّهَا فِي أُذُنِ وَلِيِّهِ فَيَخْلِطُونَ فِيهَا مِائَةَ كَذْبَةٍ

Aisyah isteri Nabi s.a.w. berkata, “Ada sekelompok orang yang bertanya kepada Rasulullah masalah dukun, Baginda menjawab, ‘Mereka tidak ada apa-apanya”. Orang-orang itu berkata, Wahai Rasulullah, terkadang mereka membicarakan sesuatu yang benar. Maka Rasulullah s.a.w. menjawab, Itulah sebuah kalimat kebenaran yang dicuri oleh jin, lalu disampaikan kepada telinga walinya, lalu wali-wali jin ini mencampurinya dengan seratus kedustaan”.

– Ada orang kadang-kadang memiliki firasat atau kemampuan untuk membaca apa yang sedang bergejolak dalam hati seseorang yang berada di depannya. Lalu, dia memberitahu kepada orang tersebut sebahagian dari apa yang diketahuinya menyebabkan orang tersebut menjadi kagum dan menganggap dia sebagai seorang wali. Padahal kemampuan seperti ini dapat juga dimiliki oleh orang-orang kafir. Dan dapat juga dimiliki oleh ahli psikologi dan juga orang-orang lain.

– Ada dukun meminta bantuan kepada pembantu-pembantunya yang menyelinap masuk di tengah masyarakat sehingga dapat mengetahui nama seseorang atau sedikit tentang riwayat hidupnya, atau sesuatu yang ingin diketahuinya. Bila pembantu tersebut memperolehi maklumat yang diperlukan, dia menyampaikannya kepada ‘sang dajjal’ (dalam hal ini dukun). Dengan modal tersebut, dukun berjumpa dengan mangsanya dan memberitahu sehingga menyebabkan ianya dianggapnya mengetahui semua perkara yang telah berlaku. Disebabkan hal tersebut, kata-kata dan ramalan-ramalan tentang perkara yang akan berlaku akan senang diterima oleh mangsa.

Sebagai penutup, saya ingatkan kepada kaum muslimin, agar jangan merosakkan agamanya, akidahnya, dunianya dan akhiratnya dengan mendatangi dukun atau tukang tenung, meminta pendapat mereka ataupun mempercayai mereka. Semua itu merupakan kekufuran.

Mereka wajib bertaubat kepada Allah dari perbuatan tersebut, jika mereka sudah terlanjur tergelincir dalam perbuatan seperti itu.

Mereka wajib memperbetulkan kembali akidahnya. Kewajipan yang paling penting ialah mengetahui hal-hal yang dapat memperbaiki dan hal yang dapat merosakkan iman. Ini merupakan kewajiban yang paling asas. Wallahu min wara’ al qhasd

HUKUM ORANG YANG MENGAKU MENGETAHUI PERKARA GHAIB

Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin pernah ditanya tentang hukum orang yang mengaku mengetahui perkara ghaib. Maka, beliau menjawab sebagai berikut:

Orang yang mengaku mengetahui perkara ghaib, berarti ia telah kafir. Sebab, ia telah mendustakan Allah . Allah berfirman,

قُل لاَّيَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَاْلأَرْضِ الْغَيْبَ إِلاَّ اللهُ وَمَايَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ

Katakanlah,”Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah”, dan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan. (QS An Naml : 65).

Apabila Allah telah menyuruh NabiNya, Muhammad s.a.w. untuk memberitahu kepada orang ramai, bahawa tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib, kecuali Allah; maka orang yang mengaku mengetahuinya, bermakna dia telah mendustakan Allah. Kita katakan kepada orang-orang ini, bagaimana mungkin anda mengetahui perkara ghaib, padahal Nabi sendiripun tidak mengetahuinya? Apakah anda lebih mulia dari Rasulullah? Jika mereka menjawab, “Kami lebih mulia” bermakna mereka telah kafir akibat dari perkataannya itu. Jika mereka menjawab, “Dia lebih mulia” maka kita katakan, “Kenapa dia tidak mengetahui yang ghaib, sedangkan anda dapat mengetahuinya?” Padahal Allah berfirman,

عَالِمَ الْغَيْبِ فَلاَ يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا . إِلاَّمَنِ ارْتَضَى مِن رَّسُولٍ فَإِنَّهُ يَسْلُكُ مِن بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ رَصَدًا

Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun. Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan. (QS Al Jin : 26,27).

Inilah ayat kedua yang menunjukkan kekufuran orang-orang yang mengaku mengetahui perkara ghaib. Padahal Allah telah memerintahkan NabiNya, Muhammad s.a.w.untuk mengumumkan kepada orang ramai dengan firmanNya,

قُل لآأَقُولُ لَكُمْ عِندِى خَزَآئِنُ اللهِ وَلآأَعْلَمُ الْغَيْبَ وَلآأَقُولُ لَكُمْ إِنِّي مَلَكٌ إِنْ أَتَّبِعُ إِلاَّ مَايُوحَى إِلَيَّ

Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku. (QS Al An’am : 50).

Sumber : http://www.salafyoon.net/ (dipetik dari Majalah As-Sunnah Edisi 10/Tahun VI/1423H/2003M) dengan sedikit pindaan

Check Also

AL-KAFI #648: PERAWAT "MENURUN" DALAM RAWATAN

Soalan: Apakah hukum berubat dengan seseorang dengan kaedah “menurun”? Jawapan: Menurun adalah satu keadaan di …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *