Home / darulkautsar.net / Syarahan Hadis / Muslim / Kitab Jihad Dan Sirah / Sahih Muslim – Kitab Jihad & Sirah – Sesi 5 – Bab Harus Membunuh Orang_orang Perempuan Dan Kanak-Kanak Dalam Serangan Pada Waktu Malam Dengan Tidak Sengaja
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sahih Muslim – Kitab Jihad & Sirah – Sesi 5 – Bab Harus Membunuh Orang_orang Perempuan Dan Kanak-Kanak Dalam Serangan Pada Waktu Malam Dengan Tidak Sengaja

Sahih Muslim – Matan Hadith – Kitab Jihad & Sirah – Sesi 5 – 05-Mac-08

 

Matan MP3: STREAMING atau DOWNLOAD

 MP3

 

 

Sahih Muslim – Syarah Hadith – Kitab Jihad & Sirah – Sesi 5 – 05-Mac-08

 

Syarah MP3: STREAMING atau DOWNLOAD

 MP3

 

بَاب جَوَازِ قَتْلِ النِّسَاءِ وَالصِّبْيَانِ فِي الْبَيَاتِ مِنْ غَيْرِ تَعَمُّدٍ

Bab Harus Membunuh Orang-Orang Perempuan Dan Kanak-Kanak Dalam Serangan Pada Waktu Malam Dengan Tidak Sengaja

3281 – و حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى وَسَعِيدُ بْنُ مَنْصُورٍ وَعَمْرٌو النَّاقِدُ جَمِيعًا عَنْ ابْنِ عُيَيْنَةَ قَالَ يَحْيَى أَخْبَرَنَا سُفْيَانُ بْنُ عُيَيْنَةَ عَنْ الزُّهْرِيِّ عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ الصَّعْبِ بْنِ جَثَّامَةَ قَالَ  سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الذَّرَارِيِّ مِنْ الْمُشْرِكِينَ يُبَيَّتُونَ فَيُصِيبُونَ مِنْ نِسَائِهِمْ وَذَرَارِيِّهِمْ فَقَالَ هُمْ مِنْهُمْ

Yahya bin Yahya, Sai’d bin Mansur dan ‘Amar al-Naqid telah meriwayatkan kepada kami daripada Ibnu Uyainah, Yahya berkata: Sufyan bin ‘Uyainah telah menceritakan kepada kami daripada al-Zuhri daripada ‘Ubaidillah daripada ‘Ubaidillah daripada Ibnu ‘Abbas daripada al-Sa’b bin Jatstsamah, beliau berkata: “Nabi s.a.w. pernah ditanya tentang anak-anak orang-orang musyrikin yang diserang pada waktu malam[1] sehingga orang-orang yang menyerangnya membunuh/mencederakan orang-orang perempuan dan anak-anak mereka[2]. Maka Baginda menjawab: “Anak-anak mereka[3] dikira sebahagian daripada mereka.[4]

3282 – حَدَّثَنَا عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ أَخْبَرَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ أَخْبَرَنَا مَعْمَرٌ عَنْ الزُّهْرِيِّ عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُتْبَةَ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ الصَّعْبِ بْنِ جَثَّامَةَ قَالَ  قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا نُصِيبُ فِي الْبَيَاتِ مِنْ ذَرَارِيِّ الْمُشْرِكِينَ قَالَ هُمْ مِنْهُمْ

Abd bin Humaid telah meriwayatkan kepada kami, katanya: ‘Abd al-Razzaq telah menceritakan kepada kami, katanya: Ma’mar telah menceritakan kepada kami daripada Zuhri daripada ‘Ubaidillah bin ‘Abdillah bin ‘Utbah daripada Ibnu ‘Abbas daripada al-Sha’b bin Jatstsamah beliau berkata: “Aku berkata: Wahai Rasulullah! (Bagaimana) kalau kita membunuh/mencederakan anak-anak orang musyrikin dalam serangan pada waktu malam?” Nabi s.a.w. menjawab: “Anak-anak mereka sebahagian daripada mereka.”

3283 – و حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ رَافِعٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ أَخْبَرَنَا ابْنُ جُرَيْجٍ أَخْبَرَنِي عَمْرُو بْنُ دِينَارٍ أَنَّ ابْنَ شِهَابٍ أَخْبَرَهُ عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُتْبَةَ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ الصَّعْبِ بْنِ جَثَّامَةَ  أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِيلَ لَهُ لَوْ أَنَّ خَيْلًا أَغَارَتْ مِنْ اللَّيْلِ فَأَصَابَتْ مِنْ أَبْنَاءِ الْمُشْرِكِينَ قَالَ هُمْ مِنْ آبَائِهِمْ

Muhammad bin Rafi’ telah meriwayatkan kepada saya, katanya: ‘Abd al-Razzaq telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Ibnu Juraij telah menceritakan kepada kami, katanya: ‘Amar bin Dinar telah menceritakan kepada saya bahawa Ibnu Syihab telah menceritakan kepadanya daripada ‘Ubaidillah bin ‘Abdillah bin ‘Utbah daripada Ibn Abbas daripada al-Sha’b bin Jatstsamah bahawa Nabi s.a.w. pernah ditanya; Bagaimana kalau tentera berkuda orang Islam menyerbu pada waktu malam sehingga menyebabkan terbunuh/tercedera anak-anak orang-orang musyrik?” Nabi s.a.w. menjawab: “Anak-anak mereka dikira  sebahagian daripada mereka.”

بَاب جَوَازِ قَطْعِ أَشْجَارِ الْكُفَّارِ وَتَحْرِيقِهَا

Bab Harus Menebang Pokok-Pokok Orang-Orang Kafir Dan Membakarnya[5]

3284 – حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى وَمُحَمَّدُ بْنُ رُمْحٍ قَالَا أَخْبَرَنَا اللَّيْثُ و حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا لَيْثٌ عَنْ نَافِعٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَرَّقَ نَخْلَ بَنِي النَّضِيرِ وَقَطَعَ وَهِيَ الْبُوَيْرَةُ زَادَ قُتَيْبَةُ وَابْنُ رُمْحٍ فِي حَدِيثِهِمَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ

{ مَا قَطَعْتُمْ مِنْ لِينَةٍ أَوْ تَرَكْتُمُوهَا قَائِمَةً عَلَى أُصُولِهَا فَبِإِذْنِ اللَّهِ وَلِيُخْزِيَ الْفَاسِقِينَ }

Yahya bin yahya dan Muhammad bin Rumh telah meriwayatkan kepada kami, mereka berdua berkata: al-Laits telah menceritakan kepada kami dan Qutaibah bin Sai’d telah menceritakan kepada kami, katanya: Laits telah meriwayatkan kepada kami daripada Nafi’ daripada Abdullah bahawa Rasulullah s.a.w. telah membakar kebun tamar Bani al-Nadhir[6] dan Baginda telah menebang pokok-pokok[7] iaitu di Buwairah. Qutaibah dan Ibnu Rumh dalam hadits mereka berdua ada tambahan: ‘Maka Allah Azza Wa Jalla menurunkan ayat { mana-mana jua pohon kurma (kepunyaan musuh) yang kamu tebang atau kamu biarkan tegak berdiri seperti keadaannya yang asal, maka yang demikian adalah dengan izin Allah (kerana ia hendak memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin), dan kerana ia hendak menimpakan kehinaan kepada orang-orang yang fasik }

3285 – حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ مَنْصُورٍ وَهَنَّادُ بْنُ السَّرِيِّ قَالَا حَدَّثَنَا ابْنُ الْمُبَارَكِ عَنْ مُوسَى بْنِ عُقْبَةَ عَنْ نَافِعٍ عَنْ ابْنِ عُمَرَ  أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَطَعَ نَخْلَ بَنِي النَّضِيرِ وَحَرَّقَ وَلَهَا يَقُولُ حَسَّانُ وَهَانَ عَلَى سَرَاةِ بَنِي لُؤَيٍّ  حَرِيقٌ بِالْبُوَيْرَةِ مُسْتَطِيرُ وَفِي ذَلِكَ نَزَلَتْ

{ مَا قَطَعْتُمْ مِنْ لِينَةٍ أَوْ تَرَكْتُمُوهَا قَائِمَةً عَلَى أُصُولِهَا } الْآيَةَ

Sai’d bin Mansur dan Hannad bin al-Sarriy telah meriwayatkan kepada kami, mereka berdua berkata: Ibnu al-Mubarak telah meriwayatkan kepada kami daripada Musa bin ‘Uqbah daripada Nafi’ daripada Ibn ‘Umar bahawa Rasulullah s.a.w. telah menebang pokok tamar Bani al-Nadhir dan membakar, kerana itulah Hassan[8] mengungkapkan syair: Pemimpin-pemimpin Bani Lu`ai tidak kesal dengan pembakaran kebun tamar secara meluas di Buwairah. Berhubung perkara itu turun ayat { mana-mana jua pohon kurma (kepunyaan musuh) yang kamu tebang atau kamu biarkan tegak berdiri } sehingga akhir ayat.

3286 – و حَدَّثَنَا سَهْلُ بْنُ عُثْمَانَ أَخْبَرَنِي عُقْبَةُ بْنُ خَالِدٍ السَّكُونِيُّ عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ عَنْ نَافِعٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ  حَرَّقَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَخْلَ بَنِي النَّضِيرِ

Sahl bin Utsman telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Uqbah bin Khalid al-Sakuniy telah menceritakan kepada saya daripada Ubaidillah daripada Nafi’ daripada Abdillah bin Umar, beliau berkata: “Rasulullah s.a.w. telah membakar kebun kurma Bani al-Nadir.”

بَاب تَحْلِيلِ الْغَنَائِمِ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ خَاصَّةً

Bab Halal Harta-Harta Rampasan Perang Untuk Ummat Ini Sahaja

3287 – و حَدَّثَنَا أَبُو كُرَيْبٍ مُحَمَّدُ بْنُ الْعَلَاءِ حَدَّثَنَا ابْنُ الْمُبَارَكِ عَنْ مَعْمَرٍ ح و حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ رَافِعٍ وَاللَّفْظُ لَهُ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ أَخْبَرَنَا مَعْمَرٌ عَنْ هَمَّامِ بْنِ مُنَبِّهٍ قَالَ هَذَا مَا حَدَّثَنَا أَبُو هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ أَحَادِيثَ مِنْهَا  وَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَزَا نَبِيٌّ مِنْ الْأَنْبِيَاءِ فَقَالَ لِقَوْمِهِ لَا يَتْبَعْنِي رَجُلٌ قَدْ مَلَكَ بُضْعَ امْرَأَةٍ وَهُوَ يُرِيدُ أَنْ يَبْنِيَ بِهَا وَلَمَّا يَبْنِ وَلَا آخَرُ قَدْ بَنَى بُنْيَانًا وَلَمَّا يَرْفَعْ سُقُفَهَا وَلَا آخَرُ قَدْ اشْتَرَى غَنَمًا أَوْ خَلِفَاتٍ وَهُوَ مُنْتَظِرٌ وِلَادَهَا قَالَ فَغَزَا فَأَدْنَى لِلْقَرْيَةِ حِينَ صَلَاةِ الْعَصْرِ أَوْ قَرِيبًا مِنْ ذَلِكَ فَقَالَ لِلشَّمْسِ أَنْتِ مَأْمُورَةٌ وَأَنَا مَأْمُورٌ اللَّهُمَّ احْبِسْهَا عَلَيَّ شَيْئًا فَحُبِسَتْ عَلَيْهِ حَتَّى فَتَحَ اللَّهُ عَلَيْهِ قَالَ فَجَمَعُوا مَا غَنِمُوا فَأَقْبَلَتْ النَّارُ لِتَأْكُلَهُ فَأَبَتْ أَنْ تَطْعَمَهُ فَقَالَ فِيكُمْ غُلُولٌ فَلْيُبَايِعْنِي مِنْ كُلِّ قَبِيلَةٍ رَجُلٌ فَبَايَعُوهُ فَلَصِقَتْ يَدُ رَجُلٍ بِيَدِهِ فَقَالَ فِيكُمْ الْغُلُولُ فَلْتُبَايِعْنِي قَبِيلَتُكَ فَبَايَعَتْهُ قَالَ فَلَصِقَتْ بِيَدِ رَجُلَيْنِ أَوْ ثَلَاثَةٍ فَقَالَ فِيكُمْ الْغُلُولُ أَنْتُمْ غَلَلْتُمْ قَالَ فَأَخْرَجُوا لَهُ مِثْلَ رَأْسِ بَقَرَةٍ مِنْ ذَهَبٍ قَالَ فَوَضَعُوهُ فِي الْمَالِ وَهُوَ بِالصَّعِيدِ فَأَقْبَلَتْ النَّارُ فَأَكَلَتْهُ فَلَمْ تَحِلَّ الْغَنَائِمُ لِأَحَدٍ مِنْ قَبْلِنَا ذَلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى رَأَى ضَعْفَنَا وَعَجْزَنَا فَطَيَّبَهَا لَنَا

Abu Kuraib Muhammad bin al-‘Alaa` telah meriwayatkan kepada kami, mereka berkata: Ibnu al-Mubarak telah meriwayatkan kepada kami daripada Ma’mar ح dan Muhammad bin Rafi’ telah meriwayatkan kepada kami dan lafaz hadits adalah melaluinya, katanya: Abd al-Razzaaq telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Ma’mar telah menceritakan kepada kami daripada Hammam bin Munabbih, beliau berkata: Ini adalah hadits yang Abu Hurairah ceritakan kepada kami daripada Rasulullah s.a.w. lalu beliau menyebutkan beberapa hadits, antaranya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Pernah salah seorang nabi[9] hendak keluar pergi berperang. Ketika itu dia berkata kepada kaumnya: “Jangan ada sesiapa yang memiliki kemaluan perempuan[10] dalam keadaan dia mahu bersamanya dan belum lagi sempat bersamanya[11] mengikut aku.[12] Dan jangan ada orang yang membuat rumah dan dia belum membuat bumbungnya mengikutku[13] dan jangan juga orang yang membeli kambing ataupun unta-unta yang sudah bunting dan dia menanti kelahiran anaknya[14] mengikutku.[15]” Selepas itu dia pun keluar pergi berperang. Setelah dia hampir dengan negeri yang ingin diperanginya ketika itu waktu sudah/hampir untuk sembahyang ‘Asar lalu dia berkata kepada matahari: “Engkau diperintahkan oleh Allah, aku juga diperintah oleh Allah. Ya Allah! Tahanlah matahari ini sebentar untukku.[16]” Maka matahari ditahan[17] untuknya sehingga diberi kemenangan untuknya. Nabi s.a.w. bersabda: “Mereka pun mengumpulkan harta rampasan perang yang mereka perolehi. Api pun datang untuk memakannya tetapi enggan memakannya. Maka nabi itu pun berkata: “Mesti ada di kalangan kamu melakukan pengkhianatan terhadap harta rampasan perang ini. Hendaklah seorang dari setiap qabilah bersalam denganku.” Mereka pun bersalamlah dengannya. Maka lekatlah tangan salah seorang di tangannya. Maka nabi itu berkata: “Pengkhianatan itu berlaku di kalangan kamu. Hendaklah qabilahmu datang bersalam denganku.” Puak-puak itu/qabilah itu datang bersalam dengannya maka lekatlah tangan dua atau tiga orang di tangan nabi itu. Nabi itu berkata: “Mesti ada pengkhiatan ini pada kamu. Kamu telah melakukan pengkhianatan terhadapa harta ghanimah ini.” Nabi s.a.w. bersabda: “Mereka pun mengeluarkan kepada nabi itu emas sebesar kepala lembu.” Nabi s.a.w. menceritakan: “Mereka pun meletakkan emas tadi dalam harta-harta rampasan perang yang dikumpulkan selepas itu datanglah api lalu memakannya/membakarnya sehingga habis. Tidak ada harta ghanimah ini halal untuk sesiapa pun dari orang-orang sebelum kita. Itu kerana Allah melihat kelemahan kita dan kelesuan kita, kerana itu dia menghalalkan harta ghanimah itu untuk kita.”

[1] Serangan pada waktu malam ataupun gelap menyebabkan tidak dapat dibezakan antara lelaki dan perempuan. Sekiranya ada jalan lain yang membawa kepada kemenangan dan tidak mendatangkan masalah kepada tentera Islam maka hendaklah memikirkan cara lain yang dapat mengelakkan daripada kaum perempuan dan kanak-kanak terkena serangan.

[2] Dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja seperti:

  1. Terlibat dengan perang. Jika tidak terlibat maka tidak harus membunuh atau mencederakan mereka.

  2. Mereka dijadikan sebagai perisai manusia. Dalam keadaan ini serangan terhadap mereka tidak dapat dielakkan.

  • Dengan tidak sengaja, sebagai contoh; serangan pada waktu gelap menyebabkan mereka tercedera atau terbunuh dengan tidak sengaja.

[3] Dari segi hukum duniawi, kanak-kanak mereka yang mati tetap dikuburkan di tanah perkuburan orang-orang kafir manakala ulama berbeza pendapat tentang hukum mereka di akhirat.  Ini berma’na hukum duniawi anak-anak orang kafir adalah mengikut hukum ayahnya.

Imam al-Nawawi menyebutkan dalam syarah Sahih Muslim (Jld 6. ms. 293) bahawa jika mereka mati sebelum baligh maka ada tiga pendapat:

  1. Mereka masuk syurga (inilah yang sahih menurut Imam al-Nawawi)

  2. Mereka masuk neraka

  • Tidak diputuskan apa-apa sama ada syurga atau neraka, terserah kepada Allah.

[4] Hadits juga menjadi dalil bahawa harus menyerang waktu malam dan harus menyerang tanpa memberitahu terlebih dahulu. Ini menunjukkan bahawa mereka telahpun mengetahui seruan Islam.

[5] Antara adab dalam peperangan ialah tidak dibenarkan menebang pokok-pokok tetapi diharuskan apabila terdesak. Pada asasnya larangan menebang ialah supaya umat Islam tidak meniru cara peperangan orang kafir yang melakukan kemusnahan terhadap tanaman. Allah s.w.t. berfirman:

وَإِذَا تَوَلَّى سَعَى فِي الْأَرْضِ لِيُفْسِدَ فِيهَا وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ وَالنَّسْلَ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْفَسَادَ

 

Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan. (Surah al-Baqarah: 205)

Apabila Allah s.w.t. tidak menyukai sesuatu perbuatan itu dilakukan oleh orang-orang kafir pasti Allah lebih tidak menyukai orang Islam melakukannya. Penebangan hanya ketika dharurat dan apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. itu merupakan keizinan daripada Allah s.w.t. Keizinan ini berdasarkan kepada wahyu khafiy iaitu wahyu yang selain daripada al-Qur`an.

[6] Salah satu puak puak Yahudi yang tinggal di sekitar Madinah. Nabi s.a.w. menyerang mereka kerana membatalkan janji untuk taat setia, membelot dan membentuk pakatan dengan kafir Quraisy untuk menghancurkan orang- orang Islam. Ini berma’na pemimpin Islam boleh menghancurkan ra’yatnya sendiri yang membatalkan taat setia dan khianat kepada pemerintah.

[7]Berhubung dengan hadits ini ada dua pendapat:

  1. Harus menebang dan membakar pokok-pokok orang-orang kafir , ini adalah pendapat ‘Abd al-Rahman bin Qasim, Nafi’ hamba bebasan Ibnu Umar, Malik, al-Tsauri, Abu Hanifah, al-Syafi`e, Ahmad, Ishaq dan Jumhur ulama`.

  2. Manakala Abu Bakr al-Siddiq, al-Laits bin Sa`ad dan Abu Tsaur dan al-Auza`ei dalam satu riwayat daripada mereka tidak mengharuskan menebang atau membakar pokok-pokok orang kafir.

Harus dalam keadaan terdesak yang memerlukan kepada penebangan atau pembakaran pokok-pokok mereka, jika tidak perlu maka tidak harus.

[8] Penyair Nabi s.a.w. yang baginda sediakan mimbar khusus untuknya supaya beliau bersyair membalas syair-syair  orang-orang kafir yang mencela dan mengutuk Baginda.

[9] Nabi Yusya’ bin Nun, seorang nabi yang juga khalifah kepada Nabi Musa.

[10] Iaitu halal kepadanya kemaluan wanita ya’ni isterinya. Di sini ma’nanya dia sudah berkahwin.

[11] Ini menunjukkan penting seseorang itu meninggalkan zuriatnya kerana adakalanya sekali persetubuhan sahaja membuat isteri hamil. Di samping mendapat mati syahid, seseorang mesti juga memikirkan zuriat yang ditinggalkan yang akan meneruskan perjuangan agama.

[12] Larangan ini termasuk dalam ma’na hadits Rasulullah s.a.w. yang melarang seseorang qadhi itu membuat keputusan dalam keadaan dia marah. Di sini, hadits ini melarang seseorang itu membuat sesuatu keputusan yang penting dalam keadaan dirinya tidak tenang dan terganggu. Untuk melaksanakan tugas-tugas yang besar, masalalah-masalah yang kecil hendaklah diselesaikan terlebih dahulu bagi mengelakkan daripada hilang tumpuan dan terganggu fikiran.

[13] Ini menunjukkan tidak boleh meninggalkan orang lain dalam keadaan yang menyusahkan mereka. Orang yang kehadiran dan peranannya sangat penting kepada orang lain hendaklah menyelesaikan dahulu tugasnya supaya tidak menjejaskan tumpuannya.

[14] Supaya akan ada orang yang menjaganya.

[15] Larangan di sini berkenaan dengan jihad atau peperangan yang fardhu kifayah. Perkara-perkara yang disebutkan dalam hadis ini juga menjadi syariat kepada ummat Muhammad s.a.w. kerana baginda menyebutkannya tanpa sebarang teguran, penafian atau komen.

[16] Hadits ini menunjukkan keutamaan menjaga waktu bagi fardhu yang terikat dengan waktu.

[17] Ini adalah salah satu mu`jizat Nabi Yusya’ bin Nun yang membolehkan Nabi Yusya` sempat memperolehi kemenangan sebelum jatuh matahari. Riwayat-riwayat tentang terhenti matahari dari bergerak semuanya palsu melainkan berkenaan dengan Nabi Yusya’ sahaja yang sahih seperti dalam hadis ini.

Check Also

Sahih al-Bukhari – Syarah Hadith – Kitab Azan – Sesi 1- Bab Permulaan Azan

Sahih al-Bukhari – Syarah Hadith – Kitab Azan – Sesi 1- 22 Okt 2016   …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *