Home / darulkautsar.net / Syarahan Hadis / Muslim / Kitab Jihad Dan Sirah / Sahih Muslim – Kitab Jihad & Sirah – Sesi 4 – Bab Harus Menipu Dalam Peperangan
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sahih Muslim – Kitab Jihad & Sirah – Sesi 4 – Bab Harus Menipu Dalam Peperangan

Sahih Muslim – Matan Hadith – Kitab Jihad & Sirah – Sesi 4 – 27-Feb-08

 

Matan MP3: STREAMING atau DOWNLOAD

MP3

 

 

Sahih Muslim – Syarah Hadith – Kitab Jihad & Sirah – Sesi 4 – 27-Feb-08

 

Syarah MP3: STREAMING atau DOWNLOAD

 MP3

 

بَاب جَوَازِ الْخِدَاعِ فِي الْحَرْبِ

Bab Keharusan Membuat Helah Dalam Perang[1]

3273 – و حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ حُجْرٍ السَّعْدِيُّ وَعَمْرٌو النَّاقِدُ وَزُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ وَاللَّفْظُ لِعَلِيٍّ وَزُهَيْرٍ قَالَ عَلِيٌّ أَخْبَرَنَا و قَالَ الْآخَرَانِ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ قَالَ سَمِعَ عَمْرٌو جَابِرًا يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْحَرْبُ خَدْعَةٌ

Ali bin Hujr al-Sa’diy Amar al-Naqid dan Zuhair bin Harb telah meriwayatkan kepada kami dan lafaz hadits adalah melalui Ali dan Zuhair. Ali berkata: ‘telah menceritakan kepada kami’ dan dua orang lagi berkata: ‘telah meriwayatkan kepada kami’ Sufyan, katanya: Amar mendengar Jabir berkata: “Rasulullah s.a.w. bersabda: “Perang itu adalah tipudaya/helah[2].”

3274 – و حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ سَهْمٍ أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الْمُبَارَكِ أَخْبَرَنَا مَعْمَرٌ عَنْ هَمَّامِ بْنِ مُنَبِّهٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْحَرْبُ خَدْعَةٌ

Muhammad bin Abd Rahman bin Sahm telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abdullah bin al-Mubarak telah menceritakan kepada kami, katanya: Ma’mar telah menceritakan kepada kami daripada Hammam bin Munabbih daripada Abi Hurairah, beliau berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Perang itu adalah tipu daya/helah.”

بَاب كَرَاهَةِ تَمَنِّي لِقَاءِ الْعَدُوِّ وَالْأَمْرِ بِالصَّبْرِ عِنْدَ اللِّقَاءِ

Bab Larangan Bercita-Cita Bertemu[3] Dengan Musuh Dan Perintah Supaya Bersabar Ketika Menghadapi Musuh

3275 – حَدَّثَنَا الْحَسَنُ بْنُ عَلِيٍّ الْحُلْوَانِيُّ وَعَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ قَالَا حَدَّثَنَا أَبُو عَامِرٍ الْعَقَدِيُّ عَنْ الْمُغِيرَةِ وَهُوَ ابْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الْحِزَامِيُّ عَنْ أَبِي الزِّنَادِ عَنْ الْأَعْرَجِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَمَنَّوْا لِقَاءَ الْعَدُوِّ فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاصْبِرُوا

Hasan bin Ali al-Hulwani dan Abd bin Humaid telah meriwayatkan kepada kami, mereka berdua berkata: Abu ‘Amir al-‘Aqdiy telah meriwayatkan kepada kami daripada al-Mughirah iaitu Ibnu Abd Rahman al-Hizamiy daripada Abi al-Zinad daripada A’raj daripada Abi Hurairah bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Janganlah kamu bercita-cita untuk menemui musuh tetapi kalau kamu menemui mereka maka hendaklah kamu bersabar.[4]

3276 – و حَدَّثَنِي مُحَمَّدُ بْنُ رَافِعٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ أَخْبَرَنَا ابْنُ جُرَيْجٍ أَخْبَرَنِي مُوسَى بْنُ عُقْبَةَ عَنْ أَبِي النَّضْرِ عَنْ كِتَابِ رَجُلٍ مِنْ أَسْلَمَ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَالُ لَهُ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي أَوْفَى فَكَتَبَ إِلَى عُمَرَ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ حِينَ سَارَ إِلَى الْحَرُورِيَّةِ يُخْبِرُهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ فِي بَعْضِ أَيَّامِهِ الَّتِي لَقِيَ فِيهَا الْعَدُوَّ يَنْتَظِرُ حَتَّى إِذَا مَالَتْ الشَّمْسُ قَامَ فِيهِمْ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ لَا تَتَمَنَّوْا لِقَاءَ الْعَدُوِّ وَاسْأَلُوا اللَّهَ الْعَافِيَةَ فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاصْبِرُوا وَاعْلَمُوا أَنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ ظِلَالِ السُّيُوفِ ثُمَّ قَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الْكِتَابِ وَمُجْرِيَ السَّحَابِ وَهَازِمَ الْأَحْزَابِ اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Muhammad bin Rafi’ telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Abd Razzaq telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Ibnu Juraij telah menceritakan kepada kami, katanya: Musa bin ‘Uqbah telah menceritakan kepada saya daripada Abi al-Nadr daripada kitab seorang lelaki daripada Aslam daripada sahabat-sahabat Nabi s.a.w. beliau dipanggil Abdullah bin Abi Aufa, beliau telah menulis surat kepada Umar bin Ubaidillah ketika dia akan berangkat ke Haruriyyah[5] yang mana dia menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. di dalam salah satu peperangan yang mana Baginda bertemu dengan musuh dalam peperangan itu Baginda menunggu sehingga gelincir matahari.[6] Pada ketika itu Nabi s.a.w. berdiri di kalangan mereka dan bersabda: “Wahai manusia! Jangan kamu bercita-cita menemui musuh. Mintalah kesejahteraan/keselamatan[7] daripada Allah tetapi kalau kamu telah menemui mereka maka bersabarlah[8]. Ketahuilah kamu bahawa syurga itu di bawah bayangan pedang-pedang[9].” Kemudian Nabi s.a.w. bangun dan bersabda[10]: “Ya Allah! Tuhan yang menurunkan kitab, memperjalankan awan dan mengalahkan pakatan musuh. Kalahkanlah mereka dan tolonglah kami dalam menghadapi mereka.”[11]

بَاب اسْتِحْبَابِ الدُّعَاءِ بِالنَّصْرِ عِنْدَ لِقَاءِ الْعَدُوِّ

Bab Elok Berdoa Meminta Pertolongan Allah Ketika Bertemu Dengan Musuh

3277 – حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ مَنْصُورٍ حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ إِسْمَعِيلَ بْنِ أَبِي خَالِدٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أَوْفَى قَالَ  :دَعَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْأَحْزَابِ فَقَالَ اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الْكِتَابِ سَرِيعَ الْحِسَابِ اهْزِمْ الْأَحْزَابَ اللَّهُمَّ اهْزِمْهُمْ وَزَلْزِلْهُمْ

Sai’d bin Mansur telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Khalid bin Abdillah telah meriwayatkan kepada kami daripada Ismail bin Abi Khalid daripada Abdillah bin Abi Aufa, beliau berkata: “Rasulullah s.a.w. berdoa ke atas pakatan musuh dengan berkata: “Ya Allah! Tuhan yang menurunkan kitab, yang Maha Cepat Menghitung! Kalahkanlah tentera bersekutu. Ya Allah! Kalahkanlah mereka dan goncangkanlah mereka.[12]

و حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا وَكِيعُ بْنُ الْجَرَّاحِ عَنْ إِسْمَعِيلَ بْنِ أَبِي خَالِدٍ قَالَ سَمِعْتُ ابْنَ أَبِي أَوْفَى يَقُولُ : دَعَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمِثْلِ حَدِيثِ خَالِدٍ غَيْرَ أَنَّهُ قَالَ هَازِمَ الْأَحْزَابِ وَلَمْ يَذْكُرْ قَوْلَهُ اللَّهُمَّ و حَدَّثَنَاه إِسْحَقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ وَابْنُ أَبِي عُمَرَ جَمِيعًا عَنْ ابْنِ عُيَيْنَةَ عَنْ إِسْمَعِيلَ بِهَذَا الْإِسْنَادِ وَزَادَ ابْنُ أَبِي عُمَرَ فِي رِوَايَتِهِ مُجْرِيَ السَّحَابِ

Abu Bakr bin Abi Syaibah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Waki’ bin al-Jarraah telah meriwayatkan kepada kami daripada Ismail bin Abi Khalid, beliau berkata: Aku mendengar Ibnu Abi Aufa berkata: Rasulullah s.a.w. berdoa seperti hadits Khalid cuma beliau meriwayatkan: ‘yang mengalahkan pakatan musuh,’ dan dia tidak menyebutkan sabdanya: “Ya Allah!” Dan Ishaq bin Ibrahim dan Ibnu Abi Umar, mereka semua telah meriwayatkannya daripada Ibnu Uyaynah daripada Isma’il dengan isnad ini dan Ibnu Abi Umar dalam riwayatnya ‘Tuhan yang memperjalankan awan.”

3278 – و حَدَّثَنِي حَجَّاجُ بْنُ الشَّاعِرِ حَدَّثَنَا عَبْدُ الصَّمَدِ حَدَّثَنَا حَمَّادٌ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ يَوْمَ أُحُدٍ اللَّهُمَّ إِنَّكَ إِنْ تَشَأْ لَا تُعْبَدْ فِي الْأَرْضِ

Hajjaj bin al-Sya`ir telah meriwayatkan kepada saya, katanya: ‘Abd al-Somad telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Hammad telah meriwayatkan kepada kami daripada Thabit daripada Anas bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda pada hari berlakunya perang Uhud: “Ya Allah! Sesungguhnya jika engkau mahu (boleh engkau lakukan sehingga) engkau tidak disembah lagi di muka bumi ini.[13]

بَاب تَحْرِيمِ قَتْلِ النِّسَاءِ وَالصِّبْيَانِ فِي الْحَرْبِ

Bab Haram Membunuh Perempuan Dan Kanak-Kanak Dalam Peperangan

3279 – حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى وَمُحَمَّدُ بْنُ رُمْحٍ قَالَا أَخْبَرَنَا اللَّيْثِ  ح و حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا لَيْثٌ عَنْ نَافِعٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ امْرَأَةً وُجِدَتْ فِي بَعْضِ مَغَازِي رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَقْتُولَةً فَأَنْكَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَتْلَ النِّسَاءِ وَالصِّبْيَانِ

Yahya bin Yahya dan Muhammad bin Rumh telah meriwayatkan kepada kami, mereka berdua berkata: Laits telah menceritakan kepada kami  ح dan Qutaibah bin Sai’d telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Laits telah meriwayatkan kepada kami daripada Nafi’ daripada Abdillah bahawa ada seorang perempuan didapati/ditemui  terbunuh dalam salah satu peperangan Rasulullah s.a.w.. Rasulullah s.a.w. telah menegur pembunuhan  perempuan dan kanak-kanak[14].

3280 – حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بِشْرٍ وَأَبُو أُسَامَةَ قَالَا حَدَّثَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ عَنْ نَافِعٍ عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ وُجِدَتْ امْرَأَةٌ مَقْتُولَةً فِي بَعْضِ تِلْكَ الْمَغَازِي فَنَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِ النِّسَاءِ وَالصِّبْيَانِ

Abu Bakr bin Abi Syaibah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Muhammad bin Bisyr dan Abu Usamah telah meriwayatkan kepada kami, mereka berdua berkata: Ubaidullah bin Umar telah meriwayatkan kepada kami daripada Nafi’ daripada Ibnu Umar, beliau berkata: “Ada seorang perempuan didapati telah terbunuh dalam salah satu peperangan maka Rasulullah s.a.w. melarang daripada membunuh perempuan dan kanak-kanak.”

[1] Hadits-hadits sebelum ini adalah berkaitan dengan larangan menipu dan mengkhianati di kalangan pemimpin atau rakyat. Hadits-hadits berikut ini pula menunjukkan keharusan penipuan semasa berlangsungnya peperangan. Tetapi penipuan  ketika berjalannya perdamaian atau genjatan senjata adalah ditegah sama sekali kerana ia merupakan pengkhianatan dan tipu daya yang haram.

[2] Ada lima bacaan bagi perkataan ini yang terbentuk dari huruf-huruf kha, dal, ‘ain dan tamarbutah:

  1. Khad’ah masdar marrah maknanya sekali tipu, untuk menang dalam peperangan memadai dengan strategi sekali tipu sahaja tidak perlu lebih. Kita juga boleh tewas walaupun sekali ditipu. Pukulan mati kerana sekali silap boleh membawa kepada kekalahan. Maknanya kena berhati-hati jangan sebab satu kecuaian sahaja boleh jatuh.

  1. Khud’ah masdar dengan makna tipu daya, helah, jangan mengharapkan orang berperang melawan kita dengan lurus, ia tidak dapat dipisahkan dalam peprangan, inilah hakikatnya dan rukunnya yang terpenting. Peperangan yang sebenar ialah yang mempunyai tipu daya, helah dan strategi.

  • Khuda’ah sighah mubalaghah banyak tipu daya dan helahnya. Jangan kita fikir apabila ada satu helah maka sudah tidak akan ada tipu helah yang lain. Sebenarnya masih ada banyak lagi helah yang mesti kita berwaspada sebagaimana banyaknya jenis senjata maka banyak juga strategi dan helah yang digunakan. Oleh itu, jangan mudah kita mati akal.

  1. Khid’ah masdar hai’ah atau nau’ ya’ni cara, gaya perang adalah satu cara, bentuk penipuan. Jangan dianggap perang itu semata-mata guna tenaga tetapi juga digunakan akal dan tipu daya,

  1. Khada’ah jama’ kepada khaadi’ ya’ni seorang yang penipu, maknanya dalam peperangan bukan seorang yang menipu tetapi sangat ramai dan kita memerlukan kepada ramai orang yang pandai licik untuk berjaya dan memperolehi kemenangan. Kegagalan akan menimpa jika tidak mencukupi orang yang berfikiran licik yang merancang strategi peperangan walaupun mempunyai senjata yang lengkap.

Kelima-lima maksud ini ada dalam peperangan dan kita mesti bijak merancang dan mengatur strategi peperangan. Ini menunjukkan bahawa betapa luasnya pengertian dan pengajaran yang diperolehi daripada hadits Rasulullah s.a.w. walaupun lafaznya ringkas.

[3] Iaitu tidak boleh mendabik dada dan bongkak beria-ria untuk berperang. Larangan ini kerana;

Allah s.w.t. tidak suka kepada orang sombong  dan Dia tidak akan memberikan pertolongan kepada orang sombong.

  1. Terlalu bergantung kepada diri sendiri dan meninggalkan pergantungan kepada pertolongan Allah.

  2. Menampakkan kita terlalu sombong, besar diri.

  • Seolah-olah kita terlalu yakin kepada kekuatan dan persenjataan yang dimiliki.

  1. Ini juga satu penderhakaan kepada Allah dan Dia tidak menolong orang yang derhaka.

  2. Ini menunjukkan kita memandang rendah kepada musuh sedang kita tidak mengetahui kekuatan mereka.

Setengah ulama mentakwilkan bahawa larangan bercita-cita untuk menemui musuh bukan secara mutlak kerana jihad adalah satu ketaatan dan mati syahid itu satu perkara mulia dan mesti dituntut. Mereka mengatakan bahawa maksud larangan ini kepada orang yang hanya mahu mencetuskan huru-hara dan kekacauan tanpa memikirkan akibat buruk dari peperangan dan larangan ini juga ditujukan kepada orang yang bersemangat semata-mata tanpa mempunyai persediaan yang secukupnya untuk menentang musuh.

[4] Sabar paling penting dalam peperangan, tidak boleh gopoh dan hendaklah tenang dalam menghadapi musuh.

[5] Nama suatu tempat di Iraq di mana terdapat ramai puak Khawarij

[6] Maksud menunggu di sini ialah menanti waktu yang sesuai bukan berma’na mesti tunggu pada waktu Zuhur dahulu barulah boleh berperang kerana ada kalanya serangan itu dilancarkan lepas waktu Subuh. Kesesuaian itu merujuk kepada keadaan tempat, cuaca, kecergasan tentera dan sebagainya.

[7] Maksud ‘afiyah selamat untuk semua. Apabila tercetusnya peperangan tiada siapa yang akan selamat, sekurang-kurangnya akan mengalami kecederaan. Peperangan terpaksa dilancarkan kerana keadaan terdesak bukan sesuatu yang dicita-citakan seperti umat dizalimi. Lafaz yang umum merangkumi segala jenis kebaikan dan penolakan setiap keburukan pada diri, keluarga, umat, agama, negara dan sebagainya.

[8] Mengapa diperintahkan supaya bersabar kerana ia sangat penting dalam peperangan. Tidak seharusnya gopoh. Kesabaran dalam menghadapi musuh, taat kepada pemimpin, sabar dalam menanggung kecederaan, mengutamakan sahabat lain, sabar menghadapi kelaparan.

[9] Maksudnya : Mendapat syurga dengan mati syahid.

[10] Menunjukkan sunnah berdoa apabila menghadapi peperangan kerana Allah yang berkuasa menolong.

[11] Di antara ciri hadits yang sahih ialah ma’nanya menepati maksud al-Qur`an. Hadits ini bertepatan dengan surah al-Anfal, ayat 45-47.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (٤٥) وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ (٤٦) وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ خَرَجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ بَطَرًا وَرِئَاءَ النَّاسِ وَيَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَاللَّهُ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ (٤٧)

Wahai orang-orang yang beriman! apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). 46. Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. 47. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari negerinya dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka) kepada orang ramai (kerana hendak meminta dipuji), serta mereka pula menghalang manusia dari jalan Allah dan (ingatlah) Allah Maha meliputi pengetahuannya akan apa yang mereka kerjakan.

 

[12] Biarkan mereka, jadikan mereka gementar supaya mereka hilang semangat.

[13] ‘Kalau Engkau mahu kami boleh dikalahkan dan tidak ada lagi orang yang menyembah-Mu.’ Ini merupakan kemuncak sifat tawadhu’ Rasulullah s.a.w. ketika berdoa. Baginda meletakkan sepenuhnya harapan kepada Allah s.w.t. dengan menyatakan kekuasaan-Nya untuk menolong.

  Hadits ini juga menunjukkan kehendak Allah s.w.t. bukan setakat perkara baik tetapi termasuk juga perkara jahat. Kehendak-Nya itu merangkumi kuasa-Nya tetapi Allah tidak melakukan sedemikian kerana ketetapan-Nya yang telah diberitahu oleh Rasulullah iaitu umat Islam mempunyai kedudukan selepas daripada itu.

[14] Iaitu yang tidak harus membunuh kanak-kanak dan perempuan tidak terbabit atau membantu dalam memerangi orang-orang Islam. Kalau dibunuh juga maka orang yang berbuat demikian tidak mendapat syahid walau mati dalam peperangan tersebut. Oleh itu, tidak seharusnya membunuh orang yang tidak terlibat dalam peperangan. Ini merupakan adab yang mesti dijaga untuk mendapat pahala syahid walaupun telah memenuhi syarat-syarat lain.

Check Also

Sahih al-Bukhari – Syarah Hadith – Kitab Azan – Sesi 1- Bab Permulaan Azan

Sahih al-Bukhari – Syarah Hadith – Kitab Azan – Sesi 1- 22 Okt 2016   …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *