Home / darulkautsar.net / Syarahan Hadis / Muslim / Kitab Jihad Dan Sirah / Sahih Muslim – Kitab Jihad & Sirah – Sesi 1 – Bab Kitab Jihad
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sahih Muslim – Kitab Jihad & Sirah – Sesi 1 – Bab Kitab Jihad

Sahih Muslim – Matan Hadith – Kitab Jihad & Sirah – Sesi 1 – 06-Feb-08

 

Matan MP3: STREAMING atau DOWNLOAD

 MP3

 

 

Sahih Muslim – Matan Hadith – Kitab Jihad & Sirah – Sesi 1 – 06-Feb-08

 

Syarah MP3: STREAMING atau DOWNLOAD

 MP3

كِتَاب الْجِهَادِ وَالسِّيَرِ

KITAB JIHAD DAN SIRAH

بَاب جَوَازِ الْإِغَارَةِ عَلَى الْكُفَّارِ الَّذِينَ بَلَغَتْهُمْ دَعْوَةُ الْإِسْلَامِ مِنْ غَيْرِ تَقَدُّمِ الْإِعْلَامِ بِالْإِغَارَةِ

Bab Harus Menyerang Orang Kafir Yang Sampai Seruan Dakwah Islam Kepada Mereka Tanpa Terlebih Dahulu Menyeru Kepada Islam Ketika Hendak  Menyerang

3260 – حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ يَحْيَى التَّمِيمِيُّ حَدَّثَنَا سُلَيْمُ بْنُ أَخْضَرَ عَنْ ابْنِ عَوْنٍ قَالَ كَتَبْتُ إِلَى نَافِعٍ أَسْأَلُهُ عَنْ الدُّعَاءِ قَبْلَ الْقِتَالِ قَالَ

فَكَتَبَ إِلَيَّ إِنَّمَا كَانَ ذَلِكَ فِي أَوَّلِ الْإِسْلَامِ قَدْ أَغَارَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى بَنِي الْمُصْطَلِقِ وَهُمْ غَارُّونَ وَأَنْعَامُهُمْ تُسْقَى عَلَى الْمَاءِ فَقَتَلَ مُقَاتِلَتَهُمْ وَسَبَى سَبْيَهُمْ وَأَصَابَ يَوْمَئِذٍ قَالَ يَحْيَى أَحْسِبُهُ قَالَ جُوَيْرِيَةَ أَوْ قَالَ الْبَتَّةَ ابْنَةَ الْحَارِثِ وَحَدَّثَنِي هَذَا الْحَدِيثَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ وَكَانَ فِي ذَاكَ الْجَيْشِ

Yahya bin Yahya al-Tamimi telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Sulaim bin Akhdhor telah meriwayatkan kepada kami daripada Ibnu ‘Aun, beliau berkata: “Aku telah menulis surat[2] kepada Nafi’[3] untuk bertanya dia tentang menyeru seruan kepada orang-orang kafir (kepada Islam) sebelum memerangi mereka. Perawi berkata: “Dia membalas surat aku (katanya seruan kepada Islam) itu hanyalah di permulaan Islam. Rasulullah s.a.w.[4] pernah menyerang Bani Mustoliq ketika mereka sedang leka dan binatang-binatang ternakan mereka sedang minum air. Nabi s.a.w. membunuh orang-orang yang berperang di antara mereka dan menawan tawanan.[5] Nabi s.a.w. mendapat pada hari itu. Yahya berkata: Saya rasa dia (Sulaim bin Akhdhor) berkata: (Pada hari itu Nabi s.a.w. mendapat) Juwairiyah atau beliau berkata dengan pasti: (Nabi s.a.w. mendapat) anak perempuan al-Harits.[6] Hadits ini telah diriwayatkan kepada saya oleh Abdullah bin ‘Umar dan beliau turut menyertai pasukan tentera itu.[7]

و حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي عَدِيٍّ عَنْ ابْنِ عَوْنٍ بِهَذَا الْإِسْنَادِ مِثْلَهُ وَقَالَ جُوَيْرِيَةَ بِنْتَ الْحَارِثِ وَلَمْ يَشُكَّ

Muhammad bin al-Mutsanna telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Ibnu Abi ‘Adi telah meriwayatkan kepada kami daripada Ibni ‘Aun dengan isnad ini sama sepertinya. Dan ia berkata: “Juwairiyah binti al-Harits dengan  tidak ada syak.

 

بَاب تَأْمِيرِ الْإِمَامِ الْأُمَرَاءَ عَلَى الْبُعُوثِ وَوَصِيَّتِهِ إِيَّاهُمْ بِآدَابِ الْغَزْوِ وَغَيْرِهَا

Bab Imam Melantik Panglima-Panglima Perang Untuk Memimpin Pasukan Tentera Dan Pesanannya Kepada Mereka Supaya Beradab/Berdisiplin Dalam Peperangan Dan Lain-Lain

3261 – حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا وَكِيعُ بْنُ الْجَرَّاحِ عَنْ سُفْيَانَ  ح  و حَدَّثَنَا إِسْحَقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ أَخْبَرَنَا يَحْيَى بْنُ آدَمَ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ قَالَ أَمْلَاهُ عَلَيْنَا إِمْلَاءً  ح  و حَدَّثَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ هَاشِمٍ وَاللَّفْظُ لَهُ حَدَّثَنِي عَبْدُ الرَّحْمَنِ يَعْنِي ابْنَ مَهْدِيٍّ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ عَنْ عَلْقَمَةَ بْنِ مَرْثَدٍ عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ بُرَيْدَةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ  كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَمَّرَ أَمِيرًا عَلَى جَيْشٍ أَوْ سَرِيَّةٍ أَوْصَاهُ فِي خَاصَّتِهِ بِتَقْوَى اللَّهِ وَمَنْ مَعَهُ مِنْ الْمُسْلِمِينَ خَيْرًا ثُمَّ قَالَ اغْزُوا بِاسْمِ اللَّهِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَاتِلُوا مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ اغْزُوا وَلَا تَغُلُّوا وَلَا تَغْدِرُوا وَلَا تَمْثُلُوا وَلَا تَقْتُلُوا وَلِيدًا وَإِذَا لَقِيتَ عَدُوَّكَ مِنْ الْمُشْرِكِينَ فَادْعُهُمْ إِلَى ثَلَاثِ خِصَالٍ أَوْ خِلَالٍ فَأَيَّتُهُنَّ مَا أَجَابُوكَ فَاقْبَلْ مِنْهُمْ وَكُفَّ عَنْهُمْ ثُمَّ ادْعُهُمْ إِلَى الْإِسْلَامِ فَإِنْ أَجَابُوكَ فَاقْبَلْ مِنْهُمْ وَكُفَّ عَنْهُمْ ثُمَّ ادْعُهُمْ إِلَى التَّحَوُّلِ مِنْ دَارِهِمْ إِلَى دَارِ الْمُهَاجِرِينَ وَأَخْبِرْهُمْ أَنَّهُمْ إِنْ فَعَلُوا ذَلِكَ فَلَهُمْ مَا لِلْمُهَاجِرِينَ وَعَلَيْهِمْ مَا عَلَى الْمُهَاجِرِينَ فَإِنْ أَبَوْا أَنْ يَتَحَوَّلُوا مِنْهَا فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّهُمْ يَكُونُونَ كَأَعْرَابِ الْمُسْلِمِينَ يَجْرِي عَلَيْهِمْ حُكْمُ اللَّهِ الَّذِي يَجْرِي عَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَكُونُ لَهُمْ فِي الْغَنِيمَةِ وَالْفَيْءِ شَيْءٌ إِلَّا أَنْ يُجَاهِدُوا مَعَ الْمُسْلِمِينَ فَإِنْ هُمْ أَبَوْا فَسَلْهُمْ الْجِزْيَةَ فَإِنْ هُمْ أَجَابُوكَ فَاقْبَلْ مِنْهُمْ وَكُفَّ عَنْهُمْ فَإِنْ هُمْ أَبَوْا فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَقَاتِلْهُمْ وَإِذَا حَاصَرْتَ أَهْلَ حِصْنٍ فَأَرَادُوكَ أَنْ تَجْعَلَ لَهُمْ ذِمَّةَ اللَّهِ وَذِمَّةَ نَبِيِّهِ فَلَا تَجْعَلْ لَهُمْ ذِمَّةَ اللَّهِ وَلَا ذِمَّةَ نَبِيِّهِ وَلَكِنْ اجْعَلْ لَهُمْ ذِمَّتَكَ وَذِمَّةَ أَصْحَابِكَ فَإِنَّكُمْ أَنْ تُخْفِرُوا ذِمَمَكُمْ وَذِمَمَ أَصْحَابِكُمْ أَهْوَنُ مِنْ أَنْ تُخْفِرُوا ذِمَّةَ اللَّهِ وَذِمَّةَ رَسُولِهِ وَإِذَا حَاصَرْتَ أَهْلَ حِصْنٍ فَأَرَادُوكَ أَنْ تُنْزِلَهُمْ عَلَى حُكْمِ اللَّهِ فَلَا تُنْزِلْهُمْ عَلَى حُكْمِ اللَّهِ وَلَكِنْ أَنْزِلْهُمْ عَلَى حُكْمِكَ فَإِنَّكَ لَا تَدْرِي أَتُصِيبُ حُكْمَ اللَّهِ فِيهِمْ أَمْ لَا

Abu Bakr bin Abi Syaibah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Waki’ bin al-Jarrah telah meriwayatkan kepada kami daripada Sufyan ح dan Ishaq bin Ibrahim telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Yahya bin Adam telah menceritakan kepada kami, katanya: Sufyan telah meriwayatkan kepada kami, beliau berkata: Perawi di atas (iaitu ‘Alqamah) telah mengimla’kan kepada kami betul-betul hadits ini (iaitu ‘Alqamah baca dan kami tulis) ح  dan Abdullah bin Hasyim telah meriwayatkan kepada saya dan lafaz hadits adalah daripadanya, katanya: Abd Rahman iaitu Ibnu Mahdi telah meriwayatkan kepada saya, katanya: Sufyan telah meriwayatkan kepada kami daripada ‘Alqamah bin Martsad daripada Sulaiman bin Buraidah daripada ayahnya, beliau berkata: “Rasulullah s.a.w. apabila melantik ketua untuk memimpin satu pasukan tentera atau sariyyah [9] Baginda berpesan supaya dia (panglima itu sendiri) dan orang-orang Islam lain yang bersamanya supaya bertakwa kepada Allah dan Baginda berpesan juga kepada orang-orang yang bersamanya supaya berlaku baik. Kemudian Baginda bersabda: “Berperanglah dengan nama Allah[10], di jalan Allah[11]. Perangilah orang-orang yang tidak percaya kepada Allah, perangilah tetapi jangan kamu mengambil harta rampasan perang dengan cara yang tidak betul, jangan kamu khianat, jangan kamu mengelar[12] musuh dan jangan kamu bunuh kanak-kanak. Apabila kamu bertemu musuhmu dari kalangan musyrikin, serulah mereka kepada tiga perkara; yang mana satu dari tiga itu mereka terima maka kamu terimalah[13] mereka dan jangan kamu serang mereka lagi; (Yang pertama) Kamu serulah mereka kepada Islam, kalau mereka menerima maka kamu terimalah Islam/keislaman mereka itu dan tahanlah diri kamu daripada mereka[14]. Kemudian (sesudah masuk Islam) kamu serulah mereka supaya berpindah dari negeri mereka ke negeri Muhajirin (Madinah). Ceritakan kepada mereka kalau mereka melakukan begitu mereka akan mendapat apa yang didapati oleh Muhajirin dan mereka bertangggungjawab seperti orang Muhajirin tetapi kalau mereka enggan berpindah[15] daripada negeri mereka maka ceritakan kepada mereka bahawa mereka menjadi seperti `A’raab Muslimin[16] dimana hikum Allah akan berlaku kepada mereka sepertimana berlaku kepada orang-orang mukminin. Mereka tidak berhak mendapat harta ghanimah dan fai’ sedikitpun kecuali kalau mereka berjihad bersama orang-orang Islam, kalau mereka tidak mahu[17] maka kamu mintalah dengan mereka supaya membayar jizyah[18], kalau mereka terima maka terimalah daripada mereka (jangan kamu serang lagi mereka). Sekiranya mereka tidak mahu juga maka kamu mintalah tolonglah dengan Allah dan perangilah mereka. Apabila kamu mengepung orang yang duduk di dalam benteng dan mereka mahu kamu berikan kepada mereka jaminan Allah dan jaminan Nabi-Nya maka jangan engkau berikan kepada mereka jaminan Allah dan jaminan Nabi-Nya tetapi engkau berilah sendiri jaminanmu dan sahabat-sahabatmu kepada mereka sebab kalau kamu membatalkan jaminan kamu dan jaminan sahabat-sahabatmu itu lebih ringan (lebih mudah) lagi daripada kamu membatalkan (melanggar) jaminan Allah dan jaminan Rasul-Nya. Apabila engkau mengepung suatu benteng maka mereka mahu engkau bersedia menerima mereka untuk turun mengikut hukum Allah maka jangan engkau suruh mereka turun mengikut hukum Tuhan Allah[19] tetapi mintalah mereka turun mengikut hukummu kerana engkau tidak tahu adakah engkau menepati hukum Allah berhubung dengan mereka itu atau pun tidak”.

  قَالَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ هَذَا أَوْ نَحْوَهُ وَزَادَ إِسْحَقُ فِي آخِرِ حَدِيثِهِ عَنْ يَحْيَى بْنِ آدَمَ قَالَ فَذَكَرْتُ هَذَا الْحَدِيثَ لِمُقَاتِلِ بْنِ حَيَّانَ قَالَ يَحْيَى يَعْنِي أَنَّ عَلْقَمَةَ يَقُولُهُ لِابْنِ حَيَّانَ فَقَالَ حَدَّثَنِي مُسْلِمُ بْنُ هَيْصَمٍ عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ مُقَرِّنٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَحْوَهُ

Abd Rahman berkata begini ataupun semaknanya. Ishaq di akhir haditsnya menambahkan daripada Yahya bin Adam, beliau bekata: Saya menyebutkan hadits ini kepada Muqatil bin Hayyan, Yahya berkata: maksudnya ‘Alqamah berkata kepada Ibnu Hayyan maka dia pun berkata: Muslim bin Haishom meriwayatkan kepada saya daripada Nu’man bin Muqarrin daripada Nabi s.a.w. makna hadits yang tersebut tadi.

 و حَدَّثَنِي حَجَّاجُ بْنُ الشَّاعِرِ حَدَّثَنِي عَبْدُ الصَّمَدِ بْنُ عَبْدِ الْوَارِثِ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ حَدَّثَنِي عَلْقَمَةُ بْنُ مَرْثَدٍ أَنَّ سُلَيْمَانَ بْنَ بُرَيْدَةَ حَدَّثَهُ عَنْ أَبِيهِ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا بَعَثَ أَمِيرًا أَوْ سَرِيَّةً دَعَاهُ فَأَوْصَاهُ وَسَاقَ الْحَدِيثَ بِمَعْنَى حَدِيثِ سُفْيَانَ حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الْوَهَّابِ الْفَرَّاءُ عَنْ الْحُسَيْنِ بْنِ الْوَلِيدِ عَنْ شُعْبَةَ بِهَذَا

Hajjaj bin al-Syai’r telah meriwayatkan kepada saya, katanya: ‘Abd al-Somad bin ‘Abd al-Warits telah meriwayatkan kepada saya, katanya: Syu’bah telah meriwayatkan kepada kami, katanya: ‘Alqamah bin Martsad telah meriwayatkan kepada saya bahawa Sulaiman bin Buraidah telah meriwayatkan kepadanya daripada ayahnya (Buraidah), beliau berkata: Apabila Rasulullah s.a.w. mahu menghantar atau melepaskan pasukan tentera Baginda memanggilnya dan berpesan kepadanya, lalu perawi mengemukakan hadits seperti makna hadits Sufyan. Ibrahim telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Muhammad bin Abd Wahhab al-Farraa’ telah meriwayatkan kepada kami daripada al-Husain bin al-Walid daripada Syu’bah dengan (makna hadits Sufyan) ini.

[1] Dari segi asal bahasa, perkataan Jihad ada dua, pertama, jahd, penat, susah kerana orang yang berjihad mengalami kesusahan dan kepenatan.

Kedua, juhd maknanya tenaga kerana pihak yang berjihad menggunakan tenaga sehabis-habisnya untuk menghadapi lawannya.

Dalam Lisan al-‘Arab karangan Ibn Manzur, jihad bermaksud bersungguh-sungguh mencurahkan sehabis daya dalam peperangan, menggunakan lidah atau menggunakan apa sahaja yang mampu dilakukannya.

Al-Qastalani dalam Irsyad al-Sari Syarh Sahih al-Bukhari mentakrifkan jihad sebagai memerangi orang-orang kafir untuk membela Islam dan meninggikan ajaran Allah s.w.t.

Al-Kasani dalam Bada`i’ al-Sana`i’ menyebutkan bahawa dalam istilah syara’, jihad digunakan dengan makna mengggunakan habis-habis tenaga dalam peperangan di jalan Allah dengan memberi nyawa diri, harta benda, lidah dan sebagainya.

Ringkasnya, jihad itu ialah berperang dengan menggunakan segala daya usaha yang dicurahkan untuk meninggikan kalimah Allah dan melemahkan kuasa kufur dan orang kafir sama ada guna senjata harta benda apa-apa usaha, lidah, pena dan lain-lain.

Asal makna jihad ialah berjuang dengan mencurahkan daya dan tenaga untuk menentang orang-orang kafir. Jihad juga digunakan dengan makna lain tetapi dengan adanya qarinah, tanda-tanda yang menunjukkan kepada makna lain seperti dengan makna melawan hawa nafsu. Contoh tersebut dalam hadits:

المجاهد من جاهد نفسه في طاعة الله

Orang yang berjihad sebenarnya orang yang melawan dirinya dalam mentaati Allah (Ibn Hibban, al-Tabarani dan al-Hakim dalam al-Mustadrak)

Tujuan dan matlamat jihad

Ulama menyebutkan pelbagai tujuan jihad tetapi penjelasan mereka itu terikat dengan masa dan keadaan masing-masing. Namun begitu, jika diringkaskan ia tidak sunyi daripada tujuan utama iaitu mengukuhkan agama Islam, meninggikan ajaran Allah dan melemahkan atau menghancurkan kuasa kufur.

Orang Yahudi dan Kristian selalu menimbulkan kekecohan dengan mengatakan orang-orang Islam apabila berkuasa mereka akan memaksa orang lain menerima Islam. Maka tidak ada lagi kebebasan beragama. Bukan dengan lemah lembut tetapi dengan kekerasan dan senjata. Pandangan orientalis ini sebenarnya adalah kejahilan dan berpura-pura jahil tentang makna jihad Islam yang sebenar. Islam tidak pernah memaksa orang lain menerima Islam. Yang ada hanya untuk menegakkan dan melaksanakan hukum Allah di muka bumi dan menghancurkan kuasa orang-orang kafir.

Islam berusaha untuk menghancurkan kuasa orang-orang kafir kerana sepanjang sejarah kuasa-kuasa itulah yang menyebabkan tersebarnya kezaliman, fitnah dan kerosakan. Dan kuasa-kuasa kufur itulah penghalang yang paling besar untuk manusia menerima kebenaran dan mendengar da’wah Islam.

Jika terdapat pemaksaan supaya orang lain memeluk Islam nescaya tidak disyariatkan jizyah terhadap orang-orang bukan Islam. Adanya jizyah menunjukkan bahawa tiada pemaksaan terhadap orang-orang kafir supaya mereka menerima Islam. Mereka boleh berada di negeri Islam dengan memberi jizyah dengan itu tiada lagi peperangan.

Walaupun banyak berlaku peperangan namun tidak ada dalam sejarah pemerintah yang memaksa orang kafir memeluk Islam. Bahkan sejak dari dahulu lagi pemerintah membiarkan orang bukan Islam dengan agama mereka dengan dada yang lapang. Mereka masuk Islam dengan sebab da’wah, akhlaq dan keadilan Islam.

Malangnya segolongan orang Islam kalah dengan pemikiran barat, kagum dengan prinsip ideologi barat sehingga mereka mentakwil ajaran Islam bersesuaian dengan idealogi barat. Mereka mengatakan jihad tidak disyariatkan melainkan untuk tujuan difa’ (pertahanan diri) sahaja. Malah ada yang menyempitkan kepada jihad mempertahankan negeri sendiri sahaja tidak negeri Islam lain yang diceroboh. Mereka juga mengatakan tidak harus mencetuskan serangan terhadap negara kafir

Ini adalah bid’ah, tidak ada asal dalam al-Qur`an dan al-Sunnah. Tidak ada dalam sejarah dan juga kitab-kitab fiqh.

Punca kekeliruan ini ialah tidak mengetahui peringkat-peringkat jihad iaitu ada empat peringkat jihad.

Peringkat pertama, perintah bersabar, larangan daripada berperang iaitu selama berada di Mekah tetapi hendaklah meneruskan da’wah Islamiyyah

Surah al-Hijr: 94, al-A’raf:199,

Peringkat kedua, dibenarkan berperang dan tidak diwajibkan kepada orang-orang Islam. Surah al-Hajj: 39.

Peringkat ketiga, diwajibkan ke atas orang-orang Islam apabila orang kafir yang memulakan peperangan.

Surah al-Baqarah: 190, Surah al-Nisa`: 90

Peringkat keempat, semua orang kafir tanpa terkecuali harus diperangi malah wajib walaupun mereka tidak menyerang orang Islam sehingga mereka memeluk Islam atau bersedia membayar jizyah. Persetujuan dikenakan jizyah merupakan tanpa mereka bersedia menerima dan berada di bawah kekuasaan Islam. Tujuannya ialah untuk melemahkan atau menghancurksan kuasa kufur dan mengukuhkan agama Islam, meninggikan ajaran Allah dan.

Peringkat ini bermula empat bulan setelah haji pada tahun 9 H yang dipimpin oleh Sayyidina Abu Bakar. Pengisytiharan tentang peperangan ini dibuat oleh Sayyidina Ali

Surah al-Tawbah: 5 dan 29, surah al-Anfal: 39

Keempat-empat peringkat ini telah disebutkan oleh ulama salaf termasuklah Imam al-Syafi’ie dalam Ahkam al-Qur`an, al-Sarakhsi dalam al-Mabsut, begitu juga Ibn Taymiyyah dalam al-Jawab al-Sahih Li Man Baddala Din al-Masih, Ibn Rushd dalam Bidayah al-Mujtahid, Ibn al-Qayyim dalam Zaad al-Ma’ad dan ulama yang lain.

Badr al-Din al-Zarkasyi dalam al-Burhan Fi ‘Ulum al-Qur`an: “Tidak ada nasakh dalam mana-mana peringkat jihad. Bergantung kepada keadaan dan zaman. Ayat-ayat tersebut akan dipakai sesuai dengan keadaannya. Hukum ini disebutkan sebagai munsa` atau mu’allaq yakni bergantung kepada sebab. Ia ditangguhkan dan digantung kerana tidak ada persediaan.

Mengikut pendapat ulama, jihad ibtida` itu adalah fardhu kifayah manakala jihad difa’ adalah fardhu ‘ain. (Hafiz Ibn Hajar, Fath al-Bari)

Penulis mempunyai pandangan yang sederhana tentang jihad, tidak berperang dalam semua keadaan dan tidak menafikan berterusannya jihad. Dalam sejarah Islam ada negara Islam yang tidak berperang dalam semua keadaan. Begitu juga jika negera kafir itu tidak mengancam atau berdamai dengan perjanjian dengan negeri Islam. Tetapi dalam keadaan di sesebuah negeri itu penduduk Islamnya dianiaya malah mereka meminta pertolongan supaya dilepaskan mereka daripada pemerintahan yang zalim maka pada ketika itu negeri Islam yang berkuasa wajib memerangi negeri tersebut.  Ini melihat kepada tujuan jihad itu sendiri. Jika da’wah Islam berjalan dengan lancar tanpa gangguan maka tidak perlu dilancarkan serangan ibtida`i kerana ada ruang pihak tertentu mendakwa Islam mengenakan paksaan terhadap orang bukan Islam. Apabila Islam memerintah maka tidak akan ada lagi kezaliman, unsur-unsur yang menjatuhkan maruah manusia dan kerosakan-kerosakan yang lain.

[2] Penerimaan hadits dengan cara ini dinamakan sebagai mukatabah. Tidak semestinya berguru dengan bersemuka walaupun tidak dinafikan penerimaan secara musyafahah itu lebih utama. Imam Muslim menerima cara penerimaan hadits secara bertulis.

[3] Nafi’ merupakan murid Ibn ‘Umar. Beliau merupakan (mawla) hamba bebasan Ibn ‘Umar. Di kalangan murid Ibn Umar ada dua orang yang paling terkenal dengan kealiman iaitu Nafi’ dan Salim, anak beliau sendiri. Jika dibandingkan antara mereka berdua, Nafi’lah yang lebih ‘alim.

[4] Riwayat ini mursal bukan marfu’ kerana Nafi’ seorang tabi’i dan beliau tidak bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Tetapi apabila telah diketahui umum bahawa seorang murid itu (tabi’i) hanya mengambil riwayat daripada seorang guru sahaja (sahabat) maka tidak perlu disebutkan siapakah gurunya. Beliau hanya mengambil ilmu daripada ‘Abdullah bin ‘Umar. Bagaimanapun di hujung hadis ini beliau menyebutkan bahawa riwayat ini diambil daripada Ibn ‘Umar.

[5] Kalaulah wajib terlebih dahulu memberitahu kepada orang bukan Islam tentu serangan itu tidak akan dilancarkan dalam keadaan mereka itu leka. Nafi’ menjelaskan bahawa ini di permulaan Islam.

[6] Maksudnya Yahya syak dalam penyampaiannya. Tetapi Imam Muslim mengemukakan sanad yang lain daripada gurunya seorang lagi Muhammad bin al-Mutsanna tanpa ada syak.

[7] Imam Nawawi menyebut harus menyerang orang kafir yang telah menerima seruan Islam tanpa terlebih dahulu diberitahu. Walaubagaimanapun dalam masalah ini ada tiga mazhab seperti yang disebutkan oleh al-Maziri dan Qadhi ‘Iyadh:

  1. Wajib memberitahu secara mutlak, sama ada telah diberitahu atau belum, ini pendapat Malik. Imam al-Nawawi mengatakan pendapat ini lemah.

  2. Tidak wajib secara mutlak, ini sangat dhaif.

  • Wajib jika seruan Islam belum sampai kepada mereka, tidak wajib ataupun dianggap elok jika telahpun sampai da’wah Islam kepada mereka. Inilah pendapat yang sahih. Pandangan ini merupakan pendapat Nafi’ sendiri, Hasan al-Basri, al-Tsauri, Laits, Abu Tsaur, al-Syafi’ie, Ibn al-Munzir dan majoriti ulama. Ini disokong oleh banyak hadis, antaranya hadits ini, hadits pembunuhan Ka’ab bin al-Asyraf dan hadits pembunuhan Abu Jahal.

Imam al-Nawawi mengatakan berdasarkan kepada hadits ini harus menjadikan orang-orang Arab sebagai hamba yakni melalui peperangan kerana Bani Mustaliq adalah orang Arab. Ini pendapat jadid Imam al-Syafi’ie. Inilah yang sahih dan ini juga pendapat Malik dan jumhur murid-muridnya, Abu Hanifah, al-Auza’ie, dan jumhur ulama.

[8] Adab di sini bukan sahaja berkenaan dengan peperangan tetapi merangkumi adab dengan Allah, adab bersembahyang, makhluk-makhluk lain, haiwan dan tumbuhan.

[9] Iaitu pasukan tentara yang tidak disertai oleh Rasulullah s.a.w. Jika pasukan disertai oleh baginda maka ia dinamakan dengan ghazwah. Sebab dinamakan sariyyah, asalnya daripada perkataan saraa, berjalan waktu malam kerana pasukan ini bergerak pada waktu malam atau berasal daripada perkataan sirr iaitu rahsia, yakni bergerak secara rahsia.

[10] Mengingatkan kepada mereka yang pergi berperang supaya menjaga hukum Allah, kerana jika dibacakan bismillah pada perkara maksiat maka hukumnya haram. Oleh itu, bergerak itu atas nama Allah, mengikut hukum Allah bukan mengikut perasaan dan hawa nafsu.

[11] Kerana Allah bukan kerana matlamat lain, seperti semata-mata puak, bangsa atau negara. Jihad hendaklah berasaskan kepada niat ikhlas kerana Allah dan semangat persaudaraan Islam tanpa mengira bangsa dan negara. Sebagai pemimpin Islam dia tidak seharusnya hanya memikirkan kepentingan rakyatnya sahaja tetapi hendaklah mengambil berat tentang umat islam di negra yang lain.

[12] Iaitu melakukan mutslah: memotong, mengerat atau mengelar musuh.

[13] Terimalah keislaman mereka tanpa prasangka bahawa mereka memeluk Islam kerana untuk melepaskan diri atau berpura-pura.

[14] Iaitu jangan kamu ganggu mereka lagi

[15] Peristiwa ini ketika belum diwajibkan berhijrah. Tetapi selepas itu diwajibkan berhijrah ke Madinah, kerana Madinah amat memerlukan kepada kekuatan.

[16] Orang-orang Islam yang biasa ataupun orang-orang Islam yang duduk di hujung-hujung kampung.

[17] Tidak mahu cadangan pertama

[18] Maknanya akan dilaksanakan hukum Islam dan tidak dipakai lagi hukum mereka yang terdahulu, bukan semata-mata pungutan jizyah, cukai kepala.

[19] Berilah jaminan kamu bukan jaminan Allah dan Rasul-Nya. Larangan ini bersifat tanzihi, bukan tahrimi. jika berlaku pelanggaran atau tidak menunaikan janji, dan janji itu atas nama Islam maka akan buruklah nama dan wajah Islam kerana disebabkan pemerintahan yang tidak betul. Orang kafir menjadi benci kerana kecuaian dan pelanggaran pemerintah. Tujuan diberikan jaminan sendiri supaya orang kafir percaya dan yakin terhadap orang Islam.

Check Also

Sahih al-Bukhari – Syarah Hadith – Kitab Azan – Sesi 1- Bab Permulaan Azan

Sahih al-Bukhari – Syarah Hadith – Kitab Azan – Sesi 1- 22 Okt 2016   …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *