Home / darulkautsar.net / Pemurnian Syariat / Pemurnian / PERINGATAN MAULID NABI S.A.W.
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

PERINGATAN MAULID NABI S.A.W.

Tinjauan Sejarah dan Hukumnya Menurut Islam

(Disaring dan diolah semula oleh www.darulkautsar.net dari artikel tulisan Abu Raihanah)

 

 

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللَّهُ فِي أُمَّةٍ قَبْلِي إِلَّا كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُونَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوفٌ يَقُولُونَ مَا لَا يَفْعَلُونَ وَيَفْعَلُونَ مَا لَا يُؤْمَرُونَ فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنْ الْإِيمَانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ

Dari ‘Abdullah bin Mas’ud r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak ada seorang Nabi pun yang diutus Allah kepada suatu umat sebelumku melainkan dari umatnya itu terdapat orang-orang yang menjadi pengikut (hawariyyun) dan sahabatnya yang mereka mengambil sunnahnya dan mentaati perintahnya. Kemudian setelah itu terjadi perselisihan di mana mereka mengatakan sesuatu yang tidak mereka kerjakan dan mengerjakan sesuatu yang tidak diperintahkan. Barangsiapa yang memerangi mereka dengan tangannya, maka ia seorang mukmin. Barangsiapa yang memerangi mereka dengan lisannya maka ia seorang mukmin. Dan barangsiapa yang memerangi mereka dengan hatinya, ia juga seorang mukmin. Selain itu, maka tidak ada keimanan sebesar biji sawipun” [Muslim no. 50 dan Ahmad 1/458 no. 4379, 1/461 no. 4402].

Sejarah peringatan maulid

Seluruh ulama sepakat bahawa maulid Nabi tidak pernah diperingati pada masa Nabi s.a.w. hidup dan tidak juga pada masa pemerintahan khulafaur rasyidin.

Oleh itu, bilakah sebenarnya bermulanya peringatan maulid Nabi, dan siapa yang pertama kali mengadakannya?

Al Maqrizi (seorang ahli sejarah Islam) dalam bukunya “Al khutath” menjelaskan bahawa maulid Nabi mulai diperingati pada abad keempat hijriyah oleh Dinasti Fathimiyyun di Mesir.

Dinasti Fathimiyyun mulai menguasai Mesir pada tahun 362 H dengan raja pertamanya Al Muiz lidinillah. Di awal tahun penaklukan Mesir dia membuat enam perayaan hari lahir sekaligus; hari lahir (maulid ) Nabi, hari lahir Ali bin Abi Thalib, hari lahir Fatimah, hari lahir Hasan, hari lahir Husein dan hari lahir raja yang berkuasa.

Kemudian pada tahun 487 H pada masa pemerintahan Al Afdhal, peringatan enam hari lahir tersebut dihapuskan dan tidak diperingati. Raja ini meninggal pada tahun 515 H.

Pada tahun 515 H dilantik Raja yang baru, bergelar Al amir liahkamillah dan dia menghidupkan kembali peringatan enam maulid tersebut. Begitulah seterusnya peringatan maulid Nabi s.a.w. yang jatuh pada bulan Rabi’ul Awal diperingati dari tahun ke tahun hingga zaman sekarang dan meluas hampir ke seluruh dunia.

Hakikat Dinasti Fathimiyyun

Abu Syamah (ahli hadith dan sejarah, wafat tahun 665 H) menjelaskan dalam bukunya “Raudhatain” bahawa raja pertama dinasti ini berasal dari Moroko (Maghribi) bernama Said. Setelah penaklukan Mesir dia menukar namanya kepada Ubaidillah serta mengaku berasal dari keturunan Ali dan Fatimah dan pada akhirnya dia memakai gelaran “Al Mahdi”.

Akan tetapi para ahli nasab menjelaskan bahawa sesungguhnya dia berasal dari keturunan Al Qaddah beragama Majusi, pendapat lain menjelaskan bahawa dia adalah anak seorang Yahudi yang bekerja sebagai tukang besi di Syam.

Dinasti ini menganut fahaman Syiah Bathiniyah; di antara kesesatannya adalah bahawa para pengikutnya meyakini Al Mahdi sebagai tuhan pencipta dan pemberi rezeki. Setelah Al Mahdi mati, anaknya menggantikannya menjadi raja dan dia selalu menghamburkan kutukan terhadap Aisyah isteri Rasulullah s.a.w. di tempat-tempat awam.

Kesesatan dinasti ini tidak dibiarkan begitu saja. Ramai ulama yang hidup di masa itu menjelaskan kebenaran kepada umat Islam, di antaranya Al Ghazali yang menulis buku berjudul “Fadhaih bathiniyyah (kebejatan aqidah Bathiniyyah”. Dalam buku tersebut dalam bab ke lapan beliau menghukumkan penganutnya telah kafir, murtad serta keluar dari agama Islam.

Hukum perayaan maulid Nabi

Sebenarnya, dengan mengetahui sejarah permulaan perayaan maulid yang dibuat oleh sebuah kelompok sesat tidak perlu lagi dijelaskan tentang hukumnya. Kerana saya yakin bahawa seorang muslim yang taat pasti tidak ingin ikut serta meraikan perayaan sesat ini.

Berikut adalah beberapa petikan dari al-Quran dan hadis sebagai peringatan yang melarang kita dari membuat sambutan maulid ini.

1. Allah Taala berfirman:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu. (Q.S. Al Maidah: 3).

Ayat di atas menjelaskan bahawa agama Islam telah sempurna tidak boleh ditambah dan dikurangi, maka orang yang mengadakan perayaan maulid Nabi yang dibuat setelah Rasulullah s.a.w. wafat bererti menetang ayat ini dan menganggap agama belum sempurna masih perlu ditambah. Sesungguhnya peringatan maulid bertentangan dengan ayat di atas.

2. Sabda Nabi s.a.w.:

وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ ». رواه أبوداود والترمذي

Hindarilah amalan yang tidak ku contohkan (bid`ah), kerana setiap bid`ah menyesatkan”. (Abu Daud dan Tarmizi).

Peringatan maulid Nabi tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w.

3. Sabda Nabi s.a.w.:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ : متفق عليه

“Siapa yang menghidupkan suatu amalan yang tidak ada dasarnya dalam dien kami, amalannya ditolak.” (Muttafaq ’alaih)

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرِنَا فَهُوَرَدٌّ : رواه لمسلم

Dalam riwayat Muslim: “Siapa yang mengamalkan perbuatan yang tidak ada dasarnya dalam dien kami, amalannya ditolak.”

Dua hadits di atas menjelaskan bahawa setiap perbuatan yang tidak ada contohnya dari Nabi tidak akan diterima di sisi Allah s.w.t. dan peringatan maulid Nabi tidak dicontohkan oleh Nabi.

4. Sabda Nabi s.a.w.:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ ». رواه أبوداود قال الشيخ الألباني : حسن صحيح

Barang siapa yang meniru tradisi suatu kaum maka dia adalah bahagian dari kaum tersebut. (Abu Daud. Syaikh al-Albani berkata: hasan shahih).

Tradisi peringatan hari lahir Nabi Muhammad meniru tradisi kaum Kristian yang merayakan hari kelahiran Al Masih (disebut dengan hari Krismas atau Natal).

Peringatan maulid Nabi, yang sering kita dengar dari para penganjurnya, adalah natijah dari rasa cinta kepada Nabi. Saya tidak dapat bayangkan, orang yang mengungkapkan rasa cintanya kepada Nabi, kemudian melanggar perintahnya. Dengarlah ucapan seorang penyair :

لَوْكَانَ حُبُّكَ صَادِقًا لَأَطَعْتَهُ إِنَّ المُحِبَّلِمَنْ أَحَبَّ مُطِيْعُ

Jikalau cintamu kepadanya tulus murni, niscaya engkau akan mentaatinya.

Sesungguhnya orang yang mencintai akan patuh terhadap orang yang dicintainya!

Jangan terpedaya dengan ramainya orang yang melakukannya seperti firman Allah:

وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلا يَخْرُصُونَ (١١٦

Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah) (Q.S. Al An’aam: 116 ).

 

 

*Dipetik dari: Makalah Sejarah Maulid, hukum dan pendapat ulama terhadapnya karya Nashir Moh. Al Hanin dan sumber lain.

Check Also

The Fiqh Principle Of Istihala – Changing From Impure To Pure

 The following is the transcription of the lecture given by Shaykh Muhammad Bazmool (hafidhahullah): (Taken …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *