Home / darulkautsar.net / Pemurnian Syariat / Pemurnian / Mengapa Terjerit-Jerit Berselawat Dan Zikir Di Celah-Celah Sembahyang Tarawih?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Mengapa Terjerit-Jerit Berselawat Dan Zikir Di Celah-Celah Sembahyang Tarawih?

Oleh: Muhammad Haniff Awang Yahya

 

Pada asasnya seseorang itu digalakkan untuk berzikir di mana-mana waktu dan tempat selagi tidak ada nas yang melarangnya. Walaupun membaca al-Qur`an itu digalakkan namun ada juga waktu yang dilarang iaitu ketika dalam sembahyang iaitu ketika ruku’.

Menjadi kelaziman umat Islam di Malaysia membaca selawat dan beberapa zikir yang lain dengan suara yang ditinggikan dan cara yang khusus di celah-celah sembahyang Tarawih. Sebenarnya amalan seperti ini  tidak pernah diamalkan di negara-negara Arab dan negara-negara lain  yang majoritinya umat Islam seperti Pakistan.

Selawat kepada Rasulullah s.a.w. sangat dituntut terutama setiap kali disebutkan nama baginda.

Dalam masalah zikir dan selawat di antara dua sembahyang Tarawih ia diharuskan tetapi tidak dengan kaifiyat tertentu dan dengan suara yang nyaring sehingga menimbulkan suasana bising sebagaimana yang diamalkan di negara kita sekarang ini.

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

 “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf: 55)

قُلِ ادْعُوا اللَّهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَنَ أَيًّا مَا تَدْعُوا فَلَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا

 Katakanlah (Wahai Muhammad): “Serulah nama “Allah” atau nama “Ar-Rahman”, yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia” dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu. (surah al-Isra`: 110)

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ { وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا } فِي الدُّعَاءِ

 Daripada ‘A`ishah katanya: “Ayat ini, `janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya’, turun tentang doa. (al-Bukhari)

Di samping itu, tidak perlu ditentukan kaifiyat atau zikir yang khusus. Seseorang boleh memilih mana-mana zikir dan tasbih yang diingatinya tanpa perlu kepada tertib dan susunan yang tertentu. Waktu selang di antara setiap rakaat boleh diisi dengan doa dan istighfar. Apa yang penting setiap zikir dan selawat dilafazkan dengan suara yang perlahan kerana itulah yang lebih mendatangkan khushu’ dan khudu’. Menyaringkan selawat sehingga menjerit-jerit tidak menepati kaedah al-Qur`an dan al-Sunnah malah membawa kepada kebiadapan terhadap Rasulullah s.a.w.

إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُهِينًا

“Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.” (Surah al-Ahzab: 57)

Dalam masa yang sama juga tidak menjaga adab ketika berada di dalam masjid. Sepatutnya tidak dibenarkan sama sekali diangkatkan suara walaupun untuk berzikir. Perbuatan ini boleh mengganggu orang lain yang juga sedang berzikir dan bersembahyang.

Ramai juga yang berhujah, jika tidak diadakan selawat beramai-ramai maka suasana sembahyang tarawih sunyi dan tidak meriah. Hujah ini sebenarnya sangat meleset dan jelas sekali tidak menggambarkan kefahaman tentang maksud disyari’atkan setiap ibadat. Ibadat sama sekali tidak dilakukan untuk tujuan kemeriahan tetapi untuk menyatakan ketundukan dan kepatuhan kepada Allah s.w.t.

Kesalahan juga berlaku apabila orang dewasa yang berselawat dengan menjerit maka kanak-kanak juga meniru dan mengikut rentak mereka. Kegagalan menunjukkan akhlak dan mendidik mereka adab berzikir dan adab berada dalam masjid.

Perlu diperhatikan bahawa akibat terlalu mementingkan selawat beramai-ramai ialah membawa kepada kebisingan dan melanggari adab-adab masjid dan selawat itu sendiri. Sesuatu yang sangat bertentangan dengan roh dan adab-adab Islam.

Kesan negatif yang ketara ialah kemeriahan itu tidak ada lagi apabila tiba penghujung Ramadan dan masjid menjadi sunyi sepi dan hanya kedengaran suara orang-orang tua.

 

 

 

 

Check Also

The Fiqh Principle Of Istihala – Changing From Impure To Pure

 The following is the transcription of the lecture given by Shaykh Muhammad Bazmool (hafidhahullah): (Taken …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *