Home / darulkautsar.net / Pemurnian Syariat / Pemurnian / Kesahihan Wirid Selepas Solat
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Kesahihan Wirid Selepas Solat

Oleh Muhammad Hanief Awang Yahaya

Amalan membaca wirid setelah selesai mengerjakan solat sudah menjadi perkara yang diterima umum. Sesetengah wirid itu bagaimanapun tidak dapat dipastikan puncanya walaupun ada sebahagiannya yang mempunyai sandaran daripada Sunnah Rasulullah s.a.w. Antara bacaan sesudah sembahyang yang masyhur di kalangan masyarakat kita ialah:

اللهم أنت السلام ومنك السلام وإليك يعود السلام فحينا ربنا بالسلام  وأدخلنا الجنة دار السلام تباركت ربنا وتعاليت يا ذا الجلال والإكرام

Lafaz yang begitu panjang ini tidak dapat dibuktikan sabit oleh mana-mana pihak sebagai berpunca daripada Rasulullah s.a.w. dan itulah yang menjadi amalan Rasulullah s.a.w. Malah apa yang terbukti sahih di dalam hadith-hadith Rasulullah ialah lafaz-lafaz yang berikut:

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَام

Dan di dalam sesetengah riwayat adalah seperti berikut:

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ تَبَارَكْتَ يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

Riwayat-riwayat asal yang sahih bagi wirid ini boleh didapati di dalam Sahih Muslim hadith nombor 931 , Sunan Abi Daud no: 1292, Sunan al-Nasa’i no: 1321, Sunan al-Tirmizi no: 275, Sunan Ibn Majah no: 914, Musnad Ahmad no: 21374, Sahih Ibn Khuzaimah no: 737, Sahih Ibn Hibban no: 200, Musnad Abi Awanah no: 2061 dan  Sunan al-Darimi no: 1314.

Kita dapati wirid yang biasa diamalkan di dalam masyarakat kita sebagaimana di atas tidak satupun menepati hadith-hadith sahih yang diriwayatkan oleh para ulama hadith. Lafaz asal adalah amat ringkas. Ini bererti sudah berlaku penambahan dan tokok tambah terhadap lafaz asal yang telah diamalkan dan diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kita.

Persoalannya ialah mengapa setelah sekian banyak terdapat riwayat sahih tentang lafaz wirid tersebut tetapi tidak diamalkan bahkan lafaz asal yang terbukti sahih daripada Rasulullah s.a.w. itu ditokok tambah dan dipinda-pinda. Dalam hal ini, ulama menegaskan bahawa sesuatu hadith yang sahih tidak boleh ditinggalkan kecuali jika terdapat halangan seperti hadith itu sudah dimansukhkan oleh hadith yang lain atau hadith itu ditarjihkan dengan hadith yang lebih kuat daripadanya.

Allamah Mulla Ali al-Qari menukilkan daripada al-Jazari bahawa lafaz yang menjadi amalan kebiasaan masyarakat kita sebenarnya ialah rekaan para tukang cerita di suatu masa dahulu yang mempunyai kepentingan tertentu. Pendapat ini juga disokong oleh pengarang Tuhfah al-Ahwazi Syarah Jami` al-Tirmizi, Abdul Rahman al-Murakpuri. (lihat Mulla Ali al-Qari, Mirqat al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 2/18, al-Mawdu`at al-Kubra, 290, al-Mawdu`at al-Sughra, 270, Tuhfah al-Ahwazi, 2/166)

Dengan ini ternyata bahawa kita mejadikan riwayat maudhu` dan bukannya hadis yang sahih sebagai amalan dan pegangan.

Walaupun makna yang terkandung dalam lafaz pindaan tersebut sangat baik iaitu memohon dimasukkan ke dalam syurga namun ianya tertolak kerana beberapa kaedah umum. Pertama, penambahan terhadap lafaz hadith mestilah dinukilkan daripada perawi yang thiqah. (Lihat Al-Suyuti, Tadrib al-Rawi, jil 1 hal. 204) Berhubung dengan masalah ini, penambahan tersebut tidak diterima kerana ia adalah nukilan daripada tukang-tukang cerita dan ia adalah hadith rekaan bukan hadith sahih. Kedua, Rasulullah s.a.w. melarang mengubah lafaz doa walaupun perbezaan yang ada sangat sedikit sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari:

عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلَاةِ ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الْأَيْمَنِ ثُمَّ قُلْ اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ فَإِنْ مُتَّ مِنْ لَيْلَتِكَ فَأَنْتَ عَلَى الْفِطْرَةِ وَاجْعَلْهُنَّ آخِرَ مَا تَتَكَلَّمُ بِهِ قَالَ فَرَدَّدْتُهَا عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا بَلَغْتُ اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ قُلْتُ وَرَسُولِكَ قَالَ لَا وَنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ

Daripada al-Barra` bin `Azib katanya, “Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila kamu mendatangi tempat tidur berwuduklah dengan sempurna kemudian baringlah di lambung kanan kemudian ucapkanlah,

اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ

Sekiranya kamu meninggal dunia pada malam itu, kamu berada di atas fitrah. Jadikanlah ia sebagai perkataan terakhir yang engkau ucapkan”. Maka aku mengulangkan kembali doa itu di hadapan baginda sehingga sampai kepada

اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْت , maka aku menyebut وَرَسُولِكَ  (dan rasul Engkau). Lalu baginda bersabda: “Jangan, tetapi ucapkanlah وَنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ (nabi Engkau yang Engkau utuskan)”

Hadith ini menunjukkan larangan mengubah walaupun satu patah perkataan. Ini kerana lafaz-lafaz zikir merupakan tawqif iaitu bergantung kepada ketentuan syara` dari segi penetapan lafaz dan penilaian pahala. (lihat Ibn Hajar, Fath al-Bari, 1 /247). Manakala dalam riwayat al-Tirmizi disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. menyucuk-nyucuk dada sahabat supaya membetulkan bacaan doa tersebut.

Selain itu, Al-`Ajluni menulis di dalam Kasyf al-Khafa’ (1/213) bahawa orang ramai telah membuat tambahan dalam doa ini  dengan lafaz  وتعاليت.

Mungkin apa yang dirasakan baik oleh sebahagian kita yang mengamalkan bacaan tersebut ialah kerana ia mempunyai saja` atau terdapat rima di hujung ayat-ayatnya yang menghasilkan bunyi yang indah. Walhal Rasulullah s.a.w. melarang dari melakukan saja` ketika berdoa. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya. Imam al-Ghazali mengatakan: “Saja` yang makruh di dalam doa ialah saja` yang bersifat mengada-ngada kerana ia tidak sesuai dengan doa yang bersifat kekhusyukan dan ketundukan kepada Allah s.w.t..“ (Ibn Hajar, Fath al-Bari, 12 /425)

Sebenarnya wirid tersebut merupakan gabungan dengan doa lain yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. apabila melihat Ka`abah. (lihat al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra 5/73, Musnad al-Imam al-Syafi`e 1/125, al-Umm 2/169, Musannaf Ibn Abi Syaibah 1/270). Di sini kita sudah tersasar dalam mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. Doa melihat kaabah kita membacanya ketika setelah sembahyang. Mungkin dengan anggapan bahawa menghadap ke arah kiblat setelah sembahyang sama seperti mengadap kaabah lalu dibacakan doa melihat kaabah. Alangkah jauhnya qiyas yang kita gunakan.

Oleh itu, diharapkan kita dapat kembali kepada amalan sunnah yang sebenarnya dengan berpegang dengan hadith-hadith sahih. Walaupun lafaz yang sahih itu ringkas, namun ianya sebenarnya mempunyai kebekatan dan pengertian yang besar iaitu hendak menyatakan kebesaran Allah s.w.t. Kerana siyaq atau halaman bagi lafaz tersebut ialah ta`zim atau tamjid  (mengagungkan dan memuji Allah s.w.t.) bukannya untuk diselitkan dengan doa-doa kita.

Apabila kita merasakan sesuatu ibadat itu baik menurut pandangan kita walhal ianya bukan dari Sunnah Rasulullah bererti wujudnya percubaan untuk membelakangkan baginda s.a.w. Sedangkan Allah s.w.t. berfirman:

وما آتاكم الرسول فخذوه وما نهاكم عنه فانتهوا

Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka ambillah akan dia serta amalkan dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. ( al-Hasyr: 7)

 

 

Check Also

The Fiqh Principle Of Istihala – Changing From Impure To Pure

 The following is the transcription of the lecture given by Shaykh Muhammad Bazmool (hafidhahullah): (Taken …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *