Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Garis Panduan Perniagaan MLM Yang HALAL

Oleh:Dr Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Saya telah menulis tulisan awalan berkenaan Multi Level Marketng pada bulan Januari 2007 dan menerima pelbagai respon positif dan negatif. Tidak kurang kurang muncul pelbagai tokoh-tokoh ilmuan lain turut serta menulis, mengemukakan pandangan masing-masing. Pun begitu, tiada satu panduan yang jelas mewakili Badan Agama yang berautoriti di tanahair. Khususnya apabila fatwa pada tahun 2006 mengharuskan MLM tanpa sebarang garis panduan yang jelas lagi terperinci.

Sejak dari itu, bertambah lagi perbincangan sehingga lahir pula beberapa syarikat MLM yang melantik penasihat Shariah bagi produk dan plan pemasaran mereka. Ini tidak syak lagi suatu perkembangan yang baik.

Saya sendiri telah dihampiri oleh sebuah syarikat tempatan untuk membantu merealisasikan sebuah syarikat multi level yang mematuhi undang-undang Islam. Alhamdulillah, niat baik syarikat tersebut berjaya dengan tertubuhnya sebuah syarikat MLM patuh Shariah.

Pun begitu, pemilik syarikat MLM yang lain, yang rata-ratanya digerakkan oleh peserta beragama Islam, masih tidak begitu mengendahkan persoalan hukum dan kritikan serta desakan orang ramai.

Tahun 2011, sejurus pulang dari United Kingdom, wakil JAKIM hadir beberapa kali bertemu saya untuk membincangkan penerbitan garis panduan MLM yang patuh Shariah yang lebih komprehensif. Akhirnya, terbitlah panduan ini.

MLM_syariah

GARIS PANDUAN JAKIM & MAJLIS FATWA (DIPETIK DARI JAKIM)

Garis Panduan Perniagaan Jualan Langsung Secara Pemasaran Berbilang Tingkat (Multi-Level Marketing) Menurut Syariah disediakan bagi tujuan memberi panduan kepada syarikat jualan langsung yang menjalankan perniagaan berteraskan pelan pemasaran berbilang tingkat (MLM), peserta termasuklah pengedar, wakil jualan atau ejen, pembeli, pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam perniagaan ini serta orang awam bagi memastikan perniagaan jualan langsung selaras dengan prinsip-prinsip syariah

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-72 yang bersidang pada 25-26 Februari 2006 telah memutuskan bahawa:

“Konsep, struktur dan undang-undang perniagaan multi-level marketing (MLM) yang diluluskan oleh Kerajaan adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam”.

Lanjutan keputusan tersebut, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan bagi merangka garis panduan berhubung amalan perniagaan ini. Jawatankuasa tersebut terdiri daripada paka-pakar dalam bidang syariah serta wakil agensi berkaitan seperti yang berikut:

  • Dr. Zaharuddin bin Abd. Rahman

o Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

  • En. Mohd. Talal bin Abu Bakar

o Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan

  • Ustaz Engku Ahmad Fadzil bin Engku Ali

o Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

  • Ustaz Wan Rumaizi bin Wan Husin

o Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

  • Ustaz Zaharudin bin Muhammad

o Penasihat Syariah Alliance Islamic Bank dan Prudential BSN Takaful

Draf Garis Panduan yang telah digubal oleh jawatankuasa ini telah diluluskan dan diteliti oleh Mesyuarat Panel Kajian Syariah Jakim Kali Ke-74 pada 24 hingga 26 Mei 2011. Selanjutnya, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16 hingga 18 Jun 2011 telah bersetuju memperakukan Garis Panduan Perniagaan Jualan Langsung Secara Pemasaran Berbilang Tingkat (Multi-Level Marketing) Menurut Syariah ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *