Home / darulkautsar.net / Pemurnian Syariat / Ibadat / Umum / Doa Setelah Solat Jenazah: Dari Manakah Asal Usulnya?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Doa Setelah Solat Jenazah: Dari Manakah Asal Usulnya?

Doa Setelah Solat Jenazah: Dari Manakah Asal Usulnya?

Muhammad Hanief bin Awang Yahaya

Para fuqaha telah menulis dengan panjang lebar berkenaan dengan kaifiat sembahyang jenazah dalam kitab-kitab mereka. Bermula dari niat sehinggalah memberi salam, yang mana itulah yang sabit dari al-Qur`an dan al-Sunnah. Sebaik sahaja selesai memberi salam, jenazah diangkat menuju ke kuburan tanpa ada sebarang amalan tertentu secara khusus.

Dalam pada itu, ada segolongan masyarakat, orang yang menjadi imam dan jemaah di belakangnya menambahkan doa dengan cara yang tertentu setelah memberi salam malah ada yang membaca beberapa surah dan berdoa sehingga dua kali. Kaifiat ini tidak pernah diriwayatkan dalam hadis-hadis sahih. Ini menyebabkan berlaku kelewatan dalam urusan pengkebumian.

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنهعَنِ اَلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلمقَالَأَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ, فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا إِلَيْهِ, وَإِنْ تَكُ سِوَى ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ – مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ .

Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Segerakanlah dengan urusan jenazah sekiranya dia seorang yang soleh maka jika dia seorang yang baik maka kepada kebaikanlah yang kamu hantarkannya dan jika dia jenazah bukan bersifat demikian maka kejahatanlah yang kamu lepaskan daripada batang leher kamu.” (al-Bukhari, 1315, Muslim, 50)

Doa untuk orang yang meninggal dunia sangat dituntut. Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w. memerintahkan supaya mengikhlaskan doa

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه أَنَّ اَلنَّبِيَّ صلى الله عليه وسلمقَالَإِذَا صَلَّيْتُمْ عَلَى اَلْمَيِّتِ فَأَخْلِصُوا لَهُ اَلدُّعَاءَ – رَوَاهُ أَبُو دَاوُدَ, وَصَحَّحَهُ ابْنُ حِبَّانَ .

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila kamu menyembahyangkan mayat maka ikhlaskan doa untuknya.” (Abu Dawud, 3199 dan Ibn Hibban, 3076)

Al-Munawi ketika menghuraikan hadis ini menulis: “Berdoalah untuk mayat dengan ikhlas dan hati yang hadir kerana maksud daripada sembahyang ini sebenarnya ialah istighfar dan memohon syafa’at untuk si mati. Penerimaannya diharapkan apabila memenuhi keikhlasan dan sepenuh hati. Oleh kerana itu, disyari’atkan dalam sembahyang jenazah beberapa doa yang tidak disyariatkan dalam doa untuk orang yang masih hidup.” (Faid al-Khabir Sharh al-Jami’ al-Saghir, jil. 1, hal. 508)

Dari segi adab berdoa hendaklah dimulakan dengan pujian kepada Allah s.w.t. dan selawat kepada Rasulullah s.a.w. dan ini sudah ada dalam solat jenazah iaitu pujian kepada Allah terkandung dalam surah al-Fatihah yg dibacakan selepas takbir pertama dan selawat selepas pada takbir kedua. Ini menunjukkan bahawa solat jenazah itu sendiri merupakan doa untuk si mati.

Doa setelah selesai sembahyang jenazah tidak tersebut dalam kitab-kitab fiqh. Ini menunjukkan bahawa tidak pernah timbul kepada para fuqaha akan kewujudannya dan perlunya kepada ijtihad untuk mengadakannya yang merupakan satu benda baru yang tidak pernah ada sebelum ini.

Kitab-kitab mu’tabar dalam mazhab Syafi’iyyah tidak menyatakan adanya doa selepas solat jenazah sebagai salah satu kaifiat solat jenazah seperti al-Muhadhdhab oleh al-Shirazi, Al-Iqna’ karangan al-Syarbini, termasuklah kitab kontemporari mazhab Syafi’i iaitu Al-Fiqh al-Manahaji oleh Mustafa Khin dan lain-lain.

Malah al-Shirazi umpamanya menyatakan, apabila selesai sembahyang ke atas jenazah hendaklah segera dikebumikan dan tidak perlu menunggu orang lain hadir untuk sembahyang ke atasnya kecuali pemerintah akan boleh ditunggu sekiranya tidak berlaku perubahan pada jenazah itu. (al-Majmu’ Fi Sharh al-Muhadhdhab, jil. 5, hal. 244)

Telah sabit dalam hadis-hadis tentang doa dalam sembahyang jenazah dan doa supaya beristighfar untuk si mati ketika selesai dari pengkebumian tetapi tidak ada pula diriwayatkan berdoa setelah sembahyang jenazah.

وَعَنْ عُثْمَانَرضي الله عنه قَالَ كَانَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلمإِذَا فَرَغَ مِنْ دَفْنِ الْمَيِّتِ وَقَفَ عَلَيْهِ وَقَالَ: “اِسْتَغْفِرُوا لِأَخِيكُمْ وَسَلُوا لَهُ التَّثْبِيتَ, فَإِنَّهُ الْآنَ يُسْأَلُ” – رَوَاهُ أَبُو دَاوُدَ, وَصَحَّحَهُ الْحَاكِم ُ.

Daripada ‘Uthman kata, Rasulullah s.a.w. apabila selesai dari pengkebumian baginda berdiri sambil bersabda: “Mintalah keampunan untuk saudaru kamu dan mintalah keteguhan untuknya kerana dia sekarang sedang disoal.” (Abu Dawud, 3221 dan al-Hakim)

Dalam al-Muhit al-Burhani, jil. 3, hal. 368, pengarangnya Burhanuddin Mahmud bin Ahmad al-Najjari menulis:

ولا يقوم الرجل بالدعاء بعد صلاة الجنازة؛ لأنه قد دعا مرة، لأن أكثر صلاة الجنازة الدعاء.

Tidak boleh seseorang itu berdoa sesudah sembahyang jenazah kerana dia telah pun berdoa kerana sebahagian besar sembahyang jenazah adalah doa.

Mulla ‘Ali al-Qari dalam Mirqat al-Mafatih, menulis:

ولا يدعو للميت بعد صلاة الجنازة لأنه يشبه الزيادة في صلاة الجنازة

Tidak boleh seseorang itu berdoa sesudah sembahyang jenazah kerana ia menyerupai penambahan dalam sembahyang jenazah. (Jil. 5, hal. 431)

Ini kerana penambahan kepada sesuatu yang sudah lengkap dikira sebagai bid’ah walaupun perkara itu dianggap elok. Bukankan sudah memadai doa-doa yang telah sabit yang disyariatkan untuk didoakan dalam sembahyang jenazah bukan sesudahnya.

 

Check Also

Hadis Pelepah Tamar Tidak Ada Kena Mengena Dengan Menghadiahkan Pahala Kepada Si Mati

Oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya Sesetengah ulama berhujah bahawa bacaan al-Qur`an dan pahalanya sampai kepada …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *