Home / darulkautsar.net / Pemurnian Syariat / Ibadat / Puasa Dan Ramadhan / ZAKAT FITRAH DAN HIKMAH PENSYARI’ATANNYA
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

ZAKAT FITRAH DAN HIKMAH PENSYARI’ATANNYA

Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

Zakat fitrah ialah satu kadar harta yang telah ditetapkan oleh syara’ untuk dikeluarkan kepada orang yang berhak menerimanya kerana dapat menyempurnakan puasa Ramadhan. Ia difardhukan bersama-sama dengan ibadah puasa. Wajib menunaikannya pada ketika terbenam matahari hari terakhir puasa ke atas setiap mukallaf dan orang yang di bawah tanggungannya.

Zakat fitr atau zakat fitrah?

Umum di kalangan sesetengah masyarakat menyebutkan zakat yang fardhukan kerana berpuasa sebagai zakat fitrah. Sedangkan penggunaan yang meluas dalam kitab-kitab hadis dan diikuti oleh para ulama ialah zakat fitr.

Perkataan “fitr” ma’na asalnya adalah terbelah

إِذَا السَّمَاءُ انْفَطَرَتْ

Apabila langit terbelah. (surah al-Infitar: 1)

Difahami daripada ayat ini, seolah-olah orang yang berpuasa membelah atau membuka puasanya dengan makan. Ianya dinamakan zakat fitr kerana kefardhuannya disebabkan penyempurnaan ibadat puasa. Perkataan fitr juga berkait dengan perkataan iftar yang bermaksud berbuka puasa atau masuk hari tidak berpuasa iaitu hari raya aidil fitri.

عَنِ ابنِ عُمَرَ رضي الله عنهما قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صلّى الله عليه وسلّم يَقُولُ: «إِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَصُومُوا، وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا، فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ». مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.

Daripada Ibn ‘Umar katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Berpuasalah apabila kamu melihat anak bulan dan berhari rayalah apabila kamu nampaknya. Jika mendung maka kamu hitungkanlah (ya’ni dengan menggenapkan bulan sebanyak 30 hari). (al-Bukhari no: 1900, dan Muslim no: 1080)

Adapun penggunaan “zakat fitrah” ialah diambil sempena kepada maksud bahawa zakat ini difardhukan bukan ke atas harta tetapi ke atas diri. Perkataan “fitrah” itu diambil dari “fatara” yang bermaksud penciptaan iaitu tabi’at dan fitrah penciptaan manusia yang dilahirkan pada asalnya dalam keadaan suci. Ia menggambarkan bahawa pengampunan dosa hasil dari ibadat puasa dan zakat fitrah menjadikan seseorang itu kembali dalam keadaan fitrahnya yang bersih dari dosa-dosa.

Sehubungan itu terdapat pelbagai nama yang diberikan kepada zakat ini. Antaranya ialah zakat Ramadhan, zakat puasa, zakat kepala (Zakah al-Ru`us) dan zakat badan (Zakah al-Abdan) atau zakat diri. Ma’na yang terkandung dalam nama-nama ini ialah penyucian diri dari kesalahan, kekurangan dan kelalaian yang berlaku semasa berpuasa pada bulan Ramadhan.

عَنِ اِبْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: – فَرَضَ رَسُولُ اَللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – زَكَاةَ اَلْفِطْرِ; طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اَللَّغْوِ, وَالرَّفَثِ, وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ, فَمَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ اَلصَّلَاةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ, وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ اَلصَّلَاةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنَ اَلصَّدَقَاتِ. – رَوَاهُ أَبُو دَاوُدَ, وَابْنُ مَاجَهْ, وَصَحَّحَهُ اَلْحَاكِم.

Daripada ibn ‘Abbas katanya Rasulullah s.a.w. menfardhukan zakat fitrah ke atas orang yang berpuasa sebagai penyucian daripada lagha dan mencarut dan untuk memberi makan kepada orang-orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka ia adalah zakat yang diterima tetapi sesiapa yang menunaikannya setelah selesai sembahyang maka ia adalah sedekah seperti sedekah yang lain. (Ibn Majah, no: 1827, Abu Dawud: 1609 dan al-Hakim mengatakannya sahih)

Hadis ini menyatakan dengan jelas akan beberapa hikmah disyari’atkan zakat fitr.

Pertama: Membersihkan orang berpuasa kekurangan, lagha dan dosa.

Semasa menjalani ibadat puasa tentu sekali beberapa perkara yang tidak elok telah dilakukan oleh orang yang berpuasa sama ada dosa atau kelalaian. Tiada cara lain yang dapat membaikinya melainkan dengan cara kaffarah. Maka zakat fitrah ditentukan sebagai kaffarah atau pembersih kepada orang yang berpuasa. Hal ini juga diisyaratkan oleh firman Allah s.w.t.

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (surah al-Tawbah: 103)

Begitu juga diisyaratkan dalam surah al-A’la yang sentiasa dibaca dalam sembahyang witir:

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ تَزَكَّى (14) وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّى (15)

Sesungguhnya berjayalah orang yang – setelah menerima peringatan itu – berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh). Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang (dengan khusyuk). (al-A’la: 14-15)

Mengikut sesetengah ulamak Hanafiyyah ayat ini menyatakan ibadat zakat fitrah itu ditunaikan pada waktu sembelum sembahyang hari raya dan ianya sebagai satu penyucian diri setelah keluar dari bulan Ramadhan.

Kedua: Menyatakan ihsan dan dermawan kepada miskin dan berkongsi kegembiraan di hari yang mulia. Tambahan pula hari tersebut ialah hari yang semua orang bersyukur dan bergembira. Orang miskin juga mahu memberikan kebahagian dan keceriaan kepada ahli keluarganya. Dalam hadis lain baginda bersabda:

أَغْنُوهُمْ عَنْ طَوَافِ هَذَا الْيَوْمِ

Cukupkanlah mereka pada hari ini dari meminta-minta. [1]

Ini bermakna zakat yang diterima membuatkan mereka berpuas hati kerana hari raya dapat disambut dengan keperluan makanan yang mencukupi di samping dengan pakaian yang baik-baik.

Ibn Daqiq menyatakan, sunnah pada zakat fitr ialah ditunaikan sebelum keluar sembahyang hari raya supaya terhasil kecukupan untuk orang miskin dan mengelakkannya daripada meminta-minta pada ketika beribadat. [2]

Berdasarkan kepada maksud dan hikmah ini, zakat fitr lebih layak diagihkan kepada golongan faqir miskin. Ibn al-Qayyim menulis:

Di antara petunjuk Rasulullah s.a.w. ialah mengkhususkan zakat fitr kepada golongan miskin sahaja dan tidak diagihkan kepada kesemua asnaf yang lapan satu persatu dan tidak pernah dilakukan oleh seorang pun sahabat baginda. [3]

Ketiga: Menyatakan kesyukuran ni’mat kepada Allah kerana dapat menyempurnakan puasa, sembahyang pada setiap malam.

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Adapun ni’mat Tuhanmu, maka hendaklah Engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepada-Nya. (Surah al-Duha: 11)

Oleh kerana zakat fitrah sebahagian daripada ibadat puasa dan ianya perlu disyukuri dapat mengerjakannya maka hendaklah dikeluarkan sebahagian daripada harta bagi menyatakan sifat bersyukur itu.

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa[4] (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur. (surah al-Baqarah: 185)

Keempat: Menimbulkan dalam diri sifat pemurah.

Seperti yang diriwayatkan dalam hadis, Rasulullah s.a.w. sangat pemurah dalam bulan Ramadhan. Setiap orang yang mencintai baginda seharusnya memberi penekanan terhadap sunnah ini.

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَة

Daripada Ibn Abbas, katanya: “Rasulullah s.a.w. adalah orang yang paling pemurah. Baginda paling bermurah pada bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya. Dan Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan untuk bertadarus (mengulang-ulang) al-Quran dengan Rasulullah. Rasulullah ketika itu lebih pemurah dalam memberi kebaikan berbanding dengan angin yang dilepaskan.”(al-Bukhari)

Bagi mereka yang sukar untuk bersedekah pada bulan Ramadhan, zakat fitrah merupakan peluang yang disediakan oleh shara’ supaya dapat berusaha untuk menjadikan sifat suka memberi sebagai salah satu sifat dirinya. Walaupun diperintahkan secara wajib, setidak-tidaknya ada usaha untuk mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. yang amat pemurah dalam bulan Ramadhan.

 

 

 

Rujukan:
1. Al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, jil. 4, hal. 175.
2. Ihkam al-Ahkam Fi Sharh ‘Umdah al-Ahkam, jil. 3, hal. 277.
3. Zad al-Ma’ad Fi Huda Khayr al-‘Ibad, jil. 2, hal. 22.
4. Perintah supaya mengingati kebesaran Allah dan bershukur setelah selesai berpuasa mudah mudahan Allah s.w.t. memberi tawfiq kepada kita untuk semua mengerjakan ibadat dan memasukkan kita dalam kalangan orang yang bershukur kepada-Nya.

Check Also

PUASA DAN HIKMAH PENGISLAHAN AKHLAQ

Muhammad Hanief Awang Yahaya   Daripada Abu Hurayrah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *