Home / darulkautsar.net / Pemurnian Syariat / Ibadat / Puasa Dan Ramadhan / HIKMAH LARANGAN PUASA SEBELUM DATANGNYA RAMADHAN – TIDAK BOLEH KETERLALUAN DALAM BERAMAL
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

HIKMAH LARANGAN PUASA SEBELUM DATANGNYA RAMADHAN – TIDAK BOLEH KETERLALUAN DALAM BERAMAL

Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم لَا تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلَا يَوْمَيْنِ, إِلَّا رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا, فَلْيَصُمْهُ – مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ .

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari kecuali orang yang kebiasaannya berpuasa[1] (lalu hari syak tersebut jatuh pada hari itu) maka bolehlah dia berpuasa.” (Hadis muttafaq ‘alaih) [2]

وَعَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ رضي الله عنه قَالَ مَنْ صَامَ اَلْيَوْمَ اَلَّذِي يُشَكُّ فِيهِ فَقَدْ عَصَى أَبَا اَلْقَاسِمِ صلى الله عليه وسلم وَذَكَرَهُ اَلْبُخَارِيُّ تَعْلِيقًا, وَوَصَلَهُ اَلْخَمْسَةُ, وَصَحَّحَهُ اِبْنُ خُزَيْمَةَ, وَابْنُ حِبَّانَ .

Daripada ‘Ammar bin Yasir katanya: “Sesiapa yang berpuasa pada hari yang diragui (adakah sudah masuk bulan Ramadhan atau tidak) maka sesungguhnya dia telah menderhakai Abu al-Qasim Rasulullah s.a.w.” [3]

Hadis ini jelas melarang mendahului puasa beberapa hari sebelum masuknya bulan Ramadhan iaitu puasa secara bersambung antara bulan Sya’ban dan Ramadhan. Oleh itu, tidak harus menyambut kedatangan Ramadhan dengan berpuasa sebelumnya sehari atau dua hari kerana ihtiyat atau bercermat.

Secara tidak langsung hadis ini menyatakan larangan menambah dalam ibadat fardhu sesuatu yang bukan daripadanya. Larangan ini menegaskan bahawa wajib kepada kita menjaga bentuk ibadat yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. tanpa melakukan sebarang pengubahan dari pihak kita sama ada pengurangan atau penambahan. Puasa yang difardhukan oleh Allah s.w.t. hanyalah pada bulan Ramadhan. Ada kala 29 hari dan ada kalanya 30 hari. Dibimbangi sekiranya berpuasa juga sehari atau dua hari sebelum Ramadhan menambahkannya menjadi lebih daripada 30 hari.

Menurut Shah Waliyullah al-Dahlawi, sebab larangan ialah kerana tidak ada pemisah di antara bulan Sya’ban dan Ramadhan. Sekiranya orang-orang yang melampau dalam mengamalkan agama menjadikannya sebagai sunnah maka generasi yang lain akan menurutinya sehingga ianya menjadi penyelewengan dalam syari’at. Asal usul atau sebab utama kepada perbuatan melampau ialah menjadikan sifat berhati-hati atau bercermat sebagai satu kemestian termasuklah puasa pada hari syak. [4]

Setiap ibadat itu terikat dengan masa dan waktu. Tidak boleh sama sekali mengerjakannya sebelum masuk waktunya. Puasa Ramadhan terikat dengan waktunya. Sebagaimana tidak harus menunaikan sembahyang Zuhur melainkan setelah tergelincir matahari maka begitulah juga dengan kefardhuan puasa Ramadhan. Selain itu, amat perlu adanya garis pemisah antara ibadat yang fardhu dan yang sunnat. Oleh sebab itulah, Rasulullah s.a.w. melarang dari sembahyang sunat sebaik sahaja selesai sembahyang fardhu di tempat yang sama.

َنْ عُمَر بْن عَطَاءِ بْنِ أَبِي الْخُوَارِ أَنَّ نَافِعَ بْنَ جُبَيْرٍ أَرْسَلَهُ إِلَى السَّائِبِ ابْنِ أُخْتِ نَمِرٍ يَسْأَلُهُ عَنْ شَيْءٍ رَآهُ مِنْهُ مُعَاوِيَةُ فِي الصَّلَاةِ فَقَالَ نَعَمْ صَلَّيْتُ مَعَهُ الْجُمُعَةَ فِي الْمَقْصُورَةِ فَلَمَّا سَلَّمَ الْإِمَامُ قُمْتُ فِي مَقَامِي فَصَلَّيْتُ فَلَمَّا دَخَلَ أَرْسَلَ إِلَيَّ فَقَالَ لَا تَعُدْ لِمَا فَعَلْتَ إِذَا صَلَّيْتَ الْجُمُعَةَ فَلَا تَصِلْهَا بِصَلَاةٍ حَتَّى تَكَلَّمَ أَوْ تَخْرُجَ فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَنَا بِذَلِكَ أَنْ لَا تُوصَلَ صَلَاةٌ بِصَلَاةٍ حَتَّى نَتَكَلَّمَ أَوْ نَخْرُجَ

Daripada ‘Umar bin ‘Ata` bin Abi al-Khuwar bahawa Nafi’ bin Jubayr menghantarnya menemui al-Sa`ib ibn Ukht Namir untuk bertanyakannya tentang sesuatu yang dilakukannya yang dilihat oleh Mu’awiyah. Beliau menjawab: “Ya, saya sembahyang Juma’at bersamanya di al-Maqsurah. Apabila imam memberi salam, saya bangun lalu bersembahyang di tempat duduk saya. Apabila Mu’awiyah masuk beliau menghantar seseorang menemui saya lalu berkata: “Jangan ulangi apa yang telah kamu lakukan. Apabila kamu telah sembahyang Juma’at janganlah bersembahyang sunat selepasnya sehinggalah kamu bercakap-cakap atau kamu keluar kerana sesungguhnya Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami dengan demikian iaitu jangan menyambungkan sembahyang (fardhu) dengan sembahyang (sunat) sehinggalah kami bercakap-cakap atau kami keluar.” (Muslim, no: 883)

Syari’at telah menetapkan puasa Ramadhan hanya wajib apabila anak bulan Ramadhan sudah kelihatan. Berpuasa sebelumnya sehari atau beberapa hari, secara tidak langsung mempertikai hukum terikatnya puasa itu dengan nampaknya anak bulan.

Walau bagaimanapun, bagi orang yang menanggung puasa wajib seperti qada` Ramadhan tahun lepas atau puasa nazar, larangan ini tidak terkena kepada mereka kerana puasa tersebut sudah menjadi ‘azimah atau tuntutan yang diberatkan dan bukannya sebagai rukhsah. Oleh itu, menjadi kewajipan kepadanya menggantikan puasa yang tertinggal supaya baki puasa yang wajib tidak tertunggak hingga ke tahun hadapan. Tambahan pula, mendahulukan yang wajib lebih utama daripada meninggalkan perkara yang makruh. [5]

 

 

 

Rujukan:
1. Maksud hari yang dia selalu berpuasa ialah puasa sunnat hari Isnin dan Khamis.
2. Al-Bukhari, no: 1914, Muslim, no: 1082
3. Al-Bukhari meriwayatkan secara ta’liq di bawah Bab Qawl al-Nabiyy Salla Allah ‘alayh Wa Sallam, Idha Ra`aytum al-Hilal Fa Sumu, Abu Dawud, no: 2334, al-Tirmizi, no: 686, al-Nasa`I, no: 2188, Ibn Majah, no: 1645, Ibn Khuzaymah no: 1914, Ibn Hibban, no: 3585.
4. Lihat al-Dahlawi, Hujjah Allah al-Balighah, jil. 2, hal. 92.
5. Lihat al-Shaykh ‘Abdullah al-Bassam, Tawdih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, jil. 3, hal. 490.

Check Also

PUASA DAN HIKMAH PENGISLAHAN AKHLAQ

Muhammad Hanief Awang Yahaya   Daripada Abu Hurayrah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *