Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

EID: HUKUM DAN ADABNYA

Susunan: Khairol Amin bin Mohd Salleh (al-ahkam.net )

 

 

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وبعد

Artikel di bawah ini ringkasan fatwa oleh ulama dan penulis terkenal Arab Saudi, Sheikh Saleh Munajjid yang membicarakan tentang hukum dan adab-adab merayakan Eidul-Fitri dan Eidul-Adha. Diantaranya, apakah tidak baik berkahwin di dalam bulan Syawal yang mulia ini? Apakah ia merupakan satu sumpahan (bad omen) bagi kedua-dua mempelai? Tidak kurang juga mereka mula berpuasa 6 pada hari Eid/Syawal ke 2 dan pada 8 Syawal mereka akan menyambut Hari Raya ke dua atau “Eid Al-Abraar”. Apakah perayaan ini dibenarkan? Fatwa-fatwa di bawah ini akan menjawab persoalan-persoalan tersebut.

Eid: Adab dan amalan – ringkasan dari fatwa Sheikh Mohammad Saleh Munajjid [1]

Sabda Nabi s.a.w. kepada Abu Bakar r.a. – “Setiap kaum ada perayaan, dan ini adalah perayaan kita” {إن لكل قوم عيد وهذا عيدنا} (Riwayat Bukhari dan Muslim). Hadis ini merujuk kepada dua perayaan Eid yang khusus bagi orang Islam. Orang Islam tidak ada perayaan lain selain dari Eidul-Fitr dan Eidul-Adha. Anas r.h. berkata : “Nabi s.a.w. datang ke Madinah, orang-orang Madinah biasa menyambut dua perayaan. Di kedua perayaan itu mereka ada pesta. Kata baginda (Nabi s.a.w. bertanyakan kaum Ansar mengenainya): “Apakah itu dua hari?” Mereka menjawab: “Kami biasa berpesta di masa zaman Jahiliyyah dahulu lagi.” Nabi s.a.w. memberitahu mereka: “Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mengurniakan dua hari yang mempunyai kebaikan di dalamnya, iaitu hari Eidul-Fitr dan hari Eidul-Adha.” (Riwayat Abu Daud, 1134)

عَنْ أَنَسٍ رضي الله عنه قَالَ قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَلَهُمْ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَقَالَ مَا هَذَانِ الْيَوْمَانِ قَالُوا كُنَّا نَلْعَبُ فِيهِمَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ . ” سنن أبي داود 1134

Kedua-dua Eid ini adalah di antara syiar Allah, di mana kita harus mengambil berat dan memahami objektifnya;

{وهذان العيدان هما من شعائر الله التي ينبغي إحياؤها وإدراك مقاصدها واستشعار معانيها}.

Di bawah ini akan dinyatakan adab dan peraturan Eid.

Peraturan Eid (أحكام العيد )

1. Haram Berpuasa: Haram berpuasa pada hari-hari Eid kerana dari Hadis Abu Sa’ed Al-Khudri r.a., di mana Rasulullah s.a.w. telah melarang berpuasa satu hari di dalam Eid Fitr dan satu hari di dalam Eid Adha (Riwayat Muslim, 827).

يحرم صوم يومي العيد لحديث أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ يَوْمِ الْفِطْرِ وَيَوْمِ النَّحْرِ . ” رواه مسلم 827 حكم صلاة العيدين

2. Melakukan solat Eid: Beberapa ulama’ mengatakan bahawa Solat Eid ini hukumnya wajib – Ini adalah pandangan ulama’-ulama’ kalangan Hanafi dan juga Sheikh al-Islam Ibn Taimiyah. Beberapa ulama-ulama yang lain pula mengatakan bahawa Solat Eid ini hukumnya Fardu Kifayah. Ini adalah pandangan Mazhab Hanbali. Kumpulan ketiga pula mengatakan hukum solat Eid ialah Sunat Mu’akkad (مؤكدة). Ini adalah pandangan mazhab Maliki dan Shafie.

3. Solat Sunat : Tidak terdapat solat sunat sebelum atau sesudah Solat Eid yang boleh dilakukan, sebagaimana yang dilaporkan oleh Ibnu Abbas bahawa Nabi s.a.w. biasanya akan keluar di hari Eid dan bersolat 2 rakaat, tidak dilakukan apa-apa sebelum dan sesudahnya.

رواه البخاري معلقا مجزوما به النافلة في المصلى: لا نافلة قبل صلاة العيد ولا بعدها كما جاء عن ابن عباس أن النبي صلى الله عليه وسلم خرج يوم العيد فصلى ركعتين لم يصل قبلهما ولا بعدهما.

Ini di dalam hal solat dilakukan di kawasan terbuka. Walaubagaimana pun, bagi mereka yang bersolat Eid di masjid, maka mereka seharusnya bersolat 2 rakaat Tahiyat Al-Masjid sebelum duduk

وهذا إذا كانت الصلاة في المصلى أو في مكان عام وأما إن صلى الناس العيد في المسجد فإنه يصلي تحية المسجد إذا دخله قبل أن يجلس.

4. Wanita yang menyertai Solat Eid: Menurut sunnah Nabi s.a.w., setiap orang digalakkan menghadiri Solat Eid, dan berkerjasama di antara satu sama lain. Wanita yang datang haid, janganlah lupa mengingati Allah atau pergi ke tempat perhimpunan yang bermatlamatkan penambahan ilmu dan mengingati Allah selain dari masjid. Wanita, tidak dapat dinafikan lagi, tidak boleh pergi tanpa memakai Hijab!

Adab-Adab Eid

1. Mandi (الاغتسال): ia merupakan salah satu dari adab yang baik sebelum keluar bersolat. Ia telah dilaporkan oleh Sa’id Ibnu Jubair, berkata: “Tiga perkara yang menjadi sunnah pada hari Eid: berjalan kaki (ke tempat solat), mandi, dan makan sebelum keluar (jika ianya Eidul-Fitr)

{سنة العيد ثلاث المشي والاغتسال والأكل قبل الخروج}.

2. Menjamah makanan sebelum keluar (الأكل قبل الخروج): Seseorang janganlah hendaknya pergi ke tempat Solat pada hari Eidul-Fitr sebelum makan beberapa biji tamar, kerana diriwayatkan oleh Bukhari dari Anas Ibnu Malik berkata: “Rasulullah s.a.w. tidak akan keluar pada pagi Eidul-Fitri sehingga dia memakan beberapa biji tamar…. dan beliau akan makan bilangan ganjil”.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ .. وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا

3. Bertakbir pada hari Eid (التكبير يوم العيد): Ini merupakan sunnah yang terbesar pada hari tersebut. Al-Daraqutni dan lain meriwayatkan bahawa Ibnu Umar semasa keluar pada hari Eidul-Fitr dan Eidul-Adha akan sedaya-upaya melakukan takbir sehingga tiba ke tempat solat, kemudian ia akan meneruskannya sehingga imam tiba.

وروى الدارقطني وغيره أن ابن عمر كان إذا غدا يوم الفطر ويوم الأضحى يجتهد بالتكبير حتى يأتي المصلى ، ثم يكبر حتى الإمام.

4. Mengucapkan tahniah (التهنئة): Orang Islam boleh mengucapkan tahniah dan ucapan-ucapan yang baik di hari Eid, tidak kira apa bentuk ucapan sekalipun {أيا كان لفظها }. Misalnya mereka boleh mengucapkan di antara satu sama lain ucapan :”Taqabbal Allahu minnaa wa minkum” – Semoga Allah menerima amalan baik dari kami dan dari kamu atau Eid Mubarak {تقبل الله منا ومنكم أو عيد مبارك }. Di riwayatkan oleh Ibnu Hajar dengan ucapan: “Taqabbal minnaa wa minka” – semoga diterima amalan dari kamu dan dari kami {تُقُبِّل منا ومنك. ابن حجر إسناده حسن}.

5. Memakai baju yang baik/cantik untuk Eid (التجمل للعيدين ): dari Jabir r.a. berkata :”Nabi s.a.w. mempunyai jubah yang beliau akan memakainya pada hari Eid dan hari Jumaat”

وعن جابر رضي الله عنه قال : كان للنبي صلى الله عليه وسلم جبة يلبسها للعيدين ويوم الجمعة.

Al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Ibnu Umar biasanya memakai pakaian yang baik pada hari Eid, jadi kaum lelaki haruslah memakai baju yang baik yang mereka miliki apabila keluar untuk Eid

صحيح ابن خزيمة 1765 وروى البيهقي بسند صحيح أن ابن عمر كان يلبس للعيد أجمل ثيابه فينبغي للرجل أن يلبس أجمل ما عند من الثياب عند الخروج للعيد.

6. Menggunakan jalan yang berlainan apabila pulang dari bersolat (الذهاب من طريق والعودة من آخر): Dari Jabir r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. menukar jalannya pada hari Eid –

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ رواه البخاري 986 (Riwayat Al-Bukhari).

Amaran Kepada Beberapa Kemungkaran

1. Ada setengah orang yang mengatakan bahawa Islam menyuruh kita berjaga malam dan bersolat di malam Eid, merujuk kepada sepotong hadis yang tidak sahih,

“Sesiapa yang menghidupkan malam Eid, maka hatinya tidak akan mati di masa pada hari matinya hati.” {أن من أحيا ليلة العيد لم يمت قلبه يوم تموت القلوب}.

Hadis ini dilaporkan melalui dua sanad, satunya ialah da’if, dan yang keduanya sangat dha’if. Islam tidak menyuruh kita menumpukan pada malam Eid untuk bersolat; tetapi jika memang menjadi kebiasaan seseorang itu bangun malam untuk bersolat, maka tidaklah salah perbuatannya walaupun pada malam Eid

{وأما من كان يقوم سائر الليالي فلا حرج أن يقوم في ليلة العيد }.

2. Bercampur di antara lelaki dan perempuan di beberapa tempat-tempat solat, jalanraya dan lain-lain (اختلاط النساء بالرجال في بعض المصليات والشوارع وغيرها). Adalah sangat memalukan bahawa ini berlaku bukan sahaja di masjid, tetapi sehinggakan di tempat-tempat suci seperti di Masjidil Haram dan sebagainya. Kebanyakkan wanita – moga Allah memberi petunjuk ke atas mereka (هداهن الله )- keluar tanpa menutup aurat, memakai make-up dan minyak wangi, apabila terdapatnya kesesakan di masjid, bahaya situasi ini begitu terserlah. Bagi sesiapa yang bertanggungjawab haruslah menguruskan solat Eid betul-betul, dengan menyediakan pintu yang berbeza dan jalan yang berbeza dan melambatkan kaum lelaki keluar sehingga kaum wanita telah meninggalkan tempat tersebut.

Hari Eid dan Jumaat jatuh pada hari yang sama. Apakah solat Jumaat masih wajib?

Soalan: Jika Eid Al-Fitr jatuh pada hari Jumaat, Bolehkah saya hanya bersolat Eid dan tidak bersolat Jumaat atau sebaliknya?

Jawab Sheikh Saalih Ibnu Fawzaan Al-Fawzaan [2]:

Segala pujian kepada Allah. Jika hari Eid bersamaan dengan Jumaat, maka sesiapa yang bersolat Eid bersama imam tidak perlu menghadirkan diri (tidak wajib keatasnya); di dalam hal ini ia menjadi sunat. Jika ia tidak bersolat Jumaat, ia wajib bersolat zuhur;

إذا وافق يوم العيد يوم الجمعة فإنه من صلى العيد مع الإمام سقط عنه وجوب حضور الجمعة ويبقى في حقه سنة . فإذا لم يحضر الجمعة وجب عليه أن يصلي ظهر.

Perkara ini hanya berlaku kepada mereka yang bukan Imam. Bagi Imam pula, ia mesti menghadirkan diri bagi solat Jumaat dan mengimami orang Islam yang menghadirkan diri untuk bersolat. Solat Jumaat tidaklah boleh ditinggalkan sepenuhnya pada hari tersebut.

Sebagai tambahan :

Didalam buku fekah yang terkenal, “Fiqh As-Sunnah”, karangan Sayyed Sabiq[3] menyatakan :

“Jika hari Eid berlaku pada hari Jumaat, maka solat Jumaat tiada lagi menjadi wajib bagi sesiapa yang menunaikan Solat Eid. Zaid ibn Arqam berkata: “Nabi s.a.w. bersolat Eid dan memberi pilihan samada untuk mengerjakan solat Jumaat atau tidak. Sabda baginda: “Barangsiapa ingin bersolat, maka bolehlah bersolat” – Riwayat sahih dari Ibn Khuzaimah dan Hakim (4)

. إذا اجتمع الجمعة والعيد في يوم واحد سقطت الجمعة عمن صلى العيد؛ فعن زيد بن أرقم قال: صلى النبي صلى الله عليه وسلم العيد ثم رخص في الجمعة فقال : ((من شاء أن يصلي فليصل)) رواه الخمسة وصححه ابن خزيمة والحاكم.

Bagi memperjelaskan lagi isu ini, Sheikh ‘Atiyya Saqr, bekas Pengerusi Majlis Fatwa Al-Azhar menyatakan berikut: “Telah diriwayatkan bahawa Eid berlaku pada hari Jumaat pada zaman Abdullah Ibn Az-Zubair dan beliau telah duduk di dalam rumah sehingga tengahari dan kemudian baru beliau keluar rumah, menyampaikan khutbah dan melakukan dua rakaat solat dan beliau tidak menunaikan Solat Eid. Bila ditanya mengenai ini, Ibnu Abbas berkata: “Dia telah mengikut sunnah”.

Berkahwin di bulan Syawal, adakah ia membawa nasib buruk?

Soalan: Kebanyakan orang di Asia merasakan bahawa jika mereka berkahwin di antara dua Eid, maksud saya Eid Al-Fitr sehingga Eid Al-Adha adalah menjadi perkara buruk dan salah seorang dari pengantin akan mati kerana tidak berapa baik berkahwin diantara dua Eid. Saya ingin tahu dari pandangan Islam samada ia benar atau tidak?

Jawapan dari Sheikh Muhammad Salih Al-Munajjid[5]:

Jawapannya terbahagi kepada dua bahagian.

Pertamanya, kepercayaan di dalam soalan diatas adalah tidak benar; ia merupakan satu bid’ah (rekaan) dan menyesatkan di mana tidak ada asas langsung di dalam syariat Islamiah, dan ia tidak dinyatakan di dalam Al-Quran atau Sunnah.

Keduanya, kepercayaan melanggar batasan syariah Islam di dalam beberapa cara:

(i) Kepercayaan bahawa seseorang akan mati di dalam jangka waktu ini. Tidaklah dibenarkan mempercayai perkara ini kerana kematian dan kehidupan di tangan Allah {لا يجوز لأن الموت والحياة بيد الله عز وجل } dan ketentuan kematian adalah sesuatu yang Allah simpan di dalam pengetahuannya. Tiada manusia yang tahu bila dia akan mati. Ini adalah suatu perkara yang Allah s.w.t. tidak memberitahu mana-mana makhluknya. Kerana itu Nabi s.a.w. berkata di dalam sebuah hadis (di mana kesahihannya dipersetujui oleh semua yang diriwayatkan) oleh Abu Hurairah r.a., di dalam sebuah hadis panjang Jibrail : “Ada lima perkara yang tiada siapa tahu melainkan Allah”. Kemudian katanya :”Sesungguhnya disisi Allah pengetahuan mengenai masa, Dia menurunkan hujan, dan mengetahui siapa di dalam Rahim. Tiada siapa yang mengetahui apa-apa mengenai apa nasibnya esok, dan tiada siapa yang tahu di bumi mana ia akan mati. Sesungguhnya Allah Mengetahui segala-galanya” (Riwayat Bukhari: 48, Muslim :10)

في خمس لا يعلمهن إلا الله ) ثم تلا : ( إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Mendakwa perkahwinan semasa jangka-waktu ini akan membawa kepada kematian adalah mendakwa mempunyai pengetahuan ghaib, dan hanya mereka yang karut sahaja yang berani mendakwa mempunyai pengetahuan sesuatu yang ghaib.

(ii) Ini juga menunjukkan keadaan iman yang lusuh, kerana ia menunjukkan kurangnya beriman kepada Al-Qadaa’ dan Al-Qadar. Maka itu Rasulullah s.a.w. mengajar Ibnu Abbas semasa beliau masih kanak-kanak, “Mengetahui bahawa ummah akan berkumpul bersama dapat memanafaatkan kamu dengan apa-apa pun, [atau] mereka tidak akan memanafaatkan kamu dengan apa-apapun, melainkan Allah telah takdirkan ke atas kamu, dan jika mereka berkumpul untuk melakukan kemudaratan dengan cara apa sekalipun, mereka tidak akan dapat memudaratkan melainkan apa yang Allah takdirkan keatas kamu. Qalam telah dinaikkan dan helaian telah kering” (Riwayat Al-Tirmizi, Sifat Qiyaamah, 2440; dikelaskan sahih oleh Al-Albani didalam Sahih Sunan Al-Tirmizi, no. 2043).

وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْ الأَقْلامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ

Telah diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin Al-‘Aas berkata : “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. berkata, bahawa Allah telah menulis takdir makhluknya 50,000 tahun ….

” سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ كَتَبَ اللَّهُ مَقَادِيرَ الْخَلائِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ … – (Riwayat Muslim, Al-Qadar, 4797).

(iii) Ia juga menentukan tauhid dan kesempurnaannya, kerana ia melibatkan sesuatu kesialan dan pessimisme. Telah diperkatakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. berkata :”Tidak ada penyakit yang berjangkit [hanya dengan izin Allah], tidak ada burung yang mendatangkan sial, tidak ada burung hantu [atau tulang orang mati bertukar menjadi burung yang boleh terbang], dan tiada bulan Safar [yang mendatangkan bala]” {لا عَدْوَى وَلا طِيَرَةَ وَلا هَامَةَ وَلا صَفَرَ } – (Riwayat Bukhari, Al-Tibb, 5316).

Telah diriwayatkan dari hadis Ibnu Mas’ud bahawa Nabi s.a.w. berkata : “Tiyarah (Tahayul) ialah sejenis syirik”.{الطيرة من الشرك } – (Riwayat Al-Tirmizi, Al-Siyar, 1539, disahihkan Al-Albani didalam Sahih Tirmizi, no.1314)

Perlu diingatkan bahawa kepercayaan tahayul di dalam nasib yang sial bercanggah dengan tauhid dengan dua cara:

Pertama, kepercayaan tahayul menghalang seseorang itu meletakkan kepercayaan kepada Allah dan menjadikan seseorang itu bergantung selain darinya.

Kedua, ia menyebabkan seseorang itu bergantung kepada benda yang tidak ada asas kebenarannya, oleh itu tidak ada hubungan di antara berkahwin di dalam bulan ini dan apa yang akan berlaku seterusnya. Tidak syak lagi, ia akan menjejaskan tauhid, kerana tauhid bermakna beribadah dan memohon pertolongan dariNya. Allah berfirman : “Kepada engkau aku sembah dan kepada engkau aku memohon pertolongan”{إياك نعبد وإياك نستعين } – Al-Fatihah :5. dan “Maka sembah dia dan bertawakkal kepadanya”{فاعبده وتوكّل عليه } – Al-Hud:123.

Sesungguhnya A’isyah r.h. berkata bahawa Nabi s.a.w. berkahwin dengan beliau di dalam bulan Syawal dan menjadikan (merancang) perkahwinan dengannya di dalam bulan Syawal dan beliau merupakan wanita yang paling beliau sayang. Orang Arab biasanya mengatakan bulan ini tidak baik dan mereka biasa mengatakan bahawa barangsiapa yang berkahwin di dalam bulan Syawal, perkahwinan tidak akan berjaya, tetapi ini tidaklah benar.

Di dalam perkara mempercayai kesialan nasib, satu di dalam dua perkara ini harus terjadi:

Samada dia akan berpatah hati (give up), sebagai respon kepada ‘nasib buruk’ (bad omen), dan tidak mengambil apa-apa tindakan, di mana ini merupakan paling buruk tahyul, atau ia akan meneruskan, tetapi ia akan menjadi gelisah dan risau, dihantui oleh ‘nasib buruk’ yang akan menimpa. Ini kurang sikit seriusnya, tetapi kedua-duanya akan menjejaskan tauhid. (Lihat al-Qawl al-Mufeed oleh Ibnu Uthaimin, bahagian 2, ms. 77-78).

Melihat kepada realiti, kita lihat di dalam sunnah nabi s.a.w. yang sahih membuktikan bahawa mitos ini PALSU, manusia yang terbaik, Muhammad s.a.w., berkahwin dengan orang yang beliau sayangi, A’isyah r.h., diantara dua Eid, dan beliau merupakan orang yang paling gembira di sampingnya. Bahkah beliau telah menolak dakwaan Jahiliyyah dan berkata: “Rasulullah s.a.w. berkahwin dengan ku di dalam bulan Syawal dan menjadikan perkahwinan denganku di bulan Syawal, dan wanita mana yang paling Rasulullah s.a.w. sayangi selain dariku?”

تزوجني رسولُ الله صلى الله عليه وسلم في شوال ، وبنى بي في شوال ، فأي نساء رسول الله صلى الله عليه وسلم كان أحظى عنده مني

Al-Nawawi berkata: “Ini menunjukkan bahawa adalah mustahab mengadakan majlis perkahwinan dan berkahwin di dalam bulan Syawal. Nas dari para sahabat menunjukkan ia adalah mustahab, dan mereka menjadikan hadis ini sebagai bukti. Dengan berkata begini, A’isyah bercadang menolak amalan dan kepercayaan jahiliah. Apa yang biasa orang lakukan pada masa ini, iaitu tidak suka merancangkan perkahwinan dan berkahwin di dalam bulan Syawal, adalah salah dan tidak ada asas. Ini merupakan saki dari ajaran-ajaran jahiliyyah. Mereka menganggap bahawa ia suatu yang tidak baik kerana nama Syawal membawa maksud ‘mengangkat’.” – Syarah Muslim, 9/209.

Hukum berjima’ di malam dan hari Eid

Soalan: Apakah hukum berjima’ pada hari dan malam Eid (soalan saya termasuk kedua-dua Eid)? Saya mendengar dari beberapa ikhwan yang ikhlas bahawa ia tidak dibenarkan.

Jawab Sheikh Mohammad Saleh Munajjid [6]:

Alhamdulillah. Apa yang anda telah dengar dari saudara tersebut adalah tidak benar. Berjima’ pada malam dan siang Eid adalah dibenarkan {فالجماع ليلة العيد ويومه مباح }, tidaklah haram kecuali pada siang di dalam bulan Ramadhan dan apabila di dalam ihram Haji dan umrah, dan apabila wanita datang haid atau keluar darah selepas bersalin (nifaas). Allah mengetahui yang sebaiknya.

Hukum merayakan Eid al-Abraar atau perayaan 8 Syawal setelah puasa 6

Soalan: Apakah hukum merayakan Eid al-Abraar yang dirayakan pada bulan Syawal setiap tahun[7]?

Jawapan: Salah satu dari perkara rekaan yang berlaku di dalam bulan Syawal ialah bid’ah Eid al-Abraar (عيد الأبرار), yang disambut pada 8 haribulan Syawal. Setelah mereka menyempurnakan puasa Ramadhan, dan berbuka puasa pada hari pertama Syawal – hari Eidul Al-Fitr – mereka mula berpuasa 6 hari pertama di dalam bulan Syawal, dan pada hari ke 8 mereka akan menyambut “eid” yang dinamakan Eid Al-Abraar.

Sheikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah berkata : “Mengenai menyambut perayaan yang tidak dinyatakan di dalam syariat – seperti beberapa malam di dalam bulan Rabi’ulawwal yang dipanggil ‘Maulid’, atau beberapa malam di dalam bulan Rejab, atau 18 Zulhijjah, atau Jumaat pertama di dalam bulan Rejab, atau 8 Syawal di mana ia dipanggil Eid Al-Abaar – ini adalah satu bid’ah yang tidak dibenarkan oleh salaf dan mereka tidak melakukan perkara itu. Allah mengetahui yang sebaiknya”[8] (Majmu’ Fatawa Sheikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah).

وأما اتخاذ موسم غير المواسم الشرعية كبعض ليالي شهر ربيع الأول التي يقال : إنها ليلة المولد , أو بعض ليالي رجب , أو ثامن عشر ذي الحجة , أو أول جمعة من رجب , أو ثامن من شوال الذي يسميه الجهَّال عيد الأبرار : فإنها من البدع التي لم يستحبها السلف , ولم يفعلوها. والله سبحانه وتعالى أعلم.

Beliau juga berkata: “Mengenai 8 Syawal, ia bukanlah Eid, samada untuk kebenaran atau kejahatan. Tidak dibenarkan seseorang itu mengambilnya sebagai Eid atau mengambil apa-apa yang dikaitkan dengan perayaan pada hari itu.”

وأما ثامن شوال : فليس عيداً لا للأبرار ولا للفجار , ولا يجوز لأحد أن يعتقده عيداً, ولا يحدث فيه شيئاً من شعائر الأعياد عيد الأبرار : فإنها من البدع

(al-Ikhtiyaaraat al-Fiqhiyyah, ms. 199)

Perayaan “Eid” ini berlaku di masjid-masjid yang terkenal, di mana lelaki dan wanita bercampur secara bebas, berjabat tangan secara bebas dan menyebutkan perkataan jahiliyyah apabila mereka berjabat tangan. Kemudian mereka pergi membuat makanan yang dikhususkan pada perayaan ini”. (al-Sunan wa’l-Mubtada’aat oleh al-Shuqayri, ms 166)

Zakat Al-Fitr (Zakat Fitrah) menggunakan wang ringgit

Soalan: Apakah pandangan mengenai Zakat Al-Fitr … apakah ia mesti menggunakan bahan makanan atau boleh menggunakan wang?

Jawapan Dr. Ali Al-Soa [9]:

Adalah dibenarkan kepada seorang Islam yang mengeluarkan zakat al-fitr menggunakan wang. Kerana sesungguhya duit merupakan cara yang sesuai bagi memdapatkan barangan dan perkhidmatan. Duit membolehkan seseorang itu membeli barangan makanan dan lain-lain.

يجوز للمسلم أن يخرج قيمة زكاة الفطر نقودا؛ لأن النقود وسيلة صالحة لشراء السلع والخدمات؛ فيمكن للإنسان أن يشتري بها الطعام وغيره .

Menurut seorang ahli ekonomi Islam terkenal, Dr. Mozer Kahf[10], bahawa Sheikul Islam Ibnu Taimiyyah (ulama’ Islam pada awal 9 Hijrah) membincangkan pembayaran zakat al-fitr dengan wang terutamanya di kawasan metropolitan seperti Damsyik di mana tempat beliau tinggal, bahawa ia lebih baik kepada orang miskin.

Di mana kena bayar Zakat Al-Fitr?

Sheikh Dr Yusuf Al-Qardhawi menjawab [11]:”Orang Islam mesti membayar zakat al-fitr di negara di mana dia tinggal di malam pertama di dalam bulan Syawal. Sebabnya ialah bahawa zakat al-fitr tidak dibayar kerana berpuasa, tetapi dibayar kerana eid (berbuka puasa); sebab itula ianya dinamakan “zakat al-Fitr”. Oleh itu, jika seseorang itu mati sebelum maghrib di hari terakhir di dalam bulan Ramadhan, zakat al-fitr tidak wajib kepadanya walaupun dia telah berpuasa semua hari di dalam bulan itu. Sebaliknya, jika seorang bayi dilahirkan selepas magrib di hari terakhir Ramadhan (di malam pertama Syawal) adalah wajib ia (wakilnya) membayar zakat al-fitr. Pandangan ini adalah disepakati oleh ulama’ Islam. Lebih-lebih lagi zakat al-fitr dikaitkan dengan eid al-fitr dan ia bermakna “kegembiraan” yang termasuklah di antara mereka yang miskin dan yang memerlukan. Kerana itulah nabi s.a.w. bersabda {Jadikan mereka (yang miskin) kaya di hari ini (iaitu hari Eid)}.”

Terlambat dalam membayar Zakat Al-Fitr

Menurut bekas Pengerusi Majlis Fatwa Al-Azhar, Sheikh Atiyya Saqr[12]:

Tidak boleh melambat-lambatkan zakat al-fitr di hari eid {لا يجوز تأخير زكاة الفطر عن يوم العيد }. Lebih afdal mengeluarkannya sebelum solat eid. Dari Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkan menunaikan zakat al-fitr sebelum mereka bersolat, berkata Ibnu Abbas r.h. : “Maka barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat maka zakat itu dimaqbulkan, dan barangsiapa yang menunaikannya selepas solat maka jadilah ia sedekah dari sedekah-sedekah [yang lain].”

فمن أداها قبل الصلاة فهي زكاة مقبولة ، ومن أداها بعد الصلاة فهي صدقة من الصدقات .

 

Kesimpulan

Di dalam menyambut eid Al-fitr yang mulia ini, marilah kita kembali kepada sumber-sumber Islam yang sebenarnya. Kepercayaan-kercayaan lama dan mitos-mitos, lebih-lebih lagi peninggalan zaman jahililiyyah haruslah kita buangkan dari kehidupan kita. Apa yang kita mahu ialah mempertingkatkan iman dan taqwa sebagai muslim sejati (true muslim). Jadikan bulan baik dan hari baik ini sebagai titik permulaan didalam penghidupan kita, agar amalan yang dilakukan sejajar dengan kehendak Al-Quran dan Sunnah. Akhir kata : Eid Mubarak, Taqabbal Allahu minnaa wa minkum” – Semoga Allah menerima amalan baik dari kami dan dari kamu {تقبل الله منا ومنكم }, Selamat menyambut Hari Raya.

wallahu’alam (والله أعلم )

wassalam

susunan kamin

29 Ramadan 1423

 

Rujukan :
1. Sheikh Mohammad Saleh Al-Munajjid. Eid:Adab dan Hukum. Fatwa IslamOnline. url: http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=4561
2. Sheikh Saalih Ibnu Fawzaan Al-Fawzaan. Hukum Solat Eid di hari Jumaat islam-qa. url: http://63.175.194.25/index.php?ln=ara&ds=qa&lv=browse&QR=7857&dgn=3
3. Sayyed Sabiq. Fikh As-Sunnah – Juzu I. Kansas City: Cetakan khas Manar Al-Dauliyah, 1995, ms. 343
4. Sheikh Abdul Aziz ibn Baaz. Kitaab Majmu’ Fataawa wa Maqaalaat Mutanawwi’ah li Samaahat – Jilid. 13, ms. 13
5. Sheikh Mohammad Saleh Al-Munajjid. Berkahwin diantara dua hari Eid islam-qa. url: http://63.175.194.25/index.php?ln=ara&ds=qa&lv=browse&QR=13475&dgn=3
6. Sheikh Mohammad Saleh Al-Munajjid. Hukum berjima’ dimalam dan hari Eid islam-qa. url: http://63.175.194.25/index.php?ln=ara&ds=qa&lv=browse&QR=38224&dgn=3
7. Sheikh Abdul Aziz ibn Ahmad Al-Tuwajri. Al-Bida’ al-Hawliyyah :Hukum merayakan Eid al-Abraar, ms. 350. url: http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=25756
8. Sheikh Ibnu Taimiyyah. Majmu’ Fatawa – juzu’ 25. Mekah : percetakan Al-Hukumah, 1969h., ms. 298.
9. Dr. Ali Al-Soa. Membayar Zakat Al-Fitr dengan wang. Fatwa IslamOnline. url: http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=23177
10. Dr. Mozer Kahf Zakat Al-Fitr. Fatwa IslamOnline. url: http://www.islamonline.net/completesearch/english/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=21799
11. Dr Yusuf Al-Qardawi. Tempat membayar Zakat Al-Fitr. Fatwa IslamOnline. url: http://www.islamonline.net/completesearch/english/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=1931
12. Sheikh Atiyya Saqr. <melambatkan Zakat Al-Fitr. Fatwa IslamOnline. url: http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=16163
جميع حقوق النشر محفوظة © شبكة أخبار الأحكام،2002
Sumber: www.al-ahkam.net dengan sedikit suntingan oleh www.darulkautsar.net

Check Also

PUASA DAN HIKMAH PENGISLAHAN AKHLAQ

Muhammad Hanief Awang Yahaya   Daripada Abu Hurayrah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *