Home / darulkautsar.net / Pemurnian Syariat / Penjelasan Hukum Syarak & Fiqh / KEHARUSAN PEREMPUAN YANG HAID MEMBACA AL-QUR`AN
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

KEHARUSAN PEREMPUAN YANG HAID MEMBACA AL-QUR`AN

Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

Ulama sependapat tentang dibolehkan berzikir dan berdoa kepada Allah s.w.t. dengan selain daripada ayat-ayat al-Qur`an tanpa disyaratkan taharah. Imam al-Nawawi berkata: “Telah ijma’ bahawa harus tasbih, tahlil, takbir, tahmid dan selawat kepada Rasulullah s.a.w. serta zikir-zikir lain yang bukan daripada al-Qur`an bagi orang-orang yang berjunub dan haid. (al-Majmu’ Bi Sharh al-Muhazzab, jil. 2, hal. 164)

Namun ulama berbeza pendapat dalam kes membaca al-Qur`an bagi orang yang berjunub terutamanya wanita yang datang haid. Pendapat yang umum diterima dalam masyarakat kita ialah pendapat yang mengharamkannya kerana melihat kepada kehormatan dan kesucian al-Qur`an.

Dalam hal ini, perlu disedari dan diinsafi bahawa persoalan ini merupakan khilafiah yang mengharuskan kita untuk memilih mana satu daripadanya yang sesuai dengan realiti semasa dan setempat selama mana kita terikat dengan nas-nas Shara’ dan matlamat yang digariskannya (Maqasid al-Shari’ah). Terlalu terikat dengan satu-satu pendapat dalam keadaan ada pendapat yang lebih kuat dan lebih menepati realiti sering kali menyebabkan timbulnya kesukaran dalam sesebuah masyarakat. Dalam tulisan yang ringkas ini tumpuan akan diberikan kepada pendapat harusnya bagi orang-orang yang berjunub dan haid itu membaca al-Qur`an kerana berdasarkan dalil sahih dan hujah yang nyata.

Antara sahabat dan tabi’in yang mengharuskan perempuan yang haid membaca al-Qur`an Ibn ‘Abbas, Sa’id bin al-Musayyab dan Sa’id bin Jubayr. (Musannaf Abdil Razzaq, jil. 1, hal. 337, al-Muhalla, jil. 1, hal. 96). Pendapat ini telah ditarjihkan oleh ulama salaf seperti Ibn Jarir al-Tabari, Ibrahim al-Nakha’i, Ibn al-Munzir dan Dawud al-Zahiri. (Fath al-Bari Bi Sharh al-Bukhari, jil. 1, hal. 542)

Imam al-Bukhari mengemukakan Tarjamah al-Bab (tajuk bab) yang bagi hadis nombor 305 dengan menyatakan:

بَاب تَقْضِي الْحَائِضُ الْمَنَاسِكَ كُلَّهَا إِلَّا الطَّوَافَ بِالْبَيْتِ وَقَالَ إِبْرَاهِيمُ لَا بَأْسَ أَنْ تَقْرَأَ الْآيَةَ وَلَمْ يَرَ ابْنُ عَبَّاسٍ بِالْقِرَاءَةِ لِلْجُنُبِ بَأْسًا وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْكُرُ اللَّهَ عَلَى كُلِّ أَحْيَانِهِ وَقَالَتْ أُمُّ عَطِيَّةَ كُنَّا نُؤْمَرُ أَنْ يَخْرُجَ الْحُيَّضُ فَيُكَبِّرْنَ بِتَكْبِيرِهِمْ وَيَدْعُونَ وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ أَخْبَرَنِي أَبُو سُفْيَانَ أَنَّ هِرَقْلَ دَعَا بِكِتَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَرَأَ فَإِذَا فِيهِ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ وَيَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ الْآيَةَ وَقَالَ عَطَاءٌ عَنْ جَابِرٍ حَاضَتْ عَائِشَةُ فَنَسَكَتْ الْمَنَاسِكَ غَيْرَ الطَّوَافِ بِالْبَيْتِ وَلَا تُصَلِّي وَقَالَ الْحَكَمُ إِنِّي لَأَذْبَحُ وَأَنَا جُنُبٌ وَقَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرْ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ

Bab orang yang haid melaksanakan semua kerja-kerja haji kecuali tawaf di Ka’bah. Ibrahim berkata: Tidak mengapa baginya membaca satu ayat. Ibn ‘Abbas tidak memandang adanya kesalahan bagi orang yang berjunub membaca al-Qur`an. Rasulullah s.a.w. berzikir mengingati Allah s.w.t. dalam semua keadaannya. Ummu ‘Atiyyah berkata: “Kami diperintahkan supaya orang-orang yang datang haid keluar (ke tempat sembahyang hari raya) lalu bertakbir sama dengan takbir yang orang-orang lain dan juga berdoa. Ibn ‘Abbas berkata: “Abu Sufyan menceritakan kepada saya bahawa Hiraql (Hercules) meminta dibawakan kepadanya surat Rasulullah s.a.w. lalu dia membaca dan di dalamnya tertulis بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ dan يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ (hingga ke ayat 64 surah Aal ‘Imran) ‘Ata` berkata, daripada Jabir bahawa ‘A`ishah mengalami haid lalu beliau menunaikan semua kerja-kerja haji kecuali tawaf di Baitillah Ka’bah dan tidak mengerjakan sembahyang. Ibn al-Hakam berkata: “Sesungguhnya saya menyembelih binatang pada masa berjunub dan Allah s.w.t. berfirman: وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرْ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ.

Apa yang dinyatakan oleh Imam al-Bukhari dengan panjang lebar di atas merupakan pendapatnya yang bersandarkan kepada hadis yang sahih dan juga pendapat dan athar dari ulama salaf.

Berikut ini dalil-dalil yang mengharuskan orang yang berjunub dan wanita yang datang haid membaca al-Qur`an.

Dalil Pertama

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ خَرَجْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا نَذْكُرُ إِلَّا الْحَجَّ فَلَمَّا جِئْنَا سَرِفَ طَمِثْتُ فَدَخَلَ عَلَيَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا أَبْكِي فَقَالَ مَا يُبْكِيكِ قُلْتُ لَوَدِدْتُ وَاللَّهِ أَنِّي لَمْ أَحُجَّ الْعَامَ قَالَ لَعَلَّكِ نُفِسْتِ قُلْتُ نَعَمْ قَالَ فَإِنَّ ذَلِكِ شَيْءٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ فَافْعَلِي مَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لَا تَطُوفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِي

Daripada ‘A`ishah katanya: “Kami keluar bersama Rasulullah s.a.w. dengan tidak ada maksud lain kecuali untuk mengerjakan haji. Apabila kami sampai ke Sarif, saya didatangi haid. Selepas itu Rasulullah s.a.w. masuk ke tempat penginapan saya dan pada ketika itu saya sedang menangis. Baginda bertanya: “Mengapa kamu menangis? Saya menjawab: “Demi Allah, saya suka sekali kalau tidak datang untuk mengerjakan haji pada tahun ini”. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangkali kamu telah datang haid?”. Saya menjawab: “Ya”. Baginda bersabda: “Sesungguhnya itu adalah sesuatu yang telah ditentukan Allah kepada anak-anak perempuan Adam. Hendaklah kamu mengerjakan apa yang dilakukan oleh orang yang mengerjakan haji cuma kamu tidak boleh bertawaf di Baitullah sebelum kamu suci”. (al-Bukhari: 305, Muslim: 1211)

Di antara amalan yang dikerjakan oleh orang berhaji ialah berdoa, berzikir, tilawah al-Qur`an dan sebagainya. Berdasarkan kepada umum hadis ini harus kepada orang yang datang haid untuk membaca al-Qur`an. Nas yang umum hendaklah diamalkan sehinggalah terdapat dalil sahih lagi sarih (jelas) yang mengkhususkannya.

Perkara yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. daripada dilakukan oleh orang yang berhaid hanyalah tawaf. Sebab tawaf dikecualikan ialah kerana ianya sama seperti sembahyang dari segi kedua-duanya itu disyaratkan taharah.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الطَّوَافُ حَوْلَ الْبَيْتِ مِثْلُ الصَّلَاةِ

Daripada Ibn ‘Abbas bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bertawaf di sekeliling Baitullah sama seperti sembahyang”. (al-Tirmizi: 960, Ibn Khuzaimah: 2739)

Ini menunjukkan bahawa perkara yang selain daripada tawaf boleh dilakukan sama ada dalam keadaan berhadas kecil atau berhadas besar kerana ia tidak disyaratkan taharah.

Dalil Kedua:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْكُرُ اللَّهَ عَلَى كُلِّ أَحْيَانِهِ

Daripada ‘A`ishah katanya: “Rasulullah s.a.w. berzikir mengingati Allah s.w.t. dalam semua keadaannya”. (Muslim: 373)

Seperti yang difahami, sebahagian besar zikir Rasulullah s.a.w. merupakan ayat-ayat al-Qur`an. Ini menunjukkan bahawa tidak ada sesuatu yang menghalang baginda s.a.w. untuk membaca al-Qur`an, sama ada berjunub atau hadas kecil. Perkataan ahyan diungkapkan dengan nakirah yang disandarkan kepada isim ma’rifah iaitu damir atau kata ganti nama yang menunjukkan ma’na umum.

Dalil Ketiga

Antara dalil yang menjadi hujah juga ialah dalam sesetengah keadaan Rasulullah s.a.w. berjunub dan hendak tidur, maka baginda hanya berwudu` sahaja.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ جُنُبًا فَأَرَادَ أَنْ يَأْكُلَ أَوْ يَنَامَ تَوَضَّأَ وُضُوءَهُ لِلصَّلَاةِ

Daripada ‘A`ishah katanya: “Rasulullah s.a.w. apabila berjunub dan baginda hendak makan atau tidur maka baginda akan berwudu` sama dengan wudu` untuk mengerjakan sembahyang. (Muslim: 305)

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي قَيْسٍ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ عَنْ وِتْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ الْحَدِيثَ قُلْتُ كَيْفَ كَانَ يَصْنَعُ فِي الْجَنَابَةِ أَكَانَ يَغْتَسِلُ قَبْلَ أَنْ يَنَامَ أَمْ يَنَامُ قَبْلَ أَنْ يَغْتَسِلَ قَالَتْ كُلُّ ذَلِكَ قَدْ كَانَ يَفْعَلُ رُبَّمَا اغْتَسَلَ فَنَامَ وَرُبَّمَا تَوَضَّأَ فَنَامَ قُلْتُ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَعَلَ فِي الْأَمْرِ سَعَةً

Daripada ‘Abdullah bin Abi Qays katanya, saya bertanya kepada ‘A`ishah tentang sembahyang witir Rasulullah s.a.w. – lalu perawi menceritakan hadis – Saya bertanya lagi: “Apakah yang baginda lakukan pada ketika berjunub, adakah baginda mandi sebelum tidur atau tidur sebelum mandi?” ‘A`ishah menjawab: “Semuanya itu dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., kadang-kadang baginda mandi lalu terus tidur dan ada kalanya baginda berwudu` kemudian baru tidur.” Sayapun berkata: “Segala puji bagi Allah yang menjadikan keluasan dalam perkara ini.” (Muslim: 307)

Sehubungan dengan itu, Rasulullah s.a.w. tidak meninggalkan bacaan surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas pada setiap malam.

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ

Daripada ‘A`ishah bahawa apabila Rasulullah s.a.w. pergi ke tempat tidurnya pada setiap malam maka baginda menemukan kedua-dua tapak tangannya kemudian meniupkan padanya lalu membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas kemudian menyapukan seluruh tubuh pada tempat yang dapat disampai oleh kedua-dua tapak tangannya. Baginda memulakan sapuannya itu pada kepalanya, muka dan bahagian hadapan tubuhnya. Dilakukannya itu sebanyak tiga kali. (al-Bukhari: 4668)

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ أَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْقُدُ وَهُوَ جُنُبٌ قَالَتْ نَعَمْ وَيَتَوَضَّأُ

Daripada Abu Salamah katanya, saya bertanya ‘A`ishah, adakah Rasulullah s.a.w. tidur dalam keadaan berjunub? Beliau menjawab: “Ya, baginda berwudu`. (al-Bukhari: 286, Muslim: 305)

Apabila diketahui kadang-kadang baginda tidur dalam keadaan berjunub maka dapat diketahui juga baginda tidak meninggalkan bacaan surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas dan itu adalah pada setiap malam.

Dalam hadis ini secara isyarat menyatakan Rasulullah s.a.w. membaca al-Qur`an dalam keadaan berjunub dan janabah itu tidak menghalangnya dari membaca al-Quran. Ini difahami daripada kata-kata ‘A`ishah yang menyebutkan “pada setiap malam”. Beliau menyatakan baginda s.a.w. tidur dalam keadaan berjunub setelah mengambil wudu`.

Dalil Qiyas

Imam al-Bukhari mengemukakan athar daripada sahabat iaitu Ibn ‘Abbas berkata: “Abu Sufyan menceritakan kepada saya bahawa Hiraql (Hercules) meminta dibawakan kepadanya surat Rasulullah s.a.w. lalu dia membaca dan di dalamnya tertulis بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ dan يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ (hingga ke ayat 64 surah Aal ‘Imran).

Athar ini menyatakan bahawa Hiraql membaca surat yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w. yang mengandungi ayat al-Qur`an. Sekiranya orang yang berjunub itu tidak boleh membaca al-Qur`an tentu baginda s.a.w. tidak akan menuliskan ayat al-Qur`an dalam surat yang dihantarkan kepada orang kafir kerana ia mungkin terdedah kepada orang yang tidak mandi wajib dan perempuan yang haid dari kalangan orang yang bukan Islam. Sekiranya ini diharuskan kepada mereka mengapa pula orang-orang Islam dilarang dari menyentuh dan membacanya.

Dalil Al-Bara`ah Al-Asliyyah

Maksudnya ialah melihat kepada keadaan asal iaitu seseorang muslim baik lelaki mahupun perempuan tidak dihalang dari membaca al-Qur`an melainkan terdapat dalil yang menyatakan sebaliknya.

Jika perempuan yang berhaid dilarang dari membaca al-Qur`an seperti mana mereka dilarang dari mengerjakan sembahyang maka pasti Rasulullah s.a.w. akan mengajarkannya kepada isteri-isterinya dan menerangkan hukumnya kepada para sahabat supaya diberitahu kepada anak isteri mereka seperti mana diterangkan hukum bersembahyang dan puasa. Oleh kerana perkara ini tidak pernah diriwayatkan daripada baginda s.a.w. maka ia menunjukkan bahawa orang yang berjunub dan berhaid tidak dilarang dari membaca al-Qur`an.

Dalil Maslahah

Ibn al-Qayyim berkata, Shari’e telah membahagikan ibadat yang berkaitan dengan perempuan haid kepada dua bahagian, pertama bahagian yang boleh digantikannya pada masa suci maka tidak diwajibkan kepadanya pada ketika haid bahkan digugurkan sama ada secara mutlak seperti sembahyang atau menggantikannya pada masa suci seperti puasa. Kedua, bahagian yang tidak dapat digantikan dan tidak boleh ditangguhkan hingga pada waktu suci. Maka dengan itu disyari’atkan untuk perempuan berhaid pada ketika haidnya seperti ihram, wuquf di ‘Arafah dan hukum-hukum yang mengikutinya. Diantara hukumnya ialah harus membaca al-Qur`an walaupun sedang haid kerana tidak mungkin dapat digantikannya pada masa suci kerana haid itu kadang-kadang berpanjangan hingga kepada tempoh kebiasaannya atau waktu yang paling lama. Sekiranya dia ditegah dari membaca al-Qur`an maka akan hilang kemaslahatannya daripadanya. Boleh jadi dia akan terlupa ayat-ayat yang dihafaznya pada ketika suci. Ini merupakan mazhab Malik, salah satu riwayat daripada Ahmad, salah satu daripada pendapat al-Shafi’i. Rasulullah s.a.w. tidak menegah perempuan berhaid membaca al-Qur`an. Hadis ‘janganlah perempuan membaca dan berjunub sedikit daripada al-Qur`an’ adalah tidak sahih kerana hadis ini ma’lul (mempunyai ‘illah) dengan sepakat ulama hadis. (I’lam al-Muwaqqi’in ‘An Rabb al-‘Alamin, jil. 4, 366-367)

Check Also

Alkohol, Khilaf Mazhab Dalam Menentukan Hukum Penggunaannya

Share...TwitterPrintPinterestLinkedinFacebookDigg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *