Home / darulkautsar.net / Pemurnian Syariat / Penjelasan Hukum Syarak & Fiqh / Hadis-Hadis Palsu (Maudhu’) Tentang Kelebihan Bulan Rejab Dan Berpuasa Di Bulan Rejab
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Hadis-Hadis Palsu (Maudhu’) Tentang Kelebihan Bulan Rejab Dan Berpuasa Di Bulan Rejab

 

1. Kelebihan bulan Rejab atas segala bulan

As-Silafi meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Ertinya: Kelebihan Rejab atas segala bulan bagaikan kelebihan Al-Quran atas segala zikir; kelebihan Sya’ban atas segala bulan adalah seperti kelebihan Muhammad atas segala para Nabi dan kelebihan Ramadhan atas segala bulan bagaikan kelebihan Allah atas segala hambanya.

Hadith ini adalah Maudhu’

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar: Sanad hadith thiqah, kecuali Hibatullah As-Saqathi, dialah yang menjadi penyakitnya.

Kata As-Sam’ani: Ia mendakwa mendengar hadith dari Syeikh-syeikh yang tidak pernah dilihatnya.

Kata Ibnu Nashir : Hibatullah bin Al-Mubarak Al-saqathi ini tidak thiqah dan nyata dustanya .

Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu’ (Jld 1) – Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 517

2. Kelebihan berpuasa di bulan Rejab

Ibnul-Jauzi menyebutkan dari riwayat Al-Furat bin As-Saib, dari Maimum bin Mahran dari Abu Zarr r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda:

Ertinya: Barangsiapa berpuasa sehari dari bulan Rejab disamakan dengan puasa sebulan. Barangsiapa berpuasa tujuh hari dari bulan Rejab nescaya ditutup baginya pintu-pintu Neraka Jahim yang tujuh. Barangsiapa berpuasa lapan hari dari bulan Rejab nescaya dibukakan bagikan baginya pintu-pintu Syurga yang lapan itu. Barangsiapa berpuasa sepuluh hari dari bulan Rejab maka Allah menukarkan kejahatan-kejahatannya dengan kebaikan-kebaikan, dan barangsiapa berpuasa lapan belas hari dari bulan Rejab nescaya berserulah seorang penyeru bahawasanya telah diampunkan apa yang telah lalu dan mulakanlah amalan .

Kata Ibnul-Jauzi : Hadith ini tidak sah.

Kata Yahya bin Ma’in : Al-Furat bin As-Saib tidak bernilai apa-apa.

Kata Al-Bukhari dan Ad-Daruquthni: Dia adalah matruk.

Dalam sanad juga terdapat Risydin Abu Abdullah yang juga seorang yang matruk.

Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu’ (Jld 1) – Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 524

3. Kelebihan Puasa Sehari di bulan Rejab

Abu Muhammad Al-Khallal, Ad-Dailami, Al-Ashbahani meriwayatkan dari Mansor bin Yazid Al-Asadi, dari Musa bin ‘Imran, dari Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

Ertinya: Bahawasanya di dalam Syurga ada sebuah sungai yang dipanggil Rejab, airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, barangsiapa berpuasa sehari sahaja dari bulan Rejab nescaya Allah memberinya minum dari sungai itu.

Kata Az-Zahabi : Mansor bin Yazid tidak dikenali orangnya dan khabarnya (hadithnya) adalah batil.

Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu’ (Jld 1) – Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 514

4. Ganjaran Puasa di Bulan Rejab Mengikut Bilangan Hari

Ibnu-Jauzi menyebutkan dari riwayat Muhammad bin Abdul-Baqi dari jalan Abu Bakr Muhammad bin Al-Hasan An-Naqqasy, dari Abu Sa’id r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

Ertinya: Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku, maka barangsiapa yang berpuasa bulan Rejab dengan keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, maka ia wajib mendapat keridhaan dari Allah Yang Maha Agung dan menempatkan dalam Syurga Al-Firdaus yang tertinggi. Barangsiapa berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka baginya pahala dua kali ganda , timbangan tiap-tiap ganda bagaikan bukit-bukit di dunia. Barangsiapa berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka Allah menjadikan antaranya dan Neraka sebuah parit yang panjangnya sepanjang perjalanan setahun. Barangsiapa berpuasa empat hari dari bulan Rejab maka ia akan diselamatkan dari bala, gila, kusta dan sopak, dari fitnah Al-Masih Ad-Dajjal dan dari azab kubur. Barangsiapa berpuasa enam hari dari bulan Rejab, maka ia keluar dari kuburnya dengan wajah yang lebih bersinar daripada sinar bulan pada malam purnama.

Barangsiapa berpuasa tujuh hari dari bulan Rejab, maka pintu-pintu tujuh buah Neraka ditutup baginya, tiap-tiap sehari puasa ditutup satu pintu dari pintu-pintu Neraka itu. Barangsiapa berpuasa lapan hari dari bulan Rejab, maka dibuka untuknya pintu Syurga yang lapan buah itu, tiap- tiap sehari puasa sebuah pintu dibuka.

Barangsiapa berpuasa sembilan hari dari bulan Rejab, maka ia keluar dari kuburnya sedangkan ia menyeru La Ilaha Illallah, maka wajahnya tidak datang kecuali syurgalah baginya. Barangsiapa berpuasa sepuluh hari dari bulan Rejab, maka Allah menjadikan untuknya atas tiap-tiap satu mail Shirath akan permaidani yang ia beristirahat di atasnya.

Barangsiapa berpuasa sebelas hari dari bulan Rejab, maka ia tidak akan dilihat di akhirat nanti lebih utama daripadanya kecuali orang yang berpuasa Rejab seperti dia ataupun lebih daripadanya. Barangsiapa berpuasa dua belas hari dari bulan Rejab, maka pada hari Qiamat Allah memakaikannya dua pakaian, satu pakaian lebih baik daripada dunia dan segala isinya.

Barangsiapa berpuasa tiga belas hari dari bulan Rejab, maka dihidangkan untuknya sebuah hidangan dalam bayang-bayang Arasy lalu ia memakannya sedangkan orang ramai berada dalam kesusahan yang amat sangat. Barangsiapa berpuasa empat belas hari dari bulan Rejab, maka Allah memberikannya pahala yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di hati.

Barangsiapa berpuasa lima belas hari dari bulan Rejab, maka Allah menempatkan dia di hari Kiamat di tempat orang-orang yang selamat, tiada lalu seorang Malaikat Muqarrabin dan tiada lalu pula seorang Nabi yang diutuskan kecuali mereka berkata: Berbahagialah engkau! Engkau adalah di antara orang-orang yang selamat sejahtera.

Kata Ibnu – Jauzi: Hadith ini adalah Maudhu’

Al-Kasa-i yang terdapat dalam sanadnya tidak dikenal orangnya. Manakala An-Naqqassi iaitu Abu Bakar bin Muhammad bin Al-Hasan An-Naqqassi dituduh berbohong.

Sumber: Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu’ (Jld 1) – Drs Abdul Ghani Azmi- m.s. 529

5. Puasa Tiga Bulan Berturut -turut (Rejab, Sya’ban Dan Ramadhan)

Maksudnya:

Dari Abu Hurairah r.a. : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak pernah menyempurnakan puasa sebulan penuh selepas Ramadhan melainkan bulan Rejab dan Sya’ban.

a. Periwayat Hadith: At-Thabarani

b. Status Hadith: SANGAT LEMAH

c. Sebabnya: Di dalam sanadnya terdapat seorang perawi bemama Yusuf bin Athiyyah bin Thabit.

Kata Imam Al-Bukhari: Ia seorang yang mungkar hadithnya.

Kata Imam An-Nasai dan Imam Ibnu Hajar: Ia seorang yang ditinggalkan hadithnya (matruk).

Kata Imam Abu Hatim, Imam Abu Zur’ ah dan Imam Ad-Daruqutni: Ia seorang yang lemah hadithnya.

Kata Imam Ibnu Hibban: Tidak harus berhujjah dengannya.

Kata Imam Ibnu Ma’in dan Imam Abu Daud: Ia tidak memiliki sesuatu (yang soheh untuk dijadikan pegangan).

d. Keterangan:

Hadith ini tidak dapat dijadikan hujjah tentang puasa tiga bulan berturut-turut iaitu Rejab, Sya’ban dan seterusnya disambung dengan Ramadhan sebagaimana yang diamalkan oleh sebahagian umat Islam.

Tidak thabit Nabi s.a.w. berpuasa sebulan penuh pada bulan-bulan lain melainkan Ramadhan sahaja. Inilah amalan Nabi s.a.w. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Aishah r.a. katanya: Dan aku tidak pemah melihatnya (Nabi s.a.w.) berpuasa sebulan penuh semenjak datang ke Madinah kecuali Ramadhan.

Inilah petunjuk Nabi s.a.w. yang merupakan sebaik-baik petunjuk untuk diikuti dan dicontohi. Allah s.w.t. berfirman:

Maksudnya:

Dan apa-apa yang dibawa oleh Rasul kepada kamu maka ambillah.

e. Kesimpulan:

Nabi s.a.w. tidak pemah berpuasa tiga bulan berturut-turut terus menerus.

Sumber: Ibrahim Mohd Raja (www.al-ahkam.net)

Check Also

Alkohol, Khilaf Mazhab Dalam Menentukan Hukum Penggunaannya

Share...TwitterPrintPinterestLinkedinFacebookDigg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *