Home / darulkautsar.net / Pemurnian Sejarah / Zaman Sahabat / Sayyidina Hassan Jaguh Seks ?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sayyidina Hassan Jaguh Seks ?

 

Saringan oleh www.darulkautsar.com dari artikel asal oleh Maulana Mohd Asri Yusoff

Sebenarnya cerita Sayyidina Hassan berkahwin dan menceraikan isteri-isterinya seramai lebih dari 200 orang telah lama diketahui penulis kerana ia terdapat di dalam sesetengah buku sejarah. Cerita ini dari masa ke semasa disebarkan melalui tulisan-tulisan, ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah dan ianya tersebar dengan meluas di kalangan masyarakat. Walaupun begitu penyebar-penyebar cerita ini berbeza pendapat tentang bilangan isteri Sayyidina Hassan. Ada yang mengatakan isteri Sayyidina Hassan hanya 80 orang kesemuanya, ada yang mengatakan 50 orang sahaja, ada yang mengatakan 100 orang, ada 200 orang, 300 orang bahkan ada juga yang mengatakan sampai 400 orang. Masyarakat kita yang sudah biasa dengan penyebaran cerita-cerita palsu sebegini menganggapnya suatu perkara yang remeh dan tidak perlu diperbesar-besarkan atau pun tidak perlu bersusah payah untuk mengkaji samada ianya cerita benar ataupun rekaan.

Apa yang mendorong penulis menulis artikel ini dengan menggunakan tajuk ini ialah kerana terkejut apabila mendengar satu kaset ceramah ugama seorang ustaz yang agak terkenal di sebelah utara negara kita di mana beliau semasa mengajar sebuah kitab bernama “ Muhimmah” pada ilmu hadis Nabi s.a.w. (membicarakan adab berkeluarga) telah menyebutkan bahawa Sayyidina Hassan telah berkahwin dengan lebih dari 200 orang !

Sememangnya terdapat kenyataan ini dalam kitab tersebut tetapi yang menariknya, untuk menambahkan lagi serinya, kaset ini diterbitkan dengan nama “JAGUH”!

Apa yang menghairankan ialah pembawa-pembawa cerita ini dan orang-orang yang mengajar kitab-kitab yang memuatkan cerita ini langsung tidak menggunakan fikiran mereka dan berhakimkan hati nurani dalam menerima dan seterusnya menyebarkannya di khalayak ramai. Dengan kedudukan mereka sebagai seorang ustaz, guru-guru agama, tok-tok guru, pensyarah dan lain-lain akan mempercepatkan lagi penyebaran cerita-cerita yang karut seperti ini.

Cerita ini memang berpunca daripada kitab-kitab yang popular dan menjadi pegangan kepada masyarakat umum hasil tulisan “orang-orang besar” pula. Tentu sekali masyarakat yang berjiwa “ pak turut” akan menerimanya tanpa soal selidik lagi, kononnya siapalah kita untuk mempersoalkan cerita-cerita yang disebarkan ulama-ulama ini!.

Ahli ilmu yang bertanggungjawab tetap berpendapat bahawa dengan ‘semata-mata’ wujudnya cerita-cerita seperti ini di dalam kitab-kitab ulama-ulama tertentu tidak akan menaikkannya ke tahap sahih. Kesahihan sesuatu cerita hanya ditentukan melalui nilai-nilai yang diterima pakai oleh ulama jarh dan ta’dil (Jarhu wal Ta’dil) serta kaedah Riwayat dan Dirayah. Jalaluddin As-Suyuuti dalam kitabnya Taarikh Al-Khulafa’ (m.s. 178) menyebutkan bahawa Ibnu Saad mengemukakan satu riwayat Ali bin Husain katanya : “Hassan adalah seorang yang suka menceraikan isterinya. Dia tidak menceraikan seseorang isterinya melainkan dalam keadaan isterinya itu cukup sayang kepadanya. Dia telah mengahwini seramai 90 orang perempuan”. Hafidz Ibnu Hajar juga menyebutkan riwayat daripada Ali bin Al-Husain ini tetapi tidak pula ia menyebutkan bilangan isterinya sampai 90 orang. Beliau menulis, “ Abdullah bin Al-Hassan berkata, “Sayyidina Hassan jarang sekali tidak beristeri empat serentak dan beliau adalah seorang yang mempunyai ramai isteri”. (Tahzibu Tahzib jilid 2 m.s. 259).

Imam al-Ghazali pula pergi lebih jauh dari itu apabila beliau menulis bahawa, “Dikatakan Hassan bin Ali seorang yang suka berkahwin sehingga beliau telah mangahwini lebih 200 orang perempuan. Kadang-kadang beliau mengadakan akad perkahwinan dengan empat orang perempuan serentak dan kadang-kadang beliau menceraikan empat orang isterinya serentak lalu menukarkan mereka dengan isteri-isteri yang lain. Nabi saw. bersabda kepada Hassan, “Engkau menyerupai rupaku dan perangaiku.” Baginda saw bersabda lagi, “Hassan sebahagian dariku sedangkan Husain sebahagian daripada Ali”. Dikatakan banyaknya berkahwin Hassan itu adalah salah satu perangainya yang menyerupai Rasulullah s.a.w.” (Ihya’ Ulumuddin jilid 2 m.s. 30)

Apabila kita merujuk sumber-sumber Syiah, kita akan dapati di dalam riwayat Ibnu Syahr Aasyub disebutkan bahawa, “Sayyidina Hassan telah berkahwin dengan 250 orang perempuan”, sedangkan dalam riwayat yang lain disebutkan sampai 300 orang perempuan. (Mulla Baqir Al Majlisi Jila u Aluyun jilid 1 m.s. 438)

Penjelasan yang diberikan oleh pihak Ahlus Sunnah dan Syiah adalah berbeza. Kalangan Ahlus Sunnah mengatakan bahawa tidak harus seseorang itu berkahwin dengan lebih daripada empat orang perempuan dalam satu masa. Jadi bagaimana Sayyidina Hassan boleh mengahwini seramai 200 atau 300 orang perempuan?. Sudah tentu dengan cara beliau mengahwini empat orang dalam satu masa kemudian menceraikannya serentak lalu berkahwin dengan empat yang lain pula serentak. Dan begitulah seterusnya sebagaimana disebutkan dalam riwayat-riwayat tadi bahawa Sayyidina Hassan adalah seorang yang suka berkahwin dan bercerai.

Tetapi bukankah Allah tidak suka kepada orang-orang yang suka menukar-nukar selera dalam soal seks dan bukankah perkara halal yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. ialah perceraian sebagaimana yang kita dapati dalam hadis baik dari kalangan Ahlus Sunnah atau pun Syiah?

Hadis-hadis dari kalangan ahlus Sunnah adalah sebagaimana berikut;

1)- Bermaksud :

“Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak suka lelaki dan perempuan yang suka menukar-nukar selera (seks)”. (Riwayat Al-Bazzar dan At-Tobrani di dalam Al-Kabir)

2)-Bermaksud :

“Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak (cerai). (Ibnu Majah dan Abu Daud)

Manakala ‘hadis-hadis’ dari golongan Syiah adalah seperti berikut;

1)- Bermaksud :

“Sesungguhnya Allah benci setiap orang yang suka menceraikan isteri dan suka menukar-nukar selera (seks)” (Al-Kaafi jilid 6 ms 55).

2)- Bermaksud :

“Jaafar As-Sadiq berkata : Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak dan Allah s.w.t. membenci orang yang suka menceraikan isteri dan menukar-nukar selera seks”. (Al-Kaafi jilid 6 m.s. 54).

Apakah Sayyidina Hassan tidak mengetahui semua ini atau beliau sengaja melanggarnya dan tidak mematuhi arahannya?

Alasan yang diberikan oleh golongan yang menerima cerita sebagai cerita yang benar ialah : “Oleh kerana masyarakat terlalu inginkan pertalian dan perhubungan keluarga dengan Rasulullah s.a.w., mereka sendiri yang mahu mengahwinkan anak-anak mereka dengan Sayyidina Hassan dan bukan Sayyidina Hassan yang sebenarnya beria-ia mahu berkahwin”. Sebagai bukti mereka mengemukakan bahawa apabila Sayyidina Ali melarang orang ramai daripada mengahwinkan anak-anak mereka dengan Sayyidina Hassan kerana beliau suka menceraikan isteri lantas bangun seorang lelaki daripada Hamdan seraya berkata : “Demi Allah wahai Amirul Mukminin kami pasti akan mengahwinkannya dengan sesiapa yang dia mahu. Jika dia mahu mengekalkan terus sebagai isterinya terserah kepadanya dan jika dia mahu menceraikannya juga terserah kepadanya”. Mendengar kata-kata itu Sayyidina Ali amat gembira lantas beliau mengungkapkan satu syair bermaksud :

“Andaikata aku penjaga pintu Syurga nescaya akan kukatakan kepada penduduk Hamdan, “masuklah kamu ke dalamnya (Syurga) dengan selamat sejahtera”. (Ihya’ Ulumuddin jilid 2 m.s. 54 dan Al-Kaafi jilid 6 m.s. 56)

Sementara golongan Syiah pula memberi alasan dengan mengatakan apa salahnya kalau Sayyidina Hhassan berkahwin sampai 300 orang sebagaimana menurut riwayat mereka itu. Bukankah perkahwinan mut’ah mengharuskan seorang lelaki berkahwin sampai seribu orang? (Lihat Al-Istibsor jilid 3 m.s. 147 dan Tahzibul Ahkam jilid 7 m.s. 259)

Jadi apa yang dikatakan Sayyidina Hassan berkahwin sampai lebih daripada 200 orang atau 300 orang itu adalah perkahwinan secara mut’ah bukan perkahwinan biasa.

Bagaimanapun yang menjadi persoalan ialah di dalam perkahwinan mut’ah tidak ada talak dan cerai. Tidak ada maknanya dikatakan Sayyidina Hassan suka mencerai isteri-isterinya jika perkahwinan dengan mereka adalah perkahwinan mut’ah. Perceraian bagi Syiah juga adalah khusus untuk perkahwinan biasa yang tidak boleh melebihi empat orang. Jadi alasan ini sebenarnya lemah.

Alasan lain yang dikemukakan oleh seorang tokoh Syiah bernama Zuhurul Hassan Brailwi di dalam komentarnya terhadap Jalaul-Uyun pula ialah, “Sebabnya Sayyidina Hassan selalu berkahwin dan bercerai ialah boleh dikatakan isteri-isteri yang diceraikannya itu telah mengadakan pakatan jahat dengan Mu’awiah untuk meracuninya. Apabila Sayyidina Hassan mengesyaki salah seeorang isterinya bersubahat dengan Mu’awiah untuk membunuhnya, beliau lantas menceraikannya, seolah-olah semua isterinya itu boleh dibeli oleh Mu’awiah”. Dan jika begitulah keadaannya, di manakah kebenaran dakwaan dan keinginan untuk mengadakan hubungan dengan keluarga Rasulullah s.a.w. yang selalu ditonjol-tonjolkan itu sebagaimana dikemukakan di dalam Jilaul Al-Uyun, “Bahawa isteri-isteri Hassan (termasuk yang telah diceraikannya) keluar menangisi dan meratapi Hasan apabila mereka mendapat tahu tentang kematian beliau dalam keadaan tidak berkasut”? Semuanya ini menampakkan mereka sangat kasih kepada Sayyidina Hassan. Bagaimana pula mereka tergamak untuk meracuninya?” (Jilaul Al- Uyun jilid 1 ms 439)

Satu kemusykilan timbul apabila kita mengatakan Sayyidina Hassan menceraikan isteri-isterinya kerana mereka bersubahat dengan Mu’awiah dan diupah oleh Mu’awiah untuk meracuni Hassan iaitu : Kenapakah Sayyidina Hassan tidak menceraikan isterinya yang bernama Ja’adah binti Al-As’ath yang sememangnya diketahui akan meracuninya? Kerana mengikut ajaran Syiah, seseorang Imam mengetahui bila dan bagaimana dia akan mati. Bukankah dengan tidak menceraikan Ja’dah itu seolah-olah Sayyidina Hasan mahu membunuh dirinya? Apabila beliau telah mengetahui berdasarkan wahyu bahawa beliau tidak akan mati di tangan isteri-isterinya yang lain, kenapa pula beliau menceraikan mereka sedangkan Ja’dah yang sememangnya akan meracuninya tidak diceraikannya?

Sesungguhnya riwayat dan cerita seperti ini tidak dapat bertahan apabila diuji dengan penguji ilmu riwayat dan dirayah. Kepalsuannya akan terbongkar apabila kita menilainya dengan neraca ilmu ini kerana tidak ada satupun cerita ini sampai kepada kita dalam bentuk ‘muttasil’ (bersambung-sambung mata rantai periwayat).

Suyuuti menyebutkan riwayat ini terdapat di dalam Tabaqat Ibnu Saad. Beliau tidak mengemukakan sanad cerita ini dengan lengkap. Apabila diselidiki Tabaqat Ibnu Saad yang ada pada hari ini kita tidak menjumpai cerita ini. Kalau diandaikan cerita ini memang ada di dalam Tabaqat sekalipun, apalah gunanya (atau setakat mana nilainya) kerana boleh dikatakan lapan puluh peratus (80%) daripada kandungannya diambil oleh Ibnu Saad daripada Waqidi yang terkenal sebagai seorang pendusta mengikut ahli-ahli ilmu Rijal.

Perawi-perawi lain juga terdiri daripada orang-orang yang kebanyakannya lemah. Lagipun di manakah ada kebenaran rujukan Suyuuti ini sekiranya di dalam kitab yang dirujuknya tidak terdapat cerita itu? Imam Al-Ghazali juga langsung tidak menyebutkan sanad dan punca dalam mengemukakan cerita ini. Tentu sekali Imam Ghazali tidak menyaksikan sendiri peristiwa Sayyidina Hassan berkahwin dengan sekian ramai perempuan kerana Imam Ghazali wafat pada tahun 505 H sedangkan Sayyidina Hassan telah wafat pada tahun 50 H. Hanya ada satu cara untuk Imam Ghazali mengetahuinya iaitu melalui rantaian sanad tetapi telah terbukti bahawa tiada sanadnya.

Bagaimanapun beliau agak bertanggungjawab dalam mengemukakan cerita ini apabila beliau mengemukakannya dengan lafaz “ Yuqaalu” dan “Qiila” yang memberi makna “kata orang” atau “dikatakan”. Sighah tamridh seperti ini di dalam ilmu riwayat hadis menunjukkan cerita ini tidak berasas hanya ia merupakan khabar-khabar angin atau kalau adapun sandarannya maka sandarannya itu bukanlah boleh dipertanggungjawabkan kerana kelemahannya. Namum tetap mendukacitakan kerana Imam Ghazali kemudiannya terus menjadikan kisah Sayyidina Hassan suka menceraikan isterinya sebagai dalil bagi keharusan menceraikan isteri dan sunnah menggantikannya dengan yang lain sekiranya hatinya belum tenang dengan si isterinya itu. Padahal sepatutnya setelah cerita ini dikemukakan dengan ‘sighah tamridh’ oleh beliau sendiri, beliau tidak lagi menjadikannya sebagai dalil untuk sebarang hukum.(Ihya’ Ulumuddin jilid 2 m.s. 30)

Bagaimanapun mujurlah Imam Ghazali tidak dianggap seorang yang Muktabar dalam ilmu hadis kerana itulah banyak sekali hadis-hadis dan atsar yang dikemukakan oleh beliau di dalam Ihya’ Ulumuddin itu dipertikaikan malah dikatakan palsu oleh sebahagian besar tokoh-tokoh ulama hadis. (Lihat ‘At-Ta’liqul Haafilah ‘alal ajwibatil faadhilah’ ms 118, Abdul Fattah Abu ‘Ghuddah).

Daripada sedikit sebanyak perawi yang disebutkan, seperti diriwayatkan daripada Ali bin Al-Husain dan Abdullah bin Hasan bin Hasan, dapat dikesan bahawa cerita ini berpunca daripada golongan yang mendakwa cintakan Ahlul Bait (Syiah) kerana nama-nama ini, adalah nama-nama orang yang dianggap mereka sebagai imam di dalam kitab-kitab mereka sendiri sebagaimana disebutkan tadi. Ertinya kisah ini langsung tidak ada nilainya di sisi Ahlus Sunnah Wal jamaah yang berpegang kepada prinsip-prinsip percaya kepada Al-Quran dan As-Sunnah yang benar. Cerita ini kalaupun tersebar di kalangan mereka hanyalah kerana terpesona dan terpedaya dengan fitnah dan kekarutan yang disebarkan oleh Syiah. Jelasnya kita tidak dapat mengesan cerita ini dalam kitab-kitab Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang muktabar. Hafidz Ibnu Hajar juga dalam Tahzibut Tahzib ketika membawa riwayat ini tidak mengemukakan sanad-sanadnya. Jadi kesahihannya tidak boleh dibuktikan.

Implilkasi daripada menerima riwayat ini.

Kita melihat persepsi dan implikasi yang berbeza kepada mereka yang menerima cerita ini:

1) Ada di antara mereka menganggap cerita ini hanya khusus untuk Sayyidina Hassan sebagai cucu Rasulullah s.a.w. sahaja dan tidak boleh dijadikan sebagai contoh dan ikutan. Sayyidina Hasan sebagai seorang pemimpin Islam yang istimewa di zaman permulaan Islam, tentu sekali telah melakukan keadilan walaupun telah menceraikan 300 orang isterinya dan kita tidak layak mengharungi perbicaraan untuk menentukan wajar atau tidak wajarnya perbuatan Sayyidina Hassan itu.

2) Golongan yang kedua pula memang telah menjadikan Sayyidina Hassan itu sebagai contoh yang patut diikuti. Tidak lama dahulu satu kumpulan yang kemudiannya disahkan sesat dan menyeleweng daripada aqidah Islam telah menjadikan perbuatan Sayyidina Hassan mengahwini lebih 200 orang perempuan kemudian menceraikan mereka sebagai alasan untuk mempraktikkannya dalam kehidupan kekeluargaan mereka dengan menanam fahaman bahawa isteri-isteri yang sudah agak tua sewajarnya menarik diri dan mempelawakan kepada suami supaya diceraikan untuk memberi laluan kepadanya berkahwin dengan perempuan-perempuan lain. Kenyataan-kenyataan ini boleh dilihat dalam tulisan-tulisan dan pengajaran-pengajaran kumpulan ini kerana kononnya perempuan yang ideal dan calon ahli syurga pada anggapan mereka ialah perempuan yang bersedia mengorbankan dirinya dengan diceraikan oleh suami. Walaupun begitu mereka juga mengaitkan golongan mereka dengan golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang tidak membenarkan perkahwinan dengan lebih daripada empat orang perempuan dalam satu masa. Jadi satu-satunya cara untuk mencontohi Sayyidina Hassan adalah dengan mengahwini empat orang perempuan dalam satu masa dan kemudian menceraikan mana-mana satu daripada mereka untuk digantikan dengan yang lain.

3) Golongan Syiah pula menganggap perbuatan Sayyidina Hassan sebagai satu bukti yang kuat membenarkan perkahwinan mut’ah kerana perkahwinan biasa mesti tidak lebih dari empat orang dalam satu masa tetapi jika perkahwinan itu berlaku secara mut’ah lebih daripada itupun boleh. Bahkan mereka mendakwa selain daripada Sayyidina Hassan, Sayyidina Ali dan Rasulullah s.a.w. sendiripun telah berkahwin secara mut’ah. Perempuan yang telah berkahwin secara mut’ah pada mereka sama seperti hamba sahaya yang tidak terikat dengan bilangan empat sahaja untuk dikahwini.

4) Golongan yang keempat pula ialah golongan orientalis yang menjadikan cerita Sayyidina Hassan sebagai bahan ejekan terhadap Sayyidina Hassan sendiri dan terhadap ajaran agama Islam yang nampaknya terlalu tidak bertanggungjawab dan memperhambakan jenis perempuan sehingga sebegitu rupa.

Adakah ajaran yang membenarkan perkahwinan yang kosong daripada tanggungjawab dan sepi daripada belas kasihan seperti ini boleh diterima oleh manusia sebagai ajaran yang datang dari Allah s.w.t ? Mereka menyimpulkan Sayyidina Hassan sebagai seorang yang suka berfoya-foya dan tidak mahu memikul tanggungjawab apabila beliau berkahwin dan bercerai sebanyak yang tersebut itu dan apabila didapati juga di dalam sejarah bahawa Sayyidina Hassan berjanji dengan Mu’awiah sebagai satu syarat beliau menyerah kuasa kepada beliau ialah beliau (Mu’awiah) hendaklah memberikan hasil mahsul Daarul Irbahd di Iraq sepanjang hayatnya dan 5 juta dirham untuk dirinya pada tiap-tiap tahun di samping dua juta dirham untuk saudaranya Husain. (Ensaiklopedia Islam jilid 7 m.s. 401-402 edisi Arab).

Ini semuanya, bagi mereka, adalah perancangan Sayyidina Hasan untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab pemerintahan dan untuk berfoya-foya dengan sepuas-puas hatinya tanpa sebarang ikatan terhadap tugas pemerintahan. Perkara ini boleh dilihat dalam Ensiklopedia Islam tulisan orientalis H.Lammens di bawah tajuk “ Biografi Hasan bin Ali”.

Ringkasnya, kita melihat tidak ada satupun kesan baik daripada menerima cerita ini malah ia menimbulkan pelbagai kekeliruan dan dilema di kalangan masyarakat yang menerimanya di samping kecelaruan dan haru-birunya rumahtangga orang-orang yang cuba mencontohi Sayyidina Hassan (kononnya) dalam soal ini.

Kepalsuan cerita ini ditinjau dari sudut Dirayah (aqliah) dapat dilihat dari beberapa sudut berikut :

1) Sayyidina Hassan dikatakan telah berkahwin dengan 300 orang perempuan tetapi berdasarkan sumber-sumber rujukan yang ada menunjukkan beliau hanya mendapat lapan orang anak lelaki sahaja sebagaimana yang disebutkan oleh Ya’qubi iaitu :

I. Hassan – anaknya dari Khaulah binti Manzur.

II. Zaid – dari isterinya Ummu Basyir binti Abi Mas’ud Al- Ansari.

III. Umar

IV. Qassim

V. Abu Bakar

VI. Abdul Rahman

VII. Talhah

VIII. Ubaidullah

Keenam-enam mereka ini adalah anak-anak daripada hamba sahayanya.

Taarikh Ya’qubi jilid 2 m.s. 137

Tetapi menurut Ibnu Qutaibah, anak-anak beliau tujuh orang sahaja semuanya iaitu :

I. Hasan-Ibunya ialah Khaulah binti Manzur

II. Zaid

III. Ummul Hasan – Ibu mereka berdua ialah bintul Uqabah bin Mas’ud.

IV. Umar – Ibunya ialah perempuan Tsaqafiah.

V. Husain Al Athram – anak dari seorang hamba sahayanya.

VI. Talhah – Ibunya ialah Ummul Ishaq binti Talhah bin Ubaidullah.

VII. Ummu Abdillah – anaknya dari seorang hamba sahayanya.

(Lihat Al Ma’arif m.s. 92).

Adakah seorang yang berkahwin dengan 300 orang perempuan hanya mempunyai 7 orang atau 8 orang anak sahaja?

Adakah Sayyidina Hassan tidak mengetahui hadis-hadis yang mengutuk perceraian dan orang-orang yang suka menukar-nukar selera dalam soal seks seperti yang telah dikemukakan di atas tadi.

Adalah mustahil untuk diterima bahawa Sayyidina Hassan tidak mengetahui hadis-hadis ini apalagi untuk melanggarnya setelah mengetahuinya.

Alasan yang mengatakan orang ramai mahu menjalin hubungan dengan Rasulullah s.a.w. melalui cucu Baginda Hassan dengan memberikan anak-anak mereka kepada beliau walaupun untuk semalaman sahaja juga tidak boleh diterima kerana kenapakah sikap seperti ini ditunjukkkan hanya kepada Sayyidina Hassan sahaja? Bukankah Rasulullah s.a.w. mempunyai cucu-cucu yang lain juga seperti Sayyidina Husain? Adakah pelawaaan sebegitu rupa juga pernah diberi kepada Sayyidina Husain, umpamanya? Bukankah mereka juga dapat menjalin hubungan itu melalui perkahwinan dengan cucu-cucu Rasulullah s.a.w. yang lain selain dari Sayyidina Hasan? Yang jelasnya, tidak terdapat pula cerita-cerita seumpama itu yang dikaitkan dengan mereka.

Di satu pihak kita nampak masyarakat ditonjolkan sebagai suka dengan tindakan Sayyidina Hassan berkahwin lalu bercerai dengan anak-anak mereka sedangkan di pihak lain masyarakat pada masa itu digambarkan tidak suka dengan sikapnya yang seperti itu. Bahkan Sayyidina Ali sendiri melarang orang ramai daripada mengahwinkan anak-anak mereka dengan Sayyidina Hassan dengan alasan beliau suka menceraikan isterinya.

Selain dari itu ada juga yang menganggap Sayyidina Hassan tidak layak memerintah kerana hidupnya yang sibuk dengan soal-soal perkahwinan dan perceraian. Ini bermakna perbuatan Sayyidina Hassan itu tidak disenangi mereka.

Kisah Sayyidina Hassan menunjukkan dengan jelas kekosongan jiwanya dari sifat belas kasihan dan kasih sayang. Beliau jelas ditonjolkan sebagai seorang yang mementingkan diri sendiri. Perkahwinannya dengan mana-mana perempuan adalah semata-mata untuk memuaskan nafsu liarnya dan hanya untuk sementara waktu sahaja. Ini jelas dapat dilihat dalam kitab Ihya’ Ulumuddin.

Bahawa diceritakan Sayyidina Hassan pernah menghantar utusan membawa talaknya kepada dua orang isterinya. Katanya kepada utusan itu, “Engkau katakan kepada mereka berdua supaya beredah dan kepada masing-masing dikirimkan wang sebanyak 100,000 dirham. Bila utusan itu pulang dari tugasannya Sayyidina Hassan bertanya, “Apa reaksi mereka berdua?” Kata utusannya, “Salah seorang darinya menekur dan menundukkan kepalanya sementara yang seorang lagi menangis tersedu-sedu.” Aku mendengar dia berkata, “Apalah ertinya pemberian yang kecil ini dari seorang kekasih yang akan berpisah!”

Sayyidina Hassan pun menundukkan kepalanya dan menampakkan kasihan kepada perempuan itu tetapi kemudiannya berkata, “ Andaikata aku akan merujuk seseorang isteriku setelah aku menceraikannya, nescaya aku merujuk isteriku ini”. (Ihya’ Ulumuddin m.s. 53)

Dalam kitab yang sama diceritakan bahawa pada suatu hari, Sayyidina Hassan pergi menemui Abdul Rahman bin Al Harits bin Hisyam seorang pemimpin dan faqih di Madinah. Beliau adalah seorang yang tidak ada tolok bandingnya di Madinah ketika itu sehingga Sayyidina Aisyah membuat perbandingan dengannya apabila dia berkata, “Andaikata aku tidak keluar dalam peristiwa Jamal itu, nescaya lebih aku sukai daripada mendapat 16 orang anak lelaki daripada Rasulullah s.a.w. seperti Abdul Rahman bin Al Harits bin Hisyam ini”.

Alkisah Sayyidina Hassan masuk ke dalam rumah Abdul Rahman yang cukup memuliakannya dan menghormatinya. Dia berkata kepada Sayyidina Hassan dengan penuh hormat, “Kenapa tuan tidak menghantar sahaja utusan kepadaku agar aku dapat pergi menemuimu?”. Sayyidina Hasan menjawab, “Oleh kerana ini hajat saya, biarlah saya yang datang”. Abdul Rahman berkata, “Apa hajatmu itu?” Sayyidina Hassan menjawab, “Aku datang untuk meminang anakmu”. Abdul Rahman menundukkan kepalanya sejenak lalu berkata, “Demi Allah! Tiada siapapun di atas muka bumi ini yang lebih aku muliakan daripadamu. Tetapi seperti yang tuan telah sedia maklum, akan menyakitiku apa yang menyakiti hati anak perempuanku dan akan menggembirakanku apa yang menggembirakannya, sedang tuan (dimaklumi sebagai) seorang yang suka menceraikan isteri. Aku bimbang tuan akan menceraikannya pula. Jika itulah berlaku, aku risau hatiku berubah terhadapmu kerana tuan adalah sebahagian daripada Rasulullah s.a.w. Jika tuan meneriama syarat untuk tidak menceraikannya, nescaya aku akan mengahwini tuan dengannya”. Sayyidina Hassan diam lantas bangun dan terus beredar lalu pergi sambil merungut, “Abdul Rahman hanya mahu memakaikan belenggu di tengkokku”. (Ibid m.s. 53,54)

Adakah kita boleh menerima gambaran peribadi Sayyidina Hassan yang sedemikian ? Bukankah kelihatan pada sikap Sayyidina Hassan seperti yang tergambar pada cerita-cerita di atas sifat seorang lelaki yang terlalu mementingkan diri sendiri, tidak ada langsung belas kasihan dan hanya tahu memuaskan nafsunya semata-mata. Adakah orang yang disebut-sebut oleh Nabi s.a.w. sebagai penghulu atau ketua pemuda ahli syurga boleh diterima berperangai demikian?

Sama ada kita menerima perangai Sayyidina Hassan yang seperti itu sebagai pekerti yang baik dan disenangi atau kita menolak terus cerita-cerita seumpama ini yang dikaitkan dengannya kerana andaikata kita menerimanya, kenapa pula kita tidak mencontohinya dengan mengahwini perempuan seramai mungkin? Barangkali Sayyidina Hassan telah layak mendapat gelaran “Ketua Pemuda Ahli Syurga” ini kerana sikapnya yang tersebut? Atau kalau kita tidak dapat menerima perbuatan yang sedemikian berlaku dari seorang yang mulia seperti Sayyidina Hassan (dan tentu sekali kita tidak dapat menerimanya), sudikah ibubapa-ibubapa di kalangan kita menyerahkan anak-anak perempuannya kepada seseorang yang amat dimuliakan oleh masyarakat, semata-mata untuk menjadi bahan memuaskan nafsunya?

Bukan kita saja yang tidak dapat menerima orang yang berperibadi demikian bahkan orientalis barat dan sesiapapun tidak dapat menerima kelakuan seperti itu kerana kalau mereka dapat menerimanya, kenapa pula Sayyidina Hassan menjadi bahan olok-olok dan ejekan mereka (apabila mereka mengetahui peribadi Sayyidina Hassan seperti yang tergambar pada cerita-cerita yang tersebar dalam buku-buku seperti yang disebutkan tadi).

Sebenarnya tiada siapa dapat memutuskan dengan pasti bahawa semua orientalis yang mengkaji Islam tidak ikhlas dalam kajiannya. Mungkin sekali ada di antara mereka yang bersikap terbuka dan memang ikhlas dalam mengkaji agama Islam tetapi dengan adanya cerita-cerita seperti ini dalam kitab-kitab ulama-ulama Islam yang menjadi ikutan ummah, mereka jijik dengan Islam menyebabkan mereka bukan semakin hampir dengan Islam, malah sebaliknya mereka lari sejauh-jauhnya dari Islam di samping mengecam dan mengutuknya.

Siapakah yang sebenarnya bersalah dalam soal ini? Siapakah yang boleh dipertanggungjawabkan terhadap kebutaan mata hati golongan orientalis yang terus meraba-raba dalam kajiannya? Kalau ulama-ulama Islam sendiri dan juga umatnya buta dengan sejarah mereka sendiri, bagaimana mungkin kita dapat mencelikkan mereka? Sebab itu penulis amat dukacita apabila Syeikh Ahmad Muhammad Shakir dalam komentarnya terhadap Ensiklopedia Islam yang mengumpulkan rencana-rencana orientalis, tidak menafikan dan menolak terus kisah yang dikaitkan dengan Sayyidina Hassan ini, yang telah menyebabkan penulis artikel Biografi Sayyidina Hassan telah membuat kesimpulan bahawa Sayyidina Hassan sememangnya seorang yang suka berfoya-foya dengan perempuan berdasarkan riwayat-riwayat yang terdapat di dalam kitab-kitab kita. Malah Syeikh Ahmad Muhammad Shakir menempelak orientalis H. Lammens dengan mengatakan bahawa nilai kesucian diri di kalangan umat Islam berbeza dengan nilai-nilai yang diterima oleh orang-orang Barat, maksud beliau, walaupun Sayyidina Hassan mengadakan hubungan dengan sekian ramai wanita tetapi semuanya adalah melalui ikatan perkahwinan. Berbeza dengan masyarakat barat yang berkahwin secara sah (di segi undang-undang) hanya dengan seorang perempuan tetapi di samping itu mereka tetap mengadakan hubungan di luar batasan perkahwinan dengan seberapa ramai wanita yang mereka sukai.

Jawapan yang seperti ini sebenarnya bukannya mencelikkan mata hati golongan bukan Islam malah akan semakin mengusutkan mereka. Alangkah baiknya jika Syeikh Ahmad Muhammad Syakir terus menyangkal cerita-cerita yang dikaitkan dengan Sayyidina Hassan itu kerana ia tidak terbukti berdasarkan ilmu riwayat yang diterima pakai kalangan ulama-ulama Islam di samping ia bercanggah pula dengan aqliah umat Islam seperti yang telah kita sebutkan tadi.

Jika dikaji sumber cerita ini, di sana ada dua golongan yang mungkin menjadi punca penyebaran cerita ini.

I. Golongan Ahlus Sunnah

II. Golongan Syiah

Kemungkinan Ahlus Sunnah yang menjadi punca penyebar cerita ini adalah kerana terdapatnya cerita ini di dalam sesetengah kitab Ahlus Sunnah. Tetapi kisah-kisah yang terdapat di dalam kitab-kitab tersebut tidak ada satu pun yang boleh dipegang dan dipercayai kerana tidak lengkap sanadnya dan ia tidak pula sesuai dengan kepercayaan dan ajaran-ajaran prinsip Ahlus Sunnah yang tidak membenarkan perkahwinan lebih daripada empat orang di samping ia bertentangan dengan ajaran sunnah Nabi s.a.w. yang dengan banyak sekali melarang daripada bercerai dan daripada menukar-nukar selera seks. Selain itu tidak ada sebab yang boleh diterima untuk dikatakan Ahlus Sunnah (di peringkat permulaannya) bermaksud memburuk-burukkan Sayyidina Hassan dengan menghubungkan cerita-cerita tersebut kepadanya kerana menurut kepercayaan Ahlus Sunnah mereka semestinya menerima baik Ahlul Bait atau keluarga Rasulullah s.a.w. secara keseluruhannya lebih-lebih lagi cucu Nabi s.a.w. sendiri.

Adalah lebih munasabah untuk diterima akal jika cerita-cerita seperti ini dikatakan berpunca daripada Syiah walaupun pada zahirnya mereka mendakwa cintakan Ahlul Bait. Hal ini jelas terbukti jika kita mengimbau kembali sejarah, Sayyidina Hassan menyerah kuasa dan berbai’ah kepada Sayyidina Mu’awiah. Apakah akibat yang diterima oleh Sayyidina Hassan pada ketika itu hasil daripada bai’ah dan penyerahan kuasanya kepada Sayyidina Mu’awiah? Ini semua dapat kita lihat di celah-celah lipatan sejarah yang menyaksikan bahawa ada di antara mereka (orang-orang Syiah) yang mengatakan kepada Sayyidina Hassan, “Wahai orang yang menghinakan orang-orang Mu’min!” Ada yang berkata kepadanya, “Wahai orang yang menghitamkan muka orang-orang mu’min!” (Rijaalul Kassyi m.s. 103). Pada ketika itu ada yang bersikap biadab terhadap Sayyidina Hassan dengan menarik sejadah tempat duduk Sayyidina Hassan sehingga hampir rebah Sayyidina Hassan, malah ada yang bertindak lebih kejam dari itu apabila dia menikam Sayyidina Hassan dengan lembingnya sampai hampir tembus paha beliau. (‘Kasyful Ghummah’ m.s. 540. ‘Al fusuulul Muhimmah’ m.s. 162. ‘Muruuju Azzahab’ jilid 2 m.s. 480). Akibat kecewa dengan keputusan Sayyidina Hassan itu timbullah bibit-bibit kebencian di dalam hati mereka yang kemudiannya mendorong mereka mengadakan bermacam-macam cerita berhubung Hassan yang tidak layak dilakukan oleh orang biasa sekalipun termasuklah kisah beliau berkahwin sampai 300 orang itu.

Dakwaan ini disokong dengan kenyataan bahawa cerita-cerita ini terdapat di dalam kitab-kitab Syiah dengan sanad yang muktabar dan ada pula lojiknya apabila kita menyedari bahawa mereka memang menerima perkahwinan mut’ah yang hanya mengambil kira kepuasan nafsu dan tidak terikat pula dengan 4 orang isteri sahaja. (‘Al-Furuu’u Minal Kaafi” jilid 5 m.s. 452. ‘Al-Itsibsaar’ jilid 3 ms 147 & 242).

Cerita-cerita seperti ini direka oleh mereka untuk membuktikan Sayyidina Hassan memang tidak layak memerintah kerana bagaimana beliau akan memerintah jika hanya asyik berkahwin dan bercerai yang tentu sekali menyebabkan kebencian dan permusuhan dari pihak keluarga isteri-isteri yang diceraikannya itu? (‘Taarikhul Khulafaa’ m.s. 178).

Dan tidak ada yang lebih penting bagi Sayyidina Hassan selain dari memuaskan nafsunya. Kerana itulah dia menyerah kuasanya kepada Mu’awiah walaupun menyedari Mu’awiah seorang yang zalim malah kafir (pada pandangan Syiah). (‘Rijaalul Kassyi’ m.s. 103. ‘Haqqul Yaqin’ m.s. 167)

Oleh kerana Sayyidina Mu’awiah tidak dapat diterima oleh mereka kerana kekafiran dan kezalimannya bagaimana mungkin Sayyidina Hassan sebagai Imam kedua yang dipercayai maksum oleh mereka telah berbai’ah kepadanya. Pada Ahlus Sunnah Wal Jamaah tindakan Hassan menyerahkan kuasa kepada Sayyidina Mu’awiah merupakan sebesar-besar bukti kelayakannya sebagai pemimpin kerana tindakannya itu telah menyatupadukan umat Islam. Keadaan inilah membuntukan fikiran mereka (Syiah) lalu untuk memecah kebuntuan itu mereka ada-adakan cerita ini. Di samping itu oleh kerana mereka telah pun menerima dan menetapkan Sayyidina Hassan sebagai Imam kedua mereka padahal Imam ini melakukan kesilapan besar yang tidak dapat dimaafkan menurut kepercayaan mereka iaitu menyerah kuasa dan berbai’ah kepada Sayyidina Mu’awiah. Untuk menghapuskan langsung Sayyidina Hassan daripada senarai Imam dua belas adalah sesuatu yang mustahil kerana ia telah ditetapkan tetapi sebagai membalas dendam terhadap Sayyidina Hassan, mereka kemudiannya telah memutuskan silsilah Imamah daripada keturunan Sayyidina Hassan lalu meneruskan silsilah itu menerusi keturunan Sayyidina Husain.

Inilah hakikat sebenar di sebalik penyingkiran keturunan Sayyidina Hassan daripada kedudukan Imamah. Tetapi yang ditonjol-tonjolkan sebagai sebabnya ialah tidak layaknya Sayyidina Hassan dan keturunannya memegang tampok kedudukan Imamah atau pemerintahan justeru peribadinya yang suka berfoya-foya di samping kebencian dan permusuhan dari pihak keluarga qabilah dan masyarakat yang mana anak-anak perempuan mereka telah dipermain-mainkan oleh Sayyidina Hassan.

Check Also

Peperangan Antara Sahabat-Sahabat Nabi: Suatu Penilaian

١١٦ (٦٤)- حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَكَّارِ بْنِ الرَّيَّانِ وَعَوْنُ بْنُ سَلَّامٍ قَالَا حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *