Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE- 34 : KATA PERINTAH YANG DATANG SELEPAS LARANGAN
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE- 34 : KATA PERINTAH YANG DATANG SELEPAS LARANGAN

Download PDF

IUF34

Soalan:

Assalamu’alaikum S.S Mufti, saya selalu dengar bahawa kata perintah yang terdapat di dalam al-Quran membawa hukum wajib. Soalan saya, ada ayat al-Quran yang menyebutkan secara maksudnya bahawa apabila isteri kita selesai bersuci dari haid, maka hendaklah kamu mendatangi mereka. Adakah hukum mengadakan hubungan suami isteri pada ketika itu menjadi wajib ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Pada asasnya, setiap perintah Allah S.W.T dan Rasul-Nya S.A.W membawa kepada hukum wajib. Hal ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمْ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ 

Maksudnya: Dan tidak sepatutnya bagi orang lelaki dan perempuan yang beriman itu apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan sesuatu arahan untuk mereka memilih sesuatu yang lain buat diri mereka.

Surah Al-Ahzab (36)

Dalam ayat di atas, Allah S.W.T melarang orang lelaki dan perempuan yang beriman dari melakukan sesuatu perbuatan mengikut ikhtiar (pilihan) mereka sendiri sedangkan telah ada arahan dan ketetapan Allah S.W.T dan Rasul dalam hal tersebut.

Demikian juga berdasarkan firman Allah S.W.T:

فَلْيَحْذَرْ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: Maka berilah ancaman terhadap golongan yang menyelisihi perintah Nabi bahawa akan tertimpa ke atas mereka itu fitnah atau azab yang pedih bakal menimpa mereka.

Surah Al-Nur (36)

Jika kita meneliti ayat di atas, kita akan mendapati bahawa terdapatnya ancaman dengan azab dan fitnah yang akan menimpa golongan yang menyelisihi perintah Nabi S.A.W. Seperti yang diketahui, seseorang itu tidak akan diberikan ancaman dengan azab melainkan apabila dia meninggalkan sesuatu yang wajib.

Justeru, kedua-dua ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa arahan dari Allah dan Rasul membawa hukum wajib sehingga tidak boleh untuk kita menyelisihinya. Oleh kerana itu para ulama usuliyyun ketika mana membahaskan isu dalalah al-amr (petunjuk dari kata perintah), mereka menyebutkan sebuah kaedah usul yang masyhur:

الأَمْرُ يَقْتَضِي الوُجُوب

Maksudnya: Kata perintah itu menunjukkan kepada hukum wajib.

Kata Imam Al-Haramain Abd al-Malik al-Juwaini: ‘’Amar (ayat perintah) itu adalah tuntutan meminta melakukan suatu perbuatan melalui ucapan terhadap orang yang lebih rendah kedudukan darinya dalam bentuk yang wajib (melakukannya)”.

Sighah (bentuk) nya adalah melalui ucapan افْعَل (lakukanlah) dan arahan tersebut datang secara mutlak dan terasing dari sebarang qarinah yang membawa arahan tersebut (kepada hukum yang lain).

Melainkan arahan-arahan yang terdapat padanya petunjuk bahawa maksud darinya (arahan tersebut) membawa kepada hukum sunat ataupun harus’’. Rujuk Al-Waraqat, Abdul Malik al-Juwaini (Hlm. 13).

Meskipun begitu, kaedah ini bukanlah terpakai di dalam setiap keadaan. Ini kerana, para usuliyyun juga turut membahaskan tentang dalalah al-amr ba’da al-nahyi (petunjuk kata perintah yang datang sesudah larangan).

Hal ini berlaku kerana, terdapat beberapa perbuatan yang dilarang di dalam Al-Quran, kemudian disertai dengan arahan ke atas perbuatan yang sama selepas itu. Maka adakah hukum melaksanakan perbuatan tersebut menjadi wajib atau bagaimana ?

Berikut kami nyatakan beberapa contoh yang berkaitan dengan isu ini. Antaranya:

Pertama: Hukum Berjual Beli Sesudah Solat Jumaat

Seperti yang diketahui, hukum berjual beli ketika azan jumaat sedang berkumandang adalah haram. Hal ini jelas seperti yang dinyatakan dalam firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, apabila dikumandangkan azan untuk menunaikan solat pada hari Jumaat maka bersegeralah kamu menuju kepada zikrullah dan tinggalkan lah jual beli.

Surah Al-Jumu’ah (9)

Maka pada perkataan ‘’tinggalkanlah jual beli’’ menunjukkan kepada keharaman perbuatan berjual beli sebaik sahaja azan jumaat berkumandang. Meskipun begitu, dalam ayat selepasnya Allah S.W.T berfirman :

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّهِ

Maksudnya: Apabila kamu telah selesai menunaikan solat (Jumaat) maka bertebaranlah kamu di atas muka bumi dan carilah kamu rezeki-rezeki dari Allah.

Surah Al-Jumu’ah (10)

Maka berdasarkan kedua ayat di atas, para ulama berbincang berkenaan hukum mencari rezeki sesudah solat Jumaat. Ini kerana, nas menunjukkan kata perintah terhadap ayat tersebut. Adakah ini menunjukkan kepada kewajipan bertebaran dan mencari rezeki sesudah solat Jumaat ?

Kedua: Hukum Berburu Sesudah Tahallul Dari Ihram

Demikian juga antara isu yang menjadi perbahasan adalah berkaitan hukum berburu sesudah seorang itu selesai bertahallul. Ini kerana, semasa seseorang itu berada dalam keadaan ihram dia diharamkan untuk berburu. Hal ini seperti yang dinyatakan oleh Allah S.W.T melalui firman-Nya:

 يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَوْفُوا۟ بِٱلْعُقُودِ أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ ٱلْأَنْعَٰمِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ غَيْرَ مُحِلِّى ٱلصَّيْدِ وَأَنتُمْ حُرُمٌ إِنَّ ٱللَّهَ يَحْكُمُ مَا يُرِيدُ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, tunaikanlah akad-akad perjanjian. Dihalalkan buat kamu haiwan-haiwan ternakan, kecuali yang telah dibacakan kepadamu. (Yang demikian itu) dengan tidak menghalalkan berburu ketika kamu dalam keadaan muhrim (sedang mengerjakan haji). Sesungguhnya Allah menetapkan hukum-hukum menurut yang dikehendaki-Nya.

Surah Al-Maidah (1)

Berdasarkan ayat di atas, Allah S.W.T mengharamkan golongan yang sedang berihram dari berburu. Manakala dalam ayat selepasnya Allah S.W.T menyebut:

 وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَاصْطَادُوا

Maksudnya: Dan apabila kamu telah halal (sudah bertahallul) maka berburulah kamu.

Surah Al-Maidah (2)

Justeru, adakah berburu sesudah selesai dari ihram membawa hukum wajib ?

Ketiga: Hukum Mengadakan Hubungan Suami Isteri Sesudah Isteri Bersuci Dari Haid

Isu ini juga menjadi perbahasan dalam kalangan fuqaha. Ini kerana Allah S.W.T berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu mendekati mereka (isteri-isteri yang dalam keadaan haid) sehinggalah mereka bersuci (dengan cara mandi junub).

Surah Al-Baqarah (222)

Manakala selepas itu Allah S.W.T menyebut:

فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّه

Maksudnya: Maka apabila mereka telah bersuci maka datangilah mereka dari sudut yang telah Allah perintahkan kepada kamu.

Surah Al-Baqarah (222)

Maka para ulama membincangkan adakah hukum mendatangi isteri sesudah dia bersuci daripada haid menjadi wajib disebabkan kepada kata perintah tersebut ?

Maka jawapan bagi ketiga-tiga permasalahan di atas adalah dengan melihat kepada petunjuk yang dibawa oleh ayat-ayat perintah yang datang selepas larangan. Berikut kami kongsikan kenyataan dari Syeikh Dr. Abdul Karim Zaidan berkaitan isu ini.

Beliau berkata: ‘’Para ulama yang menyatakan bahawa kata perintah menunjukkan kepada hukum wajib telah berbeza pandangan terhadap kata perintah terhadap sesuatu yang datang selepas larangan dan pengharaman terhadapnya.

  • Golongan al-Hanabilah menyatakan bahawa ia (kata suruhan yang datang selepas larangan) menunjukkan kepada hukum harus. Ini kerana, (sebagai contohnya) dalam isu berburu, maka hukumnya adalah harus sahaja dan bukannya wajib.

Demikian juga isu berkenaan dengan berkerja dan mencari rezeki selepas solat Jumaat yang mana hukumnya adalah harus.

  • Manakala majoriti ulama al-Hanafiyyah pula berpendapat: Kata perintah yang datang selepas larangan membawa kepada hukum wajib perbuatan tersebut. Sama sahaja (keadaannya) seperti kata perintah yang datang tanpa didahului dengan larangan sebelumnya.

Ini kerana pada pandangan mereka tidak ada perbezaan sama ada arahan tersebut datang setelah pengharaman atau tidak didahului dengan sebarang pengharaman.

  • Manakala sebahagian ulama Hanabilah dan ia juga merupakan pendapat Al-Kamal bin al-Humam dari kalangan ulama al-Hanafiyyah menyebut: Kata perintah yang datang selepas dari larangan mengangkat hukum larangan tersebut. Maka melakukan perkara yang diperintahkan itu kembali kepada keadaannya sebelum datang larangan tersebut.

Sekiranya perbuatan tersebut harus maka hukumnya harus dan sekiranya ia wajib atau mustahab maka hukumnya juga adalah seperti itu. Dan kata Dr. Abdul Karim Zaidan : Jelas bagi aku bahawa pendapat yang terakhir adalah lebih hampir dan dekat kepada penerimaan. Ini kerana ia ditunjukkan oleh istiqra’ (proses penelitian) kepada nas-nas yang warid padanya arahan-arahan dan juga larangan-larangan. Rujuk Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, Abdul Karim Zaidan (Hlm. 295 – 296).

Maka kesimpulannya, pendapat yang terpilih adalah hukum bagi sesuatu perkara yang diperintahkan setelah terdapatnya larangan terhadapnya adalah kembali kepada hukum sebelum larangan.

Secara mudahnya, asal hukum bagi berburu adalah harus. Ketika seseorang itu dalam keadaan berihram, dia diharamkan untuk berburu. Maka apabila terdapatnya perintah berburu sesudah tahallul, maka hukum arahan tersebut kembali kepada hukum asal sebelum larangan iaitu keharusan.

Demikian juga, hukum asal berjihad dan berperang di jalan Allah ketika ia diarahkan oleh pemerintah Islam adalah wajib. Namun apabila masuknya bulan-bulan haram, umat Islam diharamkan untuk berperang di dalamnya. Maka apabila sudah berlalunya bulan-bulan haram, dan ada arahan untuk berperang di jalan Allah, maka hukumnya kembali kepada wajib.

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa secara asasnya setiap kata suruhan itu membawa kepada hukum wajib sekiranya tidak ada qarinah (petunjuk) yang mengalih hukum wajib kepada selainnya.

Manakala, kata perintah yang datang terhadap sesuatu perbuatan selepas larangan terhadap perbuatan tersebut, menunjukkan bahawa hukum perbuatan tersebut adalah kembali kepada hukum sebelum larangan.

Justeru, bagi persoalan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa hukum mendatangi isteri selepas dia bersuci dari haid adalah kembali kepada hukum sebelum larangan, iaitu hukum asal mengadakan hubungan suami isteri sebelum isteri didatangi darah haid yang merupakan harus sahaja.

Akhir kalam, semoga pencerahan ini membantu dan memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

Source: IRSYAD USUL FIQH

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1158: SOLAT JENAZAH GHAIB KEPADA WARGA MUSLIM NEW ZEALAND

Soalan Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti, bolehkah kita solat jenazah ghaib kepada warga Muslim New …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *