Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD USUL AL-FEQH SIRI KE- 31: HUKUM BERUBAH MENGIKUT PERUBAHAN MASA DAN TEMPAT
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD USUL AL-FEQH SIRI KE- 31: HUKUM BERUBAH MENGIKUT PERUBAHAN MASA DAN TEMPAT

Download PDF

IRSYAD USUL FEQH 31

Soalan:

Assalamualaikum S.S. Mufti, benarkah sesuatu hukum itu boleh berubah mengikut perubahan tempat dan masa ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam perbahasan hukum, ada dua kategori yang berkait rapat dengannya iaitu hukum-hakam yang bersifat tsawabit (yang tetap serta tidak berubah) dan juga al-mutaghayyirat (yang boleh berubah). Ini bererti, ada beberapa hukum yang bersifat tidak boleh berubah meskipun berlakunya perubahan zaman dan tempat dan ada hukum-hakam yang boleh berubah dengan berubahnya masa dan juga tempat.

Terdapat sebuah kaedah feqh yang menyebut:

لا يُنْكَرُ تغيّرُ الأحكامِ بتغيُّرِ الأزمانِ

Maksudnya: Tidak diingkari berlakunya perubahan hukum disebabkan perubahan masa.

Syeikh Mustafa Al-Zarqa’ dalam syarahan beliau ke atas kaedah ini berkata: Tidak diingkari berlakunya perubahan hukum-hakam dengan berubahnya masa, iaitu berlaku perubahan ‘uruf penduduk sesebuah kawasan serta adat mereka. Sekiranya uruf dan adat membawa kepada suatu hukum, kemudian keduanya tersebut berubah kepada uruf dan adat yang lain, maka hukum juga berubah kepada apa yang menepati uruf dan adat yang baharu itu.

Beliau berkata lagi: Perkara ini (perubahan hukum disebabkan perubahan masa) merupakan suatu perkara yang diperakukan, diterima pakai lagi tsabit. Dan ia merupakan sunnatullah dalam pensyariatan kepada hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya ketika bermulanya penciptaan manusia dan keadaan pada ketika itu dalam suasana kesempitan disebabkan sedikitnya bilangan zuriat, Allah S.W.T membenarkan pernikahan seorang perempuan dengan adik beradik lelakinya, serta memberikan keluasan dalam beberapa perkara. Hukum tersebut kekal sehinggalah keturunan semakin banyak dan meluas, lalu perkahwinan antara adik beradik kandung diharamkan pada ketika itu.[1]

Imam Al-Syathibi pula berkata: Dan ketahuilah bahawa apa yang telah disebutkan ini dari sudut perbezaan hukum-hakam ketika berbezanya adat bukanlah bermakna pada hakikatnya berlaku perbezaan pada asal khitab (perintah asal dari Allah). Ini kerana syara’ diletakkan bahawa ia bersifat kekal selamanya. Sekiranya diandaikan kekalnya dunia tanpa penamat, maka begitulah taklifannya (kekal). Syara’ tidak memerlukan kepada sebarang penambahan.

Sesungguhnya makna perbezaan (hukum) adalah, sekiranya adat-adat itu berbeza maka kesemua adat kembali kepada asal syara’ yang memberikan hukum padanya. Sepertimana contoh pada isu baligh, sesungguhnya khitab taklif (perintah untuk melakukan sebarang tanggunjawab) terangkat ke atas kanak-kanak selama mana dia belum baligh. Apabila dia sudah baligh, jatuhlah taklifan ke atasnya.

Maka gugurnya taklifan sebelum baligh dan sabitnya taklifan sesudah baligh, bukanlah menunjukkan perbezaan pada khitab (arahan Allah). Sebaliknya perbezaan itu hanyalah pada adat dan keadaan.[2]

Demikian juga contoh berkaitan topik perbahasan ini kita dapat melihat bahawa Imam Al-Syafi’e sendiri mempunyai qaul qadim (pendapat yang lama) dan qaul jadid (pendapat yang baharu) yang terhasil dari perbezaan tempat beliau mengeluarkan pandangan tersebut. Qaul Qadim adalah pendapat yang beliau kemukakan semasa berada di Iraq manakala Qaul Jadid adalah pandangan beliau semasa berada di Mesir.

 

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan perubahan hukum disebabkan peubahan masa dan tempat adalah pada hukum-hukum yang al-mutaghayyirat (yang boleh berubah). Adapun pada perkara-perkara al-tsawabit (yang tetap dan kekal) seperti pensyariatan solat, puasa, keharaman zina, minum arak, dan seumpamanya, maka ia sama sekali tidak berubah mengikut perubahan masa dan tempat.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

[1] Rujuk Syarah Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah, Mustafa Al-Zarqa (Hlm. 227 – 228).

[2] Rujuk Al-Muwafaqat, Al-Syathibi (2/492).

Source: IRSYAD USUL FIQH

Download PDF

Check Also

BAYAN LINNAS SIRI KE 184: TABAYYUN DALAM PENERIMAAN DAN PENYAMPAIAN BERITA

  Mukaddimah Mutakhir kini, dalam era globalisasi yang serba maju, seiring dengan kecangihan teknologi global, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *