Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD FATWA #248: HUKUM MEMASUKI RUMAH IBADAT AGAMA LAIN DAN MENGHADIRI MAJLIS PERKAHWINAN ORANG KRISTIAN DI GEREJA
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD FATWA #248: HUKUM MEMASUKI RUMAH IBADAT AGAMA LAIN DAN MENGHADIRI MAJLIS PERKAHWINAN ORANG KRISTIAN DI GEREJA

Download PDF

Soalan:

Assalamualaikum SS Datuk Mufti. Saya merupakan seorang Muslim muallaf, dan keluarga saya masih kekal dalam agama Kristian.

Soalan saya, apakah hukum saya menghadiri perkahwinan adik saya yang akan dilangsungkan di gereja? Dan apakah sebenarnya hukum asal seorang Muslim itu memasuki rumah ibadat agama lain? Sekian terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Asas hubungan antara Muslim dan non-Muslim ialah toleransi, ihsan dan perdamaian. Firman Allah SWT dalam al-Qur’an:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّالْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tiada melarang kamu untuk berlaku baik dan berbuat adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak mengusirmu dari negerimu”. 

(Surah Al-Mumtahanah: 8)

Perbezaan agama tidak menghalang kita daripada berbuat baik sesama kaum kerabat atas dasar kekeluargaan atau kepada sesiapa sahaja atas dasar kemanusiaan.

 

Hukum Memasuki Gereja dan Rumah Ibadat Agama Lain

 

Para ulama’ berbeza pendapat dalam hukum memasuki rumah ibadat agama lain:

1. Haram : Antara yang berpandangan hukumnya ialah haram ialah Imam Syihabuddin ar-Ramli, Imam Ibn Hajar al-Haitami (Rujuk Nihayatul Muhtaj 2/63, Tuhfatul Muhtaj 2/424). Para ulama’ mazhab Syafi’e menyatakan pengharamannya ialah di atas ‘illah kewujudan patung-patung.

2. Makruh: Sebahagian ulama’ mazhab Hanafi berpandangan solat dalam gereja ialah makruh, dan Ibn Nujaim menukilkan fatwa daripada Ibn al-‘Alaa al-Ansari akan kemakruhan memasuki biara Yahudia dan gereja Nasrani kerana ia tempat perkumpulan syaitan. Namun pandangan yang lebih tepat menurut Ibn Nujaim ialah hukumnya makruh tahrimi. (Lihat Hasyiyah Ibn ‘Abidin 1/380, Al-Bahr ar-Ra’iq 1/480 dan 7/214; Al-Fatawa al-Hindiyyah 5/346), dan ini juga pandangan yang paling tepat menurut Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (Lihat, dan Al-Fatawa al-Kubra 5/327). Diriwayatkan bahawa Ibn ‘Abbas RA dan Imam Malik juga memakruhkan solat di gereja. (Al-Adab as-Syar’iyyah, 3/431). Ini juga pandangan sebahagian ulama mazhab Syafi’e, dan diharamkan bagi Muslim solat di gereja jika mereka melarangnya. (Hasyiyah ‘Umairah, 1/222). Imam Bahuti dari mazhab Hanbali memakruhkan solat di dalam gereja yang mempunyai patung berdasarkan hadith Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang mempunyai patung. (Kasyaf al-Qanna’ 1/293)

3. Harus : Ini ialah pandangan Ibn Qudamah dan Al-Mardawi daripada mazhab Hanbali. Ibn Qudamah juga meriwayatkan bahawa Hasan al-Basri, Umar Abdul Aziz, Sya’bi dan Al-Auza’ie juga berpegang pada pendapat ini. Imam al-Bahuti dari mazhab Hanbali juga mengharuskan memasuki gereja dan biara yang tidak mempunyai patung. (Rujuk Al-Mughni 8/113 dan 2/57, Al-Insaf fi Ma’rifati ar-Rajih min al-Khilaf, 1/496, Kasyaf al-Qanna’ 1/293 dan Al-Muhalla 1/400). Imam Khatib as-Syarbini pula mengharuskan memasuki gereja dan biara jika tiada patung di dalamnya. (Mughni al-Muhtaj, 6/78)

 

Hukum Menghadiri Jemputan Walimah

Menurut para ulama’ mazhab Syafi’e, hukum menghadiri jemputan walimah non-Muslim ialah sunat sekiranya jemputan itu datang daripada kaum keluarga dan jiran tetangga atau jika kehadiran kita akan memberi manfaat kepada dakwah Islam. (Rujuk: Nihayatul Muhtaj, 6/371; I’anatu at-Thalibin, 3/408; Muhammad ibn ‘Umar as-Syathiri, 2015, Syarh al-Yaqut an-Nafis, Beirut: Darul Minhaj, hal. 600 dan Muhammad az-Zuhaily, 2015, Al-Mu’tamad fil Fiqh as-Syafi’e, Damshik: Darul Qalam, Cetakan Kelima, 4/77)

Ini juga dipersetujui oleh Imam al-Mardawi dari mazhab Hanbali, yang turut menyebut akan keharusan menghadiri walimah non-Muslim dengan memetik pandangan Imam Ahmad dan Ibn Qudamah. (Rujuk Al-Insaf, 8/320)

 

Tarjih dan Kesimpulan

Kesimpulannya, kami berpandangan bahawa hukum asal seorang Muslim masuk ke dalam rumah ibadat agama lain ialah harus jika mempunyai tujuan yang diharuskan syarak, seperti untuk berdakwah, memenuhi jemputan berdialog antara agama dan sebagainya. Namun kehadiran sewaktu hari perayaan keagamaan mereka adalah tidak dibenarkan.

Seorang Muslim itu juga diharuskan untuk hadir ke majlis perkahwinan di gereja, bahkan disunatkan jika yang berkahwin itu adalah terdiri daripada keluarga, sahabat handai, jiran tetangga, atau jika kehadiran kita itu mampu memberi sumbangan kepada dakwah Islam.

Alasan pentarjihan kami adalah berdasarkan kepada tsabitnya banyak riwayat daripada sahabat-sahabat Baginda Nabi SAW yang masuk dan bersolat di gereja.

Begitu juga dengan isi perjanjian antara Saidina ‘Umar al-Khattab dengan Ahlu Dzimmah pada zaman beliau yang antara lain menyatakan bahawa mereka tidak akan menghalang kaum Muslimin daripada memasuki gereja sama ada waktu siang atau malam. Ini juga antara dalil yang digunakan oleh Imam Ibn Qudamah dalam mengharuskan Muslim memasuki gereja.  ( Lihat Al-Syarh al-Kabir ‘ala Matn al-Muqni’, 10/613)

Kami juga mendasarkan tarjih ini dengan mengqiyaskan kepada hukum keharusan mengiringi jenazah ahli keluarga yang bukan Muslim, seperti yang disebut oleh Syeikh Muhammad az-Zuhaily yang menyebut bahawa qaul mu’tamad dalam mazhab Syafi’e mengharuskan mengiringi jenazah ahli keluarga yang bukan Muslim, berdasarkan riwayat daripada ‘Ali R.anhu:

قُلْتُ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم، إِنَّ عَمَّكَ الشَّيْخَ الضَّالَّ مَاتَ، فَمَنْ يُوَارِيهِ قَالَ ‏:‏ ‏ “‏ اذْهَبْ فَوَارِ أَبَاكَ

Maksudnya: Aku berkata kepada Nabi SAW: Sesungguhnya bapa saudaramu yang tersesat (Abu Thalib) telah meninggal dunia. Siapa yang perlu mengebumikannya? Nabi SAW bersabda: Pergilah kebumikannya.

(Rujuk Al-Mu’tamad fil Fiqh as-Syafi’e, 2015, Damshik: Darul Qalam, Cetakan Kelima, 1/648)

Jika urusan pengebumian seorang non-Muslim yang mempunyai unsur-unsur ritual keagamaan juga diharuskan, maka hal yang sama juga boleh diqiyaskan kepada majlis perkahwinan.

Walaubagaimanapun, terdapat tegahan daripada memasuki rumah ibadat agama lain sewaktu hari perayaan. Diriwayatkan bahawa Umar R.a berkata:

لا تدخلوا على المشركين في كنائسهم يوم عيدهم فإن السخطة تنزل عليهم

Maksudnya: Janganlah kalian menemui orang-orang musyrik di gereja-gereja (tempat ibadah) mereka pada hari raya mereka, karena kemurkaan (Allah) turun kepada mereka.

(HR Al-Baihaqi dalam As-Sunan 9/234, Abdurrazaq dalam Al-Mushannif, :1609)

Tegahan ini menurut Ibn Muflih bersifat makruh dan bukannya haram. (Al-Adab As-Syar’iyyah, 3/432)

Agama Islam tidak pernah memutuskan silaturahim sesama keluarga meskipun wujud perbezaan agama dan tidak melarang ikatan persaudaraan dan persahabatan dengan bukan Islam.

Namun kehadiran itu mestilah terbatas sebagai hadirin biasa dan tidak boleh terlibat dengan sebarang proses ritual seperti membaca doa, mengiringi pasangan pengantin masuk ke gereja atau berada di ‘altar’ (pentas) sewaktu proses perkahwinan yang diupacarakan paderi sedang berlangsung.

Selain itu, sebarang aktiviti yang bercanggah dengan syari’at Islam seperti tarian, minum arak dan pergaulan bebas lelaki dan wanita wajib dielakkan walau dengan apa jua cara sekalipun.

Jawapan kami ini selaras dengan konsep fiqh al-ta’ayush yang telah sekian lama diamalkan oleh Syeikh al-Azhar al-‘Allamah Ahmad al-Thayyib dan juga Darul Iftaa’ Mesir yang mengharuskan seorang Muslim memasuki gereja dan rumah ibadat agama lain, samada untuk melancong, menyaksikan majlis perkahwinan atau penghormatan kepada jenazah, selagimana tidak melanggar batas-batas agama. (Rujuk fatwa di laman rasmi Darul Iftaa’ Misriyyah pada pautan https://bit.ly/2C2uY5l )

Wallahu a’lam.

Source: IRSYAD FATWA

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-315: ISTERI KEPADA PEMBESAR MESIR DI DALAM SURAH YUSUF

        Soalan: Siapakah “امْرَأَتُ الْعَزِيزِ” (isteri kepada pembesar Mesir) di dalam surah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *