Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-503: PEMBAHAGIAN PERBUATAN NABI SAW
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-503: PEMBAHAGIAN PERBUATAN NABI SAW

ih503_15291523.png

 

Soalan: Apakah pembahagian sunnah atau perbuatan Nabi SAW sebagaimana yang dibahagikan oleh para ulama di dalam kitab mereka?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, memang benar bahawa terdapat ulama yang membahagikan sunnah kepada dua iaitu Tasyri’iyyah dan bukan Tasyri’iyyah. Sebenarnya pembahagian ini termasuk di dalam salah satu pembahagian sunnah yang mana ia diambil daripada definisi sunnah itu sendiri.

 

Definisi Sunnah

Sunnah dari sudut bahasa adalah jalan atau kehidupan samada ia bersifat terpuji atau sebaliknya. Adapun dari sudut istilah pula terbahagi kepada dua antara definisi ahli hadith dan juga ahli usul:

  • Di sisi ahli Hadith: “Sunnah adalah setiap yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan, perbuatan, taqrir (persetujuan), sifat khuluqiyyah, sifat khalqiyyah dan kehidupan baginda SAW samada sebelum perutusan Baginda SAW menjadi rasul”. [Lihat: Qawaid al-Tahdith, 61]
  • Di sisi ahli Usul: “Sunnah adalah setiap yang diambil daripada Nabi SAW selain daripada al-Qur’an melalui perkataan, perbuatan dan taqrir (persetujuan) Baginda SAW”.

Kesimpulannya, ahli hadith dan ahli usul bersepakat mengatakan bahawa sunnah adalah setiap perkara yang disandarkan kepada Rasulullah SAW sama ada ia berbentuk percakapan, perbuatan ataupun persetujuan daripada Nabi SAW.

 

Pembahagian Sunnah Berdasarkan Definisi

Melihat kepada definisi di atas, sunnah boleh dibahagikan kepada tiga:

  • Sunnah Qauliyyah (perkataan)

Sunnah Qauliyyah adalah setiap yang diucapkan oleh Nabi SAW. Contohnya:

  • Daripada Umar bin al-Khattab RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

Maksudnya: “Setiap perbuatan (amalan) itu bergantung pada niat”.  [Riwayat al-Bukhari (1)]

 

  • Sunnah Fi’liyyah (perbuatan)

Sunnah Fi’liyyah pula adalah setiap perbuatan Nabi SAW atau apa yang dikhabarkan oleh para sahabat RA daripada perbuatan Nabi SAW seperti cara solat, haji, adab-adab dan sebagainya. Contohnya:

  • Daripada Malik bin al-Huwairith RA bahawa Nabi SAW bersabda:

وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: “Dan solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat”. [Riwayat al-Bukhari (631, 6008 dan 7246)]

 

  • Sunnah Taqririyyah (Persetujuan)

Sunnah Taqririyyah pula adalah apa yang diiqrar (didiamkan tanpa Baginda SAW mengingkari hal tersebut) oleh Rasulullah SAW melalui perkataan atau perbuatan yang datang daripada sahabat RA. Contohnya:

  • Daripada Ibn Umar RA berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يُصَلِّيَنَّ أَحَدٌ العَصْرَ إِلَّا فِي بَنِي قُرَيْظَةَ فَأَدْرَكَ بَعْضَهُمُ العَصْرُ فِي الطَّرِيقِ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: لاَ نُصَلِّي حَتَّى نَأْتِيَهَا، وَقَالَ بَعْضُهُمْ: بَلْ نُصَلِّي، لَمْ يُرَدْ مِنَّا ذَلِكَ، فَذُكِرَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمْ يُعَنِّفْ وَاحِدًا مِنْهُمْ

Maksudnya: “Janganlah salah seorang daripada kamu solat asar melainkan apabila tiba di Bani Quraizhah”. Ibn Umar berkata: “Lalu tibalah waktu asar ketika sebahagian daripada mereka dalam perjalanan. Maka berkata sebahagian daripada mereka: “Jangan kita solat sehingga kita sampai di Bani Quraizhah”. Adapun telah berkata sebahagian mereka yang lain: “Bahkan, kami akan menunaikan solat kerana Nabi SAW tidak bermaksud demikian”. Maka kejadian tersebut diceritakan kepada Nabi SAW dan Baginda SAW tidak mencela salah seorang daripada mereka”. [Riwayat al-Bukhari (946 dan 4119)]

 

Di dalam hadith ini, sebahagian sahabat memahami secara hakikat lafaz larangan Nabi SAW tersebut dan dengan itu mereka melewatkan solat asar sehingga ke waktu Maghrib. Namun, sebahagian sahabat lagi memahami secara alasan atau mafhum di sebalik larangan Nabi SAW itu adalah Nabi SAW menyarankan agar mereka mempercepatkan perjalanan agar sempat solat asar dalam waktunya. Perbuatan sahabat ini sampai kepada Nabi SAW dan Nabi SAW mengakui atau mempersetujui kedua perbuatan tersebut tanpa Baginda SAW mengingkari salah satu perbuatan tersebut.  [Lihat: Fath al-Bari, 412/8]

Setelah kita memahami pembahagian sunnah berdasarkan definisi yang diberikan oleh para ulama’, maka kita akan masuk kepada satu lagi pembahagian sunnah atau yang melibatkan perbuatan Nabi SAW iaitu Tasyri’iyyah dan bukan Tasyri’iyyah walaupun secara asalnya kita perlu mengikuti Rasulullah SAW dalam semua perkara sebagaimana firman Allah SWT:

 

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّـهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّـهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ

[Ali-Imran:31]

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu”. 

 

Pembahagian Sunnah Perbuatan Nabi SAW

Syeikh Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya al-Wajiz menceritakan tentang perbuatan Nabi SAW ini sebahagiannya menjadi sumber tasyri’ (تشريعية) dan sebahagian lagi tidak menjadi sumber dalam tasyri’ (غير تشريعية).

 

Definisi Tasyri’iyyah

Sunnah Tasyri’iyyah adalah apa yang datang daripada Nabi SAW dengan diiktibarkan bahawa baginda adalah seorang nabi atau rasul dan juga utusan daripada Allah SWT maka ia dinamakan sebagai sumber pensyariatan (Tasyri’iyyah).

Tambahan pula, terdapat banyak contoh yang boleh dibawa dalam menjelaskan sunnah Tasyri’iyyah ini sama ada dari sudut percakapan, perbuatan Baginda SAW  dan sebagainya sama seperti yang kami jelaskan di dalam definisi sunnah di atas. Kebiasaannya sunnah jenis ini (Tasyri’iyyah) melibatkan perintah dan larangan. Antara contoh perbuatan Nabi SAW yang diiktibar sebagai sunnah yang disyariatkan adalah sebagaimana yang diberitakan bahawa Nabi SAW beristighfar lebih daripada 70 kali sehari sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Sahih Imam al-Bukhari:

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”. [Riwayat al-Bukhari (6307)]

 

Definisi Ghair (bukan) Tasyri’iyyah

Sunnah bukan Tasyri’yyah atau nama lainnya adalah Jibiliyyah adalah apa yang datang daripada Nabi SAW sama ada perkataan atau perbuatan Baginda SAW yang tidak diiktibar bahawa baginda adalah seorang nabi atau rasul dan juga utusan daripada Allah SWT tetapi diiktibar bahawa Baginda SAW adalah seorang manusia biasa atau disebabkan pengalaman Baginda SAW dalam perkara-perkara dunia. Hal seperti ini tidak termasuk dalam perkara atau sumber pensyariatan (Tasyri’iyyah) kerana perkataan atau perbuatan tersebut termasuk dalam adat atau tabiat Baginda sebagai seorang manusia biasa. Kebiasaannya sunnah jenis (bukan Tasyri’yyah) menceritakan perihal kecenderungan Nabi SAW terhadap sesuatu perkara seperti di dalam bab makanan dan minuman yang digemari Baginda SAW. Antara contoh yang boleh diberikan adalah di antara bahagian daging yang digemari oleh Baginda SAW adalah daging yang terletak di belakang badan:

  • Daripada Aisyah R.anha berkata:

 

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحِبُّ الحَلْوَاءَ وَالعَسَلَ

Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW menggemari manisan dan madu.” [Riwayat al-Bukhari (5431)]

 

Para ulama dalam memahami hadith ini sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam kitabnya ada menyatakan setiap yang datang daripada Nabi SAW yang berbentuk tabiat Baginda SAW sebagai manusia seperti cara bangun, duduk, berjalan, tidur, makan, minum dan perbuatan-perbuatan yang lain tidak dikira sebagai satu pengsyariatan. Ini kerana, perbuatan tersebut lahir disebabkan sifat kemanusiaan Baginda SAW dan bukannya daripada sifat pensyariatan. Para ulama menamakan perbuatan seperti ini dengan perbuatan (sunnah) al-Jibiliyyah melainkan jika terdapat dalil dalam memerintahkan untuk melakukan sedemikian maka pada waktu itu ia menjadi pengsyariatan dengan sebab tersebut dan bukannya semata-mata ia datang daripada Nabi SAW. Contohnya makan dengan tangan kanan terdapat hadith yang memerintahkan sedemikian daripada Ibn Umm Salamah: “Wahai budak! Sebutlah nama Allah (ucapan basmalah), makanlah dengan tangan kanan dan makanlah yang paling hampir dengan kamu terlebih dahulu.” [Lihat: al-Wajiz fi Usul al-Fiqh al-Islami, 189]

 

Di sana sebahagian ulama membahagikan kategori yang ketiga pada perkara yang datang daripada Nabi SAW iaitu perkara yang khusus hanya untuk Nabi SAW sahaja dan tidak pada selain daripada Nabi SAW berdasarkan kepada dalil. Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan bilangan perkara-perkara yang khusus kepada Nabi SAW. Imam al-Qurtubi berpandangan terdapat 37 perkara yang khusus kepada Nabi SAW. Adapun Imam al-Suyuthi berpandangan terdapat 65 perkara yang khusus untuk Nabi SAW. Manakala Imam al-Ramli berpandangan terdapat 47 perkara yang khusus bagi Nabi SAW. Antara perkara-perkara tersebut adalah Nabi SAW mengharamkan zakat ke atas dirinya dan ahli keluarganya, Nabi SAW dibenarkan untuk bernikah melebihi 4 orang isteri dan isteri-isteri Nabi SAW tidak boleh bernikah dengan orang lain selepas kewafatan Baginda SAW. [Lihat: Af’al al-Rasul, 1/276]

Justeru, berdasarkan kepada perbahasan di atas dapatlah disimpulkan bahawa terdapat tiga pembahagian pada membahagikan perbuatan Nabi SAW sepertimana yang dibahagikan oleh para ulama iaitu perbuatan berbentuk Tasyri’yyah, bukan Tasyri’yyah atau nama lainnya adalah Jibiliyyah dan yang terakhir adalah perbuatan yang khusus hanya untuk Nabi SAW.

 

Penutup

Kesimpulannya, mengikuti setiap yang dibawa oleh Nabi SAW adalah satu sifat yang terpuji kerana ia merupakan bukti kecintaan kita kepada Baginda SAW. Tambahan pula, dengan mencintai dan mentaati Nabi SAW akan melahirkan kecintaan dan ketaatan kepada Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran:

 

مَّن يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّـهَ ۖ وَمَن تَوَلَّىٰ فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا

al-Nisa’: 80

Maksudnya: “Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah kamu berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutuskanmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).”

 

Akan tetapi, tidak semua yang datang daripada Nabi SAW itu bersifat Tasyri’yyah (pengsyariatan). Ini kerana, terdapat sebahagian perbuatan atau perkara yang dilakukan oleh Nabi SAW bukan bersifat pengsyariatan, bahkan ia dilakukan di atas dasar Baginda SAW seorang manusia biasa. Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini serta memasukkan kita ke dalam Syurga yang kekal abadi di dalamnya. Amin.

 

Wallahua’lam

Source: IRSYAD AL-HADITH

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *