Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-438: KEMATIAN MENGEJUT
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-438: KEMATIAN MENGEJUT

Download PDF

 

 

ih438_15291523.png

 

Soalan: Apakah mati secara tiba-tiba termasuk di dalam tanda-tanda Kiamat?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kematian merupakan satu kepastian bagi setiap insan yang bernyawa. Ini kerana, Allah SWT telah menyatakannya di dalam al-Quran secara jelas bahawa kematian itu akan datang kepada manusia dan ia tidak akan cepat atau lambat sesaat pun:

 

  • Firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Al-A’raf: 34

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan). Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka kemudiankan dan tidak pula dapat mereka dahulukan walau sesaat pun.”

 

Syeikh al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat ini mengatakan setiap umat daripada umat-umat yang ada dan begitu juga setiap generasi daripada generasi-generasi yang ada mempunyai ketetapan umar yang tertentu sebagaimana yang ada di dalam ilmu Allah SWT. Apabila ketetapan umur tersebut telah sampai ke penghujungnya, maka akan terputuslah kehidupannya dan dia akan mula berpisah dengan dunia tanpa cepat atau lambat walau sesaat pun. [Lihat: Tafsir al-Wasit, 5/267]

Berdasarkan soalan di atas, terdapat hadith yang marfu’ daripada Nabi SAW bahawa di antara tanda-tanda Kiamat adalah akan banyak berlaku kematian secara mengejut atau mendadak.

 

  • Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ مِنْ أَمَارَاتِ السَّاعَةِ … وَأَنْ يَظْهَرَ مَوْتُ الْفَجْأَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya di antara tanda Kiamat … akan banyak berlakunya kematian secara mengejut.” [Menurut Imam al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani di dalam al-Saghir dan al-Awsath daripada gurunya Haitham bin Khalid al-Missisi dan dia adalah seorang yang dhaif. Imam al-Sakhawi mengatakan walaupun sanad ini dhaif tetapi ia menguatkan antara satu sama lain. Manakala Syeikh al-Albani menilai hadith ini sebagai hasan di dalam Sahih al-jami’, 2/1026]

 

Setelah melihat beberapa pandangan di atas, kami cenderung kepada status hadith ini adalah dhaif dan ini juga disebutkan di dalam Dar al-Ifta’ Jordan bahawa sanad hadith ini dhaif disebabkan guru kepada Imam al-Thabarani iaitu al-Haitham bin Khalid adalah seorang yang dhaif sebagaimana diperkatakan oleh al-Daraqutni.

Menurut Syeikh Yusuf al-Wabil di dalam kitabnya, kejadian ini sudah dapat disaksikan pada waktu ini di mana banyak terjadi kematian yang mendadak kepada manusia. Seakan-akan kita menyaksikan seseorang yang dilihat sihat atau segar, tiba-tiba dia mati secara mendadak (atau tanpa disangka-sangka) yang sekarang boleh ditafsirkan seperti seseorang yang terkena serangan jantung. [Lihat: Ashrat al-Sa’ah, 172]

 

  • Imam al-Khatib al-Baghdadi ada menukilkan satu kata-kata yang pernah diucapkan oleh Abu Abdullah Ahmad bin Ayyub:

 

اغْتَنِمْ فِي الْفَرَاغِ فَضْلَ رُكُوعٍ … فَعَسَى أَنْ يَكُونَ مَوْتُكَ بَغْتَةْ

كَمْ صَحِيحٌ رَأَيْتُ مِنَ غَيْرِ سُقْمٍ … ذَهَبَتْ نَفْسُهُ الصَّحِيحَةُ فَلْتَةْ

Maksudnya: “Peliharalah keutamaan ruku’mu pada waktu lapang, disebabkan kematian boleh datang kepada kamu secara tiba-tiba, betapa ramai orang yang sihat dan tidak sakit, dirinya boleh pergi dalam keadaan yang sihat secara tiba-tiba.” [Lihat: Iqtidha’ al-‘Ilm al-‘Amal, 106]

 

Penutup

Kesimpulannya, walaupun hadith di atas adalah dhaif tetapi menjadi kewajipan ke atas kita untuk sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk bertemu dengan Allah SWT dengan cara meningkatkan serta mempersiapkan sebanyak-banyaknya amal soleh. Akhirnya, semoga Allah SWT mengakhirkan hidup kita dengan pengakhiran yang baik. Amin.

 

Wallahua’alm

Source: IRSYAD AL-HADITH

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-444: DIBENTANGKAN SELAWAT KEPADA RASULULLAH SAW PADA SETIAP HARI JUMAAT

      Soalan: Apakah benar selawat yang kita baca akan dibentangkan kepada Rasulullah SAW …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *