Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-424: BERWUDHUK DI ANTARA DUA PERSETUBUHAN
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-424: BERWUDHUK DI ANTARA DUA PERSETUBUHAN

Download PDF

 

 

ih424_15291523.png

 

Soalan: Adakah terdapat hadith yang menceritakan sunat berwudhuk di antara dua persetubuhan?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Di dalam Islam diajar berkaitan adab-adab daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara dan ini menunjukkan akan kesempurnaan agama Islam. Di samping itu juga, antara tujuan Nabi SAW diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia.

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” [Riwayat al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad, no. Hadith 273][Lihat juga: al-Jami’ al-Saghir, no. Hadith 2584]

 

Berdasarkan soalan di atas, terdapat hadith yang sahih daripada Nabi SAW bahawa disunatkan berwudhuk bagi seseorang yang ingin mengulangi persetubuhan dengan isterinya:

 

  • Daripada Abu Said al-Khudri RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ أَهْلَهُ، ثُمَّ أَرَادَ أَنْ يَعُودَ، فَلْيَتَوَضَّأْ

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu telah mendatangi isterinya, kemudian dia ingin mengulanginya (bersetubuh) maka hendaklah dia berwudhuk.” [Riwayat Muslim (308)]

 

Imam al-Nawawi berkata ketika mensyarahkan hadith ini bahawa dibolehkan bagi orang yang dalam keadaan berjunub untuk tidur, makan, minum dan bersetubuh sebelum mandi. Hal ini disepekati ke atasnya dan mereka (para ulama) juga bersepakat bahawa badan serta peluh orang yang berjunub adalah suci. Akan tetapi, disunatkan (bagi yang berjunub) untuk berwudhuk atau membasuh kemaluannya sebelum melakukan perkara-perkara ini terutamanya bagi seseorang yang ingin menyetubuhi isteri yang belum lagi disetubuhinya. Hal ini menunjukkan akan sunat menyuci kemaluannya dan perkara ini juga telah dinyatakan oleh ulama bermazhab al-Syafie bahawa makruh (bagi orang yang berjunub) untuk tidur, makan, minum dan bersetubuh sebelum dia berwudhuk.

Tambahan pula, Imam al-Nawawi juga ada menukilkan beberapa hikmah berdasarkan anjuran Nabi SAW agar berwudhuk di dalam hal seperti ini kepada beberapa pandangan menurut para ulama, antaranya: [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 3/217-218]

  • Meringankan hadas
  • Mengangkat hadas daripada anggota wudhuk
  • Bimbang meninggal dunia dalam keadaan tidak suci ketika tidur
  • Memberi kesegaran untuk mandi

 

Penutup

Kesimpulannya, sememangnya terdapat anjuran daripada sunnah yang sahih bahawa sunat bagi seseorang yang ingin mengulangi persetubuhan agar berwudhuk kerana ia akan memberi kesegaran kepada seseorang itu. Akan tetapi, yang afdhal adalah mandi sekiranya ingin mengulangi persetubuhan kerana hal ini thabit daripada perbuatan Nabi SAW:

 

  • Daripada Abu Rafi’ RA berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَافَ ذَاتَ يَوْمٍ عَلَى نِسَائِهِ، يَغْتَسِلُ عِنْدَ هَذِهِ وَعِنْدَ هَذِهِ، قَالَ: قُلْتُ لَهُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَلَا تَجْعَلُهُ غُسْلًا وَاحِدًا، قَالَ: هَذَا أَزْكَى وَأَطْيَبُ وَأَطْهَرُ

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW mengelilingi isteri-isterinya pada suatu hari dan Nabi SAW mandi setiap kali selesai berhubungan dengan yang ini dan ini. Aku bertanya (Abu Rafi’): Wahai Rasulullah SAW! Tidakkah kamu menjadikannya memadai dengan satu kali mandi? Jawab Nabi SAW: Ini lebih suci, baik dan bersih.” [Riwayat Abu Daud (219)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini dhaif, manakala Syeikh al-Albani menilai hadith ini sebagai hasan]

 

Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita pasangan yang soleh atau solehah serta menganugerahkan kepada kita semua zuriat-zuriat yang menjadi penyejuk mata buat setiap orang yang melihatnya. Amin.

 

Wallahua’lam

Source: IRSYAD AL-HADITH

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE 331 : MAKSUD MAHRAM SEMENTARA

  Soalan : Assalamu’alaikum S.S Mufti, apakah yang dimaksudkan dengan mahram sementara dan apakah implikasi …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *