Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-419: KELEBIHAN MEMBACA DUA AYAT TERAKHIR SURAH AL-BAQARAH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-419: KELEBIHAN MEMBACA DUA AYAT TERAKHIR SURAH AL-BAQARAH

Download PDF

 

 

ih419_15291523.png

 

Soalan: Apakah maksud hadith ini?

 

  • Daripada Abu Mas’ud RA bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ بِالْآيَتَيْنِ مِنْ آخِرِ سُورَةِ البَقَرَةِ فِي لَيْلَةٍ كَفَتَاهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca dua ayat terakhir dari surah al-Baqarah pada waktu malam telah cukup baginya dengan keduanya.” [Riwayat al-Bukhari (5009)]

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Al-Quran merupakan sebuah kitab mukjizat yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril AS. Di samping itu, di dalam al-Quran juga terkandung seribu satu rahsia bagi sesiapa yang mentadabburnya dan sentiasa melaziminya dengan membacanya. Selain itu, terdapat banyak kelebihan yang akan diperolehi bagi orang yang sentiasa membaca dan mengamalkan ayat-ayat suci al-Quran berdasarkan kepada nas yang sahih sama ada daripada al-Quran dan juga hadith Nabi SAW.

Berdasarkan soalan di atas, antara makna telah cukup baginya di dalam hadith di atas sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadith ini terbahagi kepada beberapa makna:

  • Telah cukup baginya qiyamullail (bangun di tengah malam untuk beribadah)
  • Telah cukup baginya untuk membaca al-Quran sama ada di dalam atau di luar solat.
  • Telah cukup baginya perkara-perkara yang melibatkan aqidah kerana ayat tersebut menceritakan tentang keimanan dan amalan secara umum.
  • Telah cukup baginya (terselamat) daripada segala keburukan.
  • Telah cukup baginya (terselamat) daripada keburukan syaitan
  • Telah menolak keduanya (ayat tersebut) daripada keburukan manusia dan jin.
  • Telah cukup baginya untuk mendapatkan kebaikan daripada keduanya.

Melihat kepada makna-makna di atas, Imam Ibn Hajar mengatakan boleh jadi yang dimaksudkan oleh hadith adalah semua yang telah disebutkan. [Lihat: Fath al-Bari, 9/56] Tambahan pula, Imam al-Nawawi berkata makna cukup baginya di dalam hadith di atas adalah cukup baginya mendirikan malam pada malam tersebut, cukup baginya (terpelihara) daripada keburukan syaitan serta daripada kebinasaan-kebinasaan dan boleh jadi ia membawa makna kesemuanya sekali. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 6/91-92]

 

Dua Ayat Terakhir Dari Surah al-Baqarah

 

  • Firman Allah SWT:

آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّـهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ ۚ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ ﴿٢٨٥﴾ لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ ﴿٢٨٦﴾

al-Baqarah: 285-286

Maksudnya: “Rasulullah telah beriman terhadap apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya dan juga orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan Rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain daripada kalangan rasul-rasulnya. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami dan kepada-Mu jualah tempat kembali. Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami. Oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

 

Penutup

Kesimpulannya, terdapat banyak kelebihan yang akan diperolehi bagi orang yang membaca di waktu malam dua ayat yang terakhir dari surah al-Baqarah ini serta memahaminya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian mereka. Tambahan pula, hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan ini adalah bersumberkan daripada hadith yang sahih iaitu daripada kitab Sahih al-Bukhari yang merupakan kitab paling sahih selepas al-Quran. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan ahli al-Quran dan orang-orang yang sentiasa mencintai serta mengamalkan apa yang terdapat di dalam al-Quran. Amin.

 

Wallahua’lam

Source: IRSYAD AL-HADITH

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1401 : ADAKAH MEMASUKI PUSAT MEMBELI BELAH SAMA SEPERTI MASUK PASAR ?

Soalan: Assalamu’alaikum S.S Mufti, adakah hukum masuk ke pusat membeli belah sama seperti memasuki pasar …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *