Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-402: DOA KETIKA KILAT ATAU PETIR
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-402: DOA KETIKA KILAT ATAU PETIR

Download PDF

 

 

ih402_15291523.png

 

Soalan: Apakah terdapat doa yang khusus daripada Nabi SAW apabila mendengar bunyi kilat atau petir?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan kepada sang Penciptanya dalam setiap keadaan dan masa. Justeru itu, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian kita.

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami menukilkan beberapa riwayat yang menunjukkan sebahagian bacaan yang dibaca apabila mendengar guruh atau kilat. Antaranya:

  • Daripada Abdullah bin Umar RA berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا سَمِعَ الرَّعْدَ وَالصَّوَاعِقَ قَالَ: اللَّهُمَّ لَا تَقْتُلْنَا بِصَعْقِكَ، وَلَا تُهْلِكْنَا بِعَذَابِكَ، وَعَافِنَا قَبْلَ ذَلِكَ

Maksudnya: “Apabila Rasulullah SAW mendengar guruh atau kilat, Baginda akan berkata: “Ya Allah! Janganlah Engkau membunuh kami dengan kemarahanmu dan janganlah Engkau binasakan kami dengan azab-Mu serta ampunilah kami sebelum daripada itu.” [Riwayat al-Tirmizi (3450)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai gharib dan tidak diketahui akan hadith ini melainkan melalui jalur ini sahaja]

 

  • Daripada Abdullah bin Zubair RA, beliau meninggalkan percakapan apabila mendengar petir dengan berkata:

سُبْحَانَ الَّذِي {يُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلَائِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ} ثُمَّ يَقُولُ: إِنَّ هَذَا لَوَعِيدٌ شَدِيدٌ لِأَهْلِ الْأَرْضِ

Maksudnya: “Maha suci Allah yang Dialah juga yang disucikan oleh guruh dan para malaikat dengan bertasbih memuji-Nya kerana takut kepada-Nya.” Kemudian beliau berkata lagi: “Sesungguhnya ini adalah peringatan yang keras untuk penduduk bumi.” [Riwayat Imam Malik di dalam al-Muwatta’ (1801)][Hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad (724)]

 

Imam al-Nawawi berkata bahawa disunatkan bagi orang yang mendengar guruh (petir) agar mengucapkan tasbih sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Muwatta’ dengan sanad yang sahih. [Lihat: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab 5/93]

Tambahan pula, kilat atau petir merupakan salah satu daripada tanda kerahmatan serya kebesaran Allah SWT kerana ia mampu menggerunkan jiwa dan hati dengan kekuatannya. Lebih-lebih lagi ketika manusia sedang tidur dalam keadaan yang lena dan tenang, apabila terdengar bunyi petir ini akan menggerunkan hati serta menyebabkannya bergerak ketika berada di atas katil. [Lihat: al-Raudhah al-Bahiyyah, 203]

 

Penutup

Kesimpulannya, memang terdapat doa yang disunatkan untuk membacanya ketika mendengar guruh, kilat atau petir. Tambahan pula, ini juga termasuk di dalam peringatan atau amaran daripada Allah SWT kepada kita semua. Disebabkan itu, kita dituntut untuk sentiasa berdoa atau ingat kepada-Nya dalam setiap keadaan agar kita dijauhkan daripada segala bala bencana. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita semua dalam kalangan hamba-hamba-Nya terselamat daripada bala bencana atau musibah. Amin.

 

Wallahua’lam

Source: IRSYAD AL-HADITH

Download PDF

Check Also

ZAKAT KE ATAS HARTA SEUMPAMA PINGGAN MANGKUK, BUKU-BUKU ATAU PAKAIAN

Soalan: Assalamulaikum wrm. wbt, Kalau menyimpan sejumlah wang atau memiliki barangan kemas, orang Islam diharuskan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *