Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-367: SYEIKH HAMMAD AL-ANSARI
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-367: SYEIKH HAMMAD AL-ANSARI

 

ih367_15291523.png

 

 

Soalan: Siapakah Syeikh Hammad al-Ansari?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menceritakan seorang tokoh yang telah banyak berjasa pada ilmu hadith sebagaimana yang dinulikan oleh anak beliau di dalam kitab al-Majmu’ fi Tarjemah al-‘Allamah al-Muhadith al-Syeikh Hammad al-Ansari. Ini kerana, melalui kisah tokoh-tokoh ini akan memberi gambaran kepada kita betapa besarnya sumbangan tokoh tersebut dan secara tidak langsung akan menaikkan semangat orang yang membacanya itu dalam menuntut ilmu. Tokoh yang dipilih pada kali ini adalah Syeikh Hammad al-Ansari.

Nama beliau ialah Hammad bin Muhammad al-Ansari al-Khazraji al-Sa’di iaitu nisbah kepada Sa’ad bin Ubadah yang merupakan sahabat Nabi SAW. Beliau lahir pada tahun 1343 hijrah di sebuah negeri yang disebut sebagai Tad Makkah تاد مكة)). Dikatakan bahawa sejak kecil lagi terzahir pada syeikh tanda-tanda kemuliaan yang mana beliau begitu cinta kepada ilmu.

Di samping itu juga, beliau hidup bersama bapa saudaranya yang digelar sebagai lautan kerana luasnya ilmu pengetahuannya serta tajamnya pemahamannya terhadap sesuatu perkara. Selain itu, beliau telah menghafal al-Quran ketika berusia 8 tahun serta beliau juga telah mempelajari ilmu-ilmu alat, hadith dan banyak matan atau manzhumah sebelum daripada sampai usia rusyd. Tambahan pula, beliau telah menghafal matan al-Kafiyah wa al-Alfiyah oleh Ibn Malik, al-Alfiyah oleh al-Suyuthi, Jam’ al-Jawami’ oleh al-Subki, al-Mu’allaqat dan lain-lain lagi.

Beliau telah keluar dari negerinya dan berhijrah disebabkan penjajahan Perancis. Apabila beliau berusia 21 tahun, beliau mula menuju ke al-Haramain dan di situ beliau mula mengikuti halaqah-halaqah (kelas-kelas) ilmu yang ada di Masjid al-Haram. Antara gurunya ialah Syeikh Hamid al-Faqqi, Syeikh Abdullah al-Masyyath, Syeikh Muhammad Amin al-Halabi dan beliau terus mengikuti halaqah-halaqah tersebut sehingga diberi izin oleh Syeikh Abdullah bin Hasan Ali Syeikh untuk mengajar di dalam masjid al-Haram.

Setelah itu, beliau berpindah ke Madinah dan sempat belajar dengan beberapa orang guru di Dar al-‘Ulum. Antaranya ialah Syeikh Muhammad al-Hafiz, Syeikh Umar Barri, Syeikh Abduh Khudai’ dan ramai lagi. Kemudian, beliau kembali ke Makkah. Pada musim haji beliau telah bertemu dengan Syeikh Abdul Latif bin Ibrahim dan Syeikh Muhammad bin Ibrahim Ali al-Syeikh. Kedua syeikh ini telah mengisyaratkan kepada beliau agar pergi ke Riyadh, maka beliau pergi ke sana dan telah menjadi guru di kuliah Syariah sebelum beliau berpindah ke Ma’had Imam al-Dakwah al-‘Ilmi. Selepas beliau berkhidmat di Ma’ahad, beliau kembali semula ke kuliah Syariah sebelum dipindahkan ke Universiti Islam Madinah.

Sifat cinta kepada ilmu dan muridnya terserlah pada Syeikh Hammad al-Ansari. Ini terbukti dengan kebanyakan masa beliau dihabiskan untuk mengulangkaji dan beliau juga menjadi tempat rujukan kebanyak alim ulama’ dan penuntut-penuntut ilmu. Di samping itu, perpustakaan beliau juga menjadi tempat kegemaran para pencinta ilmu disebabkan perpustakaan tersebut dipenuhi dengan buku-buku rujukan yang terdiri daripada pelbagai bidang ilmu. Selain itu juga, beliau juga gemar menghimpunkan manuskrip-manuskrip lama terutama di dalam bidang hadith serta beliau juga menghasilkan beberapa buah kitab berkaitan hadith untuk para pencinta ilmu. Dikatakan bahawa terdapat lebih daripada tiga ribu jilid buku yang majoritinya adalah di dalam bidang hadith.

Disebabkan sifat cinta beliau kepada ilmu yang amat tinggi maka akan ramailah yang ingin berguru dengan beliau. Antara murid beliau ialah Syeikh Abdullah bin Jibrin, Syeikh Bakar Abu Zaid, Syeikh Rabi’ bin Hadi, Syeikh Soleh al-‘Abud, Syeikh Soleh Ali Syeikh, Syeikh Ali al-Faqihi, Syeikh Soleh al-Suhaimi, Syeikh Athiyyah Salim, Syeikh Muhammad bin Nasir al-‘Ajami, Syeikh Abdul Razzaq al-Badar, Syeikh Umar Fallatah dan ramai lagi daripada penuntut ilmu.

Selain itu, dengan kemahiran beliau dalam pelbagai bidang ilmu maka lahirlah beberapa karya yang bermanfaat buat para pencinta ilmu. Antara karya-karya beliau adalah:

  • al-Ajwibah al-Wafiyah ‘an Asilah al-Alfiyah
  • Abu al-Hasan al-Asy’ari wa Aqidatuhu
  • Tuhfah al-Sail ‘an Saum al-Murdhi’ wa al-Hamil
  • Ithaf Zawi al-Rusukh bi man Dallasa min al-Syuyukh
  • Sabil al-Rusyd fi Takhrij Ahadith Bidayah Ibn Rusyd

 

Terdapat banyak karya-karya beliau yang dihasilkan dan karya tersebut masih lagi dimanfaatkan oleh para pengkaji ilmu sehingga masa kini.

Antara kata-kata beliau:

“Setiap kali aku melihat manuskrip maka aku akan menyalinnya.”

 

“Ketika aku remaja, aku membaca dan menulis sehingga fajar. Dan aku tidak tidur melainkan sedikit daripada zohor.”

 

“Aku bukanlah seorang mufti tetapi aku hanyalah seorang hamba kepada penuntut ilmu.”

 

“Kami tidak akan mempelajari sesuatu yang baru melainkan setelah kami menghafalnya.”

 

 

Antara wasiat dan kata-kata hikmah beliau adalah:

 

“Aku melihat penuntut ilmu pada zaman ini malas mengulangkaji sesama mereka.”

 

“Ambillah kitab Ibn Jama’ah pada Adab Pendengar dan Pelajar dan bacalah ia setiap hari satu fasal daripadanya.”

 

“Para ulama’ perlulah bercakap kepada manusia tentang apa yang mereka mampu berfikir akannya dan janganlah masukkan mereka ke dalam perkara yang sia-sia.”

Demikian adalah sedikit latar belakang seorang tokoh yang bernama Syeikh Hammad al-Ansari. Beliau wafat pada hari Rabu bersamaan 21 Jamadi al-Akhir 1418 hijrah selepas sakit selama beberapa bulan. Jenazah beliau disolatkan oleh ramai daripada kalangan penuntut ilmu dan alim ulama’ di masjid al-Nabawi al-Syarif selepas solat fardhu Asar dan diimamkan oleh Syeikh Abdul Bari.

Kesimpulannya, Syeikh Hammad al-Ansari merupakan salah seorang tokoh hadith yang berjasa yang mana jasa beliau telah banyak menyumbang kepada agama ini dan sumbangannya juga amat besar di dalam bidang hadith sehingga kini karya-karya beliau masih menjadi rujukan dan ditempatkan di dalam perpustakaan Islam. Semoga Allah SWT merahmatinya dan menjadikan kita sebahagian daripada hamba-hamba-Nya yang sentiasa berjasa dan menyumbang kepada agama yang dicintai ini iaitu Islam. Amin.

 

Wallahua`lam

Source: IRSYAD AL-HADITH

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *