Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-360: BERNAFAS KETIKA MINUM
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-360: BERNAFAS KETIKA MINUM

 

 

ih360_15291523.png

 

 

Soalan: Apakah terdapat hadith berkaitan larangan meminum air dengan satu nafas?      

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Islam merupakan agama yang cukup sempurna kerana ia mengajar manusia daripada sekecil-kecil perkara sehingga kepada sebesar-besar perkara. Selain itu juga, Nabi SAW merupakan insan yang cukup istimewa kerana Baginda SAW telah mengajarkan kepada umatnya setiap yang telah diwahyukan oleh Allah kepadanya.

Berdasarkan kepada soalan di atas, di sini kami nukilkan sebuah hadith yang sahih daripada Imam Muslim yang menceritakan berkaitan di antara adab-adab ketika meminum air walaupun di sana terdapat banyak lagi hadith yang menceritakan berkaitan hal ini. Antaranya:

 

  • Daripada Anas bin Malik RA berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَنَفَّسُ فِي الشَّرَابِ ثَلَاثًا، وَيَقُولُ: إِنَّهُ أَرْوَى وَأَبْرَأُ وَأَمْرَأُ، قَالَ أَنَسٌ: فَأَنَا أَتَنَفَّسُ فِي الشَّرَابِ ثَلَاثًا

Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW bernafas sebanyak tiga kali ketika minum. Baginda SAW bersabda: “Itu lebih melegakan, bersih dan bermanfaat.” Anas berkata: Aku bernafas sebanyak tiga kali ketika minum.” [Riwayat Muslim (2028)]

 

Imam al-Nawawi meletakkan hadith ini di dalam bab kemakruhan bernafas di dalam bekas dan sunat bernafas di luar bekas minuman sebanyak tiga kali. Hadith ini juga menunjukkan larangan bernafas di dalam bekas minuman. Tambahan pula hadith ini bermaksud dengan mengikuti cara Nabi SAW ini akan menyelamatkan kita daripada penyakit dahaga dan dikatakan juga terselamat daripada penyakit yang datang disebabkan meminum dengan satu nafas. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 198-199/13]

 

Adapun hukum meminum air dengan satu nafas bukanlah satu perkara yang dilarang kerana hadith ini menceritakan kepada kita berkaitan larangan bernafas di dalam bekas minuman. Imam al-Hafiz Ibn Hajar ada menukilkan pandangan daripada Khalifah Umar bin Abdul Aziz iaitu:

 

إِنَّمَا نَهَى عَنِ التَّنَفُّسِ دَاخِلَ الْإِنَاءِ فَأَمَّا مَنْ لَمْ يَتَنَفَّسْ فَإِنْ شَاءَ فَلْيَشْرَبْ بِنَفَسٍ وَاحِدٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya larangan yang dimaksudkan adalah larangan bernafas di dalam bekas minuman. Adapun bagi orang yang tidak bernafas (di dalam bekas), dia boleh meminumnya dengan satu nafas sekiranya dia mahu.” [Lihat: Fath al-Bari, 93/10]

 

Tambahan pula, antara hikmah larangan tersebut adalah sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Qurthubi:

 

النَّهْيِ عَنِ التَّنَفُّسِ فِي الْإِنَاءِ لِئَلَّا يُتَقَذَّرَ بِهِ مِنْ بُزَاقٍ أَوْ رَائِحَةٍ كَرِيهَةٍ تَتَعَلَّقُ بِالْمَاءِ

Maksudnya: “Larangan bernafas di dalam bekas agar bekas air atau air tersebut tidak tercemar dengan air ludah ataupun bau yang tidak sedap berkaitan dengan air.” [Lihat: Fath al-Bari, 94/10]

 

Di samping itu juga, melihat kepada kajian para ahli Sains ada membuktikan bahawa perbuatan tersebut adalah tidak baik dan tidak sihat.

 

Penutup

Kesimpulannya, kita sebagai umat Islam perlulah menjaga dan mengikuti panduan yang telah diberikan oleh Rasulullah SAW kerana ia amat dituntut di dalam agama ini. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengamalkan sunnah Nabi SAW serta memelihara kita daripada sifat-sifat yang dikeji oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Amin.

 

Wallahua’lam

Source: IRSYAD AL-HADITH

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *