Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-357: SOLAT GHAIB DI ZAMAN RASULULLAH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-357: SOLAT GHAIB DI ZAMAN RASULULLAH

 

ih357_15291523.png

 

Soalan: Adakah Nabi SAW pernah melakukan solat jenazah ghaib?      

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang menceritakan berkaitan perbuatan Nabi SAW dalam hal ini:

 

  • Daripada ‘Imran bin Husoin RA, telah berkata Rasulullah SAW kepada kami:

إِنَّ أَخَاكُمُ النَّجَاشِيَّ قَدْ مَاتَ، فَقُومُوا فَصَلُّوا عَلَيْهِ، قَالَ: فَقُمْنَا، فَصَفَفْنَا كَمَا يُصَفُّ عَلَى المَيِّتِ، وَصَلَّيْنَا عَلَيْهِ كَمَا يُصَلَّى عَلَى المَيِّتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya saudara kamu al-Najashi telah meninggal dunia, maka berdirilah dan solatlah ke atasnya. Telah berkata ‘Imran: Lalu kami berdiri dan membuat saf sepertimana saf ketika solat jenazah. Dan kami pun solat ke atasnya sebagaimana solat ke jenazah.” [Riwayat al-Tirmizi (1039) dan al-Nasa’ie (1975)][Hadith ini dinilai Hasan Sahih Gharib daripada jalur ini oleh Imam al-Tirmizi]

 

Pada hadith ini terzahirnya tanda-tanda kenabian kerana Baginda SAW memberitahu kepada para sahabat akan kematian al-Najashi pada hari kematiannya walaupun jauh jaraknya di antara al-Habsyah dan al-Madinah. Selain itu, hadith ini menunjukkan pensyariatan solat jenazah ghaib dan ini sebagaimana yang dikatakan oleh al-Syafie, Ahmad dan jumhur para salaf. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 115/4]

 

Selain itu, terdapat juga di dalam hadith yang lain bahawa Rasulullah SAW melakukan solat ghaib ke atas al-Najashi iaitu:

  • Daripada Jabir bin Abdillah RA berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى عَلَى النَّجَاشِيِّ، فَكُنْتُ فِي الصَّفِّ الثَّانِي أَوِ الثَّالِثِ

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW solat ke atas al-Najashi dan aku berada pada saf kedua atau ketiga.” [Riwayat al-Bukhari (1317)]

 

  • Daripada Abu Hurairah RA berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى عَلَى النَّجَاشِيِّ فَكَبَّرَ أَرْبَعًا

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW solat ke atas al-Najashi dengan empat kali takbir.” [Riwayat al-Tirmizi (1022)][Syeikh Syu’aib menilai sanad hadith ini sahih mengikut syarat Syaikhain]

 

Di dalam mazhab al-Syafie sekiranya jenazah itu ghaib daripada tempat yang ingin didirikan solat tersebut, maka dibolehkan untuk solat ke atasnya sama ada mengadap ke arah kiblat ataupun tidak (bagi jenazah). Adapun bagi orang yang solat perlu mengadap ke arah kiblat dan tidak menjadi masalah pada jarak di antara dua tempat sama dekat atau jauh. [Lihat: al-Muktamad, 625/1]

 

Di sini kami juga sertakan beberapa artikel yang pernah ditulis berkaitan isu ini, antaranya:

  • AL-KAFI #968: KAIFIAT SOLAT JENAZAH GHAIB
  • AL-KAFI #1089: SOLAT JENAZAH GHAIB DALAM NEGERI

 

Penutup

Kesimpulannya, solat jenazah ghaib pernah dilakukan Rasulullah SAW dan para sahabat R.anhum ketika menerima berita kematian al-Najashi yang pada waktu itu berada di al-Habsyah. Tambahan pula, terdapat banyak hadith yang menceritakan berkaitan peristiwa atau kisah ini. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita semua husn al-Khatimah (pengakhiran yang baik). Amin.

 

Wallahua’lam

 

 

 

Source: IRSYAD AL-HADITH

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *