Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-332: TURUNNYA RAHMAT DISEBABKAN ORANG SOLEH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-332: TURUNNYA RAHMAT DISEBABKAN ORANG SOLEH

Download PDF

 

ih332.png

 

 

 

Soalan: Apakah benar dakwaan yang menyatakan rahmat Allah SWT akan turun apabila nama-nama orang soleh disebut?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Rahmat merupakan salah satu daripada sifat Allah SWT dan sifat ini banyak disebutkan di dalam al-Quran. Antaranya:

  • Firman Allah SWT:

فَلَوْلَا فَضْلُ اللَّـهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَكُنتُم مِّنَ الْخَاسِرِينَ

al-Baqarah:64

Maksudnya: “Maka jika tidak kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu daripada golongan orang-orang yang rugi.”

  • Firman Allah SWT:

يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ مَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

al-Imran:74

Maksudnya: “Allah menentukan pemberian rahmat-Nya itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.”

 

Kedua ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT menisbahkan sifat rahmat kepada diri-Nya dan sifat ini meliputi sekalian alam atau sekalian makhluk-Nya. Kesan sifat rahmat daripada Allah ini akan diperolehi dan dirasai oleh setiap hamba itu apabila dia melaksanakan segala ketaatan dan kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, di samping meninggalkan segala larangan dan maksiat. Dengan cara itulah, rahmat Allah ke atas hamba itu akan dirasai.

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah ucapan yang dikatakan bahawa ia datang daripada Rasulullah SAW iaitu:

 

  • Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

عِنْدَ ذِكْرِ الصَّالِحِينَ تَنْزِلُ الرَّحْمَةُ

Maksudnya: “Ketika disebutkan orang-orang yang soleh, maka rahmat Allah akan turun.”

 

Sebelum kami nyatakan berkaitan status atau hukum terhadap hadith ini. Terlebih dahulu, kami akan menyatakan beberapa pandangan para ulama berkaitan hadith atau riwayat ini, antaranya adalah:

  • Imam al-Iraqi (806 H) menyatakan bahawa hadith ini tidak mempunyai asal daripada hadith yang marfu’ (hadith yang sampai sanadnya kepada Rasulullah SAW). Adapun ia adalah daripada ucapan Sufyan bin ‘Uyainah sebagaimana disebutkan oleh Ibn al-Jauzi di dalam muqaddimah Safwah al-Safwah. [Lihat: al-Mughni ‘An Haml al-Asfar, 697/1]
  • Imam al-Fattani (986 H) berkata: Telah berkata guru kami dan gurunya al-Iraqi ketika mengtakhrijkan hadith-hadith di dalam al-Ihya’ bahawa hadith tersebut tidak mempunyai asal yang marfu’ baginya dan ia adalah ucapan daripada Ibn ‘Uyainah sepertimana dinyatakan oleh Ibn al-Jauzi. [Lihat: Tazkirah al-Mawdhu’at, 193/1]
  • Syeikh Mulla Ali al-Qari (1014 H) menyatakan bahawa Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan hadith ini tiada asal baginya dan al-Iraqi di di dalam Takhrij al-Ihya’ menyatakan hadith ini tidak mempunyai asal yang marfu’. Akan tetapi, ia adalah daripada ucapan Sufyan bin ‘Uyainah. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah fi al-Akhbar al-Mawdhu’ah, 249/1]
  • Syeikh al-Zurqani (1122 H) menghukum hadith tersebut sebagai tiada asal baginya. [Lihat: Mukhtasar al-Maqasid al-Hasanah, 153]
  • Syeikh al-‘Amiriy (1143 H) menyatakan bahawa ia (hadith di atas) adalah daripada ucapan Sufyan bin ‘Uyainah dan tidak mempunyai asal baginya daripada hadith-hadith yang marfu’ sebagaimana disebutkan oleh al-Iraqi, Ibn Hajar dan al-Sakhawi. [Lihat: al-Jadd al-Hathith fi Bayan ma Laisa bi Hadith, 194/1]
  • Imam al-Syaukani (1250 H) menukilkan pandangan al-Hafiz al-Iraqi dan juga al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani bahawa riwayat tersebut tidak mempunyai asalnya. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 254]
  • Syeikh al-Qawqaji (1305 H) menilai bahawa hadith ini tidak mempunayi asal yang marfu’. [Lihat: al-Lu’lu’ al-Marshu’, 124/1]

 

Tambahan pula, Imam Ibn Solah (643 H) di dalam kitabnya ada menukilkan sebuah kisah daripada Abu ‘Amr Ismail bin Nujaid apabila beliau telah bertanya kepada Abu Ja’far Ahmad bin Hamdan dan kedua orang ini adalah hamba Allah yang soleh. Katanya (kepada Abu Ja’far): “Dengan niat apa untuk aku menulis sebuah hadith?.” Maka Abu Ja’far menjawab: “Adakah kamu melihat apabila disebutkan orang yang soleh maka rahmat Allah akan turun?.” Jawab Abu ‘Amr: “Benar.” Maka kata Abu Ja’far: “Dengan itu, Rasulullah SAW adalah penghulu kepada sekalian orang yang soleh.” [Lihat: Ma’rifah Anwa’ Ulum al-Hadith, 353/1]

Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami cenderung bahawa hadith tersebut bukanlah daripada Nabi SAW, bahkan ia adalah ucapan daripada Sufyan bin ‘Uyainah walaupun Imam al-Zamakhsyari menukilkan di dalam khutbahnya bahawa ia adalah hadith Nabi SAW. [Lihat: Kasyf al-Khafa’, 82/2] Walaubagaimanapun, di sana terdapat sebuah hadith yang sahih berkaitan rahmat Allah akan meliputi orang-orang yang berada di dalam majlis yang mana majlis tersebut boleh mengingatkan kepada Allah SWT:

 

  • Daripada Abu Hurairah dan Abu Said al-Khudri R.anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا يَقْعُدُ قَوْمٌ يَذْكُرُونَ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ إِلَّا حَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ، وَنَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Tidaklah sesuatu kaum yang duduk berkumpul untuk mengingati Allah melainkan akan dinaungi oleh para malaikat, dilimpahkan kepada mereka rahmat dan akan diturunkan kepada mereka sakinah (ketenangan) serta Allah SWT akan menyebut mereka di hadapan para makhluk yang ada di sisi-Nya.” [Riwayat Muslim (2700)]

 

Tambahan pula, kebiasaannya nama-nama orang soleh ini akan banyak disebut di dalam majlis-majlis ilmu. Akan tetapi, di dalam hadith yang sahih di atas menunjukkan rahmat Allah SWT turun bukannya disebabkan wujudnya nama-nama orang soleh tetapi ia adalah disebabkan perkara tersebut mengingatkan kepada Allah SWT. Di samping itu juga, menjadi kewajipan kita sebagai seorang muslim apabila mengetahui akan status sesebuah hadith yang tidak sahih daripada Rasulullah, untuk tidak menyandarkan sesuatu yang tidak thabit kepada Rasulullah SAW kerana bimbang ia termasuk di dalam berdusta di atas nama Nabi SAW.

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas adalah tidak sahih kerana ia tidak mempunyai asal yang marfu’ iaitu yang sampai kepada Nabi SAW. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama serta memelihara lidah-lidah kita daripada berdusta di atas nama Nabi SAW. Amin.

 

Wallahua’lam

Source: IRSYAD AL-HADITH

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1291: MENGAPAKAH DIGUNAKAN PERKATAAN "سنة" DAN "عام" DALAM AYAT KE-14 SURAH AL-‘ANKABUT?

  SOALAN Dalam surah al-‘Ankabut, digunakan perkataan “سنة” dan “عام” dalam satu ayat yang sama, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *