Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-329 : JANGAN DILAMBATKAN TIGA PERKARA
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-329 : JANGAN DILAMBATKAN TIGA PERKARA

IH 329.JPG

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya nak tanya betul ke ada hadis yang mengatakan bahawa jangan dilambatkan tiga perkara. Antaranya tiga perkara itu ialah kahwin.Yang saya musykilnya. Kadang-kadang kahwin tu bukan sengaja dilambatkan tetapi ada halangan-halangan  seperti tidak jumpa yang berkenan dan lain-lain. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan :

Assalamualaikum.Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Berkenaan hadis yang berkaitan, ianya diriwayatkan di dalam beberapa kitab muktabar. Antaranya :

  • Jami’ al-Tirmizi. Kata Imam al-Tirmizi :

Qutaibah menceritakan kepada kami. Abdullah Bin Wahb menceritakan kepada kami daripada Said Bin Abdullah al-Juhani daripada Muhamamd Bin Umar Bin Ali Bin Abi Talib daripada ayahnya daripada Ali Bin Abi Talib. Sesungguhnya Nabi SAW bersabda kepada beliau :

يَا عَلِيُّ ، ثَلاَثٌ لاَ تُؤَخِّرْهَا : الصَّلاَةُ إِذَا آنَتْ ، وَالجَنَازَةُ إِذَا حَضَرَتْ وَالأَيِّمُ إِذَا وَجَدْتَ لَهَا كُفْئًا

Maksudnya :”Wahai Ali tiga perkara jangan engkau lewatkan. Solat jika ia telah masuk. Pengurusan jenazah jika telah datang kematian dan mengahwinkan seorang anak perempuan jika jumpa yang sekufu.”

Riwayat al-Tirmizi (171)

Imam al-Tirmizi ketika menyebut hadis ini, beliau sertakan juga dengan komentar terhadap sanad hadis ini. Beliau menyatakan bahawa hadis ini adalah hadis gharib dan sanadnya bukan sanad yang muttasil.

  • Musnad Ahmad.

Harun Bin Makruf menceritakan kepada kami. Abdullah berkata : Dan aku mendengar sendiri daripada Harun. Ibnu Wahb mengkhabarkan kepada kami.Said Bin Abdullah al-Juhani menceritakan. Sesungguhnya Muhammad Bin Umar Bin Ali Bin Abi Talib menceritakan kepada Said daripada ayahnya daripada datuknya, Ali Bin Abu Talib. Rasulullah SAW bersabda :

ثَلاَثَةٌ يَا عَلِيُّ لاَ تُؤَخِّرْهُنَّ الصَّلاَةُ إِذَا آنَتْ وَالْجَنَازَةُ إِذَا حَضَرَتْ وَالأَيِّمُ إِذَا وَجَدَتْ كُفُؤًا

Maksudnya :”Wahai Ali jangan lewatkan tiga perkara : Solat jika telah masuk. Pengkebumian jenazah jika ada kematian dan mengahwinkan anak perempuan jika ada yang sekufu.”

Riwayat Ahmad (843)

Sheikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan di dalam kajiannya bahawa sanad hadis ini adalah sanad yang dhaif kerana Said Bin Abdullah al-Juhani tidak diketahui peribadi dan profilnya (majhul)

Rujuk Musnad Ahmad cetakan muassash Risalah (2/197)

  • Al-Mustadrak ‘Ala Sahihain. Kata Al-Hakim meriwayatkan dengan sanadnya:

Al-Sheikh Abu Bakar Bin Ishak mengkhabarkan kepada kami.Abdullah Bin Ahmad Bin Ahmad memberitahu. Harun Bin Ma’ruf menceritakan kepada aku. Abdullah Bin Wahb menceritakan kepada kami. Said Bin Abdurrahman al-Jumahi. Muhammad Bin Umar Bin Ali Bin Abi Talib daripada ayahnya daripada datuknya Ali Bin Abi Talib. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda

Riwayat Al-Hakim (2686)

Beliau berkata hadis ini adalah hadis ghorib sahih akan tetapi tidak dinukilkan oleh Al-Bukhari dan Muslim

Secara ringkasnya, kami cenderung mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis yang dhoif. Ini kerana di dalam sanad hadis ini terdapat seorang perawi yang dipertikaikan iaitu Said Bin Abdullah al-Juhani

Kata Abu Hatim al-Razi tentang Said Bin Abdullah al-Juhani : Beliau seorang yang majhul. (Rujuk al-Jarh wa al-Ta’dil,4/159). Walaupun ada yang mengatakan bahawa beliau adalah seorang yang thiqah seperti Ibnu Hibban di dalam kitabnya al-Thiqat namun ianya dipertikaikan kerana Ibnu Hibban antara yang terkenal bermudah-mudah di dalam mentausiqkan mana-mana perawi.

Ya, memang hadis ini dihukum oleh para ulama sebagai hadis dhoif namun ia mempunyai makna yang sahih. Jangan terlalu memilih pasangan. Yang paling penting pasangan kita itu mempunyai agama yang baik, akhlak dan peribadi yang mulia dan lain-lain sifat yang boleh menajdikan rumah tangga penuh rahmat, barakah dan mawaddah. Nabi saw memberikan beberapa nasihat berkenaan dengan urusan jodoh. Baginda SAW bersabda :

إِذَا أَتَاكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ، إِلا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

Maksudnya :” Jika datang kepada kalian sesiapa yang kalian redha akan agama dan akhlaknya maka kahwinkanlah dia. Jika kalian tidak melakukannya maka ia akan menjadi fitnah di bumi dan juga akan berlaku keburukan.”

Riwayat al-Tabarani (280) di dalam Al-Mu’jam Al-Kabir. Kata beliau :hadis ini tidak ada yang meriwayatkan daripada Ibn Ajlan melainkan Abdul Hamid Bin Sulaiman

Kata Sheikh Atiyah Salim : Ini bermakna rumah tangga yang ingin dibina mesti berasaskan dan berdasarkan ketaqwaan dan agama.

Rujuk Syarh Bulugh Al-Maram(2/357)

Nabi SAW juga menasihatkan jika sudah ada kemampuan maka bersegeralah berkahwin. Sabda Nabi SAW :

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ! مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ

Maksudnya :” Wahai sekalian pemuda, jika ada antara kalian yang mampu (untuk bernikah) maka nikahlah.”

Riwayat Muslim (2577)

Begitu juga Nabi SAW memberikan beberapa kiteria pasangan yang ingin dikahwini. Nabi SAW bersabda di dalam satu hadis :

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya :”Perempuan dinikahi kerana empat perkara kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka peganglah dengan yang mempunyai agama. Maka engkau akan bahagia.”

Riwayat al-Bukhari (5090) & Muslim (3708)

Maka, jika sudah berjumpa yang sesuai, punyai akhlak yang baik dan juga sudah bersedia untuk melayari bahtera perkahwinan, maka segerakanlah jangan dilambatkan. Semoga Allah memberikan kita kefahaman di dalam agama-Nya dan dipermudahkan urusan kita semua.

Wallahu’alam.

Source: IRSYAD AL-HADITH

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *