Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-310: KELEBIHAN HALBA
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-310: KELEBIHAN HALBA

Download PDF

 

ih310.png

 

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي الْحُلْبَةِ لَاشْتَرَوْهَا وَلَوْ بِوَزْنِهَا ذَهَبًا

Maksudnya: “Kalaulah manusia itu mengetahui apa (kebaikan) yang ada pada halba, nescaya mereka akan membelinya walaupun dengan kadar (harga) emas.”

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sebelum kami menjawab persoalan di atas, suka bagi kami untuk menjelaskan secara ringkas berkaitan halba ini. Halba ialah sejenis tumbuhan yang tergolong dalam famili Fabaceae. Ditanam di seluruh dunia sebagai tanaman separa gersang, ia digunakan sebagai kedua-dua herba (daunnya) dan rempah (bijinya). Halba juga sering digunakan untuk memasak kari. Perkataan bahasa Melayu “halba” berasal daripada nama bahasa Arab iaitu (حِلْبَة). Nama saintifiknya pula Trigonella foenum-graecum.

Negara pengeluar halba yang utama adalah India, Argentina, Mesir, Perancis, Sepanyol, Turki, Maghribi serta China dan India merupakan pengeluar yang terbesar di dunia. Negeri Rajasthan mengeluarkan 80% daripada jumlah pengeluaran di India dengan negeri-negeri pengeluar utama yang lain termasuk Gujarat, Uttaranchal, Uttar Pradesh, Madhya Pradesh, Maharashtra, Haryana dan Punjab. [Lihat: https://ms.wikipedia.org/wiki/Halba]

Berbalik kepada soalan di atas, hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani di dalam kitabnya al-Mu’jam al-Kabir daripada Mu’az bin Jabal. Untuk itu, di sini kami nukilkan beberapa pendapat para ulama’ berkaitan status hadith di atas:

  • Imam Ibn al-Jauzi (597 H) menghukum hadith ini adalah tidak sahih. [Lihat: al-Mawdhu’at, 297/2]
  • Imam al-Sakhawi (902 H) mengatakan bahawa di dalam sanad hadith ini terdapat perawi yang kuat berdusta. [Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 556/1]
  • Imam al-Suyuthi (911 H) menyatakan bahawa hadith tersebut palsu kerana salah seorang perawi di dalam sanad iaitu Husain ialah seorang pemalsu hadith. [Lihat: al-La’aali al-Masnu’ah, 187/2]
  • Syeikh Mulla Ali al-Qari (1014 H) menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 297/1 dan al-Masnu’ fi Ma’rifah al-Hadith al-Mawdhu’, 150/1]
  • Imam al-Zurqani (1122 H) mengatakan hadith ini adalah palsu. [Lihat: Mukhtasar al-Maqasid, 182]
  • Syeikh al-Ajlouni (1162 H) menyatakan bahawa di dalam sanad terdapat perawi yang kuat berdusta iaitu Sulaiman. [Lihat: Kasyf al-Khafa’, 195/2]
  • Syeikh al-Hut al-Beiruti (1277 H) menghukum hadith ini sebagai palsu. [Lihat: Asna al-Mathalib, 237/1]
  • Imam al-Qauqaji (1305 H) menghukum hadith ini palsu sebagaimana Imam al-Suyuthi. [Lihat: al-Lu’lu’ al-Marshu’, 154/1]

Setelah kami melihat beberapa pandangan para ulama’ dalam menentukan status hadith ini, maka kami cenderung untuk menyatakan bahawa hadith di atas adalah tidak sahih dan kita tidak boleh sesekali menyandarkannya kepada Nabi SAW serta meriwayatkannya kepada orang lain melainkan bagi menyatakan kepalsuannya. Ini kerana, banyak hadith yang melarang berdusta di atas nama Nabi SAW dan hukuman bagi orang yang berdusta di atas nama Nabi SAW adalah tempatnya di neraka. Antara hadith yang menyatakan sedemikian adalah:

  • Nabi SAW bersabda:

مَنْ يَقُلْ عَلَيَّ مَا لَمْ أَقُلْ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berkata di atas namaku yang mana aku tidak perah mengucapkannya maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (109)]

Walaubagaimanapun, terdapat nukilan daripada Imam al-Baihaqi ketika beliau menceritakan berkaitan manaqib atau kelebihan Imam al-Syafie, Di mana Imam al-Syafie pernah menukilkan daripada Sufyan bin ‘Uyainah bahawa pernah seseorang berkata kepada Sufyan bin Uyainah agar beliau memakan halba bersama dengan madu apabila melihat Sufyan kekuningan. Perkara ini ada disebut oleh Imam al-Sakhawi di dalam kitabnya setelah beliau menjelaskan hukum hadith berkaitan kelebihan halba di atas.

Penutup

Kesimpulannya, hadith yang menceritakan berkaitan halba di atas adalah tidak sahih. Namun, jika ahli sains atau ilmu sains membuktikan bahawa halba mempunyai kebaikan-kebaikan yang tertentu maka tidak menjadi masalah bagi kita sebagai orang awam (atau orang yang tidak mempunyai kepakaran dalam ilmu sains) untuk mempercayainya. Semangat ini diambil berdasarkan firman Allah SWT:

 

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

al-Nahl:43

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”

Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara lidah-lidah kita daripada menyampaikan dan menyebarkan hadith-hadith yang tidak sahih daripada Nabi SAW. Amin.

 

Wallahua’lam

Source: IRSYAD AL-HADITH

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-318 : ADAKAH MATI KERANA SAKIT PERUT TIDAK AKAN DI AZAB DI KUBUR?

Soalan : Assalamualaikum ustaz. Semoga dalam keadaan yang sihat. Saya mahu bertanya dan ingin clarify …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *