Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-308 : GEMPA BUMI DI ZAMAN SAIDINA UMAR
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-308 : GEMPA BUMI DI ZAMAN SAIDINA UMAR

Download PDF

ih308 compressed

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Saya mahu memastikan satu fakta. Adakah benar pada zaman Saidina Umar telah berlaku gempa bumi ?. Adakah benar dan sahih athar itu?. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan:

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kami sebutkan dahulu matan bagi kisah yang dinyatakan sebelum mengulas lebih lanjut berkenaan kisah tersebut.

زُلْزِلَتِ الأَرْضُ عَلَى عَهْدِ عُمَرَ حَتَّى اصْطَفَقَتِ السُّرُرُ فَوَافَقَ ذَلِكَ عَبْدَ اللهِ بْنَ عُمَرَ وَهُوَ يُصَلِّي فَلَمْ يَدْرِ ، قَالَت : فَخَطَبَ عُمَرُ لِلنَّاسِ فَقَالَ : أَحدَثْتُم لَقَدْ عَجِلْتُمْ ، قَالَت : وَلاَ أَعْلَمُهُ إِلاَّ قَالَ : لَئِنْ عَادَتْ لأَخْرُجَنَّ مِنْ بَيْنِ ظَهْرَانِيكُمْ

Maksudnya :” Bumi bergegar pada zaman pemerintahan Umar sehingga katil-katil turut bergegar. Gegaran itu turut berlaku pada Abdullah Bin Umar yang mana pada ketika itu beliau sedang menunaikan solat. Beliau tidak perasan tentang keadaan tersebut. Kata Safiah :Apa yang telah kalian lakukan. Sesungguhnya kalian telah bersegera (melakukan maksiat). Kata Safiah : Aku tidak tahu melainkan beliau berkata:Jika gempa ini berlaku lagi, aku akan keluar dari hadapan kalian (segera keluar).”

Kisah ini diriwayatkan di dalam beberapa buah kitab. Antaranya al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra nombor 6604, Ibn Abu Syaibah di dalam al-Musannaf nombor 8335, Ibnu Munzir di dalam kitabnya al-Awsat nombor 2825 dan Nuaim Bin Hammad di dalam kitabnya al-Fitan nombor 1731.

Penjelasan berkaitan sanad kisah

Riwayat yang terdapat di dalam kitab-kitab tersebut dinukilkan dengan jalan yang pelbagai. Kami nukilkan setiap jalan yang meriwayatkan kisah tersebut.

  • Kata al-Baihaqi :

Abu Hazim al-Hafiz menceritakan kepada kami. Abu Ahmad Muhammad Bin Muhammad al-Hafiz menceritakan kepada kami.Abu Arubah Husin Bin Abi Ma’syar mengkhabarkan kepada kami. Ayyub Bin Muhammad al-Wazzan menceritakan kepada kami.Muhammad Bin Ubaid menceritakan kepada kami. Ubaidullah Bin Umar menceritakan kepada kami daripada Nafi’ daripada Safiah Binti Abu Ubaid.

Rujuk al-Sunan al-Kubra (3/342)

  • Ibn Abu Syaibah mengatakan :

Ibnu Numair menceritakan kepada kami daripada Ubaidullah daripada Nafi’ daripada Safiah anak kepada Abu Ubaid. Beliau berkata : …

 

Rujuk Musannaf Ibn Abi Syaibah (2/473)

  • Ibnu Munzir meriwayatkan dengan sanadnya. Kata beliau :

Al-Rabi’ Bin Sulaiman menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Ibnu Wahbin menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Usamah mengkhabarkan kepada aku. Daripada Nafi’ beliau berkata : Safiah Binti Abu Ubaid iaitu isteri Abdullah Bin Umar menceritakan kepada aku

Rujuk al-Awsat (9/18)

  • Nu’aim bin Hammad meriwayatkan dengan sanadnya :

Ibn Uyainah menceritakan kepada kami daripada Ubaidullah daripada Nafi’ daripada Safiah…

Rujuk al-Fitan (2/620)

Jika diteliti, madar (pusat) sanad kisah ini tertumpu kepada Nafi’. Beliau merupakan Nafi’ Maula Ibnu Umar. Beliau adalah merupakan antara ulama Madinah. Beliau banyak meriwayatkan hadis daripada beberapa orang sahabat. Antaranya Ibnu Umar,Aisyah, Abu Hurairah, Rafi’ Bin Hadij, Ummu Salamah, Safiah Binti Abi Ubaid dan lain-lain lagi. Beliau wafat pada 117 H.

Kata Abdurrahmah Bin Khirash : “Nafi’ adalah seorang yang terpercaya lagi seorang yang bijak.”

Al-Ijli dan Al-Nasaie menyatakan bahawa Nafi’ adalah antara orang Madinah yang thiqah.

Kata Ibnu Sa’ad : “ Beliau seorang yang terpercaya. Banyak pula meriwayatkan hadis

Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala (5/101)

Begitu juga ,kebanyakan riwayat kisah ini akan melalui Ubaidullah Bin Umar. Nama sebenar beliau Ubaidullah bin Umar Bin Hafs bin ‘Asim bin Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab. Beliau merupakan salah seorang daripada Tabi’in kecil ( صغار التابعين).Beliau adalah di antara 7 orang fuqaha Madinah. Beliau juga meriwayatkan hadis daripada beberapa orang tokoh. Antaranya Salim Bin Abdullah, Al-Qasim Bin Muhammad, Nafi’, Sa’id Al-Maqburi dan lain-lain lagi. Beliau wafat pada tahun 147 H.

Kata Al-Nasaie antara anak murid Nafi yang berada di tabaqat awal ialah Ayub Al-Sakhtiyani, Ubaidullah dan Malik.

Rujuk Siyar ‘alam Al-Nubala (5/95)

Abu Hatim Al-Razi berkata :

“Aku bertanya kepada Ahmad Bin Hanbal tentang Malik, Ayub dan Ubaidullah Bin Umar. Siapakah di antara mereka yang paling thabit hafalan hadis daripada Nafi’? Kata Abu Hatim : Ubaidullah adalah yang paling thabit dan paling kukuh hafalannya daripada yang lain juga yang paling banyak riwayat daripada mereka (yang banyak meriwayatkan hadis daripada Nafi’)

Kata Yahya Bin Ma’in :

“Ubaidullah adalah dari kalangan orang yang terpercaya (thiqah).”

Rujuk Siyar ‘alam al-Nubala (6/305)

Untuk lebih jelas, berikut adalah syajarah al-sanad bagi kisah tersebut :

 syajarah sanad.JPG

Seperti rajah di atas, ada dua perawi yang meriwayatkan daripada Nafi’ iaitu Usamah dan Ubaidullah Bin Umar.Jalan riwayat yang paling masyhur adalah melalui Ubaidullah Bin Umar yang mana diriwayatkan oleh 3 orang iaitu Muhammad Bin Ubaid,Ibnu Numair dan Sufiyan Bin Uyainah.

A. Riwayat Muhammad Bin Ubaid

Riwayat ini dinukilkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam kitabnya Sunan al-Kubra. Beliau menyatakan Abu Hazim al-Hafiz menceritakan kepada kami. Abu Ahmad Muhammad Bin Muhammad al-Hafiz menceritakan kepada kami.Abu Arubah Husin Bin Abi Ma’syar mengkhabarkan kepada kami. Ayyub Bin Muhammad al-Wazzan menceritakan kepada kami.Muhammad Bin Ubaid menceritakan kepada kami. Ubaidullah Bin Umar menceritakan kepada kami daripada Nafi’ daripada Safiah Binti Abu Ubaid.

1. Abu Hazim al-Hafiz.

Nama sebenar beliau ialah Umar bin Ahmad Bin Ibrahim. Ini adalah fakta yang dikemukan oleh al-Khatib al-Baghdadi di dalam Tarikh Baghdad, Ibnu Kathir di dalam al-Bidayah al-Nihayah dan lain-lain lagi.Beliau wafat pada tahun 417 H.

Imam al-Zahabi menyatakan : Imam,seorang yang hafiz, kebanggaan para ahli hadis.

Rujuk Siyar ‘alam al-Nubala’ (17/333)

Kata al-Khatib al-Baghdadi : Abu Hazim adalah seorang yang terpercaya, benar orangnya dan seorang hafiz serta seorang yang arif.

Rujuk Siyar ‘alam al-Nubala (17/335)

2. Abu Ahmad Muhammad Bin Muhammad al-Hafiz.

Beliau ialah Muhammad Bin Muhammad Bin Ahmad Bin Ishak al-Nisaburi. Lahir pada awal tahun 290 H dan wafat pada tahun 378 H. Beliau merupakan seorang ahli hadis yang terkenal di Khurasan.

Kata al-Hakim : Beliau adalah seorang yang soleh dan juga seorang yang berpegang dengan sunnah para salaf. Beliau adalah seorang yang sederhana dan kami merasakan bahawa beliau dari kalangan alul bait.

 

3. Abu Arubah Husin Bin Abi Ma’syar

Nama sebenar beliau ialah Husin Bin Muhammad Bin Abi Ma’syar al-Sulami al-Harrani. Beliau merupakan guru kepada Abu Hatim Bin Hibban. Beliau wafat pada tahun 318 H.

Kata Ibnu ‘Adi : Beliau antara orang yang tahu tentang para perawi dan hadis-hadis. Beliau juga merupakan mufti di negeri Harran[1]. Dia telah mengubati hatiku ketika mana aku bertanya kepadanya tentang beberapa orang dari kalangan ahli hadis.

Rujuk Siyar ‘alam al-Nubala (14/510)

Kata Abu Ahmad al-Hakim : Beliau mendengar hadis daripada Abdurrahman Bin Amru al-Bajali dan Abu Wahab Bin al-Musarrah. Beliau merupakan antara anak murid yang paling cekap dan paling terbaik hafazannya. Juga yang paling baik penguasaannya terhadap pemahaman hadis, fiqh dan ilmu kalam.

 

4. Ayyub Bin Muhammad al-Wazzan

Beliau antara yang meriwayatkan hadis daripada kebanyakan tokoh-tokoh hadis seperti Sufiyan Bin Uyainah, Ismail Bin ‘Ulayyah dan lain-lain lagi. Beliau wafat pada tahun 246 H.

Ya’qub bin Sufian menyebut bahawa beliau adalah seorang yang لا بأس به

Rujuk Tarikh Dimasyk ( 7993)

Al-Nasaie menyatakan beliau ada seorang yang thiqah.

Rujuk Tahzib al-Kamal (3/491)

Ibnu Hibban meletakkan beliau di kalangan orang yang terpercaya dan menyebutnya di dalam kitabnya al-Thiqat (الثقات)

 

5. Muhammad Bin Ubaid

Nama beliau ialah Muhammad Bin Ubaid Bin Abu Umayyah al-Tonafisi. Beliau lahir pada tahun 124 H dan wafat pada tahun 205 H.

Kata Abu Bakar al-Athram : Aku bertanya kepada Ahmad Bin Hanbal berkenaan Umar Bin Ubaid dan Muhammad Bin Ubaid. Lalu Imam Ahmad menyatakan bahawa mereka adalah dalam kalangan perawi yang terpercaya.

Rujuk Tarikh Baghdad (2/368)

Yahya Bin Ma’in menyatakan bahawa beliau (Muhammad Bin Ubaid) adalah perawi hadis yang thiqah.

Al-Nasaie menyatakan : Beliau ini adalah thiqah

Rujuk Tahzib al-Kamal Fi Asma al-Rijal (26/58)

B.Riwayat Ibnu Numair.

Riwayat ini dinukilkan oleh Ibn Abi Syaibah di dalam kitabnya al-Musannaf. Beliau menyatakan : Ibnu Numair menceritakan kepada kami daripada Ubaidullah daripada Nafi’ daripada Safiah anak kepada Abu Ubaid.

Ibnu Numair di dalam riwayat ini ialah Abdullah Bin Numair al-Hamdani. Kuniah beliau ialah Abu Hisyam. Beliau merupakan guru kepada Imam Ahmad Bin Hanbal, Beliau wafat pada tahun 199 H.

Sufian Bin Abi Khalid al-Ahmad pernah ditanya : “Siapakah anak murid al-‘Amasy yang paling engkau sukai (yang paling pakar). Ibnu Numair ataupun Ibn Idris. Kata Sufian : Sebaik-baik lelaki ialah Abdullah Bin Numair.”

Rujuk Tahzib al-Kamal Fi Asma al-Rijal (16/228)

Kata Abu Hatim al-Razi : Beliau adalah seorang yang lurus (baik hafazannya).

Rujuk al-Jarh wa al-Ta’dil (5/ 869)

C. Riwayat Sufiyan Bin Uyainah

Riwayat ini dinukilkan oleh Nuaim Bin Hammad di dalam al-Fitan. Kata beliau: Ibn Uyainah menceritakan kepada kami daripada Ubaidullah daripada Nafi’ daripada Safiah.

Nuaim bin Hammad Bin Muawiyah Bin al-Harith Bin Hammam al-Khuzaie

Yusuf Bin Abdullah al-Khawarizmi berkata : Aku bertanya kepada Ahmad Bin Hanbal tentang Nuaim Bin Hammad. Kata beliau : Nuaim adalah orang yang thiqah.

Rujuk al-Kamil Fi al-Dhu’afa(3/170)

Beliau pernah tersalah menyalahkan hadis. Kata Muhammad Bin Ali al-Marwazi : “Aku bertanya keada Yahya Bin Ma’in tentang satu hadis. Beliau kata hadis tersebut tiada asal. Aku berkata : Nuaim Bin Hammad yang meriwayatkan. Beliau kata : Nuaim seorang yang thiqah. Aku berkata : Bagaimana seorang thiqah boleh riwayatkan sesuatu yang batil. Kata Ibnu Ma’in : Beliau tertukar (terkeliru).”

Rujuk Tahzib al-Kamal Fi Asma al-Rijal (29/473)

Ibnu Uyainah pula ialah Sufiyan bin Uyainah. Kata Imam al-Syafie : “Kalau tidak kerana Malik dan Sufiyan Bin Uyainah, hilanglah ilmu di Hijaz.”

Rujuk Siyar ‘alam Al-Nubala (8/456)

Imam al-Bukhari berkata : Ibnu Uyainah lebih kuat hafazannya daripada Hammad Bin Zaid

Kata Ahmad Bin Abdullah al-‘Ijli : Beliau (Sufyan Bin Uyainah) pakar dalam hadis. Beliau meriwayatkan hadis lebih kurang 7000 hadis.

Rujuk Siyar ‘alam Al-Nubala (8/456)

Ringkasnya, walaupun ada masalah daripada riwayat Nuaim Bin Hammad kerana beliau antara yang dikritik hafalan hadisnya namun riwayat beliau mempunyai mutabaah. Iaitu daripada Riwayat Muhammad Bin Ubaid dan Ibnu Numair yang mana perawi-perawinya adalah perawi yang thiqah.

Kesimpulannya, melihat kepada apa yang telah dibincangkan , kami lebih cenderung mengatakan bahawa kisah ini adalah kisah yang sahih dan thabit. Ini kerana kebanyakan sanad kisah ini adalah sanad yang sahih.

Pengajaran daripada kisah :

  1. Jangan memandang rendah maksiat. Ia boleh menarik bala bencana daripada Allah 
  2. Sentiasa melakukan amar makruf dan nahi munkar iaitu menyuruh akan kebaikan dan melarang dari kemungkaran

Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita. Wallahu’alam.

[1] Sekarang merupakan salah satu kawasan di Turki.

Source: IRSYAD AL-HADITH

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-318 : ADAKAH MATI KERANA SAKIT PERUT TIDAK AKAN DI AZAB DI KUBUR?

Soalan : Assalamualaikum ustaz. Semoga dalam keadaan yang sihat. Saya mahu bertanya dan ingin clarify …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *