Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-307: KELEBIHAN IMAM AHMAD DAN MANAQIBNYA
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-307: KELEBIHAN IMAM AHMAD DAN MANAQIBNYA

Download PDF

imam ahmad.JPG

 

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri, boleh jelaskan kelebihan dan manaqib Imam Ahmad?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan biografi ringkasnya. Imam Ahmad dilahirkan di kota Baghdad pada bulan Rabiul Awal, tahun 164H. Nama beliau ialah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad bin Idris bin Abdullah bin Hayyan bin Abdullah bin Anas bin Auf bin Qasit bin Mazin bin Syaiban. (Lihat Tabaqat al-Hanabilah, 1/4)

Imam Ahmad dibesarkan di Baghdad dan mendapat pendidikan awalnya di kota tersebut. Beliau mula belajar hadis pada 179 H, iaitu ketika berumur 15 tahun. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala, 11/179)

Adapun manaqibnya, kami nukilkan daripada Sifat al-Mufti wa al-Mustafti oleh Ibn Hamdan al-Harrani:

Kata al-Syafie:

أَحْمد إِمَام فِي ثَمَان خِصَال إِمَام فِي الحَدِيث إِمَام فِي الْفِقْه إِمَام فِي الْقُرْآن إِمَام فِي اللُّغَة إِمَام فِي السّنة إِمَام فِي الزّهْد إِمَام فِي الْوَرع إِمَام فِي الْفقر

Maksudnya: “Ahmad adalah Imam dalam lapan perkara: Beliau imam dalam hadis, fekah, al-Quran, lughah (bahasa arab), al-Sunnah, al-Zuhd, al-Warak, serta kefakiran.”[1]

Kata beliau lagi:

خرجت من بَغْدَاد وَمَا خلفت بهَا أورع وَلَا أتقى وَلَا أفقه وَلَا أعلم من أَحْمد ابْن حَنْبَل

Maksudnya:Aku keluar dari Baghdad, dan tidak aku tinggalkan padanya seorang pun yang lebih warak, paling bertakwa, paling faqih, dan paling berilmu daripada Ahmad bin Hanbal.[2]

Beliau berkata kepada Ahmad[3]:

أَنْتُم أعلم منا بِالْحَدِيثِ فَإِذا كَانَ الحَدِيث كوفيا أَو شاميا فأعلموني حَتَّى أذهب إِلَيْهِ

Maksudnya: “Kamu lebih ‘alim tentang hadis berbanding kami. Sekiranya hadis itu berada di Kufah atau Syam maka beritahulah kepada aku sehingga aku pergi menuju kepadanya.”[4]

Kata beliau lagi:

كل مَا فِي كتبي حَدثنِي الثِّقَة فَهُوَ أَحْمد بن حَنْبَل

Maksudnya:Kesemua yang terdapat di dalam kitab-kitabku: ‘’Telah menceritakan kepadaku seorang yang tsiqah (dipercayai)’’ maka dia adalah Ahmad bin Hanbal.

Dan kesemua yang terdapat di dalam kitabku: ‘’Dan ini adalah apa yang dithabitkannya’’ atau ‘’ia tidak dithabitkan oleh ahli ilmu’’ maka maksudnya adalah Ahmad ibn Hanbal.”[5]

Telah berkata Yahya Bin Ma’in[6]:

وَالله مَا تَحت أَدِيم السَّمَاء أفقه من أَحْمد ابْن حَنْبَل لَيْسَ فِي شَرق وَلَا غرب مثله

Maksudnya: “Demi Allah, tidak ada di bawah lapisan langit ini seorang pun yang lebih faqih berbanding Ahmad bin Hanbal. Tidak ada seorang pun di timur dan barat yang sama sepertinya.”[7]

Kata Ibrahim al-Harbi[8]:

رَأَيْت أَحْمد كَأَن الله قد جمع لَهُ علم الْأَوَّلين والآخرين من كل صنف يَقُول مَا شَاءَ ويدع مَا شَاءَ وعد الْأَئِمَّة

Maksudnya: “Aku telah melihat Ahmad dan seakan-akan Allah telah menghimpunkan pada dirinya ilmu-ilmu golongan terdahulu dan terkemudian dalam setiap bidang. Beliau katakan apa yang dikehendaki dan beliau tinggalkan apa yang dia mahu, dan beliau tergolong dalam kalangan para imam’’.[9]

Ibrahim apabila menceritakan tentang para imam, beliau berkata:

أَحْمد أفقه الْقَوْم

Maksudnya: Ahmad adalah sefaqih-faqih kaum.”

Kata Abu al-Qasim al-Khuttali[10]:

كَانَ أَحْمد بن حَنْبَل إِذا سُئِلَ عَن الْمَسْأَلَة كَأَن علم الدُّنْيَا بَين عَيْنَيْهِ

Maksudnya: “Imam Ahmad apabila ditanyakan tentang sesuatu permasalahan seakan-akan ilmu dunia berada di antara dua matanya.”

Kata al-Khallal:

كَانَ أَحْمد بن حَنْبَل إِذا تكلم فِي الْفِقْه تكلم بِكَلَام رجل قد انتقد الْعلم فَتكلم على معرفَة

Maksudnya: “Adalah Ahmad apabila berbicara tentang fekah, beliau berbicara dengan ucapan seorang tokoh yang telah mengkritik ilmu, lalu beliau berkata-kata di atas ilmu pengetahuan”.

Kata Ahmad bin Sa’id[11]:

مَا رَأَيْت أسود الرَّأْس أحفظ لحَدِيث رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم وَلَا أعلم بفقهه ومعانيه من أَحْمد

Maksudnya: “Aku tidak pernah melihat seorang yang berkepala hitam[12] yang lebih menghafal hadis-hadis Rasulullah SAW dan lebih mengetahui tentang feqh hadis serta makna-maknanya berbanding Ahmad.”

Kata Abd al-Razzaq[13]:

مَا رَأَيْت أفقه من أَحْمد بن حَنْبَل وَلَا أورع وَمَا رَأَيْت مثله وَمَا قدم علينا مثله

Maksudnya: “Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih faqih dan warak berbanding Ahmad bin Hanbal. Tidak pernah aku melihat seorang sepertinya. Dan tiada yang datang mengunjungi kami sepertinya.”

Kata Abu Ya’qub:

وَمَا رحل إِلَى أحد بعد رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم مَا رحل إِلَى عبد الرَّزَّاق

Maksudnya: “Dan tidaklah dilakukan pengembaraan kepada seseorang selepas Rasulullah SAW sebagaimana yang berlaku kepada Abd al-Razzaq”.

Kata Abu ‘Ubaid[14]:

إنتهى الْعلم إِلَى أَرْبَعَة عَليّ بن الْمَدِينِيّ وَيحيى بن معِين وَأبي بكر بن أبي شيبَة وَأحمد بن حَنْبَل وَكَانَ أَحْمد أفقههم فِيهِ

Maksudnya: “Ilmu itu terhenti kepada empat orang: Ali bin al-Madini, Yahya bin Ma’in, Abu Bakr Ibn Abi Syaibah, dan Ahmad bin Hanbal. Manakala Ahmad merupakan yang paling faqih dari kalangan mereka.”

Kata Qutaibah bin Sa’id[15]:

لَو أدْرك أَحْمد عصر الثَّوْريّ وَمَالك وَالْأَوْزَاعِيّ وَاللَّيْث وَنظر إِلَيْهِم لَكَانَ هُوَ الْمُقدم

Maksudnya: “Sekiranya Ahmad berada pada zaman al-Thauri, Malik, al-Auza’ie, al-Laith, dan ulama’ yang setara dengan mereka nescaya beliau (Imam Ahmad) lebih didahulukan”.

Dikatakan: “Kamu bandingkan Ahmad dengan Tabi’in?”

Kemudian beliau menjawab:

إِلَى كبار التَّابِعين كسعيد بن الْمسيب وَسَعِيد ابْن جُبَير

Maksudnya: “Kepada pembesar para Tabi’in seperti Sa’id Ibn al-Musayyib, Sa’id bin Jubair”.

Kata beliau lagi:

أَحْمد وَإِسْحَاق إِمَامًا الدُّنْيَا

Maksudnya: “Ahmad dan Ishak merupakan dua imam bagi dunia”.

Kata Abu Bakr bin Daud[16]:

لم يكن فِي زمن أَحْمد مثله

Maksudnya: “Tidak ada pada zaman Ahmad orang yang seumpamanya.”

Kata Abdul Wahhab al-Warraq[17]:

كَانَ أَحْمد أعلم أهل زَمَانه وَهُوَ من الراسخين فِي الْعلم وَمَا رَأَيْت مثله

Maksudnya: “Ahmad adalah manusia paling ‘alim di zamannya. Bahkan beliau merupakan dari kalangan al-Rasikhin (orang yang kukuh lagi mantap) dalam penguasaan ilmu dan aku tidak pernah melihat orang sepertinya.”

Kata beliau lagi:

وَقد أجَاب عَن سِتِّينَ ألف مَسْأَلَة بأخبرنا وَحدثنَا

Maksudnya: “Ahmad telah menjawab 60,000 permasalahan dengan ucapannya: Akhbarana (telah mengkhabarkan kepada kami) dan Haddathana (telah menceritakan kepada kami)[18]”.

Kata Abu Thaur[19]:

أجمع الْمُسلمُونَ على أَحْمد بن حَنْبَل وَقَالَ كنت إِذا رَأَيْته خيل إِلَيْك أَن الشَّرِيعَة لوح بَين عَيْنَيْهِ

Maksudnya: “Umat Islam telah bersepakat ke atas Ahmad bin Hanbal. Sekiranya kamu melihatnya nescaya kamu akan membayangkan bahawa syariah itu terhampar di antara kedua matanya”.[20]

Kata Ishak[21]:

أَنا أَقيس أَحْمد إِلَى كبار التَّابِعين كسعيد بن الْمسيب وَسَعِيد بن جُبَير وَهُوَ حجَّة بَين الله وَبَين عبيده فِي أرضه وَلَا يدْرك فَضله

Maksudnya: “Aku membandingkan Ahmad dengan pembesar tabi’in seperti Said Ibn al-Musayyib dan Said bin Jubair[22]. Beliau merupakan hujah di antara Allah dengan hamba-hamba-Nya di bumi, dan tidak dapat untuk kita mencapai kelebihannya”.

Kata Ibn Mahdi[23]:

كَاد هَذَا الْغُلَام أَن يكون إِمَامًا فِي بطن أمه

Maksudnya: “Hampir-hampir anak muda ini menjadi imam sejak dari dalam perut ibunya”.[24]

Kata Abu Zur’ah[25]:

كَانَ أَحْمد يحفظ ألف ألف حَدِيث

Maksudnya: “Ahmad menghafaz satu juta hadis”.

Ditanyakan kepada beliau: “Bagaimana kamu dapat mencapai hafalan seperti ini”?

Jawab beliau:

ذاكرته فَأخذت عَلَيْهِ الْأَبْوَاب

Maksudnya: “Aku saling bermuzakarah akannya dan aku menjadikannya kepada banyak bab”.

Kata Abu Zur’ah lagi:

حزرنا استشهادات أَحْمد فِي الْعُلُوم فوجدناه يحفظ سَبْعمِائة ألف حَدِيث فِيمَا يتَعَلَّق بِالْأَحْكَامِ

Maksudnya: “Kami telah menghitung persaksian-persaksian Ahmad di dalam ilmu-ilmu, maka kami mendapati beliau menghafal 700,000 hadis yang berkaitan hukum-hakam’’.[26]

Kata beliau lagi:

مَا اعْلَم فِي أَصْحَابنَا أسود الرَّأْس أفقه مِنْهُ وَمَا رَأَيْت أكمل مِنْهُ اجْتمع فِيهِ فقه وزهدو أَشْيَاء كَثِيرَة وَمَا رَأَيْت مثله فِي فنون الْعلم وَالْفِقْه والزهد والمعرفة وكل خير وَهُوَ أحفظ مني وَمَا رَأَيْت من الْمَشَايِخ الْمُحدثين أحفظ مِنْهُ

Maksudnya: “Aku tidak tahu dari kalangan sahabat kami yang berkepala hitam (yang masih muda) yang lebih faqih darinya dan tidak pernah aku melihat seorang yang lebih sempurna darinya. Terhimpun padanya feqh dan zuhud serta banyak lagi perkara lain. Tidak pernah aku melihat orang sepertinya di dalam ilmu-ilmu, feqh, zuhd, makrifah dan semua perkara yang baik. Beliau lebih hafiz daripadaku dan aku tidak pernah melihat dari kalangan masyaikh ahli hadis yang lebih kuat hafalan berbanding beliau.[27]

Kata ‘Abdullah bin Ahmad: “Ayahku mengulang-ulang dengan dua juta hadis.

Kata Muhanna[28]:

مَا رَأَيْت أجمع لكل خير من أَحْمد وَمَا رَأَيْت مثله فِي عمله وفقهه وزهده وورعه

Maksudnya: ‘’Aku tidak pernah melihat seorang pun yang terhimpun padanya segala kebaikan berbanding Imam Ahmad. Dan aku tidak pernah melihat seseorang yang sama sepertinya dalam amalannya[29], feqhnya, kezuhudannya, serta kewarakannya.”[30]

Kata Al-Haitham bin Jamil[31]:

إِن عَاشَ هَذَا الْفَتى سَيكون حجَّة على أهل زَمَانه

Maksudnya: “Sekiranya anak muda ini hidup dia akan menjadi hujah ke atas penduduk zamannya.[32]

Kata Ahmad:

رحلت فِي طلب الْعلم وَالسّنة إِلَى الثغور والشامات والسواحل وَالْمغْرب والجزائر وَمَكَّة وَالْمَدينَة والحجاز واليمن والعراقين جَمِيعًا وَفَارِس وخراسان وَالْجِبَال والأطراف ثمَّ عدت إلى بغداد

Maksudnya: “Aku mengembara menuntut ilmu dan juga sunnah ke segenap pelusuk, Syam, lembah-lembah, dan Maghrib, Jazair, Makkah, Madinah, Hijaz, Yaman, Iraq, Parsi, dan Khurasan, dan bukit-bukit, kemudian aku pulang ke Baghdad”.[33]

Kata beliau lagi:

اسْتَفَادَ منا الشَّافِعِي أَكثر مِمَّا استفدنا مِنْهُ

Maksudnya: “Al-Syafie mendapat faedah daripada kami lebih banyak dari faedah yang kami dapat daripadanya”.[34]

Kata Abu al-Wafa’ Ali Bin ‘Aqil:

قد خرج عَن أَحْمد إختيارات بناها على الْأَحَادِيث بِنَاء لايعرفه أَكْثَرهم وَخرج عَنهُ من دَقِيق الْفِقْه مَا لَيْسَ نرَاهُ لأحد مِنْهُم وَانْفَرَدَ بِمَا سلموه لَهُ من الْحِفْظ وشاد لَهُم وَرُبمَا زَاد على كبارهم

Maksudnya: “Telah keluar dari Ahmad beberapa ijtihad yang terbina di atas hadis-hadis dengan cara yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Begitu juga telah keluar darinya beberapa feqh yang daqiq (mendalam) yang kami tidak pernah melihatnya daripada orang lain. Dan beliau bersendirian dengan apa yang mereka terima daripadanya dari hafazan dan beliau menyertai mereka. Dan boleh jadi beliau menambah ilmu dan dapatan kajian ke atas orang yang lebih tua dari kalangan mereka’’.

(Lihat Sifat al-Mufti wa al-Mustafti, hlm. 216-231)

 Semoga Allah memberikan kepada kita petunjuk dan hidayah untuk mengikut Nabi Muhammad SAW, para sahabat, solehin, siddiqin dan tokoh-tokoh ulama’ yang menjadi bintang kepada ummah. Amin.

 

Nota Hujung:

[1] Lihat Tabaqat al-Hanabilah (1/10), Muqaddimah al-Mughni (1/9) dan al-Maqsad al-Arsyad oleh Ibn Muflih (1/65).

[2] Lihat Tarikh Dimashq oleh Ibn Asakir (5/272), Tabaqat al-Hanabilah (1/40), Tarikh Baghdad (6/99) dan Manaqib al-Imam Ahmad oleh Ibn al-Jauzi (1/143).

[3] Abu Abdillah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal al-Syaibani. Seorang yang Faqih, Muhaddis dan pengasas Mazhab Ahmad. Lahir pada tahun 164 H di Baghdad dan wafat pada tahun 241 H di Baghdad.

[4] Lihat al-‘Ilal wa Ma’rifah al-Rijal (no. 1055), Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (99/170) dan al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’ (11/213).

[5] Lihat Hilyah al-Auliya’, Abu Nu’aim al-Asbahani (4/125) dan Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimashq (5/297).

[6] Nama beliau ialah Yahya bin Ma’in bin ‘Aun bin Ziyad bin Bisthom dan kuniyyah beliau ialah Abu Zakariyya al-Murriy. Dilahirkan pada tahun 158 Hijrah. Ali bin al-Madini telah berkata:

Aku tidak mengetahui seseorang yang menulis hadith sepertimana Yahya bin Ma’in (menulis hadith). Ayahnya Ma’in telah meninggalkannya seratus lima puluh ribu dirham. Namun, beliau telah menginfaqkan keseluruhannya pada hadith (ilmu) sehinggakan tidak ada yang tinggal baginya termasuklah selipar untuk dipakainya.” [Lihat: Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 157/2]

Guru-Guru beliau: Beliau telah mendengar hadith daripada Ibn al-Mubarak, Husyaim, Ismail bin ‘Iyash, Abbad bin Abbad, Yahya bin Zakariyya bin Abi Zaidah, Mu’ta,ir bin Sulaiman, Sufyan bin Uyainah, Abi Mu’awiyah, Hatim bin Ismail, Abd al-Razzaq, Waqi’, Yahya al-Qaththan, Ibn Mahdi dan ramai lagi daripada al-Iraq, al-Hijaz, al-Jazirah, al-Syam dan Mesir. [Lihat: Siyar al-A’lam al-Nubala’, 72/11]

Murid-Murid Beliau: Antara yang mendengar hadith daripada beliau ialah Ahmad bin Hanbal, Muhammad bin Sa’ad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Annas al-Duri, Uthman bin Said al-Darimi, Abu Zur’ah, Abu Hatim, Muhammad bin Uthman bin Abi Syaibah, Abu Zur’ah al-Nashriy, Abu Ya’la al-Mushiliy dan ramai lagi. [Lihat: Siyar al-A’lam al-Nubala’, 72-73/11]

Pujian Kepada Beliau: Berikut adalah di antara pujian-pujian kepada Yahya bin Ma’in:

  • Kata Abd al-Rahman bin Abi Hatim: “Ayahku ditanya berkenaan Yahya bin Ma’in? Beliau menjawab: Beliau ialah seorang imam.”
  • Kata al-Nasa’ie: “Abu Zakariyya adalah salah seorang imam di dalam hadith, tsiqah (diperayai) dan amanah.”
  • Kata Ahmad bin Hanbal: “Setiap hadith yang tidak diketahui oleh Yahya bin Ma’in maka itu bukanlah hadith.”
  • Kata Ahmad bin Hanbal lagi: “Mendengar (hadith) daripada Yahya bin Ma’in adalah penawar bagi hati.”
  • Kata Ahmad bin Uqbah: “Aku telah bertanya Yahya bin Ma’in. Berapa buah hadith telah kamu tulis? Beliau menjawab: Aku telah menulis dengan tanganku ini 600 ratus ribu buah hadith.”
  • Kata Abu Hatim al-Razi: “Jika kamu melihat seorang yang berasal dari al-Bagdad kasih kepada Ahmad bin Hanbal maka ketahuilah bahawa dia seorang yang suka kepada sunnah. Jika kamu melihat seseorang itu benci kepada Yahya bin Ma’in, maka ketahuilah dia seorang pendusta.”

Kewafatan Beliau: Para ulama’ bersepakat bahawa beliau wafat di Madinah Rasulullah SAW dan dimandikan di atas katil yang dimandikan Rasulullah. Lalu jenazahnya dibawa dengan menggunakan katil yang dibawa jenazah Rasulullah. Ketika itu, dikatakan: “Ini adalah jenazah Yahya bin Ma’in, pembela daripada pendustaan ke atas Rasulullah SAW.” Orang ramai menangis dan manusia yang berkumpul pada jenazahnya tidak boleh dihitung bilangannya. Beliau dikebumikan di perkuburan al-Baqi’.

  • Telah berkata Ibrahim bin al-Munzir: “Seorang lelaki telah bermimpi bertemu Rasulullah SAW dan juga sahabat-sahabat Baginda SAW dalam keadaan sedang berkumpul. Maka lelaki ini berkata: Mengapa kamu semua berkumpul? Nabi SAW menjawab: Aku datang disebabkan lelaki ini (iaitu Yahya bin Ma’in) dan aku ingin solat ke atasnya (solat jenazah). Ini kerana, beliau telah membela segala pendustaan terhadap ucapanku.”[Lihat: Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 157-158/2]
  • Telah berkata al-Bukhari: “Yahya bin Ma’in telah wafat di Madinah pada tahun 233 Hijrah dan umurnya pada ketika itu adalah 77 tahun kurang 10 hari.” [Lihat: Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 159/2]

[7] Lihat al-Jami’ al-Muttasil (7/ba’), al-Mu’tamad (5/ba’) dan al-Ghayah (7/ba’).

[8] Syeikhul Islam Abu Ishaq, Ibrahim bin Ishaq bin Ibrahim bin Bashir al-Baghdadi al-Harbi. Lahir pada tahun 198 H.

[9] Lihat al-Khatib dalam Tarikh Baghdad (12/412) dan al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’ (11/188).

[10] Abu al-Qasim Ishaq bin Ibrahim bin Sinin al-Khuttali. Lahir pada tahun 203 H dan wafat pada tahun 283 H.

[11] Abu Ja’far Ahmad bin Sa’id bin Sakhr bin Sulaiman al-Darimi. Lahir pada tahun 181 H dan wafat pada tahun 255 H. Merupakan penulis Sunan al-Darimi.

[12] Yang dimaksudkan dengan berkepala hitam adalah berambut hitam iaitu menggambarkan keadaan seseorang yang masih muda.

[13] Abu Bakr Abdurrazzaq bin Hammam bin Nafi’ al-Humairi al-Yamani al-San’ani. Lahir pada tahun 126 H dan wafat pada tahun 211 H. Penulis atau sahib Musannaf Abdurrazzaq.

[14] Abu ‘Ubaid al-Qasim bin Sallam al-Khurasani al-Harawi. Lahir pada tahun 154H dan wafat pada tahun 224 H.

[15] Abu Rajab Qutaibah bin Sa’id bin Jamil bin Tarif al-Thaqafi. Lahir pada tahun 150 H dan wafat pada tahun 240 H. Merupakan seorang hafiz muhaddis.

[16] Abu Bakr Muhammad bin Daud bin Ali al-Faqih al-Zahiri. Lahir pada tahun 255 H di Baghdad dan wafat pada tahun 297 H.

[17] Abu al-Hasan Abdul Wahab bin Abdul Hakam al-Warraq al-Baghdadi. Wafat pada tahun 251 H.

[18] Ini menunjukkan Imam Ahmad banyak menjawab berdasarkan hadis dan atsar.

[19] Abu Thaur Ibrahim bin Khalid bin Abi al-Yaman al-Kalbi al-Baghdadi. Seorang yang faqih dan juga seorang sahabat kepada Imam al-Syafie. Lahir pada tahun sekitar 170 H Wafat pada bulan Safar tahun 240 H.

[20] Dikeluarkan oleh Ibn al-Jauzi dalam Manaqib Imam Ahmad (1/166).

[21] Ishak bin Rahawaih al-Hanzoli al-Tamimi. Lahir pada tahun 161 H dan wafat pada tahun 238 H. Kuniyahnya Abu Ya’qub Ishak bin Rahawaih.

[22] Abu Muhammad Sa’id bin Jubair al-Asadi. Seorang Tabi’in berasal dari Habsyah. Lahir pada tahun 46 H dan wafat pada tahun 95 dibunuh oleh al-Hajjaj Yusuf al-Thaqafi. Berguru dengan Ibn Abbas, Ibn Umar dan Aisyah R.Anhum dan ramai lagi.

[23] Abd al-Rahman bin Mahdi. Lahir pada tahun 135 H dan wafat pada tahun 198 H ketika berumur 63 tahun. Imam al-Syafie memujinya dengan pujian: “Tiada orang yang setanding dengannya.”

[24] Dikeluarkan oleh Ibn al-Jauzi dalam Manaqib Imam Ahmad (1/93) dan Sifat al-Sofwah (1/479).

[25] Abu Zur’ah Ubaidullah bin Abdul Karim bin Yazid bin Farwakh. Lahir sekitar permulaan tahun 200 lebih hijrah dan wafat pada tahun 264 H.

[26] Abu Ya’la telah menyebutnya dalam Tabaqat al-Hanabilah (1/14).

[27] Abu Nu’aim mengeluarkannya sebahagian dalam Hilyah al-Auliya’ (9/164), Ibn al-Jauzi dalam Manaqib Imam Ahmad (1/162) dan al-Zahabi dalam al-Siyar (11/205).

[28] Muhanna bin Yahya al-Syami, Abu Abdillah.

[29] Dalam cetakan yang lain dengan lafaz ‘’ilmunya’’.

[30] Dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (19/165), Ibn Asakir dalam Tarikh Dimashq (5/283) dan Ibn al-Jauzi dalam Manaqib Imam Ahmad (1/189).

[31] Abu Sahal al-Haitam bin Jamil al-Antaki merupakan seorang ulama hadis berasal daripada Antakiyyah. Beliau banyak berguru dengan para ulama di zaman seperti Hammad, Imam Malik dan lain. Antara Muridnya yang terkenal ialah Imam Ahmad bin Hanbal. Dikatakan dia seorang yang tsiqah dan meninggal dunia pada tahun 213 H.

[32] Dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (19/167), Ibn Asakir dalam Tarikh Dimashq (5/283), Ibn al-Jauzi dalam Manaqib Imam Ahmad (1/99) dan Ibn Abi Hatim dalam al-Jarh wa al-Ta’dil (1/295).

[33] Dr Abd al-Rahman al-‘Uthaimin berkata: “Aku tidak mengetahui bagi Imam Ahmad pengembaraan ke Maghrib. Begitu juga aku tidak mengetahui dengan apa yang dimaksudkan dengan Jazair. Aku berpendapat boleh jadi maksud Maghrib iaitu sebelah barat daripada Baghdad dan Jazair dengan maksud gugusan pulau di Sungai Furat dan Dijlah.”

[34] Dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (19/170), Ibn Asakir dalam Tarikh Dimashq (5/297) dan al-Zahabi dalam Tarikh al-Islam (5/1019).

Source: IRSYAD AL-HADITH

Download PDF

Check Also

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-318 : ADAKAH MATI KERANA SAKIT PERUT TIDAK AKAN DI AZAB DI KUBUR?

Soalan : Assalamualaikum ustaz. Semoga dalam keadaan yang sihat. Saya mahu bertanya dan ingin clarify …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *