Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-298 : SYARAH HADIS TANDA BAHAGIA ADA TIGA
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-298 : SYARAH HADIS TANDA BAHAGIA ADA TIGA

Download PDF

ih 5c 20298 34064207 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya ada soalan ni. Ada satu hadis yang sebut tanda bahagia ada 3 iaitu jiran yang baik, rumah yang luas dan kenderaan yang baik. Apa yang dimaksudkan dengan hadis tersebut ustaz. Adakah nak kena cari kereta dan rumah yang mewah baru dikatakan bahagia. Mohon pencerahan dan penjelasan dari ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Hadis yang disebutkan oleh saudara adalah hadis yang sahih. Ianya diriwayatkan oleh Nafi’ Bin Abdul Harith daripada Nabi saw. Baginda bersabda :

مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ

Maksudnya :” Antara (tanda) kebahagiaan seseorang ialah rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunggangan yang elok.”

Riwayat al-Bukhari (457) di dalam al-Adab al-Mufrad

Kami telah menjelaskan dengan panjang lebar berkenaan status hadis tersebut di dalam artikel Irsyad al-Hadith siri ke 297.[1] Di dalam hadis Nabi menjelaskan kepada kita bahawa manusia akan terzahir padanya kebahagiaan jika ada salah satu perkara berikut. Iaitu rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunggangan yang elok. Bagaimana ketiga-tiga perkara ini menjadi tanda kebahagiaan bagi seseorang?.

 

Rumah yang luas

Rumah yang luas adalah antara faktor yang disebutkan oleh Nabi saw sebagai antara tanda kebahagiaan. Ini kerana rumah yang luas menenangkan hati dan menghilangkan kegelisahan. Cuba bayangkan jika rumah itu sempit. Tidakkah akan mendatangkan keresahan, perasaan tidak selesa dan lain-lain. Oleh itu Nabi saw pernah berdoa :

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لي ذَنْبِي، وَوَسِّعِ لي فِي داري، وَبارِكْ لي في رِزْقِي

Maksudnya :” Ya Allah, ampunkan dosaku, luaskan bagiku rumahku dan berkatilah aku di dalam rezekiku.”

Riwayat al-Tirmizi (3636)

Kata al-Munawi ianya berbeza mengikut keadaan dan diri seseorang. Ada yang punyai rumah yang besar tapi terasa sempit. Ada yang rumahnya sederhana akan tetapi terasa luas dan besar. Ini berkemungkinan adanya amalan-amalan harian sehingga menjadikan rumah tersebut tenang diduduki dan selesa didiami.

 

Jiran yang soleh

Jiran yang soleh juga merupakan faktor kebahagiaan seseorang.Seseorang merasa aman dan selamat jika jiran sebelahnya seorang yang baik, amanah , patuh pada perintah Allah, yang tidak ada sifat hasad dengki dan lain-lain.

al-Munawi ketika menjelaskan maksud jiran yang soleh, beliau menyatakan jiran yang tidak menyakiti orang lain.

Rujuk Faidh al-Qadir (3/302)

Jiran yang baik tidak akan menyakiti orang lain. Sama ada dengan percakapan dan perbuatannya. Dia akan selalu menasihati kita dengan nasihat-nasihat yang baik, memberi pandangan yang terbaik dan menegur kita jika kita berbuat kesalahan. Lihat sahaja bagaimana hubungan Umar dengan jirannya. Jika Umar tidak dapat menghadiri majlis Nabi, jirannya akan hadir dan mengkhabarkan kepada Umar tentang apa yang disampaikan pada hari tersebut. Begitu jugalah sebaliknya. Ini bermakna, hidup berjiran bermaksud saling memberikan manfaat antara satu lain. Ada satu kata-kata menyebut :

الجار قبل الدار

Maksudnya :” (Pilihlah) jiran dahulu sebelum memilih rumah”

Ibnu Hajar al-Asqalani menjelaskan bahawa jiran yang baik tidak akan menyakiti kita dan sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk kita.

Rujuk Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram (4/166)

Kenderaan yang elok

Kenderaan yang elok juga adalah satu keringanan dan kemudahan bagi seseorang. Ia memudahkan seseorang untuk bergerak ke sana dan ke mari. Zaman dahulu kala, haiwan tunggangan yang elok adalah satu kenikmatan. Ianya dianggap sebagai sebuah kenderaan untuk memudahkan pergerakan. Al-Munawi ketika menjelaskan makna kenderaan yang elok, kata beliau ia adalah tunggangan yang laju, selesa dan mudah dinaiki. Ia mempercepatkan masa untuk bertemu sahabat handai tanpa perlu ada kesusahan dan kepenatan.

Rujuk Faidh al-Qadir (3/422)

Kenderaan yang elok juga menenangkan hati. Ia menjauhkan kita dari rasa gundah gulana.Lalu ia boleh digunakan untuk berzikir dan memuji Allah. Bayangkan jika seseorang mempunyai kenderaan yang sentiasa bermasalah. Sedang memandu tiba-tiba kenderaannya rosak. Maka, ia akan mencetuskan perasaan cepat marah, perasaan resah dek kerana lambat ke destinasi yang ingin dituju dan lain-lain perasaan yang mengganggu. Kata Imam al-Tahawi :

“Ia (kenderaan yang baik) menjauhkan hati dari kegelisahan. Kenderaan yang baik menjadikan penunggannya sibuk dengan zikir kepada Allah ataupun sibuk dengan perkara lain disebabkan kenderaannya yang tidak elok yang mana ia menyakitkan orang yang menaikinya.”

Rujuk Bayan Musykil al-Athar (7/43)

Itulah penjelasan berkenaan hadis yang disebutkan. Semoga Allah memberikan kita kefahaman. Wallahu’alam.

[1] http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/2728-irsyad-al-hadith-siri-ke-297-tanda-tanda-kebahagiaan

Source: IRSYAD AL-HADITH

Download PDF

Check Also

BAYAN LINNAS SIRI KE- 154 : PENDIRIAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN BERHUBUNG ISU POLIS EVO 2

Mukadimah Sekitar seminggu yang lalu, saya didatangi YBhg. Dato’ Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden Bahagian …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *