Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-295: KISAH UKASYAH MEMUKUL RASULULLAH SAW
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-295: KISAH UKASYAH MEMUKUL RASULULLAH SAW

Download PDF

ih295.png

 

 

Soalan: Apakah status kisah Ukasyah?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Nama beliau ialah Ukasyah bin Mihsan bin Hurthan bin Qais bin Murrah dan kunyah beliau ialah Abu Muhsin. Beliau merupakan salah seorang yang menyertai peperangan Badar dan telah berusaha bersungguh-sungguh sehinggakan pedangnya patah. Lalu Rasulullah SAW menggantikannya dengan sebatang ranting. Peristiwa ini dinukilkan oleh Imam al-Zahabi di dalam kitabnya:

 

وَقَدْ أَبْلَى عُكَّاشَةُ يَوْم بَدْرٍ بَلاَءً حَسَناً، وَانْكَسَرَ سَيْفُهُ فِي يَدِهِ، فَأَعْطَاهُ النَّبِيُّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- عُرْجُوْناً مِنْ نَخْلٍ، أَوْ عُوْداً، فَعَادَ بِإِذْنِ اللهِ فِي يَدِهِ سَيْفاً، فَقَاتَلَ بِهِ

Maksudnya: “Telah diuji Ukasyah pada hari berlakunya peperangan Badar dengan ujian yang baik iaitu pedang yang berada ditangannya telah patah. Maka Nabi SAW memberinya sebatang pelepah daripada pohon tamar atau sebatang ranting. Kemudian dengan izin Allah SWT batang yang berada di tangannya telah telah bertukar menjadi pedang.” [Lihat: Siyar A’lam al-Nubala’, 308/1]

 

Selain itu, beliau juga telah menyertai peperangan Uhud, al-Khandaq dan beberapa peperangan yang lain. Ketika kewafatan Rasulullah SAW usianya adalah 44 tahun. Beliau telah syahid dalam peperangan al-Riddah di zaman Abu Bakar al-Siddiq RA. [Lihat: Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 338/1]

 

Tambahan pula, Rasulullah SAW telah memberi khabar gembira kepadanya bahawa dia akan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab. Hal ini ada dinukilkan di dalam Sahih al-Bukhari dan juga Sahih Muslim di dalam hadith yang panjang. Antaranya:

 

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

يَدْخُلُ مِنْ أُمَّتِي الْجَنَّةَ سَبْعُونَ أَلْفًا بِغَيْرِ حِسَابٍ، فَقَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، ادْعُ اللهِ أَنْ يَجْعَلَنِي مِنْهُمْ، قَالَ: اللهُمَّ اجْعَلْهُ مِنْهُمْ، ثُمَّ قَامَ آخَرُ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، ادْعُ اللهِ أَنْ يَجْعَلَنِي مِنْهُمْ قَالَ: سَبَقَكَ بِهَا عُكَّاشَةُ

Maksudnya: “Akan masuk syurga daripada kalangan umatku 70 ribu tanpa hisab”. Maka berdiri seorang lelaki sambil berkata: “Wahai Rasulullah, doalah kepada Allah agar Allah SWT menjadikan aku sebahagian daripda mereka”. Maka Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah jadikanlah dia sebahagian daripada mereka.” Kemudian berdiri seorang lagi lelaki yang lain dengan berkata: “Wahai Rasulullah, doalah kepada Allah agar Allah SWT menjadikan aku sebahagian daripada mereka juga”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Ukasyah telah mendahuluimu dalam perkara ini.” [Riwayat Muslim (367)]

 

Berdasarkan soalan di atas, kisah Ukasyah mencium perut Rasulullah SAW dikatakan ia diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA di dalam Mu’jam al-Kabir oleh Imam al-Thabarani dengan panjang lebar. Di sini kami datangkan sebahagian daripada teks atau matannya:

 

ثُمَّ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا عُكَّاشَةُ اضْرِبْ إِنْ كُنْتَ ضارِبًا. فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، ضَرَبْتَني وَأَنَا حاسِرٌ عَنْ بَطْنِي. فَكَشَفَ عَنْ بَطْنِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَصَاحَ الْمُسْلِمُونَ بِالْبُكَاءِ، وَقَالُوا: أَتُرَى عُكَّاشَةُ ضَارِبٌ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ فَلَمَّا نَظَرَ عُكَّاشَةُ إِلَى بَيَاضِ بَطْنِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَأَنَّهُ، وَقَبَّلَ بَطْنَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW berkata: Wahai Ukasyah, pukullah aku jika benar bahawa aku pernah memukulmu”. Maka Ukasyah berkata: “Wahai Rasulullah, kamu telah memukulku dalam keadaan perutku terdedah”. Lalu Rasulullah SAW mendedahkan perutnya dalam keadaan umat Islam menangis dengan penuh kesyahduan. Mereka berkata: “Adakah kamu akan melihat Ukasyah memukul Rasulullah SAW?”. Apabila Ukasyah melihat putihnya perut Rasulullah SAW, maka beliau terus menciumnya.” [Riwayat al-Thabarani (2676)]

 

Hukum Hadith

Antara ulama’ yang menilai kisah ini ialah:

 

  • Imam Ibn al-Jauzi dengan menyatakan hadith ini adalah palsu dan semoga Allah SWT mnghukum kepada sesiapa yang berniat merosakkan syariah dengan kekeliruan yang dingin dan ucapan yang tidak layak disandarkan kepada Nabi SAW dan juga para sahabat. [Lihat: al-Mawdhu’at, 301/1]
  • Imam Ibn Hajar al-Haithami mengatakan Abd al-Mun’im bin Idris adalah seorang pendusta dan pemalsu hadith. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 31/9]
  • Imam al-Suyuthi juga menilai hadith atau kisah ini sebagai palsu. [Lihat: al-La’aali al-Masnu’ah, 257/1]
  • Imam Ibn Iraq al-Kinani menyatakan salah seorang perawi di dalam hadith tersebut dinilai sebagai pendusta iaitu Abd al-Mun’im bin Idris. [Lihat: Tanzih al-Syari’ah, 331/1]
  • Imam al-Syaukani di dalam kitabnya menyatakan hadith ini telah dirosakkan oleh Abd al-Mun’im bin Idris bin Sinan. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 324]

 

Melihat kepada beberapa pandangan para ulama’ di atas, kami cenderung untuk menyatakan bahawa kisah Ukasyah tersebut adalah palsu. Ini kerana, terdapat perawi yang dinilai sebagai pendusta dan pemalsu hadith. Selain itu, di dalam matan atau teks hadith tersebut terdapat beberapa ciri-ciri yang menunjukkan bahawa ia adalah palsu atau direka.

 

Penutup

Kesimpulannya, kisah Ukasyah ini adalah palsu dan tidak boleh sama sekali kita menyampaikannya kepada orang lain melainkan untuk menyatakan kepalsuannya. Akan tetapi kisah yang hampir sama ini berlaku kepada Usaid bin Hudhair dan bukannya kepada Ukasyah. Hadith tersebut adalah:

 

بَيْنَمَا هُوَ يُحَدِّثُ الْقَوْمَ وَكَانَ فِيهِ مِزَاحٌ بَيْنَا يُضْحِكُهُمْ فَطَعَنَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي خَاصِرَتِهِ بِعُودٍ. فَقَالَ: أَصْبِرْنِي. فَقَالَ: اصْطَبِرْ. قَالَ: إِنَّ عَلَيْكَ قَمِيصًا وَلَيْسَ عَلَيَّ قَمِيصٌ، فَرَفَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَمِيصِهِ، فَاحْتَضَنَهُ وَجَعَلَ يُقَبِّلُ كَشْحَهُ، قَالَ إِنَّمَا أَرَدْتُ هَذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ

Maksudnya: “Ketika dia (Usaid bin Hudhair) sedang berbual dengan kaumnya dan di dalamnya terdapat gurauan yang membuatkan mereka tertawa. Maka Nabi SAW telah memukul pinggangnya dengan sebatang kayu. Maka dia berkata: “Beri saya kesempatan untuk melakukan qisas (membalas dengan yang setimpal)”. Beliau bersabda, “Silakan membalas.” Dia berkata, “Kamu memakai baju, sedangkan aku (ketika kamu memukulku) tidak memakai baju.” Maka Rasulullah SAW mengangkat bajunya. Maka dia terus memeluk dan mencium pinggang Rasulullah SAW sambil berkata: “Inilah yang aku inginkan wahai Rasulullah.” [Riwayat Abu Daud (5224)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menyatakan ketika menilai hadith ini bahawa perawi-perawinya adalah thiqah (dipercayai) tetapi Abdulrahman bin Abi Layla tidak bertemu Usaid bin Hudhair]

 

Selain daripada Imam Abu Daud, Imam al-Baghawi di dalam Syarh al-Sunnah, Imam al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir, Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak dan juga Imam al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman ada menukilkan hadith ini. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan orang-orang yang mencintai Nabi SAW dan para sahabatnya serta memasukkan kita semua ke dalam syuga bersama dengan mereka. Amin.

 

Wallahua’lam

Source: IRSYAD AL-HADITH

Download PDF

Check Also

BAYAN LINNAS SIRI KE- 154 : PENDIRIAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN BERHUBUNG ISU POLIS EVO 2

Mukadimah Sekitar seminggu yang lalu, saya didatangi YBhg. Dato’ Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden Bahagian …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *