Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-283: KESAN DARIPADA WUDHUK
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-283: KESAN DARIPADA WUDHUK

Download PDF

 

 

Soalan: Apakah maksud maksud hadith seperti putih di kepala kuda?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Di dalam Islam, wudhuk berasal daripada perkataan wadha’ah (وَضَاءَةٌ). Dari segi bahasa, ia bererti elok dan berseri. Sementara dari segi syara’ pula ialah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu beserta dengan niat. Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan serta menyerikan lagi anggota yang dibasuh dan dibersihkan. Perkataan wadhuk (وَضُوءٌ) ialah nama air yang digunakan untuk berwudhuk, adapun wudhuk adalah perbuatan wudhuk itu sendiri. [Lihat: Fiqh al-Manhaji, 53/1]

 

Berdasarkan soalan di atas, hadith yang dimaksudkan adalah seperti berikut yang menceritakan akan fadhilat atau kelebihan orang yang berwudhuk:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّ أُمَّتِي يُدْعَوْنَ يَوْمَ القِيَامَةِ غُرًّا مُحَجَّلِينَ مِنْ آثَارِ الوُضُوءِ، فَمَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يُطِيلَ غُرَّتَهُ فَلْيَفْعَلْ Maksudnya: “Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari Kiamat dengan dahi, tangan dan kaki yang berseri-seri disebabkan daripada kesan-kesan wudhuk. Barangsiapa yang mampu daripada kalangan kamu untuk melebihkan dahinya maka lakukanlah ia.” [Riwayat al-Bukhari (136)][Riwayat Muslim (246)]

 

Menurut Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas, ahli bahasa menyatakan “الْغُرَّةُ” bermakna warna putih yang dahi kuda dan “التَّحْجِيلُ” pula adalah warna putih yang terdapat pada tangan dan kakinya. Adapun para ulama’ menafsirkannya dengan cahaya yang muncul pada anggota-anggota wudhuk di hari Kiamat sepertimana warna putih yang terdapat pada kuda. Tambahan pula, Imam al-Nawawi meletakkan hadith ini pada bab melebihkan basuhan wudhuk di kepala, tangan dan kaki. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 134-135/3]  Hal ini juga, dinyatakan oleh Imam al-San’ani di dalam karya beliau bahawa hadith ini merupakan salah satu dalil yang menunjukkan tuntutan agar melebihkan basuhan kepala, tangan dan kaki ketika berwudhuk. [Lihat: Subul al-Salam, 70/1]

 

Di samping itu juga, Syeikh Mustafa al-Bugha berkata ketika memberi komentar terhadap hadith ini di dalam Sahih al-Bukhari bahawa makna hadith ini adalah cahaya akan terpancar daripada wajah-wajah, tangan-tangan dan kaki-kaki mereka pada hari Kiamat. Ini merupakan di antara kelebihan-kelebihan yang diberikan terhadap umat ini iaitu Allah SWT menjadikan kelebihan-kelebihan tersebut sebagai penyaksian ke atas manusia.

 

Penutup

Kesimpulannya, sebahagian para ulama’ menggalakkan agar melebihkan basuhan air wudhuk pada anggota-anggota wudhuk. Ini kerana, hadith sahih di atas menunjukkan anjuran agar melebihkan basuhan kerana ia akan menerbitkan cahaya di akhirat kelak. Tambahan pula,

 

Imam al-Nawawi juga menyatakan bahawa para ulama’ telah ijma’ dalam menyatakan makruh membasuh anggota wudhuk lebih daripada tiga kali kerana terdapat hadith yang jelas melarang hal tersebut. Akhirnya, marilah sama-sama kita mengamalkan sunnah ini dan dalam masa yang sama kita juga perlu menjaga diri kita daripada melakukan sebarang pembaziran air kerana hal ini ditegah di dalam agama sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran dan hadith. Amin.

 

Wallahua’lam

 

 

 

Source: IRSYAD AL-HADITH

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #855 : SOLAT SUNAT KIFARATUL BAULI

Soalan : Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanya. Saya menerima 1 mesej menerusi aplikasi whatsapp berkaitan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *