Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-259: DIAM DARIPADA KEBENARAN (SYAITAN BISU)
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-259: DIAM DARIPADA KEBENARAN (SYAITAN BISU)

 

 

 

 

 

Soalan: Apakah status ungkapan ini?

 

السَّاكِتُ عَنِ الْحَقِّ شَيْطَانٌ أَخْرَسُ، والنَّاطِقُ بِالْبَاطِلِ شَيْطَانٌ نَاطِقٌ

Maksudnya: “Orang yang diam daripada kebenaran adalah syaitan bisu dan orang yang bercakap berkaitan perkara bathil adalah syaitan yang bercakap.”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Agama kita Islam amat menitik beratkan perkara al-Amr bi al-Ma’ruf (menyeru kepada kebaikan) dan al-Nahi an al-Munkar (mencegah daripada perkara mungkar). Ini berdasarkan, banyak firman Allah SWT:

 

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

ali-Imran:104

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

 

Menurut ayat di atas, jelas menunjukkan kepada kita akan kewajipan seorang mukmin atau muslim itu untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada perkara yang mungkar. Tambahan pula, terdapat hadith sahih yang menyeru agar kita semua mencegah perkara-perkara yang mungkar:

 

  • Daripada abu Sa’id al Khudri RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.” [Riwayat Muslim (78)]

 

Berdasarkan ungkapan di atas, kami lebih cenderung untuk mengatakan bahawa makna ungkapan ini adalah sahih (benar) kerana kita tidak boleh berdiam diri dalam perkara-perkara maksiat atau kemungkaran. Akan tetapi, kami tidak menemui ungkapan ini di dalam kitab-kitab hadith yang muktabar dengan cara ia disandarkan kepada Rasulullah SAW. Untuk itu, kita sama sekali tidak boleh menyandarkannya kepada Nabi SAW dan berkemungkinan ia merupakan kata-kata para ulama’ Islam.

 

Tambahan pula, Imam al-Nawawi (676 H) meriwayatkan daripada Abi al-Qasim al-Qusyairi dan kata-kata ini disandarkan kepada Abi Ali al-Daqqaq bahawa “barangsiapa yang diam akan sesuatu kebenaran, dia adalah syaitan bisu.” [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 20/2]

 

Penutup

Kesimpulannya, ungkapan tersebut bukannya ucapan Nabi SAW dan menyandarkan ungkapan tersebut kepada Nabi SAW merupakan satu kesalahan dan ia termasuk di dalam bab berdusta di atas nama Rasulullah SAW. Selain itu, sememangnya kita dituntut untuk tidak berdiam diri dalam perkara maksiat atau kemungkaran. Ini kerana, tugas al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahi an al-Munkar adalah kewajipan setiap individu yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya SAW. Dengan sikap berdiam diri di atas perkara mungkar akan menyebabkan turunnya azab Allah SWT berdasarkan beberapa buah hadith, antaranya sabda Nabi SAW:

 

مَا مِنْ قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيهِمْ بِالْمَعَاصِي، ثُمَّ يَقْدِرُونَ عَلَى أَنْ يُغَيِّرُوا، ثُمَّ لَا يُغَيِّرُوا، إِلَّا يُوشِكُ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّهُ مِنْهُ بِعِقَابٍ

Maksudnya: “Tidaklah kemaksiatan yang dilakukan oleh sesuatu kaum, kemudian mereka (sebahagian daripada mereka) mampu untuk mengubahnya tetapi mereka tidak berbuat sedemikian, melainkan Allah SWT akan timpakan keseluruhan kaum tersebut dengan azab.” [Riwayat Abu Daud (4338)][Syeikh Syu’aib al-Arnaouth menilai sanad hadith ini adalah sahih]

 

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam menyeru manusia kepada kebaikan serta mencegah mereka daripada kemungkaran serta menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang terbaik. Amin.

 

Wallahua’lam

 

 

 

 

Source: IRSYAD AL-HADITH

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *