Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-232: ANWAR SYAH AL-KASHMIRI
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-232: ANWAR SYAH AL-KASHMIRI

 

Soalan: Apakah sejarah ringkas berkaitan penulis kitab Faidh al-Bari?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Di sini kami sertakan sebahagian biografi penulis kitab Faidh al-Bari syarah bagi Sahih al-Bukhari sebagaimana yang ditulis oleh Taj al-Din al-Azhari. Nama beliau ialah Muhammad Anwar Syah bin Muazzam Syah al-Kashmiri al-Hindi. Beliau lahir pada tahun 1292 Hijrah bersamaan tahun 1875 dan beliau ditarbiyah oleh kedua ibubapanya dengan tarbiyah yang baik.

 

Di samping itu, beliau terkenal dengan seorang yang bertaqwa, menundukkan pandangan serta menghormati para gurunya sehingga berkata Syeikh Maulana al-Qari Muhammad Thoyyib Rahimahullah:

 

“Kami mempelajari sunnah-sunnah Nabi SAW daripada kehidupan Anwar kerana seakan-akan akhlak-akhlak Nabi SAW itu berada pada pada jasad serta gambaran beliau.”

 

Beliau juga belajar daripada ayahnya Syeikh Allam beberapa buah kitab Fiqh dan Usul al-Fiqh dan apabila berusia 17 tahun maka beliau mula bermusafir ke Deoband. Di sana, beliau masuk ke Dar Ulum dan keluar daripada situ pada tahun 1313 Hijrah bersamanya ijazah untuk mengajar hadith daripada Syeikh Maulana Rashid Ahmad al-Kandahlawi dan juga Syeikh Maulana al-Hasan Rahimahullah.

 

Adapun beliau seorang yang kuat meneliti, kuat ingatannya dan juga kuat mentelaah sehingga beliau menghabiskan bacaan kitab Umdah al-Qari salah satu syarah bagi Sahih al-Bukhari oleh al-Hafiz al-Aini sebagai persediaan awal beliau sebelum mempelajari Sahih al-Bukhari pada tahun yang berikutnya (ketika zaman pembelajaran). Beliau juga banyak mengambil manfaat daripada kitab Fath al-Bari oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mempelajari kitab Sahih al-Bukhari dengan gurunya iaitu Syeikh Maulana al-Hasan.

 

Selain itu juga, antara cara beliau meneliti pelajaran-pelajaran adalah dengan setiap kitab yang ada di tangannya atau manuskrip yang diperolehinya akan diteliti tanpa meninggalkan sedikit pun. Beliau merupakan orang yang pertama daripada kalangan ulama’ di India yang meneliti Musnad Ahmad bin Hanbal yang dicetak di Mesir dengan cara meneliti setiap hari 200 muka surat berserta kritikan pada hadith-hadithnya dan juga membetulkan hukum-hukum hadith tersebut.

 

Beliau merupakan seorang imam dalam bidang al-Quran dan juga hadith Nabi SAW dan beliau juga seorang yang mahir dalam empat mazhab (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali) sehingga mampu mengetahui khilaf-khilaf antara mazhab-mazhab tersebut serta mampu untuk membuat pilihan yang tepat pada sudut pandang sendiri. Tambahan pula, beliau tidak hanya meneliti kitab-kitab ulama’ yang beliau cenderung sahaja, bahkan beliau juga meneliti kitab-kitab ulama’ lain yang mana diketahui setiap daripada mereka (ulama’) itu berbeza pendapat antara satu sama lain seperti Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim,  Ibn Daqiq al-Aidh, al-Hafiz Ibn Hajar dan ramai lagi termasuk juga kitab-kitab yang ditulis oleh ahli kitab termasuk juga bible yang diteliti olehnya.

 

Selepas daripada beliau keluar dari Dar al-Ulum, beliau telah bermusafir ke beberapa buah tempat pengajian lagi dan belajar di sana selama beberapa tahun sehingga berpeluang menziarahi tanah haram serta berjumpa dengan beberapa ahli ilmu di sana. Beliau mula mengajar di Dar al-Ulum beberapa tahun selepas pulang dari tanah haram dan terus menjadi tenaga pengajar di Dar al-Ulum sehingga tahun 1345 Hijrah. Kemudian, beliau berpindah ke Dabhel dan mengasaskan sebuah tempat pengajian yang besar dinamakan Universiti Islam.

 

Antara pujian yang diberikan oleh ulama’ kontemporari kepada beliau adalah daripada Syeikh Sulaiman al-Nadwi Rahimahullah:

 

“Beliau adalah lautan yang meliputi dan di atasnya tenang tetapi di dalamnya penuh dengan benda-benda yang besar dan bernilai.”

 

Kata Syeikh al-Muhaddith Ali al-Hanbali al-Misri Rahimahullah:

“Aku tidak pernah melihat seorang yang alim sepertimana Syeikh Anwar yang mampu mengkritik pandangan-pandangan daripada Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Imam Ibn Hazm, Imam al-Syaukani dan selain daripada mereka dengan menghukum ke atas mereka serta menunaikan hak sebagai seorang pengkaji dan pentahqiq di samping menjaga kemuliaan serta ketinggian kedudukan mereka ini (ulama’ terdahulu).”

 

Syeikh Anwar juga merupakan salah seorang ulama’ yang bersungguh-sungguh melawan golongan al-Qadiyaniyyah. Usaha ini juga dilakukan oleh ulama’-ulama’ yang lain setelah munculnya banyak fitnah-fitnah pada zaman itu dan antara fitnah yang paling besar adalah munculnya golongan al-Qadiyaniyyah. Adapun beliau merupakan salah seorang ulama’ yang berusaha bersungguh-sungguh siang dan malam bagi mencari jalan untuk menyelesaikan golongan ini sehingga ulama’-ulama’ di seluruh dunia tersedar daripada lamunan akan kepentingan menentang golongan ini. Antara bukti kesungguhan Syeikh Anwar dalam menentang membela aqidah umat Islam adalah melalui penulisannya:

 

  • Ikfar al-Mulhidin
  • Al-Tasrih bi ma Tawatar fi Nuzul al-Masih
  • Aqidah al-Islam fi Hayat Isa
  • Tahiyyah al-Islam fi Hayat Isa AS
  • Khatam al-Nabiyyin

 

Berdasarkan kisah hidup Syeikh Anwar al-Kashmiri ini, maka kita mengetahui bahawa beliau merupakan seorang ulama’ yang hebat. Justeru, apabila hebatnya seorang guru itu, maka ia juga akan melahirkan anak murid yang hebat. Beliau meninggalkan beribu-ribu orang pelajar dan antara yang terkenal ialah Syeikh Ahsan al-Jilani, al-Muhaddith Maulana Hifz al-Rahman dan juga Syeikh al-Qari’ Muhammad Thayyib.

 

Di sini kami sertakan beberapa buah karya yang beliau telah tinggalkan kepada umat ini:

 

  • Faidh al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari
  • Al-‘Arf al-Syazzi Syarh Jami’ al-Tirmizi
  • Musykilat al-Qur’an
  • Nail al-Farqadain fi Masalah Raf’ al-Yadain
  • Khaza’in al-Asrar
  • Fadl al-Khitab fi Masalah Huduth al-‘Alam

 

Pengakhiran kehidupan Syeikh Anwar adalah sebagai seorang ulama’ yang setia mencurahkan ilmunya sehingga beliau terkena penyakit buasir yang teruk dan penyakit itu semakin hari semakin teruk. Maka, Syeikh bermusafir ke Deoband dan menemui ajal pada malam bulan Safar tahun 1352 atau 1353 hijrah. Jenazah beliau disolat oleh bilangan yang besar daripada kalangan pelajar-pelajar, ulama’-ulama’ dan juga pencinta-pencinta beliau. Di samping itu juga, jenazah beliau dikebumikan berdekatan dengan rumahnya di Musalla al-‘Eid.

 

Kesimpulannya, Syeikh Anwar al-Kashmiri  merupakan salah seorang tokoh Islam yang agung yang mana jasa beliau telah banyak menyumbang kepada agama ini  dan sumbangannya juga amat besar di dalam ilmu hadith sehingga kini karya-karya beliau masih menjadi rujukan dan ditempatkan di dalam perpustakaan Islam. Semoga Allah SWT merahmatinya dan menjadikan kita sebahagian daripada hamba-hamba-Nya yang sentiasa berjasa dan menyumbang kepada agama yang dicintai ini iaitu Islam. Amin.

 

Wallahua`lam

 

Source: IRSYAD AL-HADITH

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *