Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-520 : HUKUM MENCARI LIKES DI FACEBOOK UNTUK MENDAPATKAN HADIAH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-520 : HUKUM MENCARI LIKES DI FACEBOOK UNTUK MENDAPATKAN HADIAH

if520 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Apakah hukum mencari “like” atau “sukaan” bagi hantaran dalam akaun Facebook untuk mendapatkan hadiah yang dijanjikan? Contohnya, seorang isteri menjanjikan suaminya hadiah sebuah topi keledar motosikal berjenama jika hantarannya yang bergambar hidangan masakan disukai oleh 50,000 orang? Bukankah itu merupakan pertaruhan yang dilarang?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

 

Ringkasan Jawapan:

Hukum mencari “Like” dengan bilangan tertentu di Facebook bagi mendapatkan upah atau hadiah adalah diharuskan, dan bukanlah pertaruhan dalam erti kata judi. Jika tawarannya dalam bentuk upah, maka hukumnya adalah berdasarkan kontrak ju`alah. Manakala jika tawarannya dalam bentuk hadiah, maka kembali kepada hukum janji memberi hadiah.

 

Huraian Jawapan:

Konsep Like di Facebook

Menurut laman rasmi Facebook, perbuatan mengklik Like atau Suka di bawah hantaran di Facebook ialah sarana untuk membolehkan orang ramai menunjukkan rasa suka terhadap hantaran berkenaan tanpa meninggalkan komentar. Seperti fungsi komentar, sesiapa sahaja yang boleh melihat pos itu boleh juga melihat sukaan yang dibuat oleh orang tadi. Contohnya, kalau seseorang mengklik Suka di bawah hantaran video seorang rakan, orang lain yang boleh melihat hantaran tadi boleh juga melihat kesan Suka daripada orang tadi. Begitu juga, pemilik pos berkenaan akan mendapat notifikasi bahawa rakannya tadi telah mengklik Suka pada hantaranya. Rujuk What does it mean to “Like” something on Facebook?

Secara ringkas, konsep Like di Facebook adalah suatu tindakan seseorang untuk menghargai nilai yang ada pada suatu hantaran dengan menyukainya. Tindakan itu juga boleh digunakan sebagai salah satu bentuk sokongan terhadap kandungan hantaran tersebut.

 

Pertaruhan yang diharamkan

Definisi “taruh” dalam Bahasa Melayu merujuk kepada beberapa makna berikut:

  • Wang, dan lain-lain barang, yang dipasang dalam perjudian atau tagan;
  • Cagaran untuk barang yang digadai atau sandaran, atau tanggungan;
  • menaruh yakni menempatkan, meletakkan, atau membubuh
  • menaruh yakni menyimpan;
  • menentukan atau meletakkan harga;
  • mengamanahkan, atau menitip;
  • merahsiakan sesuatu;
  • mempunyai minat atau kepercayaan,
  • menyabung nyawa atau mengorbankan
  • memberi petaruh, menasihat, berpesan,atau berwasiat.

Berdasarkan konteks soalan, makna yang difahami daripada penanya ialah makna pertama, yakni adakah perbuatan mencari Like itu adalah suatu bentuk perjudian. Perjudian adalah haram di dalam Islam kerana ia mengingkari konsep ijab dan kabul, atau tawaran dan penerimaan dalam hukum hakam berjual beli. Apabila pihak pembeli menawarkan harga untuk suatu barang atau manfaat, dia tidak tahu sama ada penjual menerima tawaran itu dengan memberi barang yang diminta.

Kami merujuk kitab al-Fiqh al-Manhaji (6/36) yang menyebut seperti berikut:

“Jual beli yang mengandungi unsur perjudian merangkumi jual beli yang tidak menyatakan barangan yang dijual secara jelas, atau wujud perbuatan yang menafikan kehendak salah satu pihak.”

Antara dalil pengharamannya ialah firman Allah ﷻ:

ا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Ma`idah: 90)

Menurut Imam Fakhruddin al-Razi judi boleh membawa kepada kepada permusuhan, mengutuk-ngutuk dan pertelingkahan; serta merupakan suatu bentuk mengambil harta orang lain secara batil; di samping melalaikan manusia dari mengingati Allah dan mengerjakan solat. Tambah beliau lagi, pertaruhan menimbulkan perasaan ingin cuba menang, terutama setelah mengalami kekalahan sehingga semua harta akhirnya habis digunakan untuk berjudi sehinggakan sanggup menggadaikan isteri dan anak-anak pula. Tentunya si kalah judi ini akan jatuh miskin dan menyimpan dendam kesumat terhadap lawannya yang telah menang dan merampas harta bendanya, sehingga berlakulah permusuhan dan benci-membenci yang berpanjangan di dalam masyarakat. Dari segi agama pula, si penjudi akan jauh hatinya dari mengingati Allah dan mengerjakan solat kerana disibukkan dengan harapan untuk menang, atau marah kerana kalah judi. Bahkan sekiranya dia menang sekalipun, nescaya kemenangannya itu akan terus menenggelamkannya di dalam kesibukan demi kesibukan, sehingga tidak ingat selain dari harta yang dimenanginya itu sahaja.

Lihat Mafatih al-Ghaib (6/49) dan (12/82)

Abu Sa’id al-Khudri RA meriwayatkan dengan katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ الْمُلاَمَسَةُ وَالْمُنَابَذَةِ فِي البَيْعِ

Maksudnya: “Rasulullah melarang jual beli secara sentuh menyentuh (mulamasah) dan campak-mencampak (munabazah).”

Riwayat al-Bukhari (5482) dan Muslim (1512)

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ada dinyatakan:

“Dalam menafsirkan kedua-dua istilah ini, periwayat hadith ini berkata: Mulamasah ialah seorang lelaki menyentuh sehelai pakaian dengan tangan pada waktu malam atau siang dan dia tidak boleh mengambil selain daripada barangan yang disentuhnya itu. Munabazah pula ialah seorang lelaki mencampakkan bajunya kepada lelaki lain dan lelaki itu mencampakkan pula bajunya kepada lelaki lain dan lelaki itu mencampakkan pula bajunya kepada lelaki pertama, dengan itu berlakulah jual beli tanpa melihat atau saling meredhai.”

 

Hukum memberi upah atas usaha

Kami berpendapat jawapan ini tidak akan lengkap melainkan disebut juga hukum ju`alah atau memberi upah atau suatu pekerjaan. Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji (6/161):

“Menurut Syara’ ju’alah atau sagu hati ialah mewajibkan gantian yang diketahui untuk kerja tertentu, sama ada diketahui atau tidak diketahui, oleh orang yang dikenali atau tidak dikenali.”

Dalil terhadap pensyariatan konsep ini ialah firman Allah ﷻ:

قَالُوا نَفْقِدُ صُوَاعَ الْمَلِكِ وَلِمَن جَاءَ بِهِ حِمْلُ بَعِيرٍ وَأَنَا بِهِ زَعِيمٌ

Maksudnya: “Orang-orang menteri menjawab: “Kami kehilangan cupak raja. Dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu”.

(Surah Yusuf: 72)

Walaupun ayat ini menyebut tentang syariat sebelum kita, namun ada sumber daripada syariat kita yang membenarkannya seperti yang dinyatakan oleh hadith Abu Sa’id al-Khudri RA katanya:

انْطَلَقَ نَفَرٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِى سَفْرَةٍ سَافَرُوهَا حَتَّى نَزَلُوا عَلَى حَىٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ فَاسْتَضَافُوهُمْ، فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمْ، فَلُدِغَ سَيِّدُ ذَلِكَ الْحَىِّ، فَسَعَوْا لَهُ بِكُلِّ شَىْءٍ لاَ يَنْفَعُهُ شَىْءٌ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: لَوْ أَتَيْتُمْ هَؤُلاَءِ الرَّهْطَ الَّذِينَ نَزَلُوا لَعَلَّهُ أَنْ يَكُونَ عِنْدَ بَعْضِهِمْ شَىْءٌ، فَأَتَوْهُمْ، فَقَالُوا: يَا أَيُّهَا الرَّهْطُ، إِنَّ سَيِّدَنَا لُدِغَ، وَسَعَيْنَا لَهُ بِكُلِّ شَىْءٍ لاَ يَنْفَعُهُ، فَهَلْ عِنْدَ أَحَدٍ مِنْكُمْ مِنْ شَىْءٍ؟ فَقَالَ بَعْضُهُمْ: نَعَمْ وَاللَّهِ إِنِّى لأَرْقِى، وَلَكِنْ وَاللَّهِ لَقَدِ اسْتَضَفْنَاكُمْ فَلَمْ تُضِيِّفُونَا، فَمَا أَنَا بِرَاقٍ لَكُمْ حَتَّى تَجْعَلُوا لَنَا جُعْلاً. فَصَالَحُوهُمْ عَلَى قَطِيعٍ مِنَ الْغَنَمِ، فَانْطَلَقَ يَتْفِلُ عَلَيْهِ وَيَقْرَأ:ُ (الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ) فَكَأَنَّمَا نُشِطَ مِنْ عِقَالٍ، فَانْطَلَقَ يَمْشِى وَمَا بِهِ قَلَبَةٌ، قَالَ: فَأَوْفَوْهُمْ جُعْلَهُمُ الَّذِى صَالَحُوهُمْ عَلَيْهِ، فَقَالَ بَعْضُهُمُ: اقْسِمُوا. فَقَالَ الَّذِى رَقَى: لاَ تَفْعَلُوا، حَتَّى نَأْتِىَ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَذْكُرَ لَهُ الَّذِى كَانَ، فَنَنْظُرَ مَا يَأْمُرُنَا. فَقَدِمُوا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرُوا لَهُ، فَقَالَ: وَمَا يُدْرِيكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ، ثُمَّ قَالَ: قَدْ أَصَبْتُمُ اقْسِمُوا وَاضْرِبُوا لِى مَعَكُمْ سَهْمًا فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم

Maksudnya: “Beberapa orang sahabat Nabiberangkat dalam suatu perjalanan. Apabila tiba di sebuah perkampungan Arab, mereka memohon untuk menumpang tetapi penduduk kampung tersebut enggan menerima mereka. Ketika itu ketua kampung tersebut telah disengat dan mereka telah menggunakan segala-galanya untuk mengubatinya, tetapi sedikitpun tidak berkesan. Beberapa orang di kalangan mereka berkata: “Mungkin kamu patut berjumpa dengan orang-orang yang singgah itu. Mereka mungkin ada sesuatu sebagai ubat. Lantas mereka datang menemui para sahabat dan berkata: “Wahai kamu sekalian, ketua kami telah disengat. Kami telah gunakan segala-galanya untuk menyembuhkannya, malangnya tidak berkesan. Adakah ada di kalangan kamu yang boleh mengubatinya. Sebahagian sahabat menjawab: “Ya, demi Allah aku boleh menjampi. Cuma demi Allah, kami telah mohon izin untuk menumpang di tempat kamu tetapi kamu menolak aku hanya akan menjampi untuk kamu jika kamu berikan kami sagu hati. Setelah berbincang, mereka bersetuju memberikan sekawan kambing. Sahabat ini pun pergi menghembus ketua tadi dan membaca ayat bermaksud, “Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam” (surah al-Fatihah). Tiba-tiba ketua kampung bangun seolah-olah baru terlepas daripada ikatan. Lalu bangkit tanpa sebarang kesan penyakit. Abu Sa’id RA berkata: “Lalu penduduk kampung itu memberikan sagu hati seperti yang mereka setujui. ” Sebahagian para sahabat berkata: “Bahagikan”. Namun sahabat yang menjampi tadi berkata: “Tunggu sehingga kita bertemu Nabi dan kita ceritakan kepada Baginda. Kita tunggu perintah Baginda. Selepas itu mereka menemui Rasulullah ﷺ dan menceritakan apa yang berlaku. Baginda bersabda: “Bagaimana engkau tahu ia adalah jampi?” Kemudian Baginda bersabda: “Kamu benar, bahagi-bahagikanlah dan letakkan satu bahagian untuk aku bersama kamu”. Lalu Nabitertawa.”

Riwayat al-Bukhari (2156) dan Muslim (2201)

Kontrak ju`alah adalah lazim, ertinya wajib dibayar apabila selesai tugasan. Namun, jika dibatalkan sebelum kerja bermula, maka itu adalah hak pemberi. Disebut lagi:

Kontrak ini bersifat harus dan bukan wajib. Malah ia boleh dibatalkan oleh pemberi sagu hati pada bila-bila masa. Begitu juga pekerja boleh membatalkan kerjanya pada bila-bila masa. Sama ada dipersetujui oleh pihak satu lagi atau tidak. Sama ada diketahui atau tidak. Ini kerana kontrak ini ialah kontrak bagi melakukan suatu kerja yang tidak diketahui bagi mendapatkan bayaran tertentu. Dengan ini mana-mana pihak berhak membatalkannya.

Jika kontrak ini dibatalkan oleh pekerja, dia tidak berhak mendapat apa-apa walaupun dia telah melakukan sebahagian kerja tersebut. Ini kerana dia hanya layak menerima upah apabila kerja tersebut selesai. Dalam hal ini, pekerja yang membatalkannya, dengan itu haknya digugurkan.

Jika kontrak ini dibatalkan oleh pemberi sagu hati, jika dibatalkan sebelum kerja dimulakan, pemberi tidak perlu membuat sebarang bayaran kerana ia dibatalkan sebelum khidmat pekerja digunakan.

Dengan itu, dia tidak perlu membuat sebarang bayaran. Jika dibatalkan selepas kerja dimulakan, pemberi perlu membayar mengikut upah sepadan bergantung kepada kerja yang telah dilakukan. Ini kerana sebahagian khidmat pekerja telah digunakan dengan syarat bayaran. Ini bermakna pemberi wajib membayar upahnya.”

 

Hukum menjanjikan hadiah dengan syarat

Dalam perbincangan sebelum ini, kontrak ji`alah ialah pemberian upah atas pekerjaan yang dilakukan. Adapun dalam konteks janji memberikan hadiah, maka perbincangannya berbeza. Kami telah menghuraikan isu melunaskan janji dalam Bayan Linnas Siri Ke-149: Status Pelangsaian Pinjaman Ptptn Menurut Perspektif Syarak yang menyentuh isu pelaksanaan manifesto dalam Pilihan Raya Umum. Secara ringkas, ulama berbeza pendapat berkenaan hukum melaksanakan janji. Jumhur ulama mengatakan hukumnya adalah sunat kerana ia merupakan komitmen untuk berbuat baik. Sebahagian ulama mewajibkan pelaksanaan jika janji itu dibuat secara bertaklik contohnya, jika seseorang melakukan suatu maka dia dapat sesuatu. Sebahagian lagi mewajibkan secara mutlak kerana memungkiri janji ialah sifat orang munafik. Pendapat terakhir inilah yang dipilih dalam artikel tersebut, tetapi perlulah pelaksanaan itu berdasarkan kemampuan pemberi hadiah.

 

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, kami cenderung untuk mengatakan hukum mencari Like dengan bilangan tertentu di Facebook bagi mendapatkan upah atau hadiah adalah diharuskan. Perbuatan tersebut bukanlah pertaruhan dalam erti kata judi. Jika tawarannya dalam bentuk upah, maka hukumnya adalah berdasarkan kontrak ji`alah. Manakala jika tawarannya dalam bentuk hadiah, maka kembali kepada hukum janji memberi hadiah. Wallahua`lam.

Semoga penjelasan ini memberikan jawapan kepada pihak yang bertanya. Kita berdoa agar Allah ﷻ mengurniakan kita rezeki daripada sumber yang halal supaya memudahkan kita menjadi hamba-Nya yang sentiasa bersyukur. Amin.

Source: IRSYAD FATWA

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *