Home / darulkautsar.net / Kemaskini Dari Web Rakan / Dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-371: NUSYUZ BAGI SEORANG SUAMI
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-371: NUSYUZ BAGI SEORANG SUAMI

Download PDF

IF371

Apakah hukumnya isteri ingkar suruhan seorang suami yang zalim dan tidak menunaikan tanggungjawab? Sebagai contoh jika suami tidak mengizinkannya keluar rumah untuk membeli barang keperluan sedangkan si suami tidak pernah membeli barang keperluan yang mencukupi. Suami juga sentiasa menengking isteri hanya disebabkan kesalahan kecil seperti marah kerana masakan isteri kurang sedap. Selain itu suami juga tidak memberi duit belanja walaupun dia mempunyai gaji dan kerja baik. Bolehkah isteri keluar pindah ke rumah yang lain disebabkan tidak tahan dengan perangai suami.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Aktikel pada kali ini, kami lebih memberi penekanan terhadap tanggungjawab dan nusyuz seorang suami. Justeru, tugas seorang suami adalah memimpin rumah tangga serta membimbing ahli keluarganya mengikut panduan yang ditetapkan syara’.

Firman Allah SWT:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ

Maksudnya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa

(Surah Toha, 132)

Perkahwinan merupakan satu institusi yang memerlukan perlaksaan tanggungjawab dan kewajipan di atas hak sebagai suami dan isteri. Selain itu, panduan yang diajar oleh agama Islam supaya sentiasa bergaul dan bertoleransi di antara keduanya bagi melahirkan hubungan yang mahabbah. Ini kerana pasangan suami isteri itu saling melengkapi antara satu sama lain. Firman Allah SWT:

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

Maksudnya: Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka

(Surah al-Baqarah, 187)

Begitu juga kewajipan seorang suami adalah menunaikan nafkah dari segi zahir atau batin kepada isteri dan anak-anaknya. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya bahawa para fuqaha bersepakat kewajipan suami memberi nafkah terhadap isterinya, tanpa ada perselisihan pandangan terhadapnya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/277)

Firman Allah SWT

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّـهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ

Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.

(Surah al-Nisa’, 34)

Dr. Wahbah Zuhaili menafsirkan ayat ini dengan menyatakan, seseorang lelaki itu dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah serta tempat tinggal kepada Isterinya… dan bagi lelaki ia merupakan ketua bagi memudahkan urusan kekeluargaan. (Lihat al-Tafsir al-Wasit li Zuhaili, 1/316-317)

Selain itu, Firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

(Surah al-Baqarah 233)

Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan, tanggungjawab isteri adalah mengandung dan melahirkan serta menyusukan anak. Manakala tanggungjawab suami adalah menyediakan kelengkapan dari segi makanan, minuman dan pakaian untuk melaksanakan tugas sebagai isteri. Begitu juga menjaga keselamatan dan segala urusannya. Nafkah yang diberikan berdasarkan kiraan mengikut kebiasaan masyarakat setempat seseorang perempuan itu (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/187)

Suami memberi Nafkah Kepada Isteri

Tanggungjawab seorang suami dalam melayari bahtera rumah tangga adalah dengan menunaikan nafkah dari segi zahir dan batin serta melayani isteri dengan keadaan yang baik.

Oleh itu, kewajipan sorang suami di dalam membayar nafkah adalah selepas berlakunya akad nikah serta isteri menunaikan syaratnya iaitu:

  • Merelakan dirinya untuk bermesra dan bersetubuh dalan keadaan yang diizinkan syara’.
  • Isteri mengikut suaminya tinggal di dalam rumah yang dipilih suaminya dan keadaan rumah itu sesuai didiaminya mengikut syara’

Jika kedua syarat ini dipenuhi isterinya, maka wajib bagi suami untuk menunaikan setiap nafkah yang diperlukan oleh isterinya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/278-280)

Dalam kontek kemampuan suami memberi nafkah kepada isterinya, al-Fiqh al-Manhaji menggariskan bahawa di antara perkara yang waijb diberikan suami kepada isteri adalah:

  • Makanan asasi penduduk tempatan pada setiap hari mengikut keperluan untuk dijadikan makanan. Hal ini berdasarkan kemampuan bagi seorang suami sama ada ia kaya, sederhana dan miskin.
  • Lauk yang menjadi kebiasaan masyarakat umum mengikut kemampuan suami
  • Pakaian yang bersesuaian mengikut syara’ dan menutup aurat serta tempat tinggal dan perkakas dapur mengikut kemampuan suami dan keperluan isteri.

Selain itu, sebagai tambahan kepada nafkah Isteri dan perlu mengambil kira kemampuan suami adalah sepert iberikut:

  • Rumah dan tempat tinggal yang bersesuaian dan sekurang-kurangnya mempunyai keperluan asas yang sewajarnya.
  • Peralatan bertujuan kebersihan tempat tinggal. Begitu juga alat perhiasan diri sekiranya suami meminta untuk isterinya berhias.
  • Pembantu rumah sekiranya isterinya mempunyai pembantu rumah sebelum ia berkahwin. Oleh itu suami perlu menyediakan khidmat pembantu rumah sekadar mengikut keperluan isterinya.

(Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/281-284 dan al-Fiqh al-Manhaji, 4/182-184)

Pemberian nafkah suami kepada isterinya adalah bergantung kepada kemampuan dan pendapatan seorang suami. Ini seperti mana hadis daripada Mu’awiyah al-Qusyairi katanya:

أَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقُلْتُ مَا تَقُولُ فِي نِسَائِنَا قَالَ: أَطْعِمُوهُنَّ مِمَّا تَأْكُلُونَ وَاكْسُوهُنَّ مِمَّا تَكْتَسُونَ وَلاَ تَضْرِبُوهُنَّ وَلاَ تُقَبِّحُوهُنَّ

Maksudnya: Aku menemui Rasulullah SAW dan bertanya: Apakah pandanganmu tentang isteri-isteri kami?” Rasulullah SAW menjawab: “Berilah mereka makan, sama seperti yang kamu makan, berilah mereka pakaian, sama seperti yang kamu pakai dan janganlah pukul serta hina mereka

Riwayat Abu Daud (2144)

Nusyuz

Para fuqaha’ berpendapat perbuatan nusyuz seseorang isteri kepada suaminya adalah diharamkan, begitu juga sebaliknya. Ini disebabkan kedua-duanya tidak menunaikan tanggungjawab mereka terhadap pasangan masing-masing. Nusyuz seseorang itu memberi kesan selepas selesainya akad nikah. Dan ia juga membabitkan ke atas lelaki dan juga perempuan.

Dr Muhammad Zuhaili memberi takrifan nusyuz di dalam kitabnya: “Nusyuz bermaksud derhaka dan kebiasaannya dilakukan oleh wanita. Seseorang perempuan nusyuz itu ialah derhaka kepada suaminya dengan mengingkari ketaatan terhadap suaminya. Selain itu, nusyuz bagi suami ke atas isterinya adalah meninggalkan tanggungjawabnya serta menyakiti pasangannya”.

(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e: 4/90)

Firman Allah SWT:

وَإِنِ امْرَأَةٌ خَافَتْ مِن بَعْلِهَا نُشُوزًا أَوْ إِعْرَاضًا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا

Maksudnya: Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz” (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya)

(Surah al-Nisa’, 128)

Mengikut keterangan daripada firman Allah SWT, Syeikh Sya’rawi menyatakan bahawa terdapat nusyuz bagi seseorang lelaki terhadap isterinya (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 5/2682)

Syeikah al-Maraghi menerangkan ayat di atas dengan menyatakan, “Yang dimaksudkan ayat di atas kebimbangan seorang isteri akan berlakunya nusyuz suami terhadap dirinya, iaitu suami menghalang kehendak dirinya, nafkahnya dan kasih sayangnya terhadap isterinya atau menzaliminya dengan memukul serta melakukan kekerasan yang lain.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/171)

Nusyuz Seorang Suami

Hukum nusyuz tidak tertakluk kepada isteri sahaja, malah ia juga berlaku kepada seorang suami. Ini seperti apabila seseorang suami itu tidak memberi hak dan tanggungjawab kepada isterinya dari segi zahir dan batin seperti tidak memberi nafkah serta melakukan kezaliman.

Hal ini dinyatakan di dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan, “Suami yang menganiaya isteri dan tidak menyukainya, seperti tidak memberikannya giliran bermalam, nafkah atau mengasarinya dengan perkataan atau perbuatan, isteri hendaklah menasihati suami dan mengingatkan tanggungjawab” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/109)

Syeikh Ibrahim Baijuri menceritakan tentang nusyuz bagi suami di dalam kitabnya, bahawa nusyuz bagi seorang suami adalah tidak melakukan tanggunjawab yang wajib terhadap isterinya iaitu menggaulinya dengan baik, memberikan giliran bermalam sekiranya beristeri ramai, memberi mahar, memberi nafkah, pakaian dan keperluan hidup yang lain… sekiranya suami itu seorang yang berakhlak buruk dan melakukan kekerasan seperti memukulnya tanpa sebab, dibenarkan untuk mengadu kepada hakim untuk memberikan hukuman ta’zir terhadapnya. (Lihat Hasyiah Syeikh Ibrahim al-Baijuri, 2251)

Tindakan Isteri Kepada Suami Yang Nusyuz

Sekiranya seseorang suami itu nusyuz terhadap isterinya, maka isteri hendaklah bersabar serta menasihati dan memperingati tindakkan yang dilakukan oleh suaminya dengan menceritakan firman Allah SWT tentang kewajipan seorang suami untuk menggauli isterinya dengan cara yang baik. Ini seperti firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّـهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرً

Maksudnya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).

(Surah al-Nisa’, 19)

Jika keadaan masih lagi belum berubah dan tidak Berjaya menasihatinya, maka isteri boleh mengadu kepada hakim atau pemerintah di atas apa yang dilakukan oleh suaminya terhadap dirinya. Ini seperti yang dinyatakan Dr Muhammad Zuhaili serta terdapat di dalam al-Fiqh al-Manhaji:

“Isteri juga hendaklah memberi amaran kepada suami tentang balasan perbuatan zalimnya. Jika suami berubah baik, itulah sebaik-baiknya. Jika tidak, dia hendaklah mengadu kepada hakim untuk mendapat haknya. Ini kerana hakim diwujudkan untuk mengembalikan hak kepada yang berhak disebabkan isteri tidak mampu mendapatkan haknya bersendirian… jika suami masih lagi mengulangi perbuatannya, maka isteri boleh meminta hakim mengenakan hukuman terhadap suaminya.”

(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/109-110 dan al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/95)

Namun, sekiranya masih lagi tidak dapat diselesaikan maka wakil bagi kedua-dua belah pihak hendaklah dihantar supaya diadakan perbincangan berkenaan hala tuju rumahtangga pasangan tersebut. Dr Muhamma Zuhaili menyebut di dalam kitabnya:

“Sekiranya peranan hakim masih lagi tidak dapat mendamaikan keduanya, maka hendaklah memanggil wakil yang dipercayai dari kedua-dua pihak bagi menyelesaikan permasalah ini sama ada mendamaikan keduanya atau memisahkannya…untuk menjatuhkan hukuman terhadap pasangan itu wajib dilakukan oleh qadi atau hakim.”

(Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/95)

Ini bertepatan dengan Firman Allah SWT:

 وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّـهُ بَيْنَهُمَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا

Maksudnya: Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.

(Surah al-Nisa’, 35)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan dan penerangan yang diberikan, sekiranya permasalah ini masih berlanjutan, kami menasihati agar melakukan beberapa langkah seperti berikut:

  • Isteri boleh menasihati suami tentang tanggungjawabnya dan memberi amaran kepadanya tentang balasan Allah SWT dengan perbuatan zalimnya.
  • Selain itu, sekiranya suami masih tidak berubah maka isteri boleh meminta hakim mengenakan tindakan yang sesuai untuk memperbaikinya.
  • Sekiranya belum mampu mengubahnya, kedua-dua belah pihak boleh menghantar wakil sebagai orang tengah untuk mendamaikan atau memisahkan mereka.

Sebaiknya di dalam permasalahan rumah tangga hendaklah dirujuk kepada pihak-pihak yang berautoriti di dalam membantu menyelesaikan permasalah ini seperti mahkamah syariah. Perkara ini bertujuan untuk menjalankan proses sulh yang terdapat dalam enakmen undang-undang keluarga islam di setiap negeri. Hal ini bertujuan mengadakan perbincangan damai serta menyelesaikan perselisihan rumah tangga.

Justeru, suami dan isteri wajib meningkatkan pengetahuan mengenai perihal hukum hakam nusyuz. Ini bertujuan memberi kesedaran kepada suami dan isteri tentang keburukan dan kesan melakukannya.

Dalam memahami tugas dan tanggungjawab serta realiti kehidupan dalam mengasuh dan mendidik generasi seterusnya persepahaman dan toleransi di antara suami isteri akan melahirkan kebahagiaan dalam membentuk baiti jannati. Firman Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. 

(Surah al-Furqan, 74)

Semoga penjelasan ini memberi manfaat kepada penanya. Kami berdoa agar Allah memberikan sakinah kepada keluarga.

Selain itu, bolehlah rujuk artikel berikut:

  • AL-KAFI #1258: ISTERI KELUAR DARI RUMAH DAN MENGHILANGKAN DIRI, APAKAH YANG PERLU DILAKUKAN?
  • AL-KAFI #1290: SUAMI MEMBIARKAN ISTERI MENANGGUNG NAFKAH KELUARGA
  • AL-KAFI #:1366 ADAKAH WAJIB BAGI SUAMI MEMBERI NAFKAH KEPADA ISTERI YANG TIDAK MEMBERI NAFKAH BATIN (EDISI KEMASKINI)
  • IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-206: NUSYUZ JIKA MERTUA MEMBAWA ISTERI KELUAR TANPA KEBENARAN SUAMI
  • IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-175: TINGGAL ISTERI TANPA NAFKAH, ADAKAH JATUH TALAQ

Source: IRSYAD FATWA

Download PDF

Check Also

AL-KAFI #1586 : IMAM PAKAI BAJU SINGKAT NAMPAK AURAT SEMASA SOLAT

  Soalan : Assalamu’alaikum ustaz, apa patut saya lakukan kalau saya melihat aurat imam terdedah …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *